Blog ini dicipta khas bagi memuat kisah kisah yang dialami pelajar Malaysia ketika mula belajar di Indonesia. Paparan ini berdasarkan kepada pengalaman pribadi pengarang masing-masing dan tidak mencerminkan pendapat empunya blog atau Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI). Semua alumni digalakkan menulis pengalaman masing-masing untuk tatapan bersama dan dibukukan sebagai khazanah bangsa dalam Bahasa Melayu.
Tuesday, 9 August 2011
Dialog Yang Tidak Mempertemukan – Ahmad Fadzil Yassin
Saya menulis sesuatu pada secarik kertas. Menyerahkannya kepada Jigur (Rahim Hanafiah), pengerusi majlis malam itu. Lantas dia memotong percakapan pembicara. Dengan bergurau tentunya untuk tunjuk diplomasi. Hadirin ketawa dan sesaat kemudian berjejelan mereka menuju ruang minum. Di sana sudah terhidang minuman dan kuih-muih yang sejak lama menunggu. Demikian berakhir sebuah dialog dengan tamu dari serombongan mahasiswa Universiti teknologi Malaysia (UTM).
Suasana di ruang minum berlainan dengan suasana di ruang yang dipenuhi suara tinggi. Tapi kini nyatanya hilaian ketawa di tengah bunyi hantukan piring dan cawan. Suasana formal bertukar menjadi tidak formal. Setiap orang kelihatan senyum berseri, maklumlah di ruang minum!
Sebelum menulis pada carikan kertas tadi, penasihat pelajar UTM, Omar Ali dan Ahmad Kamal Idris, seorang mahasiswa Teknologi Minyak ITB angguk setuju untuk “kita hentikan sahaja majlis dialog.” Soalnya dialog sudah tidak dialog lagi. Suhu sudah meninggi Tema dialog sudah jauh menyimpang. Antara kedua-dua pihak sudah mula mengikut jalan masing-masing. Mahasiswa UTM bicara tentang dakwah sedangkan mahasiswa Malaysia di Bandung bicara tentang masalah akademik. Mereka tidak lagi bertemu. Emosi semakin meningkat. Akibatnya rasio menurun.
Barangkali orang yang paling beruntung malam itu hanya Omar Ali. Pada mulanya dia yang inginkan dialog jadi tegang. Menurutnya, dari keadaan tegang orang “bercakap terbuka dan segala masalah akan keluar sendirinya.” Pada hal dia datang ke Bandung untuk meninjau masalah pelajar Malaysia sendiri dari segi akademik . “Tujuan saya ke mari untuk meninjau masalah pelajar di sini.” , katanya membenarkan. Dan dia paling yakin sudah menemukannya.
Untuk apa? Sedangkan pada lahirnya Omar Ali memenuhi waktunya , barangkali, dengan masalah”di kandang sendiri.” Apakah tidak akan dianggap usaha penasihat pelajar UTM itu sebagai pelampias daripada masalah sebenar yang dihadapinya?
Usahanya itu tambah mencurigakan kebanyakan mahasiswa Malaysia di sini. “Kita baru sahaja dikejutkan oleh suatu peristiwa siang tadi yang membenarkan dalam fikiran penasihat pelajar kepada beban berat,’ ramal seorang mahasiswa yang kuliah di IKIP, Bandung.
Sebenarnya ada dua peristiwa lucu tetapi hampir menyinggung perasaan terjadi. Pertama, pada siang harinya terjadi peristiwa huluran tangan yang tidak bersambut. Seorang mahasiswa Indonesia di kampus ITB, yang menjadi salah seorang anggota panitia penyambut kedatangan 30 tamu dari Malaysia , cuba menyalami seorang mahasiswa UTM. Kerana tidak bersambut mahasiswa itu kewalahan, tersipu-sipu malu. Malah akan merasa tersinggung , jika tidak diselamatkan oleh seorang mahasiswa Malaysia di ITB. Dia menjelaskan sikap mahasiswa itu “bukan tidak bersahabat”. Tapi lebih merupakan “satu pegangan hidup menurut aturan agama.”
Pada malam dialog terjadi pula peristiwa tadahan tangan untuk tujuan mengaminkan seorang yang sedang membaca doa. Tiga orang yang hadir tiba-tiba menadah tangan kerana pembicara di depan sedang membaca ayat panjang. Akhirnya diketahui bacaan itu bukan doa tapi hanyalah merupakan awal daripada satyu percakapan. Yang sedang bercakap seorang mahasiswa UTM berjambang lebat. Dan dia fasih sekali menyebut ayat-ayat tersebut. Yang bertiga bertadah tangan itu seperti “cicak makan kapur.” Untungnya mereka orang Malaysia. “Soalnya sih, bunyinya dan panjangnya seperti orang sedang membaca doa,” kata seorang daripada mereka.
Dua peristiwa ini mencetuskan kembali ingatan kepada suatu peristiwa di sekitar bulan Oktober tahun lalu di kampus UTM. Masih ingat protes mahasiswa UTM yang menentang peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan mengenai cara berpakaian waktu konvokesyen. Pangkal soalnya bermula setahun sebelumnya Waktu itu pihak UTM mahu para graduan di hari konvokesyen memakai pakaian seragam baju kebangsaan. Baik graduan itu Melayu atau bukan Melayu. Ibi menimbulkan protes di kalangan graduan bukan Melayu. Bagi mereka demokrasi berpakaian perlu dijamin. Mereka memboikot konvokesyen, membuatkan kerajaan menaruh perhatian berat.
Masalah bagi mahasiswa di dalam negeri lebih merupakan keinginan menyesuaikan diri kepada pola pemikiran yang non-akademik yang sedang melanda. Sedangkan di luar negeri, khususnya di Indonesia, mahasiswa Malaysia dihantui masalah yang orientasinya lebih bersifat akademik. Jika sahaja dialog Bandung tersebut ingin merumuskan satu pendapat umum, nescaya tidak sahaja satu pendapat umum yang boleh diciptakan, tapi dua. Soalnya ada dua isu kontraversial dikemukakan untuk perbincangan. Sayangnya masing-masing isu berjalan sendiri-sendiri hingga akhirnya tidak ada rumusan secara konsensus dihasilkan.
Dengan hal yang demikian, jangan khuatir jika banyak yang menafsirkan dialog malam itu sebagai satu lagi “dialog terbuang” bersama tamu. Yang baik dan dapat dimanfaatkan adalah kedatangan tamu benar-benar membuatkan mahasiswa Malaysia di Bandung berada seperti di tanah air. Pusat Palajar tempat dialog diadakan menjelma menjadi pusat bernostalgia, mengenag dan bercerita kisah lalu. Lebih-lebih menonjol lagi apabila kebanyakan tamu ada yang sama-sama belajar di Malaysia.
Maka tidaklah keterlaluan, jika catatan paada secarik kertas untuk menghentikan dialog dianggap tepat pada waktunya seperti yang disebut Ahmad Kamal Idris “justru dengan tidak berdialog rasmi-rasmian objektif pertemuan bisa akan terpenuhi. Omar Ali angguk kepala. (Dewan Masyarakat, 15 Mei 1979.)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Di mana sekarang pelajar-pelajar di Bandung yang terlibat dalam dialog ini? Ada yang bilang Jigur telah menjadi arwah, Ahmad Kamal Idris kabarnya di UTM. Barangkali ada yang sudi memberitahu bekas pelajr di Bandung ini untuk menulis dalam Siri Kisah Kisah Di Indonesia ini? Untuk catatan atau memo sendiri yang mungkin dikungsi bersama.
ReplyDelete