Wednesday, 10 August 2011

Membawa tetamu menjelajah separuh pulau Jawa – Ismail Abdullah


Tepat jam 1.15 petang pada 5 Jun 2011, pesawat AirAsia AK384 berlepas dari LCCT, Sepang, menuju ke Jakarta. Saya dan isteri mengatur satu perjalanan separuh Pulau Jawa atas permintaan sekeluarga teman lama dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). En. Aziz dan Rusnani pasangan berasal dari Melaka bersama dua anaknya dan dua kakak iparnya. Turut sama ialah emak mertua anak saya dan anaknya.

Rencana kami akan bermula dari Jakarta, kemudian ke Bandung dan seterusnya ke Jogjakarta melalui jalan darat. Tiap tempat kami khaskan dua hari. Kesempatan kami gunakan untuk lawatan, berbelanja dan rehat.


Kakak dan abang ipar kami Mbak Tarti dan suaminya Mas Pasmin, pasangan saudara sepupu isteri menjadi “ground handling” di Indonesia. Melaluinya kami dapat memesan terlebih dahulu sebuah “preggio” untuk seluruh perjalanan sekitar 600 kilometer itu.
Seperti biasa kumpulan wanita yang diketuai isteri dan dibantu rapat oleh Kakak Ipar meneroka Pasar Tanah Abang yang barangannya terkenal murah. Aku mengambil kesempatan bertemu dengan pengurus IKAMA Jakarta, Dr Ir Tiena Amran. IKAMA ialah singakatan bagi Ikatan Alumni Malaysia yang menggabungkan semua mahasiswa Indonesia yang pernah belajar di Malaysia. Kembarnya ialah PAPTI iaitu Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia, yang menggabungkan semua mahasiswa Malaysia yang belajar di Indonesia.

Bagiku IKAMA dan PAPTI mesti berteman baik bagi menyelesaikan masalah antara Indonesia dan Malaysia secara tuntas dari akar umbi, hubungan rakyat dengan rakyat. Hasil perbincangan saya dan Dr Ir Tiena Amran akan berada dalam artikel yang lain nanti. Dr Ir Tiena Amran ialah lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) jurusan Kejuruteraan.

Dalam perjalanan ke Bandung pada pagi 7 Jun 2011, kami singgah di Dunfan, singkatan bagi Dunia Fantasi, sebuah pusat rekreasi ala Disneyland, Amerika selama setengah hari. Saya dan biras saya masuk percuma (gratis) kerana sudah melebihi umur 60 tahun, pada waktu itu saya tepat menjangkau 62 tahun 10 bulan. Wang rupiah 120,000 untuk membeli tiket (karcis) masuk boleh digunakan untuk membeli barang-barang lain. Tujuh orang yang lain terpaksa membayar harga tiket untuk masuk ke Dunfan. Hakim, kakaknya dan anak biras saya yang paling seronok kerana mereka masih peringkat kanak-kanak dan remaja. Hakim yang baru berusia 10 tahun, becok bercerita lepas itu sepanjang perjalanan ke Bandung.

Di Bandung kami menginap di Ahdiat Hotel dan Bungalow yang sudah dipesan beberapa bulan sebelumnya melalui rangkaian Agoda, sebuah system pengurusan hotel sedunia.

Penginapan di Hotel Mangga Dua Jakarta juga diuruskan melalui Agoda.
Seperti biasa isteri dan rombongan wanitanya menyerbu Pasar Baru Bandung untuk shopping. Itulah kegemarannya apabila pulang ke Bandung atau Jakarta. Kebetulan pula saya telah memilih untuk membentang kertas kerja seminar computer dan informatik di Universiti Komputer (UniKom), Bandung pada 8 Jun 2011 itu. Seharian saya di konferensi berkenaan. Di celah-celah persidangan, saya mengambil kesempatan untuk bertemu dengan Pengurus IKAMA di Bandung iaitu Dr Sri Fatimah, Dosen Universitas Panjajaran, Bandung lulusan UKM dalam bidang Sains Sosial. Misi yang sama seperti pertemuan saya dengan Dr Ir Tiena Amran di Jakarta.

Pada 9 Jun 2011, bermulalah perjalanan dengan preggio selama 14 jam. Perjalanan yang begitu lama kami habiskan dengan berbual, berhenti di mana-mana perlu kalau sopirnya ngantuk, atau kalau Hakim lagi rewel (kacau), atau ketika tengah hari waktu irama perut sudah kedengaran berkeroncongan. Walau pun jauh dan lama kami terpaksa lalui bagi memenuhi pengalaman kami. Jalannya agak gerunjal (berlekok) kerana kurang pembaikan. Namun, semua peserta happy sambil berdoa agar cepat sampai ke destinasi Jogkajarta. Saya sengaja memilih jalan selatan melalui Tasik Malaya, Banjar dan ke Jogjakarta kerana pulang nanti rencananya saya akan ambil jalan utara melalui Cirebon dan terus ke Bandung.

Di Jogjakarta seperti biasa rombongan wanita menyerbu Jalan Malioboro yang terkenal dengan barangan yang berbagai. Kebetulan kami tinggal di Hotel Seribu Satu Malam kepunyaan Saudagar Mesir. Hotel ini berada di belakangan Jalan Malioboro. Rasanya macam kembali ke zaman Abu Nawas apabila menginap di hotel ini. Hotelnya tidak boleh masuk mobil, melalui internet saya melihat ramai pengunjung yang menyatakan bagus hotel ini dan murah. Tidak tahu kalau tak boleh masuk mobil atau kenderaan. Jadi, Pak Sopir terpaksa berada dekat dengan mobilnya.

Di Jogjakarta, saya sekali lagi mengambil kesempatan untuk berunding dengan Pengurus IKAMA Jogjakarta, Dr Widayati, Dosen Universitas Pembangunan Negara Veteran (UPNV). Misinya sama seperti pertemuan dengan Dr Ir Tiena, dan Dr Sri Fatimah.

Pada sebelah malamnya kami serombongan dapat makan bersama dengan Jawatankuasa PKPMI Cabang Jogjakarta, sekitar 12 orang pelajar yang hampir semuanya dari jurusan Perubatan GAMA hadir dan kami dapat foto bersama selepas makan malam itu. Pertemuan dengan wakil PKPMI Jakarta dan Bandung tidak dapat diadakan atas sebab-sebab yang tidak pasti. Katanya kena dapat izin dari kedutaan yang pada pandangan saya sebagai Mantan Presiden PKPMI-Pusat dan PAPTI suatu syarat yang tidak kena pada tempatnya. Insya Allah dalam kunjungan yang akan datang pertemuan akan dapat diatur. Semua mahasiswa yang belajar di Indonesia ialah bakal ahli PAPTI dan adalah wajar jika akses kepada PKPMI di mana pun dilonggarkan.

Tetamu saya yang terdiri dari En Aziz, isterinya Rusnani beserta dua anaknya dan dua kakaknya serta biras saya dan anaknya kami hantar ke Lapangan Terbang Adi Sucipto, Jogjakarta pada 11 Jun 2011 setelah dua malam menginap di Jogjakarta dengan segala kenangan dan pengalaman. Ketika pesawat AirAsia AK595 akan berlepas saya dan En Aziz berpelukan dan memohon maaf sekiranya ada kekurangan saya mengendalikan trip ini menjelajah separuh Pulau Jawa. Semoga trip ini bukan yang pertama dan terakhir.

Saya, isteri dan pasangan kakak Ipar sepupu bertolak Ambarawa mengambil pembantu rumah yang sudah dipesan sebelumnya lewat pasangan Kakak Ipar itu. Orang sekampong mereka, jadi lancarlah mereka ngomong Jawa yang sesekali diselipkan Bahasa Indonesia kerana saya agak kurang faham kerana sudah lama tidak mendengar bahasa Jawa halus mereka.

Perjalanan melalui jalur utara agak pendek, hanya memakan waktu 12 jam. Banyak bahagian jalan sudah dibuat jalan tol (Jalan Highway), cuma belum disambung menjadi satu. Berdikit-dikit katanya.

Itulah sekelumit kisah kami mengatur perjalanan yang direstui.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 11 Ogos 2011.

1 comment:

  1. Semoga kawan-kawan kita yang menjawat atau mantan penjawat utama sekarang seperti TNC, doktor pakar dan apa saja bidang ilmu, pengusaha dll, sudi merakam pengalaman MEREKA BELAJAR di Indonesia - sebagai contoh panduan dan kenangan kita semua..antaranya:
    1) sumbangan idea, kerja, masa lalu, masa kini
    2) cadangan sumbangan melalui PAPTI
    3) promosi PAPTI wajar diperluaskan dalam sesawang ini
    4) cadangan AFY - tentang cara wawancara > kita boleh senaraikan nama tokoh tertentu sama ada yang telah pergi atau mereka yang sibuk tidak dapat menulis biografi mereka...dengan ada senarai nama, AJK boleh melantik mereka yang dapat melakukan...tentu saja setelah ada sesi bengkel yang bakal kita adakan, Semoga AFY sudah boleh menyusun senarai cara kerja untuk sesi wawancara ini.
    Sekian, Terima kasih. Terima kasih kepada Dr Is dan AFY yang semakin aktif melapor kegiatan masing-masing...SZI

    ReplyDelete