Nukilan ini sumbangan Samsul Kamil Osman, Baling, Kedah.
Hati ini sangat berdetik sekali untuk menulis, tapi aku tidak pasti harus bagaimana untuk memulakannya. Tiba-tiba fikiran ini jauh melayang menerjah arus zaman yang telah berlalu dan aku fikir itulah kenangan terindah yang pernah aku lalui dalam sejarah perjalanan hidup ini.
Benar, aku benar-benar yakin, perjalanan sebagai mahasiswa sebuah Universiti yang tersohor di tanah seberang merupakan satu-satunya kenangan yang terindah yang pernah aku miliki.
Universitas Indonesia, sebuah nama yang cukup besar bagi anak-anak bangsa Indonesia. Mendapat kesempatan menjadi mahasiswa UI, dan UI adalah nama keramat yang menjadi kebanggan bagi setiap mahasiswanya.
Benar, mendapat kesempatan menimba ilmu di UI sudah merupakan satu kebanggaan yang sangat besar bagi setiap pelajar mahupun orang tua mereka di Indonesia, sama juga sepertinya diterima ke ITB di Bandung atau juga ke UGM di Jogjakarta. Sesungguhnya sangat sukar untuk digambarkan betapa bangganya setiap mahasiswa dan ibu bapa yang diterima di UI.
Aku juga sebenarnya antara mahasiswa yang sangat beruntung kerana berjaya ‘lolos’ masuk ke UI setelah berhasil mendapat nilai terbaik dalam Ujian Masuk Perguruan Tinggi Negeri (UNPTN) yang diadakan di Kedubes Indonesia di Kuala Lumpur.
Sesungguhnya sesuatu yang tidak pernah aku gambarkan sebelumnya, aku terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah Universiti yang sangat tersohor di Indonesia.
Apapun aku sangat-sangat bersyukur, kerana hasrat ku untuk menjejakkan kaki ke menara gading akhir tercapai jua. Aku tambah beruntung lagi apabila ditawarkan melanjutkan pelajaran ke seberang dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui “Program G to G” iaitu program pertukaran palajar di antara kerajaan Indonesia dan kerajaan Malaysia.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu, akhirnya impian aku untuk menjejakkan kaki ke Tanah Seberang akhirnya tecapai jua. Suasana menjadi sangat meriah dan penuh dengan kemegahan apabila kaum keluarga dan sanak saudara beramai-ramai menghantar anak-anak mereka ke Subang Airport, destinasi pertama sebelum kami menaiki pesawat MAS ke Jakarta. Dengan penuh segak, berpakaian kemas bertali leher, siap menyarung ‘baju kot’, tampak sangat bergaya sekali kami pada saat itu.
Memang sangat sesuai kerana kami telah diiktiraf sebagai “duta kecil” yang akan mewakili negara ke negara Seberang, begitulah kata-kata yang diucapkan oleh pegawai dari JPA mewakili Kerajaan Malaysia yang turut menghantar kami ketika itu.
Pengalaman yang manis itu menjadi sangat luar biasa pada aku, kerana sepanjang pengalaman hidup ku, itulah pertama kalinya aku menjejakkan kaki ke dada pesawat terbang. Sesuatu yang ku rasakan hadir seperti dalam mimpi, sesuatu yang tak pernah aku rasakan untuk mengecapinya sebelum-sebelum ini.
Degup jantung semakin lama semakin kencang, apabila pesawat mula bergerak ke landasan untuk meluncur terbang. Hati ini ketika bercampur baur rasa gembira dan rasa takut, sama banyaknya. Gembira kerana itulah pengalaman pertama terbang ke angkasa. Takut kerana sudah banyak membaca cerita mengenai kemalangan pesawat. Dalam hati tak henti-henti berdoa semoga perjalanan ku selamat. Niat suciku untuk menimba ilmu akan dapat terlaksana.
Jakarta oh Jakarta. Aku datang dengan semangat yang membara, dengan impian yang menggunung. Akan ku terjah segala badai dan gelora, akan ku gapai segala hasrat dan impian. Mampukah aku mengharungi segala liku-liku ini, tapi aku tetap bangga kerana aku telah menjejakkan kaki ku ke sini.
Ternyata Jakarta tidak seperti yang ku gambarkan sebelumnya, terlalu luar biasa. Ragam manusia yang beraneka rupa. Kali pertama menjejakkan kaki ke kota Jakarta sudah cukup membuat hati gembira menjadi gusar, rasa berani menjadi kecut, suara garang menjadi lembut, lihat manusia menjadi takut.
Apakah ini cabaran yang harus aku lalui, mampukah aku melangkah terus atau berhenti. Menyerah diri dan mohon kembali. Mendengarkan bisikan senior ku yang menyambut di Bandara Sukarno-Hatta, mendengarkan alunan lagu “siapa suruh datang Jakarta”. Hati ku menjadi tambah keliru. Apakah jalan yang ku pilih ini tepat, tapi aku ingin sekali menjadi ‘Mahasiswa Universitas Indonesia”. Aku harus bangga menjadi anak ‘UI’. Aku harus bangga karena berjaya menyarung ‘Jaket Kuning’, jaket keramat. Lambang perjuangan bangsa Indonesia.
Samsul Kamil b. Osman
Teratak Shamida, No 5,
Taman Desa Cempaka,
Pekan Pulai,
09100 Baling,
Kedah
5 Ogos 2011,
No comments:
Post a Comment