“Dipulaukan”
Dipulaukan adalah satu perkara yang menyedihkan dan sangat tidak menyenangkan. Apalagi kalau ia disebabkan oleh perkara yang remeh temeh. Tapi itulah antara perkara yang aku lalui pada awal kedatanganku ke bumi Jakarta. Entah di mana salahnya, aku terus dihadapkan dengan berbagai dugaan.
Azam (bukan nama sebenar) adalah antara siswa paling tampan dikalangan siswa lelaki yang ada. Dari cerita cerita yang ku dengar, tidak pernah ada cewek yang menolak jika diajak keluar oleh Azam, lebih lebih lagi cewek Indonesia. Aku juga mendapat tahu salah seorang rakan telah jatuh hati kepada Azam.
Malam itu malam minggu. Pelajar di Jakarta juga seakan terikut ikut dengan kebiasaan anak muda Jakarta yang merayakan malam minggu dengan menonton, berparti atau sekadar keluar bersiar siar. Aku yang tidak punya agenda khusus, duduk di aula menonton televisyen.
Tiba tiba Azam muncul mendekatiku.
“Ila, Jom keluar dengan Azam!”
“Tak nak lah!” aku spontan menjawab. Yang terlintas difikiranku saat itu adalah tentang rakan yang menaruh hati terhadap Azam. Aku tidak mahu menyinggung perasaan rakan itu.
“Tak nak tak apa, Azam keluar seorang!” Azam membalas dengan nada yang agak keras dan terus berlalu meninggalkan aku terpinga pinga.
Aku hilang fokus pada rancangan televisyen yang ku tonton, aku lantas mematikan televisyen dan keluar dari aula. Aku terserempak dengan Mamat yang sudah berpakaian rapi dan sedang memakai sepatu.
“Nak pergi mana?” aku bertanya.
“Dengar musik.” Jawab Mamat ringkas.
“Boleh ikut?” Aku bertanya lagi. Entah apa yang mendorong, mungkin kerana aku juga suka dengar musik.
“Boleh! Tapi pergi pakai kasut!” arah Mamat setelah terlihat aku hanya memakai selipar Jepun.
Aku dibawa ke sebuah tempat di mana ada pertunjukan ‘live band’. Kami hanya berjalan kaki ke situ kerana tidak jauh dari asrama Budi. Di situlah rupanya tempat Mamat sering mangkal sebelum ini. Kebetulan salah seorang pemain musik itu adalah rakan sekampus Mamat. Kami keluar dari situ sebelum tengah malam. Menurut Mamat, selepas jam 12 malam suasana mungkin menjadi agak kurang sesuai bagi cewek seperti aku.
Tiba di depan pagar asrama kami di sambut oleh sekumpulan pelajar geng Azam yang semuanya berasal dari sebuah negeri yang sama di Semenanjung. Masing masing menunjukkan wajah penuh emosi yang seolah olah akan membelasah Mamat pada bila bila masa. Aku sangat terkejut dan ketakutan, sangat bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini. Namun Mamat dengan tenang menyapa mereka dan minta diberi laluan. Syukur akhirnya mereka beredar ke tepi tanpa berkata apa-apa.
Susulan itu aku dipulaukan. Seluruh kumpulan langsung tidak mahu berkomunikasi denganku. Kurang lebih sebulan mereka memperlakukan aku begitu tanpa aku tahu pasti sebabnya. Yang paling mungkin adalah aku telah memecah tradisi Azam kerana menolak ajakannya dan mencalar egonya. Mamat juga terkena tempiasnya. Aku berasa sungguh sedih dan kecewa tapi tidak dapat berbuat apa apa. Entahlah.
Akhirnya, juga tanpa aku tahu pasti alasannya, Azam tiba-tiba meminta maaf diikuti sekumpulan rakan-rakannya. Kami berbaik semula dan aku, walaupun masih menyimpan kenangan ini, tidak ada sekelumit dendam pun terhadap mereka. Bagiku itu hanyalah rencah-rencah menuju kematangan.
Dr Zalilah Manan, 26 Ogos 2011
No comments:
Post a Comment