Tuesday, 30 August 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 9 – Nor Aizan Ab Halim

“Nyanyian Kerohanian 2”

Jumaat tiba lagi. Tidak sabar untukku menghadiri koir hari Jumaat. Aku mencari-cari kelibat Irfan, dari jauh aku lihat dia sudah berkumpul bersama anak-anak di depan bilik kuliah umum. Dia agak terkejut melihat kehadiranku kali ini. “Mau ikutan lagi Nur?” Tanyanya. Aku mengangguk mengiakan.

Seperti minggu lepas, belum selesai majlis, Irfan sudah mengajak aku keluar dari bilik kuliah itu ketika acara masih berjalan rancak, “ke mana kita?” Tanyaku sambil merenung muka Irfan, “gue lapar banget, nggak sempat sarapan tadi, temanin gue makan boleh?” Irfan menjelaskan.

Aku mengangguk. Alahai, tak dapat juga nak ikut koir sampai habis, rungut hatiku sedikit kesal dengan tindakan Irfan yang mengajak aku keluar sebelum majlis habis. Tak apalah, minggu depan masih ada waktu, aku memujuk hatiku sendiri.

Selepas makan, Irfan mengajak aku menemaninya ke Pasar Senin kerana dia memerlukan beberapa buah buku wajib dan buku rujukan. Pasar senin, tempat yang popular untuk anak-anak kuliah mencari buku yang sesuai dengan poket mahasiswa. Buku yang sama kandungannya, tetapi harga lebih murah kerana dari segi kualitinya memang jauh berbeza dari yang asli. Sangat mudah tercabut helaiannya. Untuk mengelak dari cepat `relai’ atau hancur bukunya, aku suka `membinding’ semula. Lagipula akan kelihatan lebih kemas dan menarik, lebih seronok untuk dibaca.

Irfan membeli banyak sekali buku, satu beg plastik besar. Memang Indon yang satu ni hobinya membaca buku. Aku juga membeli beberapa buah buku, terutama untuk kuliah pengantar dan teori-teori ilmu komunikasi serta teknik-teknik menulis berita. Buku-buku ini sangat berguna kerana belajar tanpa buku rujukan atau buku panduan, akan jadi tidak fokus dan sukar untuk memahami isi kuliah yang dosen ajar.

Perut juga sudah berkeroncong, lagu `Keroncong Untuk Ana’. Lapar la tu, maklum jam sudah menunjukkan pukul dua kurang lebih pukul tiga di Malaysia. Kami belum makan rupanya. Leka mencari buku-buku kami tadi sampai terlupa mengisi perut. Kami menuju ke sebuah warung yang kelihatannya lebih bersih berbanding warung-warung yang ada berderetan di tepi jalanraya Senin ini.

Ketika leka menghirup kuah sup babat (perut) yang sangat sedap, kena dengan selera tekakku, tiba-tiba datang menghampiri seorang kanak-kanak perempuan cacat yang berjalan menggunakan lututnya tanpa kaki. Wajahnya jika direnung sangat menggambarkan keperitan dan penderitaan yang sedang ditanggungnya, lapar, dahaga, sakit dan malu. Itu andaian, dari pemerhatianku, seorang anak Malaysia yang dilahirkan dalam serba kecukupan, makan, pakaian dan tempat tinggal.

Tapi mereka, sangat daif, tidak pernah memiliki atau menikmati semua itu. Alhamdulillah Tuhan atas kurniaanMu untuk aku makhlukMu yang sangat lemah ini. Tetapi Tuhan, aku juga memohon agar Engkau juga memberikan ruang untuk anak-anak malang ini menikmati walaupun hanya sedikit dari apa yang Kau kurniakan padaku. Amin.

Aku menghulurkan wang Rp10,000 atau kalau tak salah ketika itu bernilai RM8.00 kepada `bocah’ malang tadi. Irfan kelihatan terkejut, “banyak kali kamu kasi uangnya Nur.” ujar Irfan. “Kenapa? Aku Cuma kasian melihat anak ini, malang nasibnya, udah perempuan, cacat lagi...,” jawabku sambil menggelengkan kepala tanda rasa kasihan yang amat mendalam.

“Nur, kamu nggak kenal mereka. Bisa bankrup kamu kalo setiap pengemis yang kamu jumpa kamu mau kasi uang, berjuta jumlahnya mereka di sini,” ujar Irfan sinis, seakan-akan memerliku. Aku tahu sebenarnya Irfan memang berniat memerli aku pun, setelah melihat aku setiap kali keluar dengannya, akan memberikan wang atau makanan untuk anak-anak pengemis atau pengamen.

“Kasian mereka, aku nggak bisa hanya melihat tanpa menghulurkan sesuatu,” balasku sambil senyum, memahami maksud Irfan di sebalik kata-katanya tadi.

Tiba-tiba kedengaran bunyi `brisik’ (bising) seperti suara orang bergaduh. Aku dan Irfan berpaling ke arah suara tersebut. Memang betul ada dua kumpulan kanak-kanak sedang bergaduh. Salah seorang dari mereka adalah kanak-kanak cacat yang aku berikan duit tadi. Aku terkejut melihat keadaan anak itu.

“Eh Irfan, tengok anak tadi sudah boleh berdiri dan berlari!” Separuh menjerit aku memaklumkan kepada Irfan. Irfan hanya ketawa berdekah-dekah ketika melihat raut mukaku yang sangat terkejut ketika itu.

“Kan aku udah bilang, kamu nggak kenal mereka,...lalu sekarang kamu udah kenal kan?” Sekali lagi Irfan menempelakku. Aku sedikit tersinggung ditertawakan tetapi aku ikut ketawa untuk menutup maluku.

“Ok lah lain kali aku pastikan aku jadi orang pelit (kedekut) kayak kamu...,” balasku.

Kami sama-sama ketawa. Aku mendapat pengajaran berguna di Pasar Senin ini. Di Malaysia pun mungkin ada insan seperti ini, tetapi aku tidak pernah terkena macam hari ini, jadi tak sedar akan perkara sebegini. Alhamdulillah. Selepas ini mesti `extra’ berhati-hati.

“Nur, Jumat nanti aku ke Australi lagi.” Irfan memecahkan kesunyian petang Rabu selesai kuliah Pengantar Ilmu Sosial. “ngapain..?” Tanyaku. “Ngantarin adik perempuan gue yang lagi liburan SMA (Sekolah Menengah Atas) ketemu nyokap bokap di sana,” jawabnya.

Aku hanya menganggukkan kepalaku tanda faham. “Lho, nanti gue sendirian ikut koir dong?” kataku.

“Kalau nggak punya teman, minggu ni nggak usah ikut, munggu depan aje sama gue ok.” Pinta Irfan sambil menunggu jawapanku.

“Ok, kalau nggak punya teman.....,” jawabku akur. Sebenarnya aku rasa bagus juga kalau Irfan tiada Jumaat ini, berarti aku boleh ikut koir kerohanian sampai tuntas minggu ini. Sendirian.

Selesai kuliah hari Jumaat, aku terus ke dewan kuliah yang selalu diadakan acara koir kerohanian. Tiada lagi orang berkumpul di depan dewan kuliah. Apakah sudah selesai atau anak-anak belum datang? Aku berdialog sendirian. Ketika aku hampiri, kedengaran mereka sudah memulakan majlis nyanyian. Lagu pertama sedang dinyanyikan. Aku menyelinap masuk dari pintu belakang. Aku mengambil tempat duduk di baris paling belakang, kerusi berhampiran dengan pintu. Nanti kalau tak seronok seperti yang diharapkan, lebih mudah aku keluar.

Aku berdiri bersama anak-anak yang lain. Kelihatan rakan-rakan kelasku yang lain berdiri di depan. Beberapa orang yang lain berdiri menghadap ke arah kami. Mereka AJK untuk majlis ini. Sungguh sedap suara mereka berpadu menyanyikan lagu-lagu koir ini. Semuanya memuji Tuhan. Sungguh meresap ke dalam jiwa mewujudkan semangat yang segar sekali. Aku menghembuskan nafas lega selesai nyanyian pertama.

Seterusnya nyanyian kedua. Lebih syahdu dan sendu, mengadu, memohon dan meminta kepada Tuhan. Perasaan yang sama aku rasai ketika berdoa selepas solat malam, yang jarang-jarang dapat aku lakukan sepanjang hidupku. Bukan kerana kesibukan atau tiada kesempatan, tetapi kurang kesedaran tinggi untuk melakukannya. Huh, amat terasa betapa kurangnya ilmu agama di dada.

Aku terus mengikuti dan menghayati bait-bait puitis kata-kata yang diungkapkan dalam nyanyian tersebut. Semakin lama aku rasa semakin menarik dan menyebabkan aku rasa hatiku semakin gembira dan tenang. Aku yang tadinya ada niat untuk keluar lebih awal, akhirnya tidak jadi. Aku tunggu sampai selesailah. Lagipun aku tiada urusan lain selepas ini.

Ya Allah, rupanya ada cara yang boleh menarik golongan muda terutama golongan remaja liar untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Inilah cara yang praktikal. Nyanyian. Anak-anak remaja sukakan lagu-lagu. Aku membuat kesimpulan sendiri. Di negaraku, rasanya tidak ada majlis-majlis seperti ini, mungkin nyanyian dianggap bertentangan dengan ajaran Islam, kerana ianya boleh meleka atau melalaikan. Agaknya lah.

Setelah lebih kurang lima buah lagu dinyanyikan beramai-ramai. Akhirnya sampailah ke acara membahagi-bahagikan hadiah dan wang sumbangan kepada beberapa orang mahasiswa. Nampak sekali kegembiraan si-penerima hadiah dan sumbangan tadi. Mereka ini adalah dari kalangan mahasiswa yang kurang mampu.

Seterusnya adalah kemuncak acara. Pengerusi Majlis mempersilakan seseorang untuk memberikan ucapannya. Orang yang dipanggil berdiri memegang tongkatnya, macam Imam nak membaca khotbah. Lelaki separuh umur ini menuju ke depan dan berdiri tegak mengarah ke hadirin. Dia menundukkan kepala tanda hormat sebelum memulakan bicaranya. Ketika beliau menundukkan kepalanya, dalam cahaya yang kurang terang itu aku ternampak satu simbol yang sangat aku kenali di bahagian depan topinya. Ya Allah, cetus hatiku.

Hatiku mula berdegup kencang. Suatu perasaan yang tidak enak mula menerpa di benakku. Ya Allah, apa yang aku dah buat ni, tanyaku pada diriku sendiri yang mula mengesyaki sesuatu. Degupan jantungku semakin kencang. Ketika lelaki tadi memulakan ucapannya, darahku berderau dan mula memenuhi ruang mukaku. Peluh dingin mula keluar di seluruh liang romaku. “Syukur kerana kita diizinkan oleh Yesus Kristus untuk sama-sama berkumpul di hari ini........,” ucapan lelaki yang kurasakan sebagai `Pope’ atau paderi di kalangan orang Kristian, sudah aku tidak dengar dengan jelas lagi. Pendengaran dan pandanganku mula kabur sebentar. Aku memang cepat pitam kerana tekanan darahku rendah.

Aku berlari keluar dalam keadaan yang kurang stabil. Menuju ke bawah tangga tempat kami selalu `lepak’ ketika menunggu kuliah. Menenangkan diri seketika. Memohon ampun pada Allah sekiranya apa yang aku lakukan sebentar tadi dan dua minggu lepas adalah satu dosa. Sumpah, aku tidak sengaja.

Aku termenung sejenak, teringat beberapa kisah orang murtad. Tidak susah rupanya untuk murtad. Hanya dengan nyanyian dan hadiah-hadiah berharga seperti tadi, bagi orang yang lemah dan memerlukan, akan sangat berharga nilainya.

Ya Allah sesungguhnya sangat lemah aku ini sebagai makhlukMu. Tolonglah ampuni aku.
Kemudiannya aku terus pulang ke kostku dalam perasaan yang masih bercelaru.
Ambil wuduk dan terus menunaikan solat taubat dan berdoa.

“Ya Allah ampunilah dosaku, sekiranya ini satu dosa. Sesungguhnya aku makhlukMu yang sangat lemah dan selalu khilaf, berilah petunjukMu dan tunjukkanlah aku jalan yang benar dan Engkau redhai. Sesungguhnya apa yang aku lalui sekarang merupakan pedoman untuk aku agar lebih berhati-hati di masa akan datang. Terima kasih dan syukur alhamdulillah kerana Kau masih memelihara aqidahku, melindungi aku dari kekufuran dan kemungkaran. Hanya Engkau yang maha tahu atas setiap kejadian. Amin ya rabbal alamin. ” Hanya itu doaku sebagai tanda penyesalanku.

Agaknya inilah sebab mengapa Irfan mengajakku keluar sebelum majlis tamat. Irfan, Irfan, kenapalah kau tak menjelaskan kepadaku perkara sebenarnya.

SALAM IDULFITRI MAAF ZAHIR BATIN DAN SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 54.

Al-fatihah untuk arwah kakanda Norezah Eizan Ab. Halim, ( 31.8.1988).

Nor Aizan Ab. Halim, Pasir Mas, 31 Ogos 2011 bersamaan I Syawal 1432.

No comments:

Post a Comment