“Masuk Kolong”
Masuk kolong! Masuk kolong! Itulah perkataan yang kudengar sebelum tiba tiba aku merasa bahuku ditolak dengan kasar. Aku tersungkur. Tiba tiba saja semuanya menjadi gelap gelita. Aku terkurung di dalam lorong yang sempit. Aku merangkak ke depan perlahan lahan di atas lantai yang terasa licin dan dingin. Aku tidak tahu berapa jauh aku merangkak. Setiap kali cuba menegakkan kepala pasti terhantuk dengan atap kolong yang keras.
Rasa sesak, panas dan seram serta aroma busuk yang tajam dan memedihkan mata bercampur baur. Aku terlihat sedikit cahaya dan bayang bayang di hujung kolong. Seakan ada lengan dan tangan yang tergayut dari atap kolong sempit itu, melambai-lambai. Bau busuk semakin kuat terhidu, sungguh menyesakkan dada.
Aku mau segera keluar dari kolong itu, aku nekad untuk menyusuri ruang sempit yang tersisa di bawah tangan yang melambai. Tangan yang sangat hitam dan kurus umpama rangka. Aku meniarap sambil mengesot ke depan untuk menghindari tangan tergantung itu. Sebaik sahaja kepalaku melepasi tangan tersebut… bukk!! Berpinar kepalaku ditimpa sesuatu yang berat, berair, busuk dan hanyir. Spontan aku menepis benda itu dan bingkas bangun. Dalam samar samar aku terlihat potongan anggota badan manusia meliputi separuh bahagian dada hingga ke pinggang,terdiri dari lapisan lapisan daging berkeping keping tanpa kulit, separuh leher dan lengan serta tangan, tanpa kepala.
Belakang kepala dan bahuku terasa basah dengan cairan yang amat hanyir. Aku hampir muntah. Namun dapat ku kawal. Aku terus bergerak ke hadapan teraba-raba dalam kegelapan. Kiri kanan laluan seakan dipenuhi perabut perabut lama yang rosak, bertimbun tanpa aturan. Sedikit ke hadapan terdapat sebatang lilin yang hampir habis dengan apinya pun meliuk liuk seperti akan padam. Sekeping nota dengan arahan tertentu terdapat di situ.
Aku berjalan terus sesuai arahan dalam nota. Terbujur pucat jenazah seorang lelaki berambut ikal, bertubuh kurus. Aku terpaksa mengangkat sedikit badan jenazah untuk mengambil kad kematiannya yang diletakkan di bawah tubuh jenazah. Terasa lembab dan dingin. Sewaktu label itu aku periksa, jenazah ternyata baru beberapa jam meninggal. Usianya baru 24 tahun dan sebab kematian tertulis sebagai membunuh diri dengan meminum racun rumpai. Meremang bulu roma ku. Badanku terasa seram sejuk seperti mahu demam. Inilah pertama kali aku berhadapan secara dekat dengan mayat.
‘Point’ kedua memerlukan aku menghitung jumlah gigi jenazah yang mulutnya tertutup rapat. Melupakan rasa geli dan jijik aku mengorek ngorek kedalam mulut mayat tersebut sambil komat kamit aku berdoa agar jenazah itu tidak menggigit jariku. Entah mengapa perkara perkara buruk begitu yang aku fikirkan sedangkan sebelum ini aku tergolong antara yang berani di kalangan teman teman. Kerana tiadanya ruang kosong antara gigi yang aku rasakan,aku membuat kesimpulan sesuai teori bahawa jumlah giginya ada 32 batang penuh.
‘Point’ ketiga lebih mengerikan. Aku harus mencium pipi jenazah yang menurutku sudah melalui proses pengawetan dengan formalin berdasarkan bau tajam yang menusuk hidung dan memedihkan mata. Jenazah seorang wanita tua berambut putih yang seperti sengaja diacak-acakkan untuk memberi efek menyeramkan. Mulut jenazah itu sedikit memuncung dan terbuka seolah olah memutuskan nafas dalam keadaan menjerit meminta tolong. Kedua tangannya dalam posisi menggenggam dan sangat kaku. Memang menyeramkan. Tidak terbayang apa yang terjadi padaku seandainya sedang aku terbongkok bongkok mau mencium jenazah, tiba tiba tangannya menarik leherku….entah mengapa lagi lagi aku terbayang begitu.
Aku cepat cepat meneruskan langkah tanpa menghiraukan potongan potongan anggota badan yang diletakkan di kiri kanan lorong sempit yang ku lalui sehingga akhirnya semua tugasan selesai. Sampai di luar aku disuruh mencuci muka dan tangan sebelum kepalaku juga disirami sebaldi kecil air. Namun bau busuk formalin akibat ditimpa ketulan anggota manusia yang telah diawet pada awal perjalanan tadi tidak dapat dihilangkan, sangat meloyakan.
“Aduh kasihan bener anak Malaysia, ni! Ayuh, minum dulu,” kata seorang mahasiswa sambil menghulurkan beberapa keping tisu lalu mengiringi aku ke sebuah meja yang penuh dengan cawan cawan berisi minuman. Aku mengambil sebiji cawan yang terisi separuh penuh, air berwarna kehitaman mirip kopi. Aku tidak kisah, yang penting dapat minum. Tapi, sebelum aku sempat minum, cawan aku dipenuhkan lagi dengan air tambahan. “Di Malaysia nggak ada minuman ini, coca cola ala Indonesia, kamu harus minum banyak. Mesti habis lho, kalau nggak, awas kamu!” Mahasiswa yang mulanya tadi ku fikir ikhlas mengasihani aku kini malah mengancam. Aku meneguk minuman itu. Masya Allah! Pahitnya memang tiada apa yang dapat ku bandingkan, entah dibuat dari apa. “Ayuh habisin!” arahan dari senior senior. Aku terus meneguk tanpa mengambil nafas, namun pahitnya masih terasa hingga tiga hari setelah selesai ORDIK.
Setelah menjalani berbagai dugaan lain akhirnya tiba waktu makan siang. Setelah puas beratur panjang akhirnya aku mendapat sepinggan nasi berlaukkan sepotong kecil ayam goreng, sesenduk sup sayur, setimbun sambal dan segelas kecil air teh tanpa gula. Aku mengharapkan dapat makan dengan aman tetapi rupanya sudah ada cara makan yang telah ditetapkan. “Habisin minumnya dulu.” Kami diarah untuk minum dulu kemudian diarah untuk mengangkat gelas dan menterbalikkan di atas kepala masing-masing. Memang tidak ada peluang untuk menyembunyikan air minuman. Kemudian kami perlu menghabiskan ayam goreng, diikuti nasi, sup dan akhir sekali sambal. Aduh! Sudahlah lidah ku terasa sangat pahit, kini ditambah lagi dengan panas dan pedasnya sambal.
Sebelah petang, Semua siswa baru berkumpul bagi acara mengumpul tandatangan senior dan perasmian ORDIK. Lagi-lagi aku dikenakan denda kerana tidak berjaya mengumpul jumlah tandatangan yang ditetapkan. Bagaimana aku dapat melakukannya kalau setiap kali, aku diwawancara panjang berjela dan para senior sengaja melengah-lengahkan pemberian tandatangan. Mujurlah dendanya cuma menyayikan lagu ‘anak ayam turun seribu.’
Perasmian ORDIK disempurnakan oleh Bapak Dekan waktu itu Prof. DR. Asri Rasad. Ucapannya ringkas tapi padat dan tegas. Aku yang sedang berasa lega kerana diberitahu bahawa kami dibenarkan pulang setelah acara perasmian tiba-tiba dikejutkan dengan sesuatu yang tidak aku jangkakan. Sebaik selesai ucapan bapak dekan, tiba tiba berkumandang lagu ‘Sinaran’ nyanyian Sheila Majid dan tak semena-mena aku ditarik ke depan sekali untuk menari dan menyanyi ala penyanyi popular itu diiringi seluruh pelajar baru sebagai persembahan kepada bapak dekan dan staf akademik FKUI.
DR Zalilah Abdul Manan, 16 Ogos 2011
No comments:
Post a Comment