Jakarta menyambutku dengan suasana meriah sekali. Kenapa tidaknya, gadis kecil renceng dengan blouse putih beropol di leher dan hujung lengan baju, berskirt corak petak hijau gaya Scotland, dengan tangan kanan menenteng beg taip kecil, rambut pendek lurus, berkaca mata, akulah yang bergaya seenaknya turun dari fokker di sambut seorang tokoh berseragam TNI Kolonel Achfas.
Setelah berkenalan dengan Saptohoedoyo di rumah Frank Sullivan di Kuala Lumpur, pelukis menantu Affandi inilah yang menyaranku agar berani belajar seni lukis di Yogyakarta. Ayah Dielah yang mengenalkan aku dengan pelukis itu. Tetapi peristiwa 13 Mei merobah perjalananku. Seharusnya aku berangkat ke Yogyakarta setelah Saptohoedoyo selesai pameran lukisan pada bulan minggu pertama Mei. Tetapi peristiwa 13 Mei, membuatkan pelukis itu segera meninggalkan Kuala Lumpur, dengan secarik pesan, ” Kalau Zainon ingin datang belajar, hubungi saudara saya, Kolonel Achfas di Jakarta ” .
Inilah perjalanan pertamaku, mengirim surat lengkap dengan foto, berserta tarikh berangkat. Ayah Die sudah mendapatkan surat izin belajar dari Kementerian Pelajaran. Mendapatkan alamat Persatuan Pelajar Malaysia di Jakarta, seterusnya aku merapikan sijil, mengirim surat permohonan ke ASRI, beberapa contoh lukisan hitam putih dan batik, potongan surat kabar dengan judul ” Zainon ingin jadi pensyarah seni”, cukup sebagai bukti untuk ikut testing masuk ke ASRI. 26 Oktober akupun menjabat erat tangan Kolonel Achfas, orang yang tidak kukenali kecuali oleh tanda nama di sebelah kiri.
Lelaki berambut pendek setengah ubanan, dengan pakaian seragam hijau, dengan lapisan lencana pangkat berderet di dada kanan, di bahu kiri kanan, dengan langkah perkasa datang menghampiri ku sikecil , tiba mendakapku erat. Setengah terkejut, aku tersentak, tapi cepat sedar, aku sudah diterima oleh lelaki seperti ayah itu. Itulah juga surat pesan pelukis Saptohoedoyo, ” Nanti di Jakarta, tinggal dulu di rumah Jalan Cilacap.”
Di rumah batu, besar agam potongan Belanda aku pun dikelilingi oleh enam orang putera-puteri Oom Achfas. Aku sikecil anak tunggal, baru beradik selepas berusia 8 tahun, memang gagap dikelilingi dengan keriuhan dan kelincahan muda-mudi Jakarta tahun 1960an. Hidup gaya ago-go sedang melanda seluruh bumi Asia. Dan aku yang hanya mengenali suara Beng Selamat, Anekke Gronlo dan Sandra penyanyi peranakan Indo, tidak lebih dari itu, kecuali Soekarno dan pengetahuan sejarah sastera dari Sutan Takdir Alisyahbana dan Mochtar Lubis, kini berhadapan dengan keluarga elit tentera gaya Jakarta.
Lucky, putera sulung berambut gondrong mahasiswa Universitas Indonesia (UI), mula menjalin persahabatan. Suaranya kudengar, ”Kok mahu kuliah di Jogya, kota antik itu, ayoh dong, kuliah ajee di Jakarteee! ” Wah ini dialek apa ni. Suara ber’lu’ ‘ber’gue’ memenuhi ruang meja makan.
Ya Tuhan, inilah pertama kalinya duduk semeja makan dengan jumlah hampir sepuluh orang. Dengan hidangan nasi, berkuah sayur asam, sambal lodeh, acar timun, opor ayam, dan tentunya yang aneh ketika itu makan dengan sudu tanpa garpu.Suara memang ramah dan mesra. Tambah Oom Achfas, ” Izan anak tunggal ya, jangan takut dengan keluara besar Oom dan Tante. ” Tante pun menyodor keropok. Sesekali beliau mengarah pembantu untuk aku meratah tempe dan tahu. Katanya ” Nanti di Yogya, Izan harus makan tempe !”
Bagaimakah dengan pelajar Malaysia yang pernah kuhubungi sebelum datang ke Jakarta? Telah tiga hari aku masih dihantar ke sana ke sini oleh keluarga Achfas. Sekali dibawa ke Sarinah. Tapi aku hanya jadi penonton biasa. Bakal pelajar yang berani merantau walau tanpa biasiswa. Antje puteri Oom Achfas mengenalkan aku dengan Tuti yang bertugas di butik di hadapan rumah . Di situ juga buat pertama kali aku menikmati makna butik yang nyaman persekitarannya. Dengan ruang taman berkonsep Bali, berpayung di tangga dan disambut dengan dua patung, memakai sarung bercorak hitam putih. Gamelan Bali memenuhi ruang butik. Aku belum terbayangkan bagaimanakah latar Bali sebenarnya. Tuti juga bersungguh ingin mengajar aku menari.
Di hari Sabtu malam Minggu, inilah detik ujian pertama anak rantau yang masih kolot dengan kegiatan sosial kota metropolitan Jakarta. Sewaktu sarapan, Oom Achfas berpesan, ” Nanti sore kita buat pesta dansa , meraikan ratu cantik mahasiswa UI, ingin ikut, kita raikan juga kedatanganmu. Pelajar Malaysia di AIP juga akan datang, tentu Izan dapat kawan baru”. Pesta dansa ? Ya Tuhan, sedang di K.L saja aku tida berani ke pesta apa lagi dengan acara tari menari. Si gadis kecil ini mula gementar, malu dan selebihnya aku belum berani masuk ke dunia sosial kota ini.
Petang, jam lima, sibuklah keluarga ini merapi ruang tamu. Kerusi meja di ketepikan. Meja makan sudah di letak di pinggir kolam. Ruang dansa sudah sedia. Kemudian loripun tiba memungguh alat muzik, drum dan kotak-kotak gitar. Gelisahku makin ketara sehingga sekali lagi muncul Lucky, ” Izan nanti malam, mahu dansa denganku , okey!”. Dansa?
Menjelang pukul tujuh, aku mula susup sasap ikut jalan samping menuju ke halaman dan cepat menahan beca. ” Pak, hantar ke Salemba ya! ” Salemba, Salemba, di situlah rumah yang dapat menyelamatku dari pesta dansa. Ke rumah Hamadah pelajar Malaysia. Ya aku bermalam di rumah Selemba. Minggu pagi baru aku muncul di Jalan Cilacap. Wajah Oom dan Tante terkejut, ”Kemana Izan pergi dan bermalam di mana? ”
Aku merasa malu dan bersalah juga kerana keluar rumah tidak minta izin dari mereka. Dari belakang kudengar tapak kaki melangkah dan menghampiriku. Sesusuk wajah cerita cantik menyentuh bahuku, ” O, ini dia anak baru kita sudah tiba, ayoh, minggu depan kita pulang Yogya ndhok ! “ Kartika mencium pipiku, kudengar suaranya lembut, ” Mahu jadi pelukis ya, ya memang cocok belajar di Yogya!”
Bangi, 28 September 2005,15:44
AIP = Akademi Ilmu Pelayaran, ndhok (Jawa) = anak kecil,Oom (Belanda)= Pakcik, Tante (Belanda) = Makcik, TNI= Tentera Nasional Indoensia, UI = Universitas Indonesia.
Saya gemar cara sobat menulis. Ceria, hidup dan segar. Apa lagi ya, teruskan....
ReplyDeleteHee kita juga tunggu cerita sobat di Surabaya haaa lagi hebatkan...pelajar Malaysia memang dienceri cewek Indonesia heaa..
ReplyDelete