Wednesday, 17 August 2011

Depok Dalam Lipatan Sejarah – Siri Ke-12 – Samsul Kamil Osman

“Bunga-Bunga Cinta Berputik Kembali”


Setelah hampir dua bulan berada di tanah air, berlibur panjang di kampong halaman, maka sampailah saat untuk aku balik lagi ke Depok. Esok aku sudah harus ‘terbang’ balik ke Jakarta, tepatnya balik semula ke kampus untuk meneruskan studiku yang belum selesai.

Seperti biasa, sebelum kembali meninggalkan kampong halaman, ibu akan membekalkan aku dengan pelbagai pesan dan nasihat. Pesan supaya anaknya tidak lupa asal tujuan, tidak lupa diri bila di perantauan. Pesan yang sangat terkesan, buat anak yang sangat diharapkan membela nasib keluarga di masa hadapan, peluang yang diberikan jangan sekali-kali dipersia-siakan.

‘Amen”, namuku disebut memulakan pesan, itu lah nama panggilanku yang ibu sering ibu sebut.

“Kamu kena ingat, kita bukan orang senang..,pergi belajar itu pelajaran jangan sampai diabaikan...., di tempat orang jaga batas pergaulan.., amal ibadat jangan sampai tak dikerjakan...selalu ingatkan Allah jangan sampai dilupakan...,emak dan abah akan selalu mendoakan..., pulang nanti kejayaan yang kami nantikan,” itulah antara bait-bait pesan yang ibu titipkan, kata keramat yang tak pernah sekali-kali akan aku lupakan.

Tiba-tiba aku teringat Ida@Nurul Azida Zaini. Ida yang suatu masa dulu pernah aku impikan untuk dijadikan ‘buah hati’. Kawan baik yang selalu setia menjadi teman belajar sejak kami di tingkatan satu lagi. Aku masih ingat, perkenalan kami bermula sejak Ida sering datang ke rumah datuknya yang kebetulan berdekatan dengan rumahku di kampong. Sejak itu kami berkawan baik.


Mengingatkan kisah persahabatan kami, memang banyak peristiwa yang menarik untuk dikenang yang pernah kami lalui bersama. Ida seorang pelajar yang pintar dan cergas di sekolah. Dia juga mempunyai kakak-kakak yang juga sangat pintar dan seingatku hampir kesemua kakak Ida berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara.

Aku pada awalnya juga sangat dekat dengan Ida kerana dia banyak memberi tunjuk ajar dan mendorong untuk berjaya dalam pelajaran. Berkat persahabatan dan saling bantu-membantu dalam pelajaran, kami telah mencatat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masing-masing.

Tapi Ida lebih bernasib baik dari aku. Ida telah berjaya mendapat tawaran biasiswa JPA untuk mengikuti program ‘A’ Level dan seterusnya nanti akan dihantar menyambungkan pengajian ke United Kingdom. Aku sebaliknya meneruskan pelajaran ke tingkatan enam di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar, Perak. Sejak itu hubungan kami menjadi dingin dan biasa-biasa saja.

Aku bernasib baik kerana kemudiannya ditawarkan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama di Indonesia, atau tepatnya ke Universitas Indonesia. Manakala Ida pula meneruskan pengajian tahun pertamanya di Northern Consortium of United Kingdom, yang ketika itu berpusat di Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam, Selangor.

Kami sekali lagi membawa haluan masing-masing dan menumpukan perhatian kepada pelajaran. Tetapi bukan satu yang mustahil, sebenarnya jauh di lubuk hati kami masih tersimpan perasaan yang terpendam. Terpendam sendiri-sendiri kerana malu untuk diluahkan. Mungkin saja saat itu masa tidak mengizinkan, maklum saja kami masih terlalu mentah untuk bercinta. Masih banyak perkara yang lebih penting lainnya yang harus kami fikirkan. Maka perasaan ini kami pendamkan begitu saja.

Kesempatan pulang berlibur kali ini memberi peluang untuk aku bertemu semula dengan Ida. Kebetulan Ida juga lagi sedang bercuti dan mempersiapkan diri sebelum berangkat menyambung pengajian tahun kedua di John Moores University, Liverpool dalam bidang ‘Computer Studies’.

Kesempatan dalam pertemuan semula itu membuatkan seperti masih ada bunga-bunga cinta yang masih berputik di antara kami. Cuma sepertinya, masing-masing masih tetap saja malu-malu untuk meluahkannya.

Petang itu aku sempat mengujungi Ida di rumahnya. Aku ingin ‘pamit’ kerana esok sudah harus berangkat balik ke Jakarta. Aku juga sebenarnya ingin mengucapkan ‘selamat berangkat’ ke Liverpool buat Ida. Dia akan berangkat meneruskan pengajiannya ke Liverpool minggu hadapan, seminggu selepas aku kembali ke Jakarta.

Dalam pertemuan itu, kami hanya saling menitipkan pesan dan menyampaikan nasihat sebagai tanda ingatan. Kami juga sama-sama melafaskan ikrar akan belajar bersungguh-sungguh untuk menjulang kejayaan. Itu memang sudah sejak dulu lagi menjadi impian kami bersama. Impian sejak kami di bangku sekolah lagi.

Ketika aku mohon diri untuk pulang, Ida sempat menitipkan pesan supaya dia aku tak lupakan. Apapun terjadi persahabatan harus diteruskan. Tetapi masing-masing masih tetap tidak berani menyatakan perasaan....perasaan sayang yang terpendam..., walau di wajah dapat membayangkan..., ada rasa cinta yang tak terdaya diucapkan.

Pagi itu hari nampak terang dan ceria. Ceria mungkin kerana semangat yang aku bawa. Semangat untuk kembali ke kampus tercinta dengan jiwa yang bahagia. Walaupun sebelumnya aku pulang ke tanah air dengan rasa sedikit kecewa. Kecewa ketika itu kerana tak dapat bersua dengan Riries yang sebelumnya sangat ku puja.

Tapi hari ini aku kembali dengan semangat yang baru. Kalau saja Riries menolak cinta, aku sudah ada cinta yang baru. Walaupun sebenarnya masih ada rasa ragu-ragu, tapi setidak-tidaknya aku tidak rasa haru-biru. Hati sudah dapat ku pujuk.....aku sudah punya semangat baru.

Tepat jam 3.00 sore Waktu Indonesia Barat (WIB), pesawat MAS MH3401 mendarat dengan selamat di Bandara Sukarno-Hatta, Cengkareng, Jakarta. Aku sempat menadah tangan berdoa, mengucapkan syukur pada tuhan yang Maha Esa...perjalananku selamat tanpa ada halangannya.

Selepas melepasi peperiksaan pegawai imigrasi dan ‘custom’, aku terus mengatur langkah berjalan menuju terminal bas ‘Damri’. Aku bernasib baik kerana kebetulan bas jurusan ke Depok sudah siap menunggu. Beberapa minit kemudian bas bergerak menyusuri jalan menuju ke kota Jakarta dan seterusnya ke Depok.

Setelah hampir empat jam di dalam bas..., satu jangkamasa yang aku rasa sangat lama. Lama kerana kesesakan jalan-jalan di kotaraya Jakarta yang penuh dengan beraneka ragam dan kerenah manusia. Kesesakan kerana jumlah kenderaan yang tak terhitung banyaknya..., menggambarkan juga jumlah penghuni kotaraya ini yang tak pernah pasti jumlah bilangannya. ‘Macet’ istilah yang memang sangat sinonim menggambarkan situasi, betapa jalan-jalan sangat sukar untuk ditelusuri. Melihat saja sudah cukup penat sekali, apa lagi kalau kita yang menangani situasi.

Akhirnya aku sampai juga di ‘kost’ tepat jam 8.00 malam. Satu perjalanan yang cukup panjang dan melelahkan. Rasa penat terasa hilang bila melihat wajah-wajah ceria Pak Niin dan ibu Ami dengan senyum riang menyambut ketibaanku.

“Itu dia, anak perantauan kita udeh balek lagi ibu,” terdengar suara ceria Pak Niin menyambutku.

“Gimana kabarnya ibu di kampong nak Sam, baik-baik aja kan?” Sapa ibu Ami menanyakan kabar ibuku.

“Alhamdulillah, baik-baik aja bu, ayah dan ibu saya titip salam buat ibu dan bapak,” jawabku menyampaikan salam keluarga di kampong.

“W’alaikumsalam, syukurlah semuanya sehat-sehat saja,” jawab ibu Ami menyambut salam yang aku sampaikan.

“Ole-ole bapak mana Sam, masa cuma salam doang,” Tiba-tiba Pak Niin bersuara menanyakan ole-ole dari Malaysia untuknya.

“Sabar dulu kenapa pak, Sam kan lagi capek itu, baru aja nyampe udah ditanya ole-ole,” sampuk ibu menegur Pak Niin.

“Ntar iya pak, nanti kalau aku sudah ngarapikan diri, ole-olenya aku kasi, ada kok,” jawabku memujuk Pak Niin.

‘Canda aja, kalau ngak ada juga ngak apa-apa, yang penting kamu selamat balik lagi,” suara Pak Niin seperti merajuk kedengarannya.

Entah mengapa kali ini aku merasa sangat senang sekali dapat balik lagi ke Depok. Perasaan itu tidak sama ketika aku ingin balik berlibur ke kampong dulu. Mungkin saat itu aku diburu perasaan tidak menentu kerana tidak dapat bertemu Riries untuk ‘pamit’..Sedangkan hari ini aku sangat senang kerana dalam liburan yang lalu aku telah bertemu kembali Ida.. Ida, si gadis yang comel, berkulit hitam manis...seorang yang pintar dan yang lebih penting memang sejak dari zaman sekolah lagi aku sudah menaruh hati padanya.

Esok aku akan ke kampus....
Esok nilai hasil peperiksaan semester yang lalu akan aku dapatkan...
Esok juga aku akan dapat bertemu semula dengan Fina, Nita, Wiwin, Nita, Ipong, Aria Sari, Evi, Edo, Chiq, Wanto, Chandra, Irwan, Kamal, Ifyani, Bingar, Rudi, Andi, Adi, Pongky, Hamid, Mat Zain dan tentu sekali Riries....

Esok juga barangkali aku akan bertemu Riries untuk kepastian....
Semoga saja esok akan membawa sinar harapan...
Sinar yang akan membawa seribu kebahagiaan....
Sinar yang akan mengubah pendirian....
Apa saja yang terjadi hidup harus aku teruskan...
Memburu kejayaan menzahirkan impian...
Menjulang kecemerlangan...
Merangkul kemenangan.


Samsul Kamil Osman, 17 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment