Friday, 26 August 2011

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 3 – Ismail Abdullah

“Hobi bermain catur”

Hobiku bermain catur cukup menggila ketika kuliah di Bandung. Toko buku bekas di Kiaracondong, Bandung habis ku gempur mencari buku-buku catur terbitan Indonesia. Sekarang apabila berkesempatan ke Bandung aku cari pula buku-buku bekas di kawasan Palasari. Suku kaum yang mendominasi catur ketika itu ialah suku batak, pun mungkin hingga sekarang. Tiap sudut kita akan sering lihat dua orang sedang asyik menggerak anak-anak catur buatan dari kayu. Beberapa orang lain akan mengelilingi dua pemain tersebut bagi memberi sokongan. Bagi mereka permainan itu sungguh mengasyikkan.

Demam catur pun menular padaku. Aku memasuki pertandingan catur di peringkat Rukun Tetangga (RT) dan sering juga menang. Hadiahnya berupa baju-T dan lain-lain. Minat terhadap catur mula berputik sejak aku di STAR lagi, namun kerana cita-cita belajarku lebih besar dari catur ketika itu aku perlahankan keghairahan bermain catur buat sementara.

Suasana di Bandung membuat hobi caturku kian menggembu. Apabila aku merasa penat belajar, aku akan membuka papan catur berbentuk kotak dan mengeluarkan buah-buah dari kotak itu dan menyusun pada posisi yang tepat dan mula bermain secara sendirian melalui buku. Pemain catur antarabangsa yang aku paling minat antaranya ialah Botwinik, Paul Keres, Paul Capablanca, Fischer, Karpov, Kasparov dan lain-lain. Hingga kini aku memiliki lebih daripada 40 buah buku catur yang aku kumpul sejak dulu lagi.

Permainan catur mempunyai tiga tahap permainan iaitu pembukaan, pertengahan dan akhir. Pada pringkat pembukaan saja sudah terdapat 20 gerakmula. Bidak boleh digerakkan satu langkah atau dua langkah ke depan. Kombinasi itu memberikan kita 16 gerakmula untuk bidak. Kuda kiri dan kanan akan menghasilkan 4 gerakmula. Jadi jumlah semua gerakmula catur ialah 20 bagi masing-masing pemain.

Kalau kita mengadap papan catur, dari kiri ke kanan diberikan notasi huruf A hingga H dan secara vertical dinomborkan 1 hingga 8. Jadi, terdapat 64 petak semuanya pada sebuah papan catur. Petak paling kiri dan paling bawah disebut sebagai petak a1, sebelah kanannya b1 dan seterusnya hingga h1. Notasi ini berterusan sehinggalah ke petak paling kanan dan paling atas diberi nama petak h8. Jika anda pemain buah Hitam, notasi yang sama berdasarkan pemain Putih mesti digunakan. Semua pemain catur faham tentang ini. Sistem ini dinamakan Sistem Algebra (atau Aljabar). Sistem ini sama dengan system koordinat dalam mata pelajaran algebra. Sistem ini lebih popular berbanding dengan system Inggeris yang menamakan lajur dengan nama buah catur dan baris dengan nombor 1 hingga 8. Saya lebih suka memilih Sistem Algebra kerana lebih sistematik dan notasinya pendek dan jelas.

Sebelum dua orang pemain catur mula bermain terdapat 32 petak kosong yang boleh menempatkan buah catur. Telah menjadi persetujuan umum bahwa pemain yang memegang buah putih akan membuat gerakmula dulu. Kira-kira sepuluh langkah pertama bagi masing-masing pemain dikira sebagai peringkat permulaan. Rasanya sudah ada ribuan buah buku catur yang hanya membincangkan tentang teori pemukaan sahaja kerana peri pentingnya pembukaan bagi seseorang pemain catur. Urutan keluar buah catur perlu diperhitungkan dengan teliti agar tiada kesalahan pembukaan dilakukan.

Peringkat pertengahan lagi teruja. Apabila buah catur makin berkurang, kita akan segera memasuki peringkat akhir di mana raja dengan raja akan bertarung dengan dibantu oleh beberapa buah catur yang masih ada sehingga menang, kalah atau seri.
Hobi itu masih tetap bersemi dalam diri ini hingga sekarang. Kadang-kadang lawan dengan komputer, biasanya aku kalah sebab program catur komputer lebih hebat kerana dengan cepat komputer boleh mengira segala kemungkinan yang ada dan memilih apa yang disebut sebagai “the best move”.

Teman bermain catur ketika di Bandung ialah Wan Daud Wan Yusof, seniorku setahun jurusan Fizika, ITB. Kami bermain pun ketika bertemu di Pusat Pelajar Malaysia di Jalan Sulanjana 24, Bandung bagi mengisi masa sementara menunggu sesuatu acara berlagsung di Pusat Pelajar itu. Kadang-kadang berpeluang juga bermain catur dengan Muhammad Yahya (sekarang Prof Dato Dr Muhammad Yahya) sama jurusan dengan Wan Daud. Rata-rata pelajar yang mengambil bidang sains analitik lebih gemar bermain catur berdasarkan perwatakan mereka.

Pengajaran yang aku perolehi dari permainan klasik ini ialah proses berfikir yang mendalam. Berfikir sebelum bertindak, jangan bertindak kemudian berfikir. Falsafah ini sangat berguna dalam kehidupan. Bekerja dalam sebuah pasukan. Itu pengajaran kedua. Bagi memenangi peperangan atau misi kita tidak boleh bersendirian, kena ajak kawan bersama-sama dan menyusun strategi dan taktik yang tepat. Melalui cara ini kemenangan pasti tercapai. Tetapi yang paling tidak disukai oleh ramai orang ialah proses berfikir yang lama dalam catur. Kita mungkin kalah waktu kerana berfikir terlalu lama dan apabila batas waktu yang ditetapkan habis dan lawan masih mempunyai banyak waktu kita boleh juga dianggap kalah. Jadi, efisiensi menggunakan waktu sangat penting dalam bermain catur. Malah kebolehan ini boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.

Walau bagaimana pun pengalaman bermain catur di Bandung sangat ku hargai sebagai persediaan kerja dan kehidupan. Prinsip-prinsipnya dapat kita terapkan bagi menjayakan kehidupan. Kemahiran menyelesaikan masalah catur baik dalam pertandingan atau permainan biasa akan membuat kita berani menghadapi apa saja cabaran yang mendatang.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment