“Pengalaman MAPERMA”
Salah satu acara yang mesti dilalui oleh setiap mahasiswa baru ialah MAPERMA, singkatan bagi Masa Perkenalan Mahasiswa. Waktu itulah para senior mengambil peluang mendekati “cewek” cun. Ada juga yang mengambil kesempatan “balas dendam” kerana dulu senior buat dia macam tu, sekarang dia nak buat junior pula.
Jika aku bandingkan “ragging” di ITM tahun 1968 dengan MAPERMA di ITB tahun 1970 sangat jauh berbeza. Di ITM masa itu “ragging” dibuat selepas tengah malam di asrama, mungkin dibuat secara swasta kot. Pihak penguasa ITM tidak tahu acara begini tetapi nak buat laporan rasa serba salah pula, kadang-kadang suka juga sebab pengalaman. Apabila terkenangkan peristiwa itu, aku senyum-senyum sendirian. Lucu dan menghiburkan. Rasa geram pun ada. Ruangan ini tak sesuai untuk menceritakan perkara itu. Nanti kalau jumpa secara pribadi boleh aku bisik-bisikkan.
MAPERMA boleh dianggap sebagai acara perkenalan mahasiswa kepada institusi barunya. Para senior berkenalan dengan para junior dan acara begini patut diadakan. Beberapa foto kenangan masih aku simpan hingga kini. Terkebil-kebil kami apabila diarah berbaris, merangkak, meniarap dan berbagai aksi lain atas perintah senior. Rasa geram pun ada. Rasa geli pun ada. Dapat berkenalan dengan gadis cun pun ada. Macam-macam ada pokoknya.
Sifatku yang dulunya agak pemalu semakin jadi pemberani. Teman-teman seangkatan semuanya ramah-ramah. Senasib katakan. Aku masih ingat nama-nama seperti Christine, Sentoso, Hengki, dan Magdalena anak-anak Indonesia yang turut dipelonco atau dimapermakan. Turut sama teman-temanku dari Malaysia seperti Aziz, Rahim, Zhari, Jamil, Azizan, Zakaria, Ishak, dan Mustafa. Masing-masing sedih kerana disuruh buat macam-macam. Atas arahan senior kami terpaksa pijit bahu, semir (gosok) sepatu, menanyi, berkawat, bercerita, berlakun dan lain-lain. Siapa yang egonya tinggi masa itulah rasa terhina sekali. Tapi tiada apa yang boleh dilakukan. Ikut sajalah.
Mungkin melalui cara ini tahap ego boleh dikurangkan agar sama dengan rakyat biasa.
Pengalaman ini membuat kami insaf, yang kita masih berada dalam tahap perjuangan mematangkan diri. Rasa bangga kerana di ITB inilah Bung Karno, Presiden Pertama Indonesia yang pintar berpidato itu pernah kuliah. Walau pun ITB masih mempertahankan bangunan-bangunan warisan Belanda, tapi tahap keilmuannya tinggi sehingga diiktiraf seluruh dunia. Dosen-dosennya berwibawa dengan ilmu mereka.
Pemilihan untuk masuk ITB sangat sengit, hanya pelajar pintar saja yang dapat peluang memasuki ITB melalui ujian saringan yang ketat. Kami dapat masuk ITB melalui perjanjian G2G (Government to Government) dan juga berdasarkan peperiksaan yang setaraf di Malaysia. Kalau terpaksa ikut ujian saringan, berpeluh juga agaknya.
Lucu sekali ketika kami disuruh berbaris dengan pakaian kebangsaan masing-masing. Untung juga aku bawa sepasang baju Melayu ketika datang, kalau tidak nak cari di mana pun tak tahu. Masyarakat awam berbaris melihat kami berkawat. Tersipu-sipu dibuatnya ketika ada yang menyebut, “Ohh, dari Malaysia..ee…” dalam slanga mereka yang huruf “a”nya agak melampau sikit… Buat dek ajalah ketika itu. Mereka kenal dengan baju Melayu bersongkok itu dari Malaysia dan ketika itu panas konfrantasi mungkin juga masih ada.
Rambut kami digundulkan. Kalau ada yang sayangkan rambutnya, masa itu juga ada tim penggudulan rambut dah “standby”, siap untuk tugas-tugas memotong rambut biar pendek betul macam tentera.
Kami disuruh berhimpun di Aula Barat ITB untuk sesi penerangan tentang ITB. Pihak penganjur sudah mengatur sesi penerangan dengan rapi. Tiada pertunjukan multimedia seperti sekarang ini. Hanya penerangan secara lisan saja diberikan. Diterangkan sejarah penubuhan ITB dan juga diselitkan sejarah ringkas Indonesia.
Juga diterangkan kedudukan departemen atau jurusan di ITB agar kami dapat ke sana ke mari dengan mudah apabila tempat-tempat itu diketahui. Pada masa itu hanya beberapa perkataan saja yang faham, maklumlah baru tiba dari Malaysia dan masih belajar Bahasa Indonesia, jadi terpaksalah selepas acara MAPERMA selesai kami mencari kawan-kawan Indonesia untuk mendapat penjelasan lanjut.
Itulah sekelumit kisah tentang minggu perkenalan mahasiswa baru atau MAPERMA yang aku lalui bersama teman-teman di ITB.
Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Ogos 2011.
No comments:
Post a Comment