Thursday, 25 August 2011

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 1 – Ismail Abdullah

“Keluarga Flores 4”
Aku mengimbau kembali kenangan dengan Bapak Drs Bakhtiar yang pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Dosen Matematik. Waktu itu ramai dosen dari Indonesia yang bekerja di Malaysia, ada yang menjadi dosen di universiti dan ada juga yang menjadi guru di sekolah menengah. Malaysia menjadikan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan universiti-universiti dan bagi menampung kekurangan tenaga pengajar dalam BM, maka ramailah cerdik pandai dari Indonesia diambil bekerja di Malaysia. Ini berlaku sekitar tahun 1966 hingga 1976.

Serentak dengan itu juga pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Petronas dan lain-lain menghantar pelajar-pelajar ke Indonesia bagi mendokong hasrat kerajaan untuk memperbanyakkan tenaga akademik dalam pelbagai bidang bagi merealisasi matlamat pengajaran dalam BM. Pada 1965, konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia telah tamat dan kerjasama pendidikan dan kebudayaan antara kedua-dua negera dimulai.

Pertama kali aku bertemu dengan Pak Bakhtiar ialah ketika di persinggahan pertama dari Malaysia iaitu di Asrama Rawamangun. Beliau yang apabila memberi taklimat, sangat jelas dan selalu meletakkan jari telunjuknya di mulut yang mungkin bermaksud, “waspada” (alert), berhati-hati dan serius dengan persekitaran di Indonesia. Kami yang pertama kali sampai ke Jakarta dan kemudian akan berangkat ke Bandung menjadi sangat berwaspada. Pak Bakhtiar juga ialah dosen kalkulus kami di Jurusan Matematika yang berada di bawah Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (MIPA), Institut Teknologi Bandung (ITB).

Beliau dan pasukannya mengatur rumah indekost kami di Bandung dan kebetulan aku dan beberapa teman di tempatkan di rumah Bapak Drh Hasnil Basri dan Ibu Hasnil, anak-anak mereka ialah Mbak Yeni, Mbak Yosi, Yunus dan Ayi. Tinggal bersama di rumah tersebut ketika kami sampai ialah Kak Yusman (dari Bengkulu) dan lima lagi mahasiswa Indonesia yang saya sudah tidak ingat nama-nama mereka lagi. Mahasiswa Malaysia yang tinggal bersama saya ketika itu ialah Nordin Garif, Muhammad Abdullah, Jamil Basha Adlan, dan Ahmad Sobri Hashim. Jamil dan Ahmad Sobri tinggal bersama saya dalam satu bilik. Sebelum bersara pada tahun 2004, Ahmad Sobri Hashim bergelar Dato Dr Ahmad Sobri Hashim, Mantan Pengarah Malaysian Institute of Nuclear Technology (MINT), Bangi.

Mbak Yeni berkahwin dengan Kapten Mohd Tahir seorang tentera dalam Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) tinggal di Cimahi, mereka mempunyai anak bernama Deni dan adik perempuannya (lupa namanya). Setiap hujung minggu mereka pasti akan berkunjung ke rumah ibu dan ayah yang ketika itu sudah berumur sekitar 50 tahun. Kami rata-rata berumur sekitar 22 tahun ketika itu. Riuh rendah rumah dibuatnya dengan gelagat Deni dan adiknya.

Mbak Yosi tinggal di Jakarta dan jarang pulang. Yunus kuliah di salah sebuah universiti di Bandung dan Ayi ketika itu masih di Sekolah Menengah Atas (SMA). Rumah Jalan Flores No. 4 itu cukup besar, sebuah rumah peninggalan Belanda yang kukuh. Saya amati Bapak dan Ibu Hasnil seperti mempunyai keturunan Belanda dari kulitnya yang putih dan mukanya seperti orang Barat. Anak-anak mereka juga cantik-cantik belaka akibat dari perkahwinan campuran itu.

Kalau Mbak Yeni dan Mbak Yosi hadir ke Jalan Flores No. 4 hatiku antara malu dan gembira. Malu kerana aku selalu memerhatikan wajah mereka yang ayu dan gembira kalau ramai hadir ke rumah induk ini dan kami biasanya makan-makan sambil ngobrol ujung munggu. Waktu itu belum tahu istilah wakuncar. Namun dari wajah-wajah yang aku pandang di sekeliling rata-rata wanita di Bandung cantik-cantik. Apakah kerana ini Bandung terkenal sebagai Kota Kembang? Atau kerana banyak bunga yang cantik-cantik membuat Bandung terkenal begitu, atau juga kedua-duanya sekali. Yang sangat jelas ketika itu ialah cuaca di Bandung dingin sehingga tidak memerlukan penghawa dingin atau kipas di kamar.

Ketika minum petang Pak Hasnil selalu menyampai pesan kepada kami agar hati-hati ke kuliah atau ke mana saja di Bandung. Pesanannya tepat kerana kami belum begitu faham jalan-jalan di Bandung dan belum tahu sifat manusia sekeliling. Ada ketika beliau menceritakan kesukaran hidup zaman Belanda dan Jepun. Ketika makan malam kami kumpul penuh dan menggunakan waktu itu untuk berbual seketika kerana harus segera masuk kamar untuk menyiapkan pekerjaan rumah (PR), ketika itu kami jarang sekali menonton TV dan kami hampir melupakan TV sama sekali.
Keluarga yang berasal dari Bengkulu itu hidup aman dan damai. Mahasiswa dari Malaysia menepati dua kamar di depan dan mahasiswa dari Indonesia menepati kamar-kamar tambahan di sebelah belakang berhampiran dengan kamar mandi.

Pak Hasnil selalu mengajak aku solat berjamaah suboh di Mesjid Istiqomah Cihapit yang agak dekat dengan Jalan Flores 4. Setelah beberapa kali aku mula memahami jalan ke mesjid Istiqomah dan mula pergi sendiri. Selepas suboh biasanya aku pulang dulu ke rumah kerana subuh di Bandung waktunya sekitar jam 4.30 pagi dan pada hari-hari kuliah bersiap-siap untuk ke kuliah selepas sarapan. Pada hari Ahad kami akan ke kuliah suboh yang biasanya diadakan sekitar jam 7.30 pagi. Selalunya aku memilih untuk pergi ke mana-mana bersendirian kerana dalam bersendirian itu aku boleh mengamati jalan-jalan dan pemandangan di sekitarnya. Juga tertarik sekali melihat gelagat manusia dengan berbagai ragam hidup mereka.

Aku mula berangan-angan ke Indonesia ketika aku mencuri-curi dengar pidato Bung Karno melalui radio ketika aku di Tingkatan Satu di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh. Itu berlaku sekitar tahun 1962 hingga 1965. Aku diajar dalam Kelab Elektronik, dengan hanya menggunakan “diode”, antenna tinggi dan alat pendengaran yg ditekap ke telinga kita akan dapat mendengar siaran radio. Aku sebagai penghuni Rumah Hitam (Black House) ketika pulang dari “prep” selalu mendengar pidato Bung Karno yang menyeru rakyatnya mengganyang Malaysia dan suaranya yang bergetar berkarisma membuat aku terus mendengar dengan penuh minat. Diiringi dengan tepuk sorak bergemuruh dari hadirin membuat hatiku bertambah ingin tahu tentang Negara jiran itu.

Sesi “curi” dengar radio tidak boleh berlangsung lama kerana “prefect” yang meronda akan memeriksa bilik dan kami mesti padam lampu bilik sebelum jam 11.00 malam. Biasanya sesi sembang dalam kelambu dengan teman-teman berlanjutan walau pun lampu dipadam, sementara menunggu mata terlelap kami akan bercerita macam-macam, kadang-kadang diiringi dengan ketawa, pasti lepas itu akan kedengaran herdikan “prefect” bilik meminta kami segera diam dan tidur.

Kemerdekaan Malaysia yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Serawak dan Singapura pada 16 September 1963 membuat Bung Karno tidak selesa dan terus melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia. Saya masih ingat peristiwa di ladang nenas di Labis pada tahun 1964, Indonesia menerjunkan Leftenan Muda Sutikno dan 40 orang komando menyerang Tanah Melayu dalam rangka konfrantasi itu. Hanya Leftenan Sutikno saja yang berhasil ditangkap hidup-hidup, yang lain telah terkorban dalam peristiwa itu. Ketika itu Menteri Dalam Negeri ialah Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Tahun 1965, angkara Parti Komunis Indonesia (PKI), General Suharto berjaya mengambilalih pemerintahan Indonesia dan menjadi Presiden Kedua Indonesia.

Lamunanku ke STAR dan ke masa-masa lalu tersentak ketiga Ibu Hasnil memanggilku untuk makan malam.

“Baik Bu.” Jawabku pendek.

Kemudian kami semua keluar untuk makan malam di ruang makan. Selesai makan masing-masing masuk ke bilik semula untuk melanjutkan studi dan membuat persiapan untuk hari esoknya.

Ibu dan Bapak Hasnil kami anggap seperti Ibu dan Bapak kami sendiri. Jauh di perantauan dan sedih juga kadang-kadang mengingat keluarga di kampong. Doa selalu kami panjatkan agar keluarga di kampong sabar menunggu kepulangan kami dengan segulung ijazah.

Itulah sekelumit kisah saya di rumah indekost kami di Jalan Flores No. 4, suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 25 Ogos 2011.

**** bersambung di kisah akan datang ****

1 comment:

  1. Kisah nostalgia yg ditulis oleh Prof benar-benar membuatkan saya jadi kangen dan teringat akan Kota Kembang. Saya tidak sangka ada blog tentang kehidupan mahasiswa Malaysia di Indonesia pd tahun 70an. Jujur setelah membaca cerita di atas kenangan akan kehiduapan saya di Bandung menjadi segar semula. Saya merupakan mahasiswa FK UNPAD angkatan 2002. 5 tahun pertama sy kuliah dan ngekost di Jatinangor 21km dr Kota Bandung. 2 tahun kemudian baru saya pindah ke Bandung menjadi koassiten di RSHS. Saya kangen akan suasana dingin di Bandung serta kostan sy yg merupakan rumah peninggalan Belanda. Nuansa yg tersendiri. Kenangan membeli buku2 di Palasari juga sukar utk dilupakan. Sy juga sering berobat di RS St Borromeus...sgt tenang kalo berobat ke sana. Kalo hari jumat sy solat jumat di masjid cipaganti. Terima kasih Prof atas penulisan nya. Saya senang sekali membaca nya.

    Dr. Meruwan
    alumni FK UNPAD 2002

    ReplyDelete