Monday, 8 August 2011

Rumah Daun Affandi – Siti Zainon Ismail

1970

DI PINGGIR Jalan Solo menuju Candi Prambanan, berhadapan IAIN, tersergam bangunan gua sebagai galeri dan rumah tinggi beratap potongan daun. Ya potongan atapnya selain menggunakan kulit kayu, potongan juga seperti sehelai daun, telungkup. Kononya ketika beliau di India sehelai daun jauh di depannya sehingga beliau tertarik dengan contoh daun yang dianggap berkah.

Rumah kayu bertiang batu kukuh menyendeng. Beberapa tiang kayu sebagai penyokong berukiran karya Cokot dari Bali, memang terasa unik reka bentuknya. Di rumah itulah aku dikenalkan dengan Affandi dan isterinya, Maryati. Aku pun memanggil Affandi sebagai Akik dan Ninik meniru apa diucapkan oleh Helvy, Silla, Lullu, Bambang, anak Kartika dengan Saptohoedoyo.

Akik masih aktif melukis. Kadang berminggu di Bali melukis sapi, babi, kereta lembu dan berjemur di Pantai Sanur. Tetapi bila Akik di rumah daunnya, aku pun tidak mahu melepas peluang 'berguru' dengannya. Namun beliau adalah pelukis yang aneh, tidak berbakat sebagai guru, kerana jarang sekali mahu bercakap kalau melukis. Kanvas sudah direntang oleh pembantunya. Cat-cat sudah beratur di sisinya.

Sesi melukis begitu cepat dan penuh tenaga. Terdengar wap nafasnya seakan menggelegak, tangan terhulur menyambut cat dari tangan pembantu. Tanpa melihat warna cat, sebaliknya dengan sapuan bebas dengan telapak tangan, spontan, dan bagai sudah dimaklumi pembantunya. Warna mengalir, meloncat, meletup dari bibir tiub. Itulah gaya ekspresionisme pelukis dunia yang justeru membentuk kefasihan aliran ini ketika beliau mula bertapak di Tanah Inggeris dan Amerika. Tambah Ninik, " Kalau Akik sudah ngeluyur dan kesurupan, lukisannya segera akan selesai begitu, dan sebentar Akik sudah lupa diri dan telentang dan tidur begitu saja.

"Kesurupan?", Aneh. Hatiku berdetik. Tetapi begitulah. Petang itu, sepasang ayam jantan sedang bertarung, berkacakaran, dan bulu-bulu berterbangan. Itulah lukisan "Sabung Ayam".

Di lain hari, ku habisi penetilitan di galeri guanya. Sebuah lukisan dengan lataran menara Effiel di Paris, Gerobak Jawa, masih belum memberi jawaban untuk ku jelaskan dalam hatiku sendiri. Aku baru tiga bulan di Yogya, sehingga bila masuk ke kampus ASRI, lukisanku tiba-tiba bergaya goresan liar seperti Affandi. Fajar Sidik menggelutuk menuduhku, "Ini ciplak melulu, maaf, lukisan anda gagal ".

Norma Tarigan berbisik, " Tadi pesan Pak Fajar, Jangan selalu nonton Affandi melukis, nanti kita kesurupan juga lho" . Untuk lulusan saringan lukisan berwarna, aku mula menginsafi, harus mencari gaya sendiri. Tetapi kenapa Kartika terus meniru gaya Affandi? " Dia anak pelukis itu, bolehlah ".

Anehnya, Ninik yang juga melukis lebih sedar, dengan gaya sulaman, menolak penggunaan cat sebaliknya, melukis dengan jarum dan benang. Sejak itu aku jarang menonton Affandi melukis.

Rumah Daun pula tetap memberi perlindungan kalau aku bermalam di galeri peukis itu. Di situ juga aku menatap jemari ekspresionis pelukis tersohor Indonesia, mendiami rumah berbentuk daun, dan menerobos ke galeri gua ajaibnya dunia seni lukis Affandi!

Bangi, 30 September 2005, 15:19

3 comments:

  1. Apakah "penetilitan" atau "penilitian". Mohon penjelasan Prof.

    ReplyDelete
  2. Penelitian, asal kata teliti. Di Malaysia menggunakan perkataan Penyelidikan...kita akan selaraskan dengan tulisan kwan-kawan lain. Insyaallah

    ReplyDelete
  3. Anda paling bertuah! Affandi seorang DEWA di antara pelukis dunia.

    ReplyDelete