“Dewi lebih disayangi Allah”
Masuk tahun empat pengajian kami sudah mula diberi pendedahan klinikal. Memeriksa pesakit di wad, di klinik harian, klinik gawat darurat dan tugas jaga malam mengikut giliran di departmen masing masing.
Terdapat tiga tempat utama latihan klinikal iaitu di RS Cipto Mangunkusumo (RSCM),
RS Tangerang dan RS Persahabatan, Rawamangun.
Kami biasanya bertugas dalam kumpulan 4 atau 5 orang bagi satu-satu bidang medis. Terdapat bidang Kanak-kanak atau pediatrik, Penyakit Dalam, Perbidanan dan Sakit Puan, Bedah, Neurologi, ENT, Kulit dan Kelamin, Mata, Anestesi dan juga Forensik.
Menjalani latihan di RSCM tidak terlalu banyak cabaran walau pun ia merupakan rumah sakit rujukan tertinggi kerana di situlah berkumpulnya semua warga medik dari berbagai strata. Bermula dari mahasiswa, dokter baru lulus, yang mengikuti program spesialis, pakar-pakar, konsultan dan professor-professor. Tanggungjawab besar tidak dipikul mahasiswa.
Di RS Tanggerang, keadaan sedikit berbeza. Penanggungjawab adalah Doktor Residen, tetapi kebanyakan waktu RS diselia oleh mahasiswa kedokteran yang sekali sekala berkonsultasi melalui telefon dengan Doktor Residen yang biasanya hadir cuma pada waktu pejabat.
RS Tangerang adalah sebuah RS daerah yang terletak agak jauh dari Jakarta. Anggota medis sokongan, peralatan, kemudahan makmal dan ubat-ubatan agak terhad berbanding rumah sakit yang terletak di kota Jakarta. Namun ia merupakan medan yang sangat banyak memberi peluang praktikal kepada mahasiswa asal sahaja mahasiswa berani mencuba dan menyahut cabaran. Di sana asrama penginapan dan makanan percuma disediakan untuk mahasiswa.
Aku kebagian menjalani latihan klinikal di wad pediatric RS Tangerang pada musim wabak denggi sedang memuncak. Setiap hari ada saja kes-kes yang memerlukan kemasukan ke wad. Tidak pernah ada katil yang kosong. Uniknya di sini, bukan hanya anak yang sakit tinggal di wad tetapi seluruh keluarga akan berada di situ, ibu, ayah, kakak, abang, adik. Kadang-kadang sewaktu rondaan wad, kami jadi bingung menentukan yang mana satu pesakit kerana semuanya berkumpul dan berkongsi katil pesakit. Tradisinya sudah seperti itu.
Aku masih belajar membedakan empati dan simpati. Garis pemisahnya masih kurang jelas bagiku terutama apabila menyangkut pesakit kanak-kanak. Bagi ku kanak-kanak seharusnya bermain riang dan penuh energi mengeksplorasi sesuatu. Melihat renungan polos dan lesu yang terbaring sakit membuatkan aku merasa sayu. Apalagi bayi-bayi kecil naïf yang seratus peratus menyerahkan diri mengharap perlindungan.
Malam itu aku bertugas jaga malam @ on call. Wad sedang sesak kerana selain susunan katil biasa, katil tambahan dibawa masuk bagi menampung bilangan pesakit yang meningkat mendadak. Nurseri bayi juga penuh. Aku memulakan rondaan malam di sektor kritikal di mana pesakit gawat di tempatkan. Dua orang kanak-kanak pesakit denggi berdarah sedang dalam proses transfusi. Seorang lagi sedang menunggu bekalan darah ‘platelet’ (untuk meningkatkan pembekuan darah) yang sudah dipesan.
Dewi baru sahaja dimasukkan ke wad petang tadi setelah lima hari demam panas, muntah-muntah dan hidungnya berdarah. Aku yang meyakinkan ibunya untuk masuk wad sewaktu Dewi datang untuk rawatan di klinik harian. Aku mendiagnosa Dewi sebagai diserang Demam Denggi Berdarah. Doktor Residen menyokong rencanaku untuk memberi transfusi.
Dewi berumur sepuluh tahun, berkulit putih, bermata bundar dan mempunyai sepasang bulu mata panjang dan lentik. Walau tampak sangat lesu, dia masih boleh tersenyum sewaktu aku memuji keberaniannya diambil darah sambil dipasangkan jarum infuse. Aku memberitahu Dewi bahawa dia akan cepat sembuh apabila nanti diberi transfusi darah platelet.
Aku memeriksa Kurnia, pesakit paling lama tinggal di wad itu. Berumur enam tahun, berkepala botak akibat kesan sampingan ubat. Kurnia adalah pesakit leukemia tahap lanjut di mana sel kanser juga telah menginfiltrasi sebelah matanya. Mata kirinya membengkak dan terjojol keluar. Dia telah berkali-kali berulang alik ke RSCM untuk berbagai prosedur dan rawatan tetapi kurang membuahkan hasil. Untuk menjalani transplantasi sum-sum tulang, tiada penderma sesuai dan tidak mampu, kata ibunya. Malam itu Kurnia berubah pendiam. Dia juga sudah dua hari tidak mahu makan.
Setelah memeriksa semua pesakit dan menuliskan rekod perubatan masing-masing, aku berkira-kira untuk kembali ke asrama. Aku baru sedar bahawa aku belum mengambil makan malam. Sewaktu melewati katil Kurnia, dia sedang berbaring tetapi sempat melambai tangan kepadaku. Sementara Dewi kelihatan sudah terlelap dengan cairan drip yang menetes agak laju. Setibanya di kaunter perawat, telefon kebetulan berdering. Aku menerima perkabaran kurang baik di mana bekalan darah dan platelet sudah kehabisan. Aku menjeling ke katil Dewi, dia masih tidur tenang seperti tadi. Aku berdoa dalam hati agar tidak ada perkara buruk berlaku padanya.
Di pintu masuk ke wad aku bertembung dengan partner ‘jaga malam’ ku Rahmini.
“Semua kelihatan stabil, cuma bekalan darah untuk Dewi yang baru masuk tadi sudah kehabisan.” Aku memberitahu dengan rasa kesal.
“Terus gimana, dong? Pleteletnya Dewi kan rendah banget.”
Memang sebenarnya kes seperti Dewi perlu dimasukkan ke ICU tetapi keadaan tidak mengizinkan. Tidak ada unit ICU di sini, untuk dirujuk ke rumah sakit besarpun, terlalu banyak prosedur dan ketidakmampuan keluarga pesakit menambah lagi halangan.
Aku baru separuh perjalanan menuju asrama apabila aku mendengar Rahmini berteriak memanggil namaku. Aku berlari kembali ke wad. Sudah ramai yang mengelilingi katil Dewi walau sudah diletakkan skrin penghadang. Terdapat limpahan darah merah di lantai, sangat banyak. Rahminisedang memberi bantuan CPR. Kami berganti-ganti berusaha tetapi takdirnya, Dewi tetap pergi tanpa kami sempat berbuat yang maksima.
Aku tidak dapat menahan kesedihan. Aku yang beria-ia benar menjanjikan transfusi darah buat Dewi ternyata tidak mampu ku tunaikan. Aku serba salah apabila memandang wajah duka ibunya.
“Harus tulis laporan kematian, dok!” seorang perawat memecah kesunyian.
“Aduh! Bagaimana caranya?” kami berpandang pandangan.
Tetapi belum sempat kami mengambil kesepakatan tiba-tiba terdengar jeritan dari sisi lain wad.
“Dok! Bantuin!”
Kami meluru ke katil Kurnia, peristiwa muntah darah diambil alih Kurnia. Darah segar membuak buak keluar dari mulutnya. Nafasnya mula melaju, wajahnya yang sedia pucat tampak membiru. Dalam kekalutan aku dan Rahmini berusaha memberikan apa sahaja berbekalkan sedikit ilmu yang kami ada, saling meyakinkan antara satu sama lain. Kadang-kadang mencuri-curi membuka buku nota kecil yang kami namakan ‘kitab’. Syukur, walaupun tindakan kami agak tidak keruan, Kurnia kembali tenang dan berhenti muntah darah.
Selanjutnya malam berlalu dengan agak tenang, namun hatiku masih belum mahu berkompromi. Walau aku baru sahaja mengenali Dewi, aku berasa sangat sedih kerana Dewi pergi membawa janjiku yang tak tertunai.
Dr Zalilah Abd Manan, 27 Ogos 2011
No comments:
Post a Comment