Tuesday, 30 August 2011

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 6 – Ismail Abdullah

“Bertemu Wawan selepas 40 tahun”
“Maaf, apakah ini abang Ismail yang pernah tinggal di Jl. Jalak No. 14, Bandung, waktu mahasiswa dulu?”, tulis Chairil Anwar dalam mesej beliau dalam facebookku.

Aku tertanya-tanya bagaimana Wawan boleh menemuiku? Aku pun sebenarnya menunggu kalau-kalau Wawan dapat menghubungiku kerana fotonya telah ku perhatikan beberapa minggu yang lalu ketika menyusun semula foto-foto lama untuk di”scan”. Kebetulan ku perhatikan foto Wawan dan Himmy, anaknya Bu Wied Hartono. Fotonya hanya tinggal satu itu saja dan sangat berharap suatu keajaiban akan berlaku.

Rahmat Allah mengatasi segala-galanya dan aku mendapat mesej FB di atas dan aku sangat bersyukur dengan anugerah Allah ini dan semoga persahabatan kami boleh bersambung terus selepas ini.

Nama sebenar Wawan ialah Chairil Anwar. Aku masih menyimpan foto Wawan dan Himmy semasa masih di Sekolah Menengah Pertama (SMP), dan Himmy yang ketika itu mungkin masih di Sekolah Dasar (SD) atau Taman Kanak-Kanak (TK). Mereka adalah dua jiran cilik (kecil) aku semasa menyewa di sebuah rumah di Jalan Jalak, Bandung. Itu berlaku empat puluh (40) tahun yang lalu. Wawan punya adik bernama Dewi, mungkin nama sebenarnya Resmini Dewi.

Sewaktu aku menulis memori ini Wawan belum membalas mesej aku di ruangan mesej facebooknya, namun aku yakin Wawan ialah tetap Wawan yang aku temui 40 tahun yang lalu di Jalan Jalak berdasarkan foto keluarganya yang aku muaturun dari facebooknya. Cuma aku belum mendapat info tentang Himmy yang berada dalam foto itu.

Aku tinggal bersama Nordin Garif dan Manan Jais ketika menyewa di rumah Jalan Jalak itu. Nordin dan Manan bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor selepas pulang dari Institut Teknologi Bandung (ITB).

Pertemuan semula dengan Wawan ini sungguh bermakna kerana aku ingin bertemu beliau nanti dan ingin mewawancara beliau mengenai kehidupannya dan pandangan beliau tentang anak-anak Malaysia yang pernah beliau kenal ketika kami berada di Bandung dan juga ingin mendapatkan data yang tepat mengenai keberadaanku di Jalan Jalak tahun 1971 itu.

Kini Wawan ialah seorang konsultan mengenai perhutanan di Jakarta dan sudah berumur 53 tahun, beliau dilahirkan pada 26 Januari 1958 dan kelihatan masih segak (ganteng). Pertemuan dengan beliau nanti akan menghubungkan beberapa “memory” ku yang kian lupa kalau tidak segera dicantumkan kembali.

Ketika di Jalan Jalak itu aku suka sekali berkawan dengan anak di sekitarnya termasuk Jalan Titiran. Pernah beberapa kali aku menyertai pertandingan catur anjuran masyarakat tempatan dalam menyambut kemerdekaan Republik Indonesia. Ketika itu yang penting bagiku ialah bergaul rapat dengan masyarakat tempatan sambil mengenali mereka secara lebih dekat dan dapat sedikit sebanyak melancarkan penguasaan Bahasa Sunda ku. Aku menjadi mengunjung tetap Suboh berjamaah di Mesjid Al-Manar yang berada di ujung Jalan Jalak itu.

Sebenarnya kenangan ku menyewa rumah di Jalan Jalak bersama-sama teman ITB dan bersahabat dengan masyarakat setempat ialah salah satu cara kita membina jembatan persahabatan yang lestari antara Malaysia dan Indonesia.

Kekusutan hubungan antara Malaysia dan Indonesia hanya akibat dari salah faham kecil sahaja dan dimulai oleh hanya beberapa orang yang mempunyai kepentingan pribadi. Dalam hati kecil kedua-dua bangsa lahir keinginan mendalam untuk bersahabat dan saling bekerjasama dalam semua hal.

Ismail Abdullah, Hari Raya Puasa 1432H, bersamaan dengan 30 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment