Sunday, 21 August 2011

Kenangan di Kampus UI Salemba – Siri 4 – Dr Zalilah Manan

“Diincer seorang lelaki”
Perjalanan hidupku di Jakarta masih banyak liku likunya, yang terduga maupun tidak…..

Hanya sekadar teman…

Walau baru memulakan perkuliahan, tak sabar rasanya untuk bergelar doktor. Sebelum ini aku sebenarnya bukan bercita cita menjadi doktor. Aku menggemari bidang biokimia.

Untuk menjadi doktor perlu banyak pengorbanan, tenaga, waktu dan banyak lagi, bukan hanya semasa belajar, sewaktu sudah menjadi doktor pun lebih besar pengorbanan yang diperlukan. Memikirkannya pun sudah memenatkan, sebab itu aku tidak menyimpan cita cita menjadi doktor

Tapi setelah mendapat tawaran biasiswa untuk belajar jurusan kedokteran, ditambah sokongan dan keyakinan berbagai pihak, aku berubah persepsi dan entah bagaimana aku tiba tiba dengan sendirinya jatuh cinta dengan bidang itu.

Aku memulakan sesi perkuliahan dengan penuh semangat dan harapan. Populariti setelah menggimikkan persembahan ‘Sinaran Sheila Majid’ banyak membantu melicinkan pelbagai urusan di kampus. Ke mana mana aku pergi ramai yang menyapa dan mencuba berkomunikasi dengan dialek Melayu yang kadang kadang kedengaran lucu.

Mungkin kerana pernah terdengar panggilan ‘mak cik’ di kaca televisyen, ramai dikalangan pelajar Indonesia memanggilku dengan gelaran itu tanpa menyedari bahawa itu panggilan buat golongan ibu-ibu. Aku tidak berkecil hati malah berasa gembira kerana mereka amat ramah dan dapat menerima kehadiranku dengan mesra.

Sekitar 80 peratus siswa FKUI angkatan ku mempunyai sekurang-kurangnya seorang dalam keluarga dekatnya bertugas sebagai doktor, malah ramai diantaranya adalah anak anak kepada dosen kami. Profesi doktor sudah umpama satu warisan.

Bulan bulan pertama aku pulang pergi kuliah dengan menaiki bajaj dengan kos 1,500 rupiah atau kadang kadang naik teksi kerana Jalan Budi Kemuliaan tidak dilalui bas jurusan Salemba. Lama lama aku rasa duit poketku semakin cepat menyusut jadi aku perlu mengambil langkah penjimatan. Sudah tentulah dengan berubah kepada perkhidmatan bas yang cuma perlu bayar 100 perak. Memang sangat menjimatkan.

Aku merisik risik tentang route bas yang melewati Salemba. Ternyata ada perkhidmatan sebuah bas dua tingkat dengan nombor 59A yang boleh aku gunakan, cuma aku perlu menaiki bas itu dari satu tempat yang agak jauh. Harus menyusuri jalan Budi kemuliaan sekitar 700 meter kemudian melewati kawasan parkir luas sebuah perkantoran seterusnya melalui celah celah gedung perkantoran baru bertemu jalan yang dilalui bas tersebut.

Demi menyelamatkan duit poketku, aku usahakan berjalan kaki ke tempat menunggu bas itu setiap hari. Aku harus keluar awal pagi kerana bas itu kebiasaannya tiba pada jam 6.45 pagi. Jika ketinggalan, pasti lambat masuk ke dewan kuliah kerana bas berikutnya hanya akan ada setengah jam kemudian.

Bersendirian melalui jalan itu terutama di kawasan parkir yang dikelilingi pokok pokok besar kadang kadang membuat aku berasa bimbang. Biasanya aku akan melangkah dengan cepat, secepat yang aku mampu dan sentiasa bersiaga.

Setelah beberapa lama menggunakan laluan sama setiap hari aku mula perasan akan adanya seorang lelaki separuh baya yang selalu berada di kawasan parkir itu setiap hari aku lewat di situ. Mula mula dia hanya memerhati dari jauh, lama kelamaan hari demi hari semakin dekat dengan laluanku dan acapkali menyapaku.

“Berangkat kuliah?” Itulah soalan yang selalu di lontarkan dan aku dalam serba salah, setiap kali hanya menjawab ringkas “Iya.” Dan cepat cepat berlalu.

Aku bimbang dengan perkembangan itu tetapi aku cuba memujuk hatiku bahawa lelaki tersebut memang bertugas di kantor yang aku lewati berdasarkan pakaian seragamnya dan memang dia perlu memakir kenderaannya di situ. Bersikap peramah, itu memang kebiasaan lelaki…

Reda hatiku tidak bertahan lama. Aku bertembung dengan lelaki yang sama hampir setiap kali makan di warung Padang di hujung jalan Budi Kemuliaan. Dia selalu muncul dan kerapkali mengambil tempat berhadapan tempat dudukku, kekadang merenung dan sesekali melemparkan senyuman. Kebanyakan waktu, makanan aku sudah di bayarkan juga. Aku tidak fikir ia kebetulan kerana ia berlaku sangat kerap. Aku jadi takut dan merasa selalu diperhatikan.

Aku cuba mengelak dari memikirkan hal itu. Mau berkongsi cerita pun, tidak tahu dengan siapa. Aku cuba untuk bersahaja. Pergi kuliah melalui jalan yang sama dan buat buat tidak tahu setiap kali lelaki itu muncul di tempat parkir atau di warung Ibu Padang.

Namun kebimbangan aku memuncak semula setelah pada satu hari seusai aku makan nasi berlaukkan ayam sayur kegemaranku di warung ibu Padang, ibu itu menarik tanganku mengajak bicara di samping warung.

“Ila, ibu mau ngasi tau sesuatu.” Katanya dalam nada separuh berbisik. Wajah manis Ibu yang selalu tersenyum nampak serius. Aku berdebar debar menunggu kata kata selanjutnya. Tidak biasanya ibu berbicara serius begitu denganku. Selalunya hanya sembang sembang kosong tentang hal seharian. “Ada apa bu?”

“Bapak itu, yang selalu ada waktu Ila makan di sini, senang sama Ila. Ibu sudah kasi tau yang Ila masih kuliah dan udah punya pacar tapi dia masih tetap mau mencuba dekat sama Ila. Ibu khawatir takut jadi apa apa yang tidak baik. Ila hati hati ya! Kalau ke mana mana berteman ya!”

Kata kata ibu itu membuat aku khawatir dan takut. Memang benar selama ini semua itu bukan kebetulan tapi aku memang diekori. Mengapa ibu memberi peringatan begitu? Aku perlu mengambil langkah berjaga jaga seperti pesan ibu itu. Aku akhirnya mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakan laluan berjalan kaki itu sekaligus tidak lagi menggunakan perkhidmatan bas untuk ke kampus. Namun impak lain yang terpaksa ku tanggung adalah risiko cepat kekeringan duit poket. Untuk mengimbangi itu, kegemaran ber’shopping’ terpaksa dibatasi.

Aku juga jarang jarang keluar bersendirian seperti dulu. Sebelum peristiwa itu aku selalu pergi bersendirian ke pasaraya, kompleks Sarinah ataupun ke Jalan Sabang menghabiskan waktu mendengar muzik di ‘Duta Suara’ (toko jualan kaset).Kadang kadang, pada waktu petang aku menghabiskan waktu duduk duduk melihat gelagat pengunjung dan pesakit di Rumah sakit Budi Kemuliaan yang terletak tidak jauh dari asrama Budi, kadang kadang berbual kosong dengan mereka atau kadang kadang mencari ketenangan dengan melihat bayi bayi yang baru dilahirkan melalui jendela kaca nurseri hospital tersebut. Aku kehilangan kebebasan bersendirian itu….namun aku bimbang akan keselamatanku. Sungguh membosankan….

Tentang teman untuk ke mana mana seperti yang disarankan ibu itu, aku perlu sedikit masa untuk meneliti dan menilai daftar panjang yang aku simpan…. Memang agak susah kerana tiada siapa yang hanya mau meneman tanpa keistimewaan…

21 Ogos 2011

No comments:

Post a Comment