Tuesday, 23 August 2011

Kenangan Semasa Di UI Salemba – Siri Keenam - Dr Zalilah Manan

“Diserang demam kepialu (typhoid fever)”


“Kita naik bajaj aje ya, waktu begini mesti macet teruk.” kata Mamat. Kebetulan sudah lewat petang dan malam minggu warga Jakarta sedang bermula. Aku setuju aje, tidak mahu dibilang ‘banyak songeh’.

“You sakit macamana?” Tanya Mamat memulakan perbualan sewaktu di dalam bajaj.

“Entahlah, demam panas, sejuk menggigil, muntah muntah dan cirit birit berdarah.”

“Hah! Berdarah?, itu dah serius tu, kenapa tak bagitau?”

“Tak de lah banyak sangat berdarahnya, lagipun nak bagitahu siapa?”
Mamat terdiam. Mungkin setuju dengan persoalanku. Pada siapa aku nak mengadu. Aku juga mendiamkan diri, tidak pasti mau membicarakan apa lagi. Tambahan pula aku tidak begitu biasa dengan Mamat. Dia rapat dengan beberapa senior lain bukan pelajar Jakarta tapi dari Bandung, yang juga tidak berapa ku kenal. Dia tidak begitu berminat dengan keberadaan pelajar baru dan hampir tidak kelihatan semasa majlis orientasi.

Persepsi pertamaku tentang Mamat. Dia bukan tipe ku. Pergaulan sosialnya agak berbeza, karakter dan aktivitinya berbeza, dia perokok – rokok kretek lagi. Aku, lebih lebih lagi sebagai mahasiswa kedokteran punya persepsi bahawa perokok adalah orang orang yang tidak tahu menghargai diri. Tidak menghargai kesihatan diri sendiri, tidak menghargai keselesaan orang lain di sekitar dan tidak menghargai kepentingan kewangan.

Seandainya sahaja aku dikehendaki memilih ‘teman mesra’, Mamat adalah antara yang pertama aku keluarkan dari senarai pilihan. Tapi akibat keadaan yang mendesak, aku terima saja tawaran bantuan Mamat. Bagi Mamat pula entah apa firasat yang mendorongnya bermurah hati untuk membantuku petang ini.

Kami tiba di Rumah Sakit yang dimaksudkan setelah perjalanan yang agak panjang, tidak ramai yang mendapatkan rawatan petang itu, jadi aku tidak perlu menunggu lama. Selain memberitahu kemungkinan jangkitan kuman dalam usus, doktor yang memeriksaku tidak dapat mengesahkan secara tepat masalahku. Aku diberi ubat demam, muntah, cirit birit dan antibiotik. Aku juga diingatkan supaya menjalani ujian makmal sekiranya tiada perubahan positif dalam masa dua hari lagi.

Mengetahui aku sudah tidak makan beberapa hari, Mamat mencadangkan kami ke Cikini di mana menurutnya terdapat sebuah warung yang menjual bubur ayam yang sangat popular dan enak. Hampir sama enak dengan bubur ayam yang terdapat di Hotel Indonesia (HI).

Aku bersetuju kerana kebetulan perutku memang sangat lapar kerana beberapa hari ini aku hanya minum susu sedikit sedikit. Namun setelah hanya beberapa sudu sahaja aku makan, tekakku kembali loya dan perutku mula memulas kembali. Aku mengajak Mamat segera pulang kerana badanku sudah mula menggigil semula. Di dalam perjalanan Mamat berkali kali mengingatkan agar aku tidak segan untuk meminta bantuannya jika ada apa apa masalah.

Dua hari berlalu, keadaanku masih sama, ubat yang diberi telah dimakan mengikut aturan namun langsung tiada perkembangan positif, aku masih terus diserang episode kedinginan yang amat sangat, menggigil diikuti suhu panas yang ekstrem kemudian berpeluh peluh. Aku jadi sangat letih dan tertekan. Bergantung hanya pada minuman tanpa makan membuat aku langsung tidak bermaya. Berat badanku susut mendadak, dari 43kg ke 38kg dalam masa beberapa hari sahaja. Wajahku bertambah pucat dan mataku tampak kekuningan.

Dengan pengetahuan kedokteran yang terhad aku mengira ngira kemungkinan penyakitku, malaria kah?, demam denggi kah?, hepatitis kah? Atau hanya keracunan makanan yang berat sahaja? Aku hanya bisa terbaring di dalam bilik asrama. Kamar yang aku huni adalah kamar yang paling besar di asrama Budi, terdapat empat buah katil bertingkat dan sebuah katil single di dalamnya. Penghuni tetap hanya aku seorang sementara yang lain hanya datang sekali sekala terutama hujung minggu.

Aku terdengar ketukan di pintu dan namaku dipanggil. Aku menggagahkan diri untuk bangun walau kepala rasa berat sekali. Mamat berdiri di depan pintu sewaktu pintu aku buka.

“Mari saya hantar ke Rumah Sakit, saya tengok you semakin teruk.” Kata abang Mamat.
Aku mengikut sahaja kata kata Mamat tanpa banyak soal kerana aku memang sungguh tidak larat lagi bahkan untuk berfikir. Aku bersiap ala kadar dan terus mengikut Mamat dari belakang. Aku dibawa ke Rumah Sakit Abdi Waluyo yang terletak berhadapan dengan Wisma Malaysia, Jln HOS Cokroaminoto. Segalanya diuruskan oleh Mamat. Aku akhirnya di masukkan ke wad, dipasangkan infuse, diambil x-ray dan disuntik segala macam ubat. Bertabung tabung darahku di ambil untuk pemeriksaan makmal. Aku hanya bisa pasrah.

Dua minggu aku dirawat di wad, namun aku tidak sempat merasa bosan. Hampir tiap hari ada saja rakan rakan kuliah datang melawat dan membawakan nota nota kuliah untukku, catatan catatan dan kertas kertas perbincangan semuanya difotokopi. Sungguh mereka prihatin. Rakan rakan pelajar Malaysia juga ramai yang datang melawat dan memberi semangat khususnya Mamat yang begitu sabar menemaniku setiap hari. Perlahan lahan aku berangsur pulih. Sedikit demi sedikit aku juga tambah mengenali Mamat.

Keputusan kultur darah menunjukkan aku diserang demam kepialu (typhoid fever) yang juga telah mengganggu fungsi hati ku serta hampir merosakkan ususku seandainya sedikit lagi aku terlambat mendapat rawatan.

Penyakit tifoid memang endemik di Indonesia. Penyebabnya adalah kuman dengan nama yang agak indah ‘salmonella’. Tetapi penyakitnya sungguh tidak indah sekali dan sangat membuatku menderita. Kualiti air, kebersihan makanan, lalat dan ‘vector control’ yang agak kurang memuaskan adalah antara puncanya.

Dr Zalilah Manan, 23 Ogos 2011

No comments:

Post a Comment