“Air mata di hari kemerdekaan”
Pagi Isnin aku kuliah jam 10 pagi. Pukul 9.30 pagi aku keluar dari rumah kostku menuju ke kampus. Pagi ini aku bersendirian menuju ke kampus, melalui laluan jalan kaki di belakang kostku menuju ke stasiun keretapi yang lebih kurang setengah kilometer dari rumah kostku. Seram juga sebenarnya berjalan seorang diri di laluan yang agak bersemak, tapi apa nak buat, dua lagi rakan Malaysiaku, Milah dan Sharifah sudah awal-awal pagi keluar ke kampus. Mungkin mereka ada kuliah pagi, hanya andaianku. Aku tak hafal jadual kuliah mereka dan mereka pun tidak memaklumkan padaku ketika mahu keluar pagi tadi. Mungkin tidak sampai hati hendak mengejutkan aku pagi-pagi tadi. Apa lagi, mungkin mereka sedar kemurunganku sejak balik dari Jakarta malam tadi menyebabkan mereka tidak berani mengejutkanku.
Dalam aku mengelamun, untuk mengelak rasa seram melalui denai, terdengar suara orang bercakap-cakap. Dari jauh kelihatan Ibu Abri dan Pak Abri sedang bergotong royong mencangkul tanah dan kelihatan ingin menanam sesuatu.
“Ibu, bapak...assalamualaikum...lagi ngapain...?” Jeritku ketika melihat pasangan suami isteri ini terbongkok-bongkok meleraikan tanah yang sudah dicangkul. Sungguh intim sekali pasangan ini, cetus hatiku cemburu.
“Eh...Mbak Nur...baru mau kuliah nih..? Ngak ngapa-ngapain, main-main aja, tau tuh , bapak mau tanam singkong katanya, daripada tanahnya kosong, mendingan ditanam, biar dapat makan singkongnya nanti.” Panjang lebar Ibu Abri menjelaskan kepadaku.
“Oh ya....bagus amat Bu...saya duluan ye, udah telat nih, kuliahnya jam 10.00 nanti.” Aku meminta diri untuk berlalu segera, dengan bahasa Indonesia Jakarta yang sudah ketara sekali bagusnya, itu kata teman-teman dan tetanggaku. Cepat sekala aku “adaptasi diri”, dari segi pertuturan dan gaya pergaulan. Ibu dan bapa Abri hanya mengangguk sambil tersenyum mesra. Itulah Ibu dan bapa Abri, ramah sekali orangnya. Kami memanggilnya Ibu Abri kerana suaminya adalah tentera atau singkatan dari Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI).
Lemas dan cemas setiap kali hendak melepasi jalan keretapi menuju ke kampus, tetapi lama kelamaan dek kebiasaan akhirnya segala-galanya jadi lebih mudah, “alah bisa tegal biasa”. Hidup di Jakarta, di perantauan, jauh dari orang tua dan keluarga, diri mesti kuat mental dan fizikal. Itulah pesanan semua orang dari mula aku memutuskan untuk ke Jakarta. Walaupun dalam keluargaku, aku sudah dikenali sebagai anak yang kuat semangat dan berani, tetapi juga manja, jadi tetap saja mereka menasihati dan mengingatkan aku macam-macam sehinggakan aku rasa dah tak boleh mengingat lagi apa pesanan mereka disebabkan kepala sudah tepu.
Setelah meredah kebun getah, akhirnya aku sampai ke Fakultiku, FISIP (Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik). Dari jauh aku sudah melihat Irfan menungguku di laluan masuk ke FISIP, duduk di sudut berhampiran pejabat dekan. Melihat ke arahku, Irfan melambaikan tangannya dan menggamitku ke tempatnya.
“Kangen...” Tiba-tiba saja Irfan bersuara dengan nada perlahan tetapi sangat menyentuh hatiku. Dia senyum kepadaku. Manis sekali senyumnya, macam senyuman Sophan Sophian kepada Lidyawatinya dalam filem-filemnya,..... huhuhu. Melihat wajahnya, senyumannya, hatiku jadi tenang. Aku membalas senyumannya. Harap-harap manis dan ikhlas juga di pandangan mata Irfan, walaupun dalam keadaan aku yang tidak tenang begini.
Kelemahanku adalah berdepan dengan lelaki yang romantik, sopan, sabar, suka senyum dan ketawa dengan menampakkan sebarisan gigi yang cantik. Apalagi kalau selalu bercakap dengan suara yang merendah dan sekaligus merendah diri. Semua ciri-ciri ini ada pada Irfan, sebab itulah sudah sebulan lebih ini, Irfan jadi sangat rapat denganku. Belum ada tutur kata dan tingkahlakunya yang menyinggung perasaanku. Itu yang penting bagiku yang sedang mencari kekuatan.
“Udah selesai kuliah....,kan tiga jam? Tanyaku untuk kepastian.
“Udah, Pak Paulus harus ketemu Pak Menteri katanya, so dia pendekkan kuliah, dua jam aje,” jawab Irfan selamba, cuba meniru gaya aku bercakap dengan kawan-kawan Malaysiaku. Kelakar bunyinya. Agaknya begitulah mereka pun kelakar mendengar aku bercakap dialek Jakarta dulu.
“Kamu kuliah jam 10.00 sampai jam berapa?” Tanya Irfan lagi.
“Harusnya sampai jam 1.00, tapi mungkin lebih cepat, biasa kuliah-kuliah pengenalan Pengantar Ilmu komunikasi, ngak bisa banyak-banyak sekaligus, nanti anak-anak pusing,” jelasku.
“Kalau begitu aku tunggu kamu di perpustakaan, nanti makan sama aku ya,” pinta Irfan ringkas. Aku hanya mengangguk dan terburu-buru masuk ke kelas, melihat Pak Pratomo Marlan sudah menuju ke kelas.
“Ok, nanti ketemu di sana,” balas Irfan lagi. Aku melambaikan tanganku sambil mengangguk tanda setuju.
Di kelas, seperti biasa, Ineng sudah menyediakan kerusi di sebelahnya. Itu janji kami, kalau dia yang sampai dulu, dia akan sisakan tempat duduk di sebelahnya untukku, begitu juga aku, kalau sampai dulu, aku akan sediakan tempat duduk di sebelahku untuknya.
Ineng atau nama sebenarnya Kumala Winengtyas, anak yang sangat sopan, manis, dan sangat merendah diri walaupun dari keluarga yang sangat kaya, menurut pandanganku. Dengan jumlah kereta 6 buah dan rumah yang mempunyai bilik melebihi sepuluh, pembantu rumah lima orang, satu gambaran yang jelas tentang kesenangan hidupnya dan keluarga. Pergi kuliah dihantar dan dijemput supir, tapi tidak pernah berbangga dengan semua itu. Malah aku yang dapat sama-sama menikmati kesenangan hidupnya setelah aku dianggap seperti adik beradik dan anak angkat bagi keluarganya. Baik sekali keluarga mereka kepadaku. Hanya Tuhan saja yang dapat membalas segala kebaikan mereka.
Aku mengambil tempat dudukku di sebelah Ineng di barisan kedua berhampiran pintu, “mudah mahu keluar kalau mahu pipis,” kata Ineng yang gemar memilih tempat duduk berhampiran pintu keluar, sambil senyum bermakna memandangku. Aku hanya tersenyum bila mengingatkan “kepolosan” Inengku. Sikapnya itu juga membuatkan aku sangat menyenanginya. Umurnya baru 17 tahun, aku dua puluhan, bagai kakaknya, tapi kami cuba jadikan seperti rakan sebaya. Akulah yang mesti meremajakan diri. Ineng manja dan kadang-kadang keanak-anakan. Seronok juga tuh jadi remaja semula.
Mas Tom, panggilan untuk Pak Pratomo Marlan, dosen mata kuliah Pengantar Ilmu Komunikasi berdehem beberapa kali bila anak-anak kuliahnya “brisik”, bercakap satu sama lain. Biasalah, banyak cerita dan gosip sebelum kuliah bermula. Anak-anak remaja, tak habis-habis ceritanya dari sepatu sampai kosmetik dan hal peribadi artis-artis dalam dan luar negara.
Teman-teman kuliahku di FISIP, terutamanya jurusan Ilmu Komunikasi, rata-rata anak orang senang alias orang kaya, anak korporat, pegawai-pegawai tinggi pemerintah. Gaya hidup mereka berbeza dengan gaya hidupku sebenarnya. Ramai juga artis terkenal yang kuliah bersamaku misalnya Ira Wibowo dan lain-lain yang tidak dapat kuingat nama mereka.
Serasa pantas sekali masa berlalu, dua jam sesi kuliah Pengantar Ilmu Komunikasiku berakhir. Aku terburu-buru keluar bersama Ineng bila teringatkan janjiku dengan Irfan untuk makan tengahari bersamanya. Ketika melangkah keluar, Irfan sudah berdiri menunggu tidak jauh dari bilik kuliahku. Dengan senyumnya dia menuju ke arahku dan Ineng.
“Ayok...mau makan di mana?” Tanyanya. Kami sepakat makan di “Balsem” , restoran lima bintang mahasiswa UI....hehe, balik semak. Walaupun namanya kurang enak, tapi makanan yang tersedia di situ enak-enak semua, banyak makanan traditional Indonesia tersedia di balsem.
Aku meminta pempek palembang dan jus alpukat kegemaranku, Ineng mahu gado-gado dan es jeruk sementara Irfan memesan somay dan teh botol. Menjamu selera di balsem murah tetapi menyelerakan. Makan bertiga tidak sampai Rp5,000.00. Lebih enak lagi makanannya kerana Irfan yang “traktir”(belanja). Aku kerapkali dapat berjimat duit poket sejak berkawan dengan Irfan. Bukan sengaja nak mengenakan dia, memang Irfan yang dengan murah hati membayar makanan kami, setiap kali kami makan bersama.
“Irfan, selepas makan boleh ngak temanin gue ke Jakarta?” Tanyaku, sebenarnya pintaku kerana aku tahu dia tiada kuliah lagi selepas ini.
“Boleh, mahu ke mana Nur?” Pantas Irfan menjawab. Aku memaklumkan kepada Irfan tentang surat Abang Mie yang kuterima dan kegagalanku menelefon ke rumah kemarin. Aku ingin menelefon keluargaku. Ineng “pamit” pulang cepat kerana telah berjanji menemani ibunya ke rumah tantenya di Kemayoran.
Aku dan Irfan ke Sarinah dengan menaiki kereta kesayangan Irfan Totota Camry silver, yang menemaninya setiap hari ke kampus.
Aku terus menuju telefon setelah selesai mengisi borang. Irfan menunggu di luar bilik telefon sambil memerhatikan gelagatku yang mungkin kelihatan sedikit kelam-kabut. Ada perasaan cemas yang ditahan-tahan dari hari Sabtu sebenarnya, yang mempengaruhi emosiku.
Setelah tiga kali mendail, terdengar suara Abang Mie sayup menjawab salamku. Jantungku berdegup tambah kencang, bimbang berita yang tidak baik sedang menungguku. Abang Mie terkejut mendengar suaraku, pantas dia bertanya, ”Eh buat apa telefon siang-siang hari begini, kan mahal.” Kecil hati aku mendengar abang nampak berkira pasal duit, tanpa memikirkan perasaanku.
“Apa khabar semua kat sana?” Aku cepat-cepat cuba meleraikan rasa ingin tahu di hati yang bergolak kencang.
Abang Mie diam seketika. “Mana mak, bagi saya bercakap dengan mak kejap,” pintaku.
“Mak tak sihat, kat wad Hospital Tunku Ampuan Afzan.” Jawapan Abang Mie menyebabkan degupan jantungku semakin kencang. “Sakit apa?” Suaraku separuh menjerit. Irfan mengangkat keningnya, ingin tahu apa yang berlaku. Aku hanya menggelengkan kepala.
“Hypertension,” jawab Abang Mie. Jawapan Abang Mie makin membuat aku cemas. “Apa sebenarnya yang berlaku, cuba cakap betul-betul?” Aku sudah menjerit geram. Tidak sabar untuk tahu kebenaran yang terselindung.
“Mak terlalu sedih dan murung dengan kematian Kak Eizan. Setiap hari awal-awal pagi mak berulang-alik ke kubur. Tak de siapa boleh menghalangnya.” Tersekat-sekat suara Abang Mie menjelaskan. Berderau darahku. Terasa muka dan kepalaku berpinar-pinar. Lututku terasa lemah longlai tidak bermaya untuk berdiri lagi setelah mendapat tahu kakak kesayanganku telah pergi meninggalkan kami semua. Kenapa cepat sangat?
Irfan yang berada di luar menerkam masuk ke bilik telefon melihat keadaan aku yang sudah jatuh terjelepak ke lantai. Irfan mengangkat aku berdiri dan memapah aku. Irfan meletakkan gagang telefon, setelah bercakap dengan Abang beberapa patah perkataan yang tidak dapat kudengar dengan jelas. Aku pitam seketika. Irfan membawa aku keluar menuju ke kerusi yang diletakkan di luar bilik. Aku menangis sepuas-puas hati dalam pelukan Irfan.
Setelah keadaan reda, Irfan bertanya apa sebenarnya berlaku. “Kakakku telah meninggal dunia pagi tanggal 31 Agustus lalu. Dia pergi ketika Abang sedang mengetuai perbarisan kemerdekaan dan seluruh rakyat Malaysia sedang meraikan kemerdekaan negara kami Irfan.” Jawab aku dalam tangisan yang tidak boleh ditahan-tahan lagi.
“Lebih sedih lagi, ketika aku sedang menyanyikan lagu Salamiah Hassan di Malam kemerdekaan, di rumahku di Kuantan, mereka sedang sibuk membaca tahlil untuk Kak Eizan.” Tangisanku yang tadi sudah reda, kembali memuncak semula. Airmataku keluar mencurah-curah. Sebak dadaku. Nafasku juga sesak, seakan terhenti oksigen masuk ke pernafasanku.
Irfan memelukku dan mengusap-usap kepala dan belakangku, cuba meredakan kesedihanku. Aku mendapat kekuatan dari tindakan Irfan, walaupun aku rasa tak sepatutnya aku membiarkan dirinya memperlakukan aku seperti itu. Tapi aku betul-betul tidak berdaya. Terasa kosong hati dan semangat hilang untuk hidup. Kehilangan yang sangat besar bagiku. Tiada lagi orang yang selalu memberi kekuatan pada aku, pada mak.
Tanggal 31 Ogos, sejak tahun 1988 hingga kini, ketika orang bersemangat gembira menyambut hari kemerdekaan, bagi aku, mak dan kami sekeluarga adalah airmata duka dan kenangan luka.
Nor Aizan Ab.Halim, Bandar Baru Bangi, 19 Ogos 2011.
No comments:
Post a Comment