Wednesday, 31 August 2011

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 7 – Ismail Abdullah

“Persahabatan bersambung semula”
“Sudah sejak lama aku menanti dan mencari teman lama yg tidak bersua selama 40 tahun, dari niat yg tulus dan semangat saya berusaha melalui facebook mencarinya...., semula aku ragu apakah dia yang ku cari?.... Setelah bertanya ternyata….. Alhamdulillah”, tulis Chairil Anwar yang membahasakan dirinya sebagai Wawan ketika kami mula bertemu di Jalan Jalak, Bandung tahun 1971. Itulah detik permulaan kami dalam episode persahabatan bersambung semula.

“Melalui media ini (FB) aku dapat berkomunikasi, teman yg sudah aku anggap abang sendiri ternyata... dia Ismail bin Abdullah. Kini hiasan rambut telah berubah putih seperti juga aku. Entahlah apa yg akan terjadi apabila kita bersua di darat, kerinduan kah, mengenang masa-masa dahulu; Kita bercanda, bermain “hockey”, berangkat tarawih bersama ke masjid Istiqamah, entahlah.....(?). Semoga pertemuan kita nanti menjadikan ikatan silaturahmi yg lebih erat kembali.” tutur Wawan Jalak yang menambah kepada namanya perkataan Jalak agar jelas beliau berasal dari Jalan Jalak, Bandung yang penuh dengan sejarah itu.

Aku terus membalas mesejnya dalam FB dengan kata-kata, “Saya sungguh mengharapkan kita bisa menghidupkan kembali persahabatan 40 tahun yang lalu, namun tentunya pada pentas yang sungguh berbeda. Masing-masing sudah punya isteri, anak, menantu, malah sudah ada cucu lagi... itulah kehidupan yang tidak pernah berhenti berputar selagi kita masih hidup... Insya Allah hidup kita akan bahagia dengan keluarga tercinta di samping dan selalu bermunajat kepada Allah mohon kebaikan dan kesejahteraan sepenuhnya. Amin!!!”

Dalam siri lalu, aku pernah menyebut yang berada di kiri aku dalam foto itu sebagai Dany, ternyata daya ingatku agak kurang. Wawan telah memberitahu bahwa yang di sebelah sekali itu ialah Himmy anak Ibu Wied Hartono, jiran kami yang tinggal di Jalan Jalak 17. Kami menyewa rumah di Jalan Jalak No 14. Ketika itu Himmy masih di Taman Kanak-Kanak (TK), sekarang sudah dewasa, mungkin sudah berumur sekitar 46 tahun. Adik Wawan yang bernama Dewi pun ketika itu berumur 10 tahun, sekarang sudah berumur 50 tahun.

Aku tidak memperolehi info yang banyak melalui FBnya Himmy, namun apabila kami bertemu di Bandung Oktober 2011 Insya Allah nanti mungkin banyak mistri itu akan terurai. Aku dan Dewi kemarin sempat ber”sms”, ternyata beliau kini giat dalam bisnes makanan dan bisnes beliau sedang meningkat. Sementara Wawan pula seorang konsultan lingkungan (environmental consultant) dan sedang mendirikan Pesantren Moden di Bandung yang konsepnya akan aku selidiki Oktober 2011 nanti. Dua puluh tahun (20) yang lalu beliau tinggal di Bekasi, Jawa Barat. Bekasi ialah sebuah kota berhampiran dengan Jakarta.

Sejak dulu lagi aku selalu mengamalkan konsep “berkawan biar seribu, bermusuh jangan satu”. Apabila kita berkawan kita boleh menilai kawan yang ikhlas dan yang tidak ikhlas. Kawan yang ikhlas akan menerima kita seadanya, iaitu segala kekurangan kita dimaafkan dan segala kekuatan kita dikongsi bersama. Naik sama mendaki dan lembah sama dituruni. Suka duka dikongsi bersama. Bila kita ikhlas, tidak apa yang perlu dirahsiakan. Apa yang kita cari ialah redha Allah, bukan redha manusia.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 1 September 2011.

Tuesday, 30 August 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 9 – Nor Aizan Ab Halim

“Nyanyian Kerohanian 2”

Jumaat tiba lagi. Tidak sabar untukku menghadiri koir hari Jumaat. Aku mencari-cari kelibat Irfan, dari jauh aku lihat dia sudah berkumpul bersama anak-anak di depan bilik kuliah umum. Dia agak terkejut melihat kehadiranku kali ini. “Mau ikutan lagi Nur?” Tanyanya. Aku mengangguk mengiakan.

Seperti minggu lepas, belum selesai majlis, Irfan sudah mengajak aku keluar dari bilik kuliah itu ketika acara masih berjalan rancak, “ke mana kita?” Tanyaku sambil merenung muka Irfan, “gue lapar banget, nggak sempat sarapan tadi, temanin gue makan boleh?” Irfan menjelaskan.

Aku mengangguk. Alahai, tak dapat juga nak ikut koir sampai habis, rungut hatiku sedikit kesal dengan tindakan Irfan yang mengajak aku keluar sebelum majlis habis. Tak apalah, minggu depan masih ada waktu, aku memujuk hatiku sendiri.

Selepas makan, Irfan mengajak aku menemaninya ke Pasar Senin kerana dia memerlukan beberapa buah buku wajib dan buku rujukan. Pasar senin, tempat yang popular untuk anak-anak kuliah mencari buku yang sesuai dengan poket mahasiswa. Buku yang sama kandungannya, tetapi harga lebih murah kerana dari segi kualitinya memang jauh berbeza dari yang asli. Sangat mudah tercabut helaiannya. Untuk mengelak dari cepat `relai’ atau hancur bukunya, aku suka `membinding’ semula. Lagipula akan kelihatan lebih kemas dan menarik, lebih seronok untuk dibaca.

Irfan membeli banyak sekali buku, satu beg plastik besar. Memang Indon yang satu ni hobinya membaca buku. Aku juga membeli beberapa buah buku, terutama untuk kuliah pengantar dan teori-teori ilmu komunikasi serta teknik-teknik menulis berita. Buku-buku ini sangat berguna kerana belajar tanpa buku rujukan atau buku panduan, akan jadi tidak fokus dan sukar untuk memahami isi kuliah yang dosen ajar.

Perut juga sudah berkeroncong, lagu `Keroncong Untuk Ana’. Lapar la tu, maklum jam sudah menunjukkan pukul dua kurang lebih pukul tiga di Malaysia. Kami belum makan rupanya. Leka mencari buku-buku kami tadi sampai terlupa mengisi perut. Kami menuju ke sebuah warung yang kelihatannya lebih bersih berbanding warung-warung yang ada berderetan di tepi jalanraya Senin ini.

Ketika leka menghirup kuah sup babat (perut) yang sangat sedap, kena dengan selera tekakku, tiba-tiba datang menghampiri seorang kanak-kanak perempuan cacat yang berjalan menggunakan lututnya tanpa kaki. Wajahnya jika direnung sangat menggambarkan keperitan dan penderitaan yang sedang ditanggungnya, lapar, dahaga, sakit dan malu. Itu andaian, dari pemerhatianku, seorang anak Malaysia yang dilahirkan dalam serba kecukupan, makan, pakaian dan tempat tinggal.

Tapi mereka, sangat daif, tidak pernah memiliki atau menikmati semua itu. Alhamdulillah Tuhan atas kurniaanMu untuk aku makhlukMu yang sangat lemah ini. Tetapi Tuhan, aku juga memohon agar Engkau juga memberikan ruang untuk anak-anak malang ini menikmati walaupun hanya sedikit dari apa yang Kau kurniakan padaku. Amin.

Aku menghulurkan wang Rp10,000 atau kalau tak salah ketika itu bernilai RM8.00 kepada `bocah’ malang tadi. Irfan kelihatan terkejut, “banyak kali kamu kasi uangnya Nur.” ujar Irfan. “Kenapa? Aku Cuma kasian melihat anak ini, malang nasibnya, udah perempuan, cacat lagi...,” jawabku sambil menggelengkan kepala tanda rasa kasihan yang amat mendalam.

“Nur, kamu nggak kenal mereka. Bisa bankrup kamu kalo setiap pengemis yang kamu jumpa kamu mau kasi uang, berjuta jumlahnya mereka di sini,” ujar Irfan sinis, seakan-akan memerliku. Aku tahu sebenarnya Irfan memang berniat memerli aku pun, setelah melihat aku setiap kali keluar dengannya, akan memberikan wang atau makanan untuk anak-anak pengemis atau pengamen.

“Kasian mereka, aku nggak bisa hanya melihat tanpa menghulurkan sesuatu,” balasku sambil senyum, memahami maksud Irfan di sebalik kata-katanya tadi.

Tiba-tiba kedengaran bunyi `brisik’ (bising) seperti suara orang bergaduh. Aku dan Irfan berpaling ke arah suara tersebut. Memang betul ada dua kumpulan kanak-kanak sedang bergaduh. Salah seorang dari mereka adalah kanak-kanak cacat yang aku berikan duit tadi. Aku terkejut melihat keadaan anak itu.

“Eh Irfan, tengok anak tadi sudah boleh berdiri dan berlari!” Separuh menjerit aku memaklumkan kepada Irfan. Irfan hanya ketawa berdekah-dekah ketika melihat raut mukaku yang sangat terkejut ketika itu.

“Kan aku udah bilang, kamu nggak kenal mereka,...lalu sekarang kamu udah kenal kan?” Sekali lagi Irfan menempelakku. Aku sedikit tersinggung ditertawakan tetapi aku ikut ketawa untuk menutup maluku.

“Ok lah lain kali aku pastikan aku jadi orang pelit (kedekut) kayak kamu...,” balasku.

Kami sama-sama ketawa. Aku mendapat pengajaran berguna di Pasar Senin ini. Di Malaysia pun mungkin ada insan seperti ini, tetapi aku tidak pernah terkena macam hari ini, jadi tak sedar akan perkara sebegini. Alhamdulillah. Selepas ini mesti `extra’ berhati-hati.

“Nur, Jumat nanti aku ke Australi lagi.” Irfan memecahkan kesunyian petang Rabu selesai kuliah Pengantar Ilmu Sosial. “ngapain..?” Tanyaku. “Ngantarin adik perempuan gue yang lagi liburan SMA (Sekolah Menengah Atas) ketemu nyokap bokap di sana,” jawabnya.

Aku hanya menganggukkan kepalaku tanda faham. “Lho, nanti gue sendirian ikut koir dong?” kataku.

“Kalau nggak punya teman, minggu ni nggak usah ikut, munggu depan aje sama gue ok.” Pinta Irfan sambil menunggu jawapanku.

“Ok, kalau nggak punya teman.....,” jawabku akur. Sebenarnya aku rasa bagus juga kalau Irfan tiada Jumaat ini, berarti aku boleh ikut koir kerohanian sampai tuntas minggu ini. Sendirian.

Selesai kuliah hari Jumaat, aku terus ke dewan kuliah yang selalu diadakan acara koir kerohanian. Tiada lagi orang berkumpul di depan dewan kuliah. Apakah sudah selesai atau anak-anak belum datang? Aku berdialog sendirian. Ketika aku hampiri, kedengaran mereka sudah memulakan majlis nyanyian. Lagu pertama sedang dinyanyikan. Aku menyelinap masuk dari pintu belakang. Aku mengambil tempat duduk di baris paling belakang, kerusi berhampiran dengan pintu. Nanti kalau tak seronok seperti yang diharapkan, lebih mudah aku keluar.

Aku berdiri bersama anak-anak yang lain. Kelihatan rakan-rakan kelasku yang lain berdiri di depan. Beberapa orang yang lain berdiri menghadap ke arah kami. Mereka AJK untuk majlis ini. Sungguh sedap suara mereka berpadu menyanyikan lagu-lagu koir ini. Semuanya memuji Tuhan. Sungguh meresap ke dalam jiwa mewujudkan semangat yang segar sekali. Aku menghembuskan nafas lega selesai nyanyian pertama.

Seterusnya nyanyian kedua. Lebih syahdu dan sendu, mengadu, memohon dan meminta kepada Tuhan. Perasaan yang sama aku rasai ketika berdoa selepas solat malam, yang jarang-jarang dapat aku lakukan sepanjang hidupku. Bukan kerana kesibukan atau tiada kesempatan, tetapi kurang kesedaran tinggi untuk melakukannya. Huh, amat terasa betapa kurangnya ilmu agama di dada.

Aku terus mengikuti dan menghayati bait-bait puitis kata-kata yang diungkapkan dalam nyanyian tersebut. Semakin lama aku rasa semakin menarik dan menyebabkan aku rasa hatiku semakin gembira dan tenang. Aku yang tadinya ada niat untuk keluar lebih awal, akhirnya tidak jadi. Aku tunggu sampai selesailah. Lagipun aku tiada urusan lain selepas ini.

Ya Allah, rupanya ada cara yang boleh menarik golongan muda terutama golongan remaja liar untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Inilah cara yang praktikal. Nyanyian. Anak-anak remaja sukakan lagu-lagu. Aku membuat kesimpulan sendiri. Di negaraku, rasanya tidak ada majlis-majlis seperti ini, mungkin nyanyian dianggap bertentangan dengan ajaran Islam, kerana ianya boleh meleka atau melalaikan. Agaknya lah.

Setelah lebih kurang lima buah lagu dinyanyikan beramai-ramai. Akhirnya sampailah ke acara membahagi-bahagikan hadiah dan wang sumbangan kepada beberapa orang mahasiswa. Nampak sekali kegembiraan si-penerima hadiah dan sumbangan tadi. Mereka ini adalah dari kalangan mahasiswa yang kurang mampu.

Seterusnya adalah kemuncak acara. Pengerusi Majlis mempersilakan seseorang untuk memberikan ucapannya. Orang yang dipanggil berdiri memegang tongkatnya, macam Imam nak membaca khotbah. Lelaki separuh umur ini menuju ke depan dan berdiri tegak mengarah ke hadirin. Dia menundukkan kepala tanda hormat sebelum memulakan bicaranya. Ketika beliau menundukkan kepalanya, dalam cahaya yang kurang terang itu aku ternampak satu simbol yang sangat aku kenali di bahagian depan topinya. Ya Allah, cetus hatiku.

Hatiku mula berdegup kencang. Suatu perasaan yang tidak enak mula menerpa di benakku. Ya Allah, apa yang aku dah buat ni, tanyaku pada diriku sendiri yang mula mengesyaki sesuatu. Degupan jantungku semakin kencang. Ketika lelaki tadi memulakan ucapannya, darahku berderau dan mula memenuhi ruang mukaku. Peluh dingin mula keluar di seluruh liang romaku. “Syukur kerana kita diizinkan oleh Yesus Kristus untuk sama-sama berkumpul di hari ini........,” ucapan lelaki yang kurasakan sebagai `Pope’ atau paderi di kalangan orang Kristian, sudah aku tidak dengar dengan jelas lagi. Pendengaran dan pandanganku mula kabur sebentar. Aku memang cepat pitam kerana tekanan darahku rendah.

Aku berlari keluar dalam keadaan yang kurang stabil. Menuju ke bawah tangga tempat kami selalu `lepak’ ketika menunggu kuliah. Menenangkan diri seketika. Memohon ampun pada Allah sekiranya apa yang aku lakukan sebentar tadi dan dua minggu lepas adalah satu dosa. Sumpah, aku tidak sengaja.

Aku termenung sejenak, teringat beberapa kisah orang murtad. Tidak susah rupanya untuk murtad. Hanya dengan nyanyian dan hadiah-hadiah berharga seperti tadi, bagi orang yang lemah dan memerlukan, akan sangat berharga nilainya.

Ya Allah sesungguhnya sangat lemah aku ini sebagai makhlukMu. Tolonglah ampuni aku.
Kemudiannya aku terus pulang ke kostku dalam perasaan yang masih bercelaru.
Ambil wuduk dan terus menunaikan solat taubat dan berdoa.

“Ya Allah ampunilah dosaku, sekiranya ini satu dosa. Sesungguhnya aku makhlukMu yang sangat lemah dan selalu khilaf, berilah petunjukMu dan tunjukkanlah aku jalan yang benar dan Engkau redhai. Sesungguhnya apa yang aku lalui sekarang merupakan pedoman untuk aku agar lebih berhati-hati di masa akan datang. Terima kasih dan syukur alhamdulillah kerana Kau masih memelihara aqidahku, melindungi aku dari kekufuran dan kemungkaran. Hanya Engkau yang maha tahu atas setiap kejadian. Amin ya rabbal alamin. ” Hanya itu doaku sebagai tanda penyesalanku.

Agaknya inilah sebab mengapa Irfan mengajakku keluar sebelum majlis tamat. Irfan, Irfan, kenapalah kau tak menjelaskan kepadaku perkara sebenarnya.

SALAM IDULFITRI MAAF ZAHIR BATIN DAN SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 54.

Al-fatihah untuk arwah kakanda Norezah Eizan Ab. Halim, ( 31.8.1988).

Nor Aizan Ab. Halim, Pasir Mas, 31 Ogos 2011 bersamaan I Syawal 1432.

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 6 – Ismail Abdullah

“Bertemu Wawan selepas 40 tahun”
“Maaf, apakah ini abang Ismail yang pernah tinggal di Jl. Jalak No. 14, Bandung, waktu mahasiswa dulu?”, tulis Chairil Anwar dalam mesej beliau dalam facebookku.

Aku tertanya-tanya bagaimana Wawan boleh menemuiku? Aku pun sebenarnya menunggu kalau-kalau Wawan dapat menghubungiku kerana fotonya telah ku perhatikan beberapa minggu yang lalu ketika menyusun semula foto-foto lama untuk di”scan”. Kebetulan ku perhatikan foto Wawan dan Himmy, anaknya Bu Wied Hartono. Fotonya hanya tinggal satu itu saja dan sangat berharap suatu keajaiban akan berlaku.

Rahmat Allah mengatasi segala-galanya dan aku mendapat mesej FB di atas dan aku sangat bersyukur dengan anugerah Allah ini dan semoga persahabatan kami boleh bersambung terus selepas ini.

Nama sebenar Wawan ialah Chairil Anwar. Aku masih menyimpan foto Wawan dan Himmy semasa masih di Sekolah Menengah Pertama (SMP), dan Himmy yang ketika itu mungkin masih di Sekolah Dasar (SD) atau Taman Kanak-Kanak (TK). Mereka adalah dua jiran cilik (kecil) aku semasa menyewa di sebuah rumah di Jalan Jalak, Bandung. Itu berlaku empat puluh (40) tahun yang lalu. Wawan punya adik bernama Dewi, mungkin nama sebenarnya Resmini Dewi.

Sewaktu aku menulis memori ini Wawan belum membalas mesej aku di ruangan mesej facebooknya, namun aku yakin Wawan ialah tetap Wawan yang aku temui 40 tahun yang lalu di Jalan Jalak berdasarkan foto keluarganya yang aku muaturun dari facebooknya. Cuma aku belum mendapat info tentang Himmy yang berada dalam foto itu.

Aku tinggal bersama Nordin Garif dan Manan Jais ketika menyewa di rumah Jalan Jalak itu. Nordin dan Manan bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor selepas pulang dari Institut Teknologi Bandung (ITB).

Pertemuan semula dengan Wawan ini sungguh bermakna kerana aku ingin bertemu beliau nanti dan ingin mewawancara beliau mengenai kehidupannya dan pandangan beliau tentang anak-anak Malaysia yang pernah beliau kenal ketika kami berada di Bandung dan juga ingin mendapatkan data yang tepat mengenai keberadaanku di Jalan Jalak tahun 1971 itu.

Kini Wawan ialah seorang konsultan mengenai perhutanan di Jakarta dan sudah berumur 53 tahun, beliau dilahirkan pada 26 Januari 1958 dan kelihatan masih segak (ganteng). Pertemuan dengan beliau nanti akan menghubungkan beberapa “memory” ku yang kian lupa kalau tidak segera dicantumkan kembali.

Ketika di Jalan Jalak itu aku suka sekali berkawan dengan anak di sekitarnya termasuk Jalan Titiran. Pernah beberapa kali aku menyertai pertandingan catur anjuran masyarakat tempatan dalam menyambut kemerdekaan Republik Indonesia. Ketika itu yang penting bagiku ialah bergaul rapat dengan masyarakat tempatan sambil mengenali mereka secara lebih dekat dan dapat sedikit sebanyak melancarkan penguasaan Bahasa Sunda ku. Aku menjadi mengunjung tetap Suboh berjamaah di Mesjid Al-Manar yang berada di ujung Jalan Jalak itu.

Sebenarnya kenangan ku menyewa rumah di Jalan Jalak bersama-sama teman ITB dan bersahabat dengan masyarakat setempat ialah salah satu cara kita membina jembatan persahabatan yang lestari antara Malaysia dan Indonesia.

Kekusutan hubungan antara Malaysia dan Indonesia hanya akibat dari salah faham kecil sahaja dan dimulai oleh hanya beberapa orang yang mempunyai kepentingan pribadi. Dalam hati kecil kedua-dua bangsa lahir keinginan mendalam untuk bersahabat dan saling bekerjasama dalam semua hal.

Ismail Abdullah, Hari Raya Puasa 1432H, bersamaan dengan 30 Ogos 2011.

Saturday, 27 August 2011

Kisah Anak Seni Di Jogja – Siri 11 – Siti Zainon Ismail

“Kegiatan PKPMI 1970-1973”
[Foto 1 : Penyampaian hadiah olahraga]
SEKEMBALI bercuti dan membuat pameran di Kuala Lumpur, aku harus segera melakukan sesuatu di Jogja. Urusan Abah sudah selesai. Dari wang Abah aku dapat membeli motor Honda pickup warna putih dengan tayarnya yang besar, kelihatan artistik sehingga teman-teman sekampus telah melihat kegiranganku, dan menduga memang kami sudah menikah di tanah air. Namun aku masih tidak tahu berita gunjingan itu. Aku kembali mendaftar untuk tahun kedua - dengan subjek yang semakin bertambah. Subjek Estetika Seni memang menjadi pilihanku bergabung dalam kursus Filsafat Seni Barat oleh Pak Kadir dan Filsafat Jawa masih berterusan, walau bukan subjek wajib. Jogja bulan April semakin panas. Ruang kuliah di AULA yang bergabung dengan beberapa jabatan lain, sudah menimbulkan aneka bau. Bau keringat dan aku mula terasa ingin muntah. Dengan kesedaran semakin kabur, aku bangun meminta izin keluar dari bilik kuliah dan tiba-tiba Juli sahabat se rumah turut bangun dan membimbingku ke bawah. Dia menahan beca dan kami tiba di rumah Ngampilan dengan suasana yang semakin kabur. Mata ku pedih, tekak ku kering. Juli memegang tanganku, menyentuh kening, "Oh, Zan panas sekali ini kau demam keras, biar kuhuungi Pak Abas ya ( Bapak Abas Alibasyah ialah Rektor ASRI). Aku tidak menjawab, rasa semakin sesak dan anggota makin melemah - lepas itu aku tidak tahu apa yang dilakukan Juli.

Aku sudah digotong ke Pusat Kesihatan Umum (PKU) Muhamadiah. Entah siapa yang mengotong (kemudian ku ketahui, Pak Abas mengarahkan kenderaan ASRI untuk membawa ku ke PKU). Aku terpinga. Rasa pening mula reda. Rasa muntah juga sudah menghilang. Tetapi beberapa jururawat sibuk memeriksa segala anggota tubuhku.

Selama 15 hari aku di rawat di PKU. Siapakah yang datang menjengukku. Made Wianta, Wayan Sika, Jovita, Juli kerap kali berulang. Muncul juga kawan PKPMI Abdul Rahman Kuraish, Zul dan Hussin Pawiro. Semua bertanya "Kau sakit apa ya?" Aku mengangkat bahu. Tambah Made pula "Kau tahu haaa, kau sudah di black magic sama Sang Pangeran heee" . Aku tertanya-tanya ilmu hitam? Siapa Sang Pangeran ? Made berlalu tanpa sudi menjawab kebingunganku. Wayan Sika membawa bekalan makanan dalam rantang, ayam goreng dan sayur lodeh. " Ini kubawa makanan dari ibu rumah kost mu.."

Setelah kembali segar tetapi masih tidak dibenar keluar aku mula berlegar di taman PKU. Memikir juga siapa yang akan membayar kos perubatan. Wang tabungan di BNI hanya RP 5,000. Kepada siapa aku harus meminjam? Sesekali terdengar suara radio mencelah dari ruang pesakit sebelah. Suara radio amatir tiba-tiba membawa pesan, " Rombongan mahasisa Universiti Malaya sekarang sudah tiba di Jogja disambut oleh HPMI" . HPMI? Kenapa bukan PKPMI? Sebelum ini aku sudah mendapat khabar dari sahabat lamaku yang menuntut di UM yang memberi khabar, PBMUM akan membuat lawatan ke Jogja...tetapi siapakah yang akan membawa Fahmi Ibrahim, Harun, Sani dapat mencariku...siapa yang dapat memberi khabar aku sedang di rawat di PKU. Tidak ada jawaban. Sehingga aku keluar seminggu kemudian ku terima surat tulisan tangan, yang memberi khabar amat menyedih. Dadaku sebak, rasa kilau memanah mata hari. Intinya yang membuat aku bertambah bingung. "Sampai hati Izan memilih lelaki Hindu itu. Kami kecewa, seharusnya Izan pulang membawa ijazah bukan suami". Aku tidak dapat meneruskan bacaan tulisan tangan itu. Surat kugumpal tetapi kukutip semula dan ku simpan dalam beg pakaian. Siapa yang menabur fitnah ini?

[Foto 2: PKPMI menerima kunjungan Fatimah Sham aktivis sosial dari USM)]

Keluar dari PKU keputusan ku amat jitu. Hanya setahun lagi, aku harus menyelesai kuliah. Aku sudah mendaftar untuk menulis tesis, mengambil ujian dengan subjek melebih jumlah waktu. Beberapa sahabat sekelas merasa aneh, "Kok ingin cepat pulang ya...ah kami main-main saja, tiga tahun kek, empat tahun kek ya bisa aja enjoy di Jogja. Kok kamu ingin segera pulang? " Mungkin itulah suara Nurma atau mungkin Ginting. Wajah Nyoman juga tidak muncul lagi. Sebaliknya sesekali muncul Ehjpi mengajak ku bermalam minggu dan kami dapat makan bersama di warong sate di depan Hotel Garuda. Terbetik juga rasa senangku bila Ehjpi datang dengan senyuman dan matanya berbinar kalau berbicara. Kadang-kadang dia menggenggam jemariku keras sekali. Tapi selepas itu Ehjpi menghilang begitu saja. Dia lelaki segak berasal dari Johor, tinggi perkasa yang digilai cewek sekampus di Universiti Gajah Mada. Ingin juga menyampai rasa yang mula bergelora. Tetapi siapakah yang bakal memulakan gejolak rasa itu, apakah dia juga kelu? Setelah dia menghilang aku juga tidak sedih, kerana di hati ku memang kosong, aku tidak perlu sesiapa demi masa depanku. Aku harus berdikari. Tanpa kasih sayang dan dicintai aku dapat mengharungi hidup yang penuh perjuangan. Ketika inilah detik puisi semakin bergelora hingga menjadikan aku bukan saja melukis tetapi juga menulis puisi.

Di manakah aku melarikan diri? Kadang ke Karangwui bertemu adik-adik putera puteri Mami Kartika. Kadang bermalam di rumah gerobak nenek Maryati, isteri Affandi di rumah Daunya.

[Foto 3 : Persembahan Pentomim Puteri Gunung Ledang]

Tetapi selebihnya, aku mengisi kegiatan bersama ahli PKPMI. Aku adalah Ketua AJK Biro Kesenian. Peluang ini kutampilkan dengan latihan tarian, membuat skrip persembahan meraikan HUT Malasyia. Juga menjadi penyiar suara PKPMI di RI Jogja. Menariknya kawan-kawan semua menyokong.

Sahabat baikku Zulkifli dan Hussien Wahab sungguh menyenangkan. Kamilah sahabat tiga serangkai merencana persembahan dan yang paling terkesan iaitu Pentomin Puteri Gunung Ledang. Aku menyediakan skrip berlandaskan teks Sejarah Melayu. Zul menyediakan rakaman suara dan Hussin turut membantu membuat setting dan prop pentas. Pelakon? Haaa, Mohd Noh sudi menjadi Sultan Mahmud, Maryati menjadi Nenek Kebayan, masih ramai yang terlibat, sebagai dayang. Ku lakar reka busana yang harus dipakai. Masing-masing dapat menyediakannya. Siapakah yang mengurus kewangan aku pun tidak tahu. Tetapi syaratnya , pasti memakai kain songket merah.

Sungguhlah persembahan itu menjadi juga dan mendapat tepuk sorak kawan-kawan yang tidak berani naik pentas. (Sekarang kalau kawan-kawan sudi berkongsi cerita ini, tolong tambah catatan memasukkan nama anda dan gerak lakon yang telah ada lakukan dalam PGL kita ).
[Foto 4 : Kumpulan Boria PKPMI]

Selain dari persembahan pentomin, kami juga membuat persembahan boria. Sesekali kami membaca puisi seperti acara Malam Bunga Rampai. Antara turut terlibat membaca puisi ialah Mohd Noh Damilin (sekarang NC Universiti Tun Hussin Onn), Zainee Ghazali ,tentu saja tugas ini disokong penuh oleh Azran Abd Rahman sebagai AJK Biro Perhubungan dan Komunikasi. Di hari sambutan Mauludur Rasul, kuajak Husin Pawiro dan Mansur Seman untuk turut membaca puisi Sirah Nabi. Menjadi juga, kerana di kalangan ahli PKPMI nampaknya akulah yang mengikuti kursus seni. Malam makin berbintang, bercahaya bulan. Kadang awan menutup cahaya di langit. Tetapi mentari kembali bersinar di pagi hari. Aku harus melangkah harus menyonsong arus, ya ibunda anakmu harus pulang dengan ijazah seni walau belum tahu nilainya di tanah air. Subhanallah..

Siti Zainon Ismail, 29 Ogos2011

Kisah Anak Seni Di Jogja – Siri 10 – Siti Zainon Ismail

“Puisi dan lukisan tarian”
[ Foto 1: Ikut serta pameran bersama Nyoman ]

LATIHAN tarian di Sanggar Tari Bagong Koesdihardjo, telah membawa garis lakaranku makin dinamis. Definisi seni tari umum makin dikemaskan dengan latihan di sanggar beliau. Di sini mula meniru gerak langkah kaki dan jemari. Tetapi aku tahu tidak mampu membawa gerak lelakon puteri jawa, luwes, lentok kemayu, sabar menyentik jari dan menggerak kaki sambil melibas batik wiron yang ketat itu. Amat perlahan teratur dengan ketokan saron dan gender gamelan Jawa yang terkenal luwes berbanding gamelan Bali dan Sunda.

Masuk minggu ketiga setelah menghafal gerak geleng kepala dan lirik mata, maka Pak Bagong tahu aku tidak berbakat untuk melanjutkan latihan sehingga ke acara persembahan Roro Kidul. Akhirnya beliau mencadangku agar melukis saja semua gerak tari. Inilah peluangku untuk menampilkan ciri gerak tarian Jawa ke kanvas sebagai persiapan ke tahun tiga.

Atien Wahyuningsih akhirnya terpilih untuk melakonkan watak utama, Ratu Roro Kidul. Secara fahaman klasik dan mistik Ratu Roro Kidul begitu cantik digilai lelaki. Terakhir konon berhasil ditakluki putera raja Kraton Hamangkubuwono. Tetapi dengan memilih Atien sebagai pelakon tari utama, Kraton Jawa mula geger. Bayangkan bila pemilihan itu jatuh ke gadis bertubuh besar, tinggi, kelihatan bagai seorang olahragawati berbanding seorang penari. Kami tertanya juga kenapa Pak Bagong tidak memilih Siti Adiyati - Ateik yang lebih lansing, luwes dan memang dari kerabat kraton Jogja sendiri. Tetapi kerana tugasku melakar dan melukis gerak tari maka ku tumpukan tugas itu dengan senang hati melakar dan melukis. Gaya kelincahan gerak tari ini akhirnya membiak sebagai ciri klasikku hingga kini. Apalagi ruang tari sudah dipenuhi pukulan gamelan (latihan hanya kaset), sehingga lukisan ku makin dinamis dan lincah.

Tetapi dengan Made Wianta, ceritanya jadi lain pula. Made anak seorang pendeta dari Apuan Bali, tetapi bercita-cita untuk menjadi pelukis moden dengan mendobrak gaya tradisi Bali. Dialah calon pelukis yang kini memang sudah terkenal sebagai pelukis dunia ini mengheretku ke Sanggar Sarawasti di Kolombo, Kota Baru. Dengan bangga dia bersuara, "Ngapain menari dengan gerak gaya bebek lenggang tu, ayuh dengan pendetlah haa..kau pelukis dinamis lagi lincahkan sketsamu ....lihat aku menggamel..hee ada sesuatu cerita baru buat kau haa" .

Sejak itulah masuk semester kedua, aku sudah dihias dengan busana tarian Bali, dengan kain gersinsing, rambut terhurai ke bawah bahu dan di atas bersanggul hiasan bunga kemboja. Dan beberapa kali sudah menjadi model lukisan potret hobi asisten dosen sketsa. Sahabat Jawa mengerling , Pak Fajar Sidik geleng kepala..." Edan anak ni sudah memBali, piye tho? " Akhirnya berita ini tersebar di seluruh kampus dan beralih ke dunia pelukis lain walau jauh letaknya dari Jogja. Pada hal aku hanya untuk menambah pengalaman, bagaimana ramai pelukis saling gembira mendapat model untuk dilukis, dan aku akan tercatat, wajahku dilukis dalam busana puteri Bali, dilukis oleh pelukis terkenal termasuk pelukis potret Sudarso, dosen kelas potret kami di ASRI.

[ Foto 2 : Berbusana puteri Bali, sempena Hari Kartini 1970 ]

Lukisan Nyoman yang sarat gaya ekpresionisme pula sudah digemari orang asing yang kerap datang ke sanggarnya di Jalan Prambanan. Sehingga dari sana dia juga diundang berpameran di Keduataan Amerika, Jerman dan Peranchis di Jakarta . Dia kerap melukis hingga ke Jakarta, Surabaya dan Bali. Kami pernah bergabung melukis di rumah beberapa orang biasanya kerabat kedutaaan asing di Jakarta. Aku kurang jelas dengan siasat pelukis ini. Yang jelas katanya "Selagi kita muda, kita harus ngebut melukis, tahu selera pembeli, dari sana dengan wang kita akan mudah untuk masuk ke dunia antara bangsa - untuk membina masa depan, aku akan menjadi pelukis terkenal" . Sungguh impiannya kini pelukis ini memang sudah tersohor dengan galeri mewahnya di Klungkung Bali.

Bila kami bersama melukis di Jakarta, stesen kami ialah di Galeri Seni di Jalan Gereja Theresia. Di situ sudah ada pelukis lain yang berkumpul terutama pelukis Nasyar. Bila aku tiba dengan baik hati Pak Nasyar akan memberi meja tidurnya untuk kutempati. Pagi-pagi kami akan membeli sarapan - nasi pecal gerobak yang singgah di depan galeri. Kerap juga aku makan berkongsi dengan Pak Nasyar yang pendapatan lukisannya tidak bisa mnenampung kehiduapan hariannya. Atau kalau jatuh malam Minggu aku lebih senang memilih rumah singgahan pelajar Malaysia di Jalan Budi Kemuliaan. Di sinilah aku berkenalan dengan teman-teman pelajar Akademi Ilmu Pelayaran (AIP). Aku mula berbaik dengan Nizam, Mazlan dan Nik. Bersama bercanda selebihnya berdongeng dengan impian masing-masing. Mazlan kebetulan kukenali ibunya yang juga berasal dari Gombak. Jadi aku merasa selamat bermalam di situ. Cerita kami, kadang ke selatan, ke utara. Gembira anak muda. Rata-ratanya mereka sudah mempunyai pacar dan malam adalah detik menikmati kebebasan malam minggu. Aku terpaksa menunggu hingga dinihari baru mereka muncul dan kami berkongsi cerita lagi. Sehingga aku hafal nama pacar masing-masing.

Tetapi ada perit lebih dasyat terdengar "Apa benar kau sudah pacaran dengan Pak Nyoman?". Atein bertanya. Aku tersedak dan mula menyelidik siapa di belakang tabir menemukan aku dengan kegiatan di Sanggar Saraswati, menemukan acara pelukis dan penari di situ. Cuma selepas itu satu, satu sahabat senior di ruang Ex-Reuni mula senyap. Tidak ada lagi gesaan agar kami menyediakan tulisan, sketsa dan puisi utuk jurnal Zavita. Jovita juga sudah pindah indekost sehingga aku harus juga cepat mencari bilik yang lebih kecil untuk menjimat perbelajaan bulanan.

Nyoman pula semakin gesit melukis. Kadang kami kehilangan beliau di ruang studio. Pekerjaan tesisnya sarjana (Drs) juga terbengkalai. Lukisannya tetap belum diterima oleh penilai dan ahli senat dan beliau terasa diperlecehkan hanya kerana karyanya mirip lukisan Affandi. Mungkin kegagalan mempertahan karyanya, beliau menumbuh idea lain seperti ucapnya "Aku harus cipta nama, aku akan ikut Jean pulang ke Kuala Lumpur" . Hingga hujung semester dia datang dengan tiket di tangan. "Aku sudah ada karcis pulang pergi, bawa aku pulang, aku ingin meninjau ruang pameran dan berpameran di sana ".

Aku tidak tahu apa lagi atas gesaan ini, tetapi niatnya untuk berpameran amat aku sanjungi. Tetapi pulang bercuti dengan membawa teman lelaki, masyaAllah. Pasti halilintar emak akan menerkam . Apa perasaan nenek dan emak? Entah apa pula alasan Nyoman dan bisiknya kepada teman-teman di Sanggar Saraswati , "Aku akan bertemu ibu Jean, akan melamarnya". Memang beliau kerap saja menyebut namaku dengan panggilan Jean mengingati mantan pacarnya perempuan Itali. Ayat melamar ini baru kutemui bila berjumpa kembali Made di Bali 20 tahun kemudian di Taman Ismail Marzuki. Berita ini juga tersebar ke telinga sahabat PKPMI terutama HPMI. Masing-masing mula berjarak dengan memandang aneh dan sinis kepadaku . Ya Allah mana mungkin aku menerima lelaki itu sebagai suamiku. Dia dengan pegangan agama Hindu yang mendalam? Lihat saja di telinganya selalu terjepit kembang merah atau kuning. Bunga itu biasanya memang telah disajen di luar pintu. Hanya Allah yang tahu gelisah dan kebingunganku. Tetapi demi perjuangan sahabat pelukis, aku dengan tersenyum melangkah pulang dan Nyoman dengan penuh semangat, telah kukenalkan dengan beberapa orang pelukis antaranya Lili. Dari sana beliau berhasil mengadakan pameran sketsa di Galeri Samad . Kubawa dia ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan berkenalan dengan Usman Awang dan Latif Mohidin. Kemudian dengan Lili, beliau terus dibawa ke rumah teman pelukis lain yang tidak kuketahui siapa. Dengan ibu, telah ku beri tahu, Nyoman bukan pilihanku untuk di jadikan suami. Aku tetap dengan pengangan utamaku, cinta tanpa pegangan agama yang sama hanya akan memudarat kasihku KepadaNya.

Allahuakbar , bimbing daku Ya Ilahi!

Siti Zainon Ismail, 28 Ogos 2011

Kenangan Semasa Di UI Salemba – Siri 8 – Zalilah Manan

“Dewi lebih disayangi Allah”

Masuk tahun empat pengajian kami sudah mula diberi pendedahan klinikal. Memeriksa pesakit di wad, di klinik harian, klinik gawat darurat dan tugas jaga malam mengikut giliran di departmen masing masing.

Terdapat tiga tempat utama latihan klinikal iaitu di RS Cipto Mangunkusumo (RSCM),
RS Tangerang dan RS Persahabatan, Rawamangun.

Kami biasanya bertugas dalam kumpulan 4 atau 5 orang bagi satu-satu bidang medis. Terdapat bidang Kanak-kanak atau pediatrik, Penyakit Dalam, Perbidanan dan Sakit Puan, Bedah, Neurologi, ENT, Kulit dan Kelamin, Mata, Anestesi dan juga Forensik.
Menjalani latihan di RSCM tidak terlalu banyak cabaran walau pun ia merupakan rumah sakit rujukan tertinggi kerana di situlah berkumpulnya semua warga medik dari berbagai strata. Bermula dari mahasiswa, dokter baru lulus, yang mengikuti program spesialis, pakar-pakar, konsultan dan professor-professor. Tanggungjawab besar tidak dipikul mahasiswa.

Di RS Tanggerang, keadaan sedikit berbeza. Penanggungjawab adalah Doktor Residen, tetapi kebanyakan waktu RS diselia oleh mahasiswa kedokteran yang sekali sekala berkonsultasi melalui telefon dengan Doktor Residen yang biasanya hadir cuma pada waktu pejabat.

RS Tangerang adalah sebuah RS daerah yang terletak agak jauh dari Jakarta. Anggota medis sokongan, peralatan, kemudahan makmal dan ubat-ubatan agak terhad berbanding rumah sakit yang terletak di kota Jakarta. Namun ia merupakan medan yang sangat banyak memberi peluang praktikal kepada mahasiswa asal sahaja mahasiswa berani mencuba dan menyahut cabaran. Di sana asrama penginapan dan makanan percuma disediakan untuk mahasiswa.

Aku kebagian menjalani latihan klinikal di wad pediatric RS Tangerang pada musim wabak denggi sedang memuncak. Setiap hari ada saja kes-kes yang memerlukan kemasukan ke wad. Tidak pernah ada katil yang kosong. Uniknya di sini, bukan hanya anak yang sakit tinggal di wad tetapi seluruh keluarga akan berada di situ, ibu, ayah, kakak, abang, adik. Kadang-kadang sewaktu rondaan wad, kami jadi bingung menentukan yang mana satu pesakit kerana semuanya berkumpul dan berkongsi katil pesakit. Tradisinya sudah seperti itu.

Aku masih belajar membedakan empati dan simpati. Garis pemisahnya masih kurang jelas bagiku terutama apabila menyangkut pesakit kanak-kanak. Bagi ku kanak-kanak seharusnya bermain riang dan penuh energi mengeksplorasi sesuatu. Melihat renungan polos dan lesu yang terbaring sakit membuatkan aku merasa sayu. Apalagi bayi-bayi kecil naïf yang seratus peratus menyerahkan diri mengharap perlindungan.

Malam itu aku bertugas jaga malam @ on call. Wad sedang sesak kerana selain susunan katil biasa, katil tambahan dibawa masuk bagi menampung bilangan pesakit yang meningkat mendadak. Nurseri bayi juga penuh. Aku memulakan rondaan malam di sektor kritikal di mana pesakit gawat di tempatkan. Dua orang kanak-kanak pesakit denggi berdarah sedang dalam proses transfusi. Seorang lagi sedang menunggu bekalan darah ‘platelet’ (untuk meningkatkan pembekuan darah) yang sudah dipesan.

Dewi baru sahaja dimasukkan ke wad petang tadi setelah lima hari demam panas, muntah-muntah dan hidungnya berdarah. Aku yang meyakinkan ibunya untuk masuk wad sewaktu Dewi datang untuk rawatan di klinik harian. Aku mendiagnosa Dewi sebagai diserang Demam Denggi Berdarah. Doktor Residen menyokong rencanaku untuk memberi transfusi.

Dewi berumur sepuluh tahun, berkulit putih, bermata bundar dan mempunyai sepasang bulu mata panjang dan lentik. Walau tampak sangat lesu, dia masih boleh tersenyum sewaktu aku memuji keberaniannya diambil darah sambil dipasangkan jarum infuse. Aku memberitahu Dewi bahawa dia akan cepat sembuh apabila nanti diberi transfusi darah platelet.

Aku memeriksa Kurnia, pesakit paling lama tinggal di wad itu. Berumur enam tahun, berkepala botak akibat kesan sampingan ubat. Kurnia adalah pesakit leukemia tahap lanjut di mana sel kanser juga telah menginfiltrasi sebelah matanya. Mata kirinya membengkak dan terjojol keluar. Dia telah berkali-kali berulang alik ke RSCM untuk berbagai prosedur dan rawatan tetapi kurang membuahkan hasil. Untuk menjalani transplantasi sum-sum tulang, tiada penderma sesuai dan tidak mampu, kata ibunya. Malam itu Kurnia berubah pendiam. Dia juga sudah dua hari tidak mahu makan.

Setelah memeriksa semua pesakit dan menuliskan rekod perubatan masing-masing, aku berkira-kira untuk kembali ke asrama. Aku baru sedar bahawa aku belum mengambil makan malam. Sewaktu melewati katil Kurnia, dia sedang berbaring tetapi sempat melambai tangan kepadaku. Sementara Dewi kelihatan sudah terlelap dengan cairan drip yang menetes agak laju. Setibanya di kaunter perawat, telefon kebetulan berdering. Aku menerima perkabaran kurang baik di mana bekalan darah dan platelet sudah kehabisan. Aku menjeling ke katil Dewi, dia masih tidur tenang seperti tadi. Aku berdoa dalam hati agar tidak ada perkara buruk berlaku padanya.

Di pintu masuk ke wad aku bertembung dengan partner ‘jaga malam’ ku Rahmini.

“Semua kelihatan stabil, cuma bekalan darah untuk Dewi yang baru masuk tadi sudah kehabisan.” Aku memberitahu dengan rasa kesal.

“Terus gimana, dong? Pleteletnya Dewi kan rendah banget.”
Memang sebenarnya kes seperti Dewi perlu dimasukkan ke ICU tetapi keadaan tidak mengizinkan. Tidak ada unit ICU di sini, untuk dirujuk ke rumah sakit besarpun, terlalu banyak prosedur dan ketidakmampuan keluarga pesakit menambah lagi halangan.
Aku baru separuh perjalanan menuju asrama apabila aku mendengar Rahmini berteriak memanggil namaku. Aku berlari kembali ke wad. Sudah ramai yang mengelilingi katil Dewi walau sudah diletakkan skrin penghadang. Terdapat limpahan darah merah di lantai, sangat banyak. Rahminisedang memberi bantuan CPR. Kami berganti-ganti berusaha tetapi takdirnya, Dewi tetap pergi tanpa kami sempat berbuat yang maksima.
Aku tidak dapat menahan kesedihan. Aku yang beria-ia benar menjanjikan transfusi darah buat Dewi ternyata tidak mampu ku tunaikan. Aku serba salah apabila memandang wajah duka ibunya.

“Harus tulis laporan kematian, dok!” seorang perawat memecah kesunyian.

“Aduh! Bagaimana caranya?” kami berpandang pandangan.

Tetapi belum sempat kami mengambil kesepakatan tiba-tiba terdengar jeritan dari sisi lain wad.

“Dok! Bantuin!”

Kami meluru ke katil Kurnia, peristiwa muntah darah diambil alih Kurnia. Darah segar membuak buak keluar dari mulutnya. Nafasnya mula melaju, wajahnya yang sedia pucat tampak membiru. Dalam kekalutan aku dan Rahmini berusaha memberikan apa sahaja berbekalkan sedikit ilmu yang kami ada, saling meyakinkan antara satu sama lain. Kadang-kadang mencuri-curi membuka buku nota kecil yang kami namakan ‘kitab’. Syukur, walaupun tindakan kami agak tidak keruan, Kurnia kembali tenang dan berhenti muntah darah.

Selanjutnya malam berlalu dengan agak tenang, namun hatiku masih belum mahu berkompromi. Walau aku baru sahaja mengenali Dewi, aku berasa sangat sedih kerana Dewi pergi membawa janjiku yang tak tertunai.

Dr Zalilah Abd Manan, 27 Ogos 2011

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 5 – Ismail Abdullah

“Pengalaman mendengar ceramah dan berkhotbah Jumaat”

Sejak tiba di Bandung pada 1970, hatiku begitu tertarik dengan mesjid. Mesjid Istiqomah menjadi mesjid pilihanku kerana kebetulan berdekatan dengan rumah indekostku. Kedua ialah Mesjid Salman kerana dekat dengan Institut Teknologi Bandung (ITB) tempat aku kuliah.

Ketika berkhutbah Jumaat, khatib bukan membaca khutbah, tetapi menyampaikan khutbah tanpa menggunakan teks. Kalau ada pun mungkin catitan kecil sebagai panduan. Penyampaiannya begitu licin dan teratur. Keluar dari hati dan terus hinggap di hati pendengar.

Aku tertumpu ke Mesjid Istiqomah kerana kualiti khatib atau penceramahnya hebat-hebat belaka. Bapak Prof Dr Hamka (Alm) pun pernah menyampaikan ceramah di Mesjid Istiqomah dan aku berada di barisan paling depan mengikuti kuliah beliau dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Bapak Kiyai Hj. E. Z. Muttaqien (Alm), Mantan Rektor Universitas Islam Bandung misalnya kalau menyampaikan khutbah atau kuliah bermula dengan tenang dan perlahan-lahan, kemudian tempohnya dilajukan sedikit demi sedikit sehingga bahan yang disampaikan itu benar-benar menyentuh kalbu dan menginsafi pendengar. Ucapannya diatur dengan rapi dan menarik sekali.

Kalau Bapak Drs Miftah Faridh pula, pembicaraannya lancar dan sesekali membuat pendengar ketawa dan tersenyum mendengar cerita lucunya. Beliau dengan muka yang tersenyum tetapi serius menyampaikan bahan ceramahnya sehingga kita terpaku mendengarnya. Sungguh indah olahan bahasanya.

Dalam hal sedih menyedih pula, biasanya akan diserahkan tajuk itu kepada Bapak Zainuddin Sulaiman, beliau berupaya membuat pendengar menangis dengan ceritanya yang cukup sedih. Dihimbaunya pendengar dengan kisah-kisah derita zaman khalifah ar-rasyidin. Biasanya aku hanya membiarkan saja air mataku meleleh membasahi pipi dan akhirnya aku merasa sungguh bahagia kerana boleh menangis kesedihan. Terasa dekat sekali dengan Allah dan RasulNya. Betapa Rasulallah beserta sahabat-sahabat beliau telah berkorban demi tertegaknya Islam di dunia ini.

Ramai lagi penceramah-penceramah hebat yang pernah ku dengar ceramah mereka di Bandung, rata-rata mereka begitu pandai mengolah bahan ceramah dan menarik minat pendengar. Ramai diantara mereka menulis buku-buku agama dan berada di pasaran buku Indonesia, mungkin kerana mereka begitu pakar dalam sesuatu bidang, apa yang mereka khotbahkan atau ceramahkan itu sudah ada dalam lipatan memori mereka dan apabila dikeluarkan kepada umum melalui ceramah nampak sangat teratur dan bersahaja. Mereka benar-benar menguasai bahan yang mereka sampaikan. Oleh kerana terlalu banyak mesjid dan musolla di sekitar Bandung, maka mereka mendapat kesempatan ceramah dan melatih diri mereka dengan baik. Setahu aku mereka tidak memerlukan tauliah seperti di Malaysia.

Rupanya latihan yang berterusan dan kesempatan yang banyak mereka perolehi dapat mematangkan cara mereka berkhotbah dan berceramah. Walau pun mereka tidak perlu mendapatkan tauliah, namun masyarakat dan Dewan Kesejahteraan Mesjid (DKM) akan menilai setiap penceramah yang hadir memberi ceramah di mesjid mereka. Mana yang kurang baik tidak akan dipanggil semula dan mana yang baik akan terus dipanggil untuk ceramah yang akan datang. Secara alami pemilihan dibuat atas kehendak jamaah kerana jamaahlah yang menyumbang kepada tabung mesjid atau musolla. Makin ramai jamaah datang akan makin terisilah tabung mesjid atau musollah berkenaan.

Aku dan Ishak mengambil peluang untuk ikut “Kulliyatul Mujahidin” suatu program yang diadakan oleh Mesjid Istiqomah untuk melatih pendakwah muda. Satu angkatan denganku ramai anak-anak Indonesia dan Thailand yang ikutserta. Semuanya bersemangat untuk menjadi mubaligh muda.

Sebagai latihan aku pernah diminta untuk berkhotbah Jumaat di Mesjid Istiqomah pada suatu Jumaat tahun 1973. Tajuk yang aku pilih ialah “Ukhuwwah Islamiyah” memandangkan tajuk itu tidak sensitif dan boleh merangkumi semua lapisan masyarakat. Aku fokus kepada Surah Al-Hujurat yang banyak membicarakan tentang ukhuwwah dan kaedah menjaga persaudaraan sesama Islam. Berirama juga badanku ketika akan naik ke mimbar dan rasa lutut seperti bergoyang.

Aku terus berdoa dan memberanikan diri. Aku terus mengingati petua-petua yang diberikan semasa kulliyatul mujahidin dan kursus “Public Speaking” semasa di ITM tahun 1969 dulu. Aku lihat semua mata tertumpu kepadaku, dan dengan sepintas teringat pesanan sifuku tentang berbicara depan umum, “anggaplah semua mereka itu tidak sepandai anda” dan teruskan dengan pembukaan, kemudian katakan apa yang anda ingin sampaikan dan sampaikan apa yang telah anda sediakan hingga tamat.

Aku terpaksa juga membaca bahagian awal dalam teks Arab dan terus membaca bahan-bahan yang telah ku sediakan, rasanya belum masa untuk “pandai-pandai” tidak pakai teks, nanti tengah-tengah khotbah lupa pula nanti. Aku ambil jalan selamat, sesekali khotabh keluar dari teks dan kemudian masuk balik, begitulah aku lakukan hingga tamat khotbah. Bahagian doa aku agak lancar kerana telah biasa mengamalkannya.

Sebaik saja selesai solat Jumaat pada hari tersebut, teman-teman sekuliahku dalam “Kulliyatul Mujahiddin” mengucapkan tahniah kerana telah berjaya menyampaikan khotbah dengan baik. Mereka tidak tahu betapa bergeloranya ombak dalam hatiku. Hanya Allah sahaja yang tahu dan bersyukur kerana Allah memberiku taufik dan hidayah untuk melepasi ujian khotbah yang menjadi syarat utama kursus “Kulliyatul Mujahidin”. Sungguh mencabar pengalaman itu.

Seterusnya ketika bulan puasa dan tarawikh mereka memintaku lagi untuk menjadi imam solat tarawikh dan memberi tazkirah pendek. Berdasarkan pengalaman berkhotbah aku dapat menyampaikan tazkirah dengan baik dan dapat memimpin solat tarawikh dengan sempurna. Alhamdulillah.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Ogos 2011.

Friday, 26 August 2011

Kisah Di Akademi Ilmu Pelayaran – Siri 2 – Cpt Halim Othman

“Suatu hari berbuka puasa di kapal”

Ini sebuah kisah berbuka puasa di kapal yang ku alami ketika bertugas di kapal MV Sapudi yang ketika itu menjalani galangan (dry-docking) di Pelabuhan Tg. Periok. Pengalaman ini sungguh memberi pengajaran bermakna kepadaku.

Lazimnya apabila kapal berada di pelabuhan yang berdekatan dengan rumah keluarga anak buah kapal (ABK), maka sudah pasti ABK yang berkenaan akan balik ke rumah apabila tugas jaga mereka selesai.

Tugas jaga dikapal semasa belayar dibuat secara bergiliran selama empat (4) jam bagi bahagian dek dan injin. Setiap orang bertugas selama 4 jam dan rehat 8 jam lepas itu kembali bertugas semula untuk 4 jam berikutnya. Masa bertugas ialah 00:00 - 04:00 dan 12:00 - 16:00 bagi “Second Officer” dan “Third Engineer”, 04:00 - 08:00 dan 16:00 - 20:00 bagi “Third Officer” dan “Fourth Engineer”; 08:00 - 12:00 dan 20:00 - 24:00 bagi “Chief Officer” dan “Second Engineer”.

Apabila kapal berada di galangan biasanya tugas tertumpu pada waktu siang sahaja, jadi ABK punyai banyak waktu luang setiap sore, ramai ABK yang ada rumah berdekatan dan tidak terlibat tugas jaga akan pulang ke rumah masing-masing.

Menjadi masalah dan kurang selesa apabila tukang masak juga mempunyai keluarga berhampiran pelabuhan itu, dia tidak akan memberi tumpuan pada tugasnya, memasak pun lebih kurang saja kerana cepat-cepat nak pulang ke rumah, yang menjadi mangsa adalah kami yang tinggal di kapal macam aku dan yang bertugas, terpaksalah juga makan apa yang disediakan. Keadaan saperti ini tidak menjadi hal yang boleh menyebabkan sengketa dikalangan ABK kerana kami saling memahami situasi, kondisi dan tolerensi (sikontol), lalu solusinya apabila di pelabuhan ABK boleh memilih untuk tidak makan dikapal.

Kebetulan sekali pada suatu sore waktu berbuka ada seorang Ahli Mesin Kapal / Masinis (Marine Engineer) keturunan Jawa yang tinggal sekitar Tg. Periok datang untuk bertugas pada jam 16:00 - 20:00, jadi dia membawa makanan dari rumah dalam rantang yang di sediakan oleh isterinya untuk mengatasi ketidakenakan makanan di kapal pada waktu berbuka.

Apabila tiba saja waktu berbuka, kami yang tinggal dikapal, pada waktu itu hanya beberapa orang sahaja, bergegas sama-sama ke meja makan di Ruang Makan Perwira (Officer Mess Room) untuk berbuka, pelayan yang bertugas telah menyajikan makanan yang telah di masak secara lebih kurang oleh KOKI (Cook), Sang Masinis ini membuka rantang untuk menikmati masakan isterinya, dia menawarkan makanan daging kepada ku sambil berkata;

“Ini daging babi kalau kamu mahu silakan!!!!”, kata Sang Masinis keturunan Jawa itu.

Aku tersentak dan kaget besar, dalam kepala ku bertanya lho kok bisa begini jadinya??.

Macam mana orang berpuasa apabila tiba berbuka puasa makan babi pula???

Aku tidak berani menyentuh makanannya, hanya dengan sopan dan berdiplomasi menolak pelawaan dia dengan ucapan terima kasih sajalah bang.

Sampai hari ini pun aku tidak pasti dengan kebenaran kata-katanya itu kerana aku baru saja berada dikapal MV Sapudi dan belum pun mengenali dia secara dekat kerana kami jurusan yang berbeza. Aku masih berfikir sendirian apakah beliau bercakap benar atau cuma mahu menguji aku. Mungkin saja perkataan BABI, itu hanya satu helah atau cara dia supaya aku tidak mengambil jatahnya yang terhad itu. Tapi kalau dibilang ini daging KHINZIR olehnya mungkin barangkali sudahku ambil kerana waktu itu istilah KHINZIR masih jahil bagiku. Pada waktu aku sekolah dulu ustaz-ustaz cuma sebut BABI itu HARAM dimakan dia tidak pernah pun menyebut perkataan KHINZIR, kalau tidak silap ingatan aku perkataan KHINZIR timbul apabila kerajaan Malaysia menerapkan NILAI ISLAM saja... hati2lah dengan perkataan....

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN...

Capt. Halim Othman, 27 Ogos 2011

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 4 – Ismail Abdullah

“Pengalaman MAPERMA”
Salah satu acara yang mesti dilalui oleh setiap mahasiswa baru ialah MAPERMA, singkatan bagi Masa Perkenalan Mahasiswa. Waktu itulah para senior mengambil peluang mendekati “cewek” cun. Ada juga yang mengambil kesempatan “balas dendam” kerana dulu senior buat dia macam tu, sekarang dia nak buat junior pula.

Jika aku bandingkan “ragging” di ITM tahun 1968 dengan MAPERMA di ITB tahun 1970 sangat jauh berbeza. Di ITM masa itu “ragging” dibuat selepas tengah malam di asrama, mungkin dibuat secara swasta kot. Pihak penguasa ITM tidak tahu acara begini tetapi nak buat laporan rasa serba salah pula, kadang-kadang suka juga sebab pengalaman. Apabila terkenangkan peristiwa itu, aku senyum-senyum sendirian. Lucu dan menghiburkan. Rasa geram pun ada. Ruangan ini tak sesuai untuk menceritakan perkara itu. Nanti kalau jumpa secara pribadi boleh aku bisik-bisikkan.

MAPERMA boleh dianggap sebagai acara perkenalan mahasiswa kepada institusi barunya. Para senior berkenalan dengan para junior dan acara begini patut diadakan. Beberapa foto kenangan masih aku simpan hingga kini. Terkebil-kebil kami apabila diarah berbaris, merangkak, meniarap dan berbagai aksi lain atas perintah senior. Rasa geram pun ada. Rasa geli pun ada. Dapat berkenalan dengan gadis cun pun ada. Macam-macam ada pokoknya.

Sifatku yang dulunya agak pemalu semakin jadi pemberani. Teman-teman seangkatan semuanya ramah-ramah. Senasib katakan. Aku masih ingat nama-nama seperti Christine, Sentoso, Hengki, dan Magdalena anak-anak Indonesia yang turut dipelonco atau dimapermakan. Turut sama teman-temanku dari Malaysia seperti Aziz, Rahim, Zhari, Jamil, Azizan, Zakaria, Ishak, dan Mustafa. Masing-masing sedih kerana disuruh buat macam-macam. Atas arahan senior kami terpaksa pijit bahu, semir (gosok) sepatu, menanyi, berkawat, bercerita, berlakun dan lain-lain. Siapa yang egonya tinggi masa itulah rasa terhina sekali. Tapi tiada apa yang boleh dilakukan. Ikut sajalah.

Mungkin melalui cara ini tahap ego boleh dikurangkan agar sama dengan rakyat biasa.
Pengalaman ini membuat kami insaf, yang kita masih berada dalam tahap perjuangan mematangkan diri. Rasa bangga kerana di ITB inilah Bung Karno, Presiden Pertama Indonesia yang pintar berpidato itu pernah kuliah. Walau pun ITB masih mempertahankan bangunan-bangunan warisan Belanda, tapi tahap keilmuannya tinggi sehingga diiktiraf seluruh dunia. Dosen-dosennya berwibawa dengan ilmu mereka.

Pemilihan untuk masuk ITB sangat sengit, hanya pelajar pintar saja yang dapat peluang memasuki ITB melalui ujian saringan yang ketat. Kami dapat masuk ITB melalui perjanjian G2G (Government to Government) dan juga berdasarkan peperiksaan yang setaraf di Malaysia. Kalau terpaksa ikut ujian saringan, berpeluh juga agaknya.

Lucu sekali ketika kami disuruh berbaris dengan pakaian kebangsaan masing-masing. Untung juga aku bawa sepasang baju Melayu ketika datang, kalau tidak nak cari di mana pun tak tahu. Masyarakat awam berbaris melihat kami berkawat. Tersipu-sipu dibuatnya ketika ada yang menyebut, “Ohh, dari Malaysia..ee…” dalam slanga mereka yang huruf “a”nya agak melampau sikit… Buat dek ajalah ketika itu. Mereka kenal dengan baju Melayu bersongkok itu dari Malaysia dan ketika itu panas konfrantasi mungkin juga masih ada.

Rambut kami digundulkan. Kalau ada yang sayangkan rambutnya, masa itu juga ada tim penggudulan rambut dah “standby”, siap untuk tugas-tugas memotong rambut biar pendek betul macam tentera.

Kami disuruh berhimpun di Aula Barat ITB untuk sesi penerangan tentang ITB. Pihak penganjur sudah mengatur sesi penerangan dengan rapi. Tiada pertunjukan multimedia seperti sekarang ini. Hanya penerangan secara lisan saja diberikan. Diterangkan sejarah penubuhan ITB dan juga diselitkan sejarah ringkas Indonesia.

Juga diterangkan kedudukan departemen atau jurusan di ITB agar kami dapat ke sana ke mari dengan mudah apabila tempat-tempat itu diketahui. Pada masa itu hanya beberapa perkataan saja yang faham, maklumlah baru tiba dari Malaysia dan masih belajar Bahasa Indonesia, jadi terpaksalah selepas acara MAPERMA selesai kami mencari kawan-kawan Indonesia untuk mendapat penjelasan lanjut.

Itulah sekelumit kisah tentang minggu perkenalan mahasiswa baru atau MAPERMA yang aku lalui bersama teman-teman di ITB.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Ogos 2011.

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 3 – Ismail Abdullah

“Hobi bermain catur”

Hobiku bermain catur cukup menggila ketika kuliah di Bandung. Toko buku bekas di Kiaracondong, Bandung habis ku gempur mencari buku-buku catur terbitan Indonesia. Sekarang apabila berkesempatan ke Bandung aku cari pula buku-buku bekas di kawasan Palasari. Suku kaum yang mendominasi catur ketika itu ialah suku batak, pun mungkin hingga sekarang. Tiap sudut kita akan sering lihat dua orang sedang asyik menggerak anak-anak catur buatan dari kayu. Beberapa orang lain akan mengelilingi dua pemain tersebut bagi memberi sokongan. Bagi mereka permainan itu sungguh mengasyikkan.

Demam catur pun menular padaku. Aku memasuki pertandingan catur di peringkat Rukun Tetangga (RT) dan sering juga menang. Hadiahnya berupa baju-T dan lain-lain. Minat terhadap catur mula berputik sejak aku di STAR lagi, namun kerana cita-cita belajarku lebih besar dari catur ketika itu aku perlahankan keghairahan bermain catur buat sementara.

Suasana di Bandung membuat hobi caturku kian menggembu. Apabila aku merasa penat belajar, aku akan membuka papan catur berbentuk kotak dan mengeluarkan buah-buah dari kotak itu dan menyusun pada posisi yang tepat dan mula bermain secara sendirian melalui buku. Pemain catur antarabangsa yang aku paling minat antaranya ialah Botwinik, Paul Keres, Paul Capablanca, Fischer, Karpov, Kasparov dan lain-lain. Hingga kini aku memiliki lebih daripada 40 buah buku catur yang aku kumpul sejak dulu lagi.

Permainan catur mempunyai tiga tahap permainan iaitu pembukaan, pertengahan dan akhir. Pada pringkat pembukaan saja sudah terdapat 20 gerakmula. Bidak boleh digerakkan satu langkah atau dua langkah ke depan. Kombinasi itu memberikan kita 16 gerakmula untuk bidak. Kuda kiri dan kanan akan menghasilkan 4 gerakmula. Jadi jumlah semua gerakmula catur ialah 20 bagi masing-masing pemain.

Kalau kita mengadap papan catur, dari kiri ke kanan diberikan notasi huruf A hingga H dan secara vertical dinomborkan 1 hingga 8. Jadi, terdapat 64 petak semuanya pada sebuah papan catur. Petak paling kiri dan paling bawah disebut sebagai petak a1, sebelah kanannya b1 dan seterusnya hingga h1. Notasi ini berterusan sehinggalah ke petak paling kanan dan paling atas diberi nama petak h8. Jika anda pemain buah Hitam, notasi yang sama berdasarkan pemain Putih mesti digunakan. Semua pemain catur faham tentang ini. Sistem ini dinamakan Sistem Algebra (atau Aljabar). Sistem ini sama dengan system koordinat dalam mata pelajaran algebra. Sistem ini lebih popular berbanding dengan system Inggeris yang menamakan lajur dengan nama buah catur dan baris dengan nombor 1 hingga 8. Saya lebih suka memilih Sistem Algebra kerana lebih sistematik dan notasinya pendek dan jelas.

Sebelum dua orang pemain catur mula bermain terdapat 32 petak kosong yang boleh menempatkan buah catur. Telah menjadi persetujuan umum bahwa pemain yang memegang buah putih akan membuat gerakmula dulu. Kira-kira sepuluh langkah pertama bagi masing-masing pemain dikira sebagai peringkat permulaan. Rasanya sudah ada ribuan buah buku catur yang hanya membincangkan tentang teori pemukaan sahaja kerana peri pentingnya pembukaan bagi seseorang pemain catur. Urutan keluar buah catur perlu diperhitungkan dengan teliti agar tiada kesalahan pembukaan dilakukan.

Peringkat pertengahan lagi teruja. Apabila buah catur makin berkurang, kita akan segera memasuki peringkat akhir di mana raja dengan raja akan bertarung dengan dibantu oleh beberapa buah catur yang masih ada sehingga menang, kalah atau seri.
Hobi itu masih tetap bersemi dalam diri ini hingga sekarang. Kadang-kadang lawan dengan komputer, biasanya aku kalah sebab program catur komputer lebih hebat kerana dengan cepat komputer boleh mengira segala kemungkinan yang ada dan memilih apa yang disebut sebagai “the best move”.

Teman bermain catur ketika di Bandung ialah Wan Daud Wan Yusof, seniorku setahun jurusan Fizika, ITB. Kami bermain pun ketika bertemu di Pusat Pelajar Malaysia di Jalan Sulanjana 24, Bandung bagi mengisi masa sementara menunggu sesuatu acara berlagsung di Pusat Pelajar itu. Kadang-kadang berpeluang juga bermain catur dengan Muhammad Yahya (sekarang Prof Dato Dr Muhammad Yahya) sama jurusan dengan Wan Daud. Rata-rata pelajar yang mengambil bidang sains analitik lebih gemar bermain catur berdasarkan perwatakan mereka.

Pengajaran yang aku perolehi dari permainan klasik ini ialah proses berfikir yang mendalam. Berfikir sebelum bertindak, jangan bertindak kemudian berfikir. Falsafah ini sangat berguna dalam kehidupan. Bekerja dalam sebuah pasukan. Itu pengajaran kedua. Bagi memenangi peperangan atau misi kita tidak boleh bersendirian, kena ajak kawan bersama-sama dan menyusun strategi dan taktik yang tepat. Melalui cara ini kemenangan pasti tercapai. Tetapi yang paling tidak disukai oleh ramai orang ialah proses berfikir yang lama dalam catur. Kita mungkin kalah waktu kerana berfikir terlalu lama dan apabila batas waktu yang ditetapkan habis dan lawan masih mempunyai banyak waktu kita boleh juga dianggap kalah. Jadi, efisiensi menggunakan waktu sangat penting dalam bermain catur. Malah kebolehan ini boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.

Walau bagaimana pun pengalaman bermain catur di Bandung sangat ku hargai sebagai persediaan kerja dan kehidupan. Prinsip-prinsipnya dapat kita terapkan bagi menjayakan kehidupan. Kemahiran menyelesaikan masalah catur baik dalam pertandingan atau permainan biasa akan membuat kita berani menghadapi apa saja cabaran yang mendatang.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Ogos 2011.

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 2 – Ismail Abdullah

“Mahasiswa Abadi”

Siri kali ini ingin ku ceritakan betapa fleksibelnya pengajaran dan pembelajaran di Institut Teknologi Bandung (ITB) sekitar tahun 70an secara khusus, dan mungkin juga ini berlaku di semua institusi pengajian tinggi di Indonesia secara am. Suatu metoda pengajaran dan pembelajaran yang aku rasa agak unik pada masa itu dan boleh diaplikasikan pada masa depan. Malah kaedah ini sedang berlaku melalui konsep “Pembelajaran Sepanjang Hayat”. Malah pada masa depan pelajar tidak lagi perlu ke kuliah kerana kuliah boleh diadakan melalui persidangan video. Pelajar boleh melihat guru dan sebaliknya guru juga boleh melihat pelajar, seolah-olah mereka berada pada satu tempat yang sama.

Aku mulai kuliah di ITB pada tahun 1970 dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1973, meneruskan hingga tahun 1976 bagi mendapatkan Sarjana Matematik (mendapat gelar Doktorandus (Drs)). Aku cuba mencari perkataan doktorandus dalam sijil tetapi tidak ada, namun secara umum masyarakat menggunakan gelaran itu. Gelaran bagi graduan sarjana wanita pula ialah doktoranda (Dra). Bagi jurusan teknik gelaran bagi sarjananya ialah Insyinur (Ir), tiada perbezaan antara graduan wanita dan pria. Itulah kebiasaannya.

Jadi, batas waktu bagi mendapatkan Sarjana di ITB ketika itu dari 3 tahun hinggalah x tahun. Kenapa aku nyatakan sebagai x, sebab ianya suatu pembolehubah bergantung kepada kemampuan seseorang mahasiswa. Aku katakan batas minimum tiga tahun ialah kerana pada masa itu mahasiswa seperti Agus, Purnomo, dan Eka pernah selesai dalam masa tiga tahun. Mereka dari Jurusan Fizika.

Mbak Yen (bukan nama sebenar) sebagai contoh, seorang kakak kelas pernah ku tanya padanya, “Mbak Yen sudah berapa tahun kuliah di Matematika?”, Mbak Yen seperti malu-malu menyatakan baru 19 tahun. Terkedu seketika aku mendengar pengakuan jujur Mbak Yen. Katanya dia harus kerja sambil kuliah sebab keluarganya susah. Itu angka yang paling besar yang pernah aku dengar mengenai batas waktu kuliah bagi seseorang mahasiswa ketika itu. Julat antara 3 hingga 19 tahun bagi menyelesaikan kuliah adalah biasa bagi mahasiswa ketika itu. Aku kurang jelas apakah batas waktu itu sudah berubah kini. Nilai x berada antara angka 3 hingga angka 19. Rata-rata mahasiswa boleh menyelesaikan studi lebih cepat kalau mereka punya cukup biaya.

Aku sungguh berharap Mbak Yen yang sungguh baik hati itu berjaya juga akhirnya mencapai cita-cita menjadi warga yang berjaya walau pun masa yang diambil untuk studinya agak lama.

Lazimnya, atau secara normal bagi mendapatkan ijazah sarjana ialah antara 5 hingga 7 tahun. Melebih batas waktu 7 tahun boleh dikira sebagai kategori Mahasiswa Abadi (MA). Dari situlah terbitnya istilah Mahasiswa Abadi, kerana wajah mereka yang berpredikat demikian sering muncul di jurusanku atau juga di jurusan-jurusan lain. Malah ketika aku akan pulang tahun 1976, aku dengar mereka dengan tekun masih kuliah. Hebat daya tahan mereka.

Setiap mahasiswa akan dianggap masih aktif sebagai mahasiswa jika dia mendaftar sekian jumlah kredit minimum setiap semester. Kalau mereka mengambil jumlah kredit yang minimum, sudah tentu waktu yang diambil untuk selesai agak lama. Kalau terpaksa mengulang kuliah pada semester berikutnya tentu masanya akan bertambah lagi. Semakin tinggi jumlah kredit, semakan mahal bayaran yang dikenakan, kecuali ada biasiswa atau dalam istilah di sana mendapat tugas belajar.

Setiap pelajar Malaysia yang mendapat biasiswa tahu bahwa batas waktu biasiswa ialah lima (5) tahun, jadi terpaksalah kami bergelut dengan buku agar selesai dalam batas masa yang ditentukan. Jika mempunyai sebab yang tidak dapat dielakkan, batas waktu boleh dipanjangkan sedikit dengan izin pemberi biasiswa. Oleh kerana kos hidup agak murah, pihak pemberi biasiswa agak fleksibel dari segi masa menyelesaikan studi. Janji boleh bergraduat dalam batas masa yang terpendek dan tidak memasuki kategori mahasiswa abadi (MA).

Sewaktu di ITB kuliah kami tidak mengikut angkatan. Kami kuliah ikut mata pelajaran. Jadi, aku lihat ada mahasiswa senior beberapa tahun dan juga ada yang junior setahun, semuanya menjadi satu mengikut mata pelajaran. Biasanya kuliah matematika agak sepi, sekitar 10 hingga 15 orang saja. Kalau mahasiswa lagi demonstrasi bilangan itu makin berkurang. Ada juga mahasiswa dari jurusan lain seperti jurusan Fizika mengambil kuliah matematik jadi setengah kuliah agak ramai sedikit dan setengah kuliah yang lain agak sepi. Itulah situasi kuliah ketika itu.

Teman-teman seniorku anak Malaysia angkatan 1969 seperti Supaat Ismail, Zuberi Jamaluddin, Abdul Wahab Jusoh, Azis Othman dan Zainuddin selesa mengikuti kuliah masing-masing dalam Bahasa Indonesia. Buku teks hampir semuanya dalam Bahasa Inggeris (BI) dan ini memberi kelebihan kepada mahasiswa Malaysia yang lebih terdedah dengan BI semasa di Malaysia. Buku-buku dalam Bahasa Belanda pun ada, tapi aku agak asing dengan bahasa itu. Mbak Siti, pengurus perpustakaan jurusan selalu membantuku mendapatkan rujukan yang baik dan terkini.

Teman Malaysia yang seangkatan denganku tahun 1970 ialah Abdul Aziz Ghani, Abdul Rahim Rahman dan Mustafa Abdul Latif (Almarhum) tekun menghadiri kuliah masing-masing, kadang-kadang sama kuliah dan kadang-kadang berbeza kuliah. Aku juga mengambil beberapa kuliah pilihan dari Jurusan Astronomi, Oseanografi dan Meteorologi bagi melengkapkan keperluan bergraduat.

Sesekali kami ke Lembang tempat peneropongan bintang yang cukup canggih bagi melengkapi kuliah astronomi yang sangat mengasyikkan itu. Melihat betapa hebatnya ciptaan Allah di langit. Prof Bambang Hidayat memang pakar dalam bidang astronomi ketika itu. Pembantunya Mas Joni, kakak kuliahku sering membantu kami dalam memahami lebih mendalam tentang astronomi.

Itulah sedikit kisah tentang Mahasiswa Abadi (MA) yang boleh juga kita aplikasikan kepada Pendidikan Sepanjang Hayat. Mencari ilmu itu tidak ada batas waktu, malah kegiatan mencari ilmu seperti tersebut dalam sebuah pepatah, “tuntutlah ilmu dari buaian hinggalah ke liang lahad”. Mencari ilmu sejak bayi hinggalah meninggal dunia.

Juga disebut oleh Ibn Abdil Barr, dari Anas r.a, bahwa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,

"Tuntutlah ilmu walau pun ke negeri China kerana menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam. Bahawasanya para malaikat akan menebarkan sayap-sayapnya bagi menuntut ilmu kerana redhakan ilmu yang dituntutnya."

Wallahu a’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Ogos 2011.

Kisah Di Akademi Ilmu Pelayaran – Siri 1 – Cpt Halim Othman

“Pengalaman belayar dengan beberapa buah kapal”

Aku dilahirkan jam 7:00 pagi pada 10 Disember 1953 di Kg. Kerpan, Mukim Sanglang, Kubang Pasu, Jitra, Kedah. Kampongku sebuah kawasan terpencil yang di kelilingi sawah padi, perhubungan ke bandar Alor Setar hanya secara berjalan kaki, berbasikal atau pun menaiki motorbot melalui sungai dan terusan.

Aku anak kedua pasangan Hj. Othman Bin Jalil dan Hjh. Chek Bt. Mat Isa. Pendidikan awalku bermula di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam bermula pada 4 Januari 1960 hingga 3 Disember 1965. Pada 9 Januari 1966 akau meneruskan pelajaranku ke Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Ayer Hitam, Alor Setar, Kedah dan terus hingga ke tingkatan tiga, menduduki peperiksaan SRP tahun 1968 dan berjaya melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat pada tahun 1969 dan seterusnya menduduki peperiksaan SPM 1970, menamatkan persekolahan pada 31 Disember 1970.

Aku merupakan antara murid yang terawal belajar di sekolah ini. Pada saat itu sekolah belum mempunyai bangunan sendiri, sesi persekolahan bermula dengan menumpang di Sekolah Kebangsaan Jerlun, kemudian pindah ke sekolah Pondok Lebai Hamid dan seterusnya ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan China Yuh Min, Ayer Hitam.

Pada tahun 1968, kami gembira sekali kerana sekolah telah mempunyai bangunan sendiri. Pada tahun yang sama aku menduduki peperiksaan SRP. Aku berada dalam angkatan pertama bagi sekolah ini. Guru Besar pertama kami ialah CikGu Zaqhlul Merican yang di pinjamkan dari Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Sebaik saja selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu setaraf dengan "Malaysian Certificate of Education (MCE)" dan "Senior Cambridge (SC)" aku telah berhijrah ke Kuala Lumpur, meninggalkan kampung halaman dengan perasaan yang cukup sedih untuk mencoba nasib di perantauan, sambil menunggu keputusan SPM.

Sewaktu di Kuala Lumpur aku telah memohon biasiswa kerajaan. Akhirnya aku berhasil mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang membuat tawaran untuk aku melanjutkan pelajaran ke Akademi Ilmu Pelayaran (AIP) di Jakarta pada awal tahun 1971 dalam bidang Sain Nautika (B.Sc. Nautical Studies).

Aku telah berjaya mendapat ijazah pertama berserta Ijazah Mualim Pelayaran Besar III pada 14 Oktober 1975 (Sijil Kecekapan Laut Malim Kedua = Certificate of Competency as Second Mate of Fereign Going Ship).

Ketika menjalani latihan industri aku telah ditempatkan di kapal "TSS Gunung Djati" (TSS= Turbine Steamship Ship) berbendera Indonesia, milik PT Arafat Lines, iaitu syarikat perkapalan yang mengendalikan angkutan jemaah haji dari seluruh pelusuk Indonesia dan dengan kapal telah berpeluang ke Mekah menunaikan umrah buat pertama kali pada usia remaja 19 tahun pada tahun 1972.

Satelah selesai musim mengangkut jemaah haji yang berlangsung selama enam (6) bulan, kapal "TSS Gunung Djati" yang ketika itu hanya merupakan satu-satunya kapal yang masih digerakkan dengan mesin uap di rantau ini, kapal itu dinongkrongkan (direhatkan) seketika dengan cara berlabuh di Laut Jawa berhadapan Pelabuhan Tg. Periok, Jakarta. Kapal ini dibeli oleh kerajaan Indonesia dan diletakkan di bawah pengurusan syarikat perkapalan Arafat Lines yang mengendalikan pengangkutan jemaah haji Indonesia. Kapal ini dibeli daripada kerajaan Jerman yang siap dibina pada tahun 1936, dan pernah digunakan untuk mengangkut tentera Nazi semasa perang dunia kedua.

Pada bulan April 1973 aku berpindah ke kapal "MV Belle Abeto" (MV singkatan untuk Motor Vessel i.e kapal yang digerakan dengan motor bukan uap lagi), kapal ini juga milik perushaan yang sama tetapi berbendera PANAMA, selesai musim haji kapal masih meneruskan pelayaran bagi mengangkut penumpang ke seluruh pelabuhan kepulauan di Nusantara.

Setelah selesai beroperasi kapal ini tiba waktu yang di wajibkan menjalani pembaikan dan pemeriksaan keselamatan, kerja-kerja ini hanya boleh dilakukan di atas dry-dock(dry-dock ialah tempat bagi mengeringkan air di kapal supaya bahagian bawah kapal dapat dibaiki dan diperiksa), pihak perusahaan memilih Hongkong untuk melakukan dry-docking, ini memberi kesempatan kepada aku untuk tinggal dan melawat selama 44 hari di Hongkong. Sebelum pelayaran ke Hongkong dilakukan kapal terlebih dulu singgah di Ampenan, Lombok untuk mengangkut sapi yang akan dihantar ke sana.

Sekembalinya dari Hongkong dan selesai masa belayar sebagai pelatih di PT Arafat Lines, aku diberi pilihan untuk balik bercuti atau pun mahu terus belayar dengan perusahaan lain, aku memilih untuk tidak balik bercuti ke tanah air tetapi mengambil peluang sekali lagi untuk belayar bersama kapal milik negara Indonesia iaitu Pelayaran Nasional Indonesia iaitu PN PELNI Lines, sewaktu belayar dengan kapal "MV Sapudi" yang juga berbendera Indonesia, aku berpeluang lagi melawat ke seluruh pelusuk kepulauan di Nusantara sebagai kadet dek.

Cpt Halim Othman, 26 Ogos 2011

UI Depok Sepanjang Perjalanan – Siri 4 – Samsul Kamil Osman

“Permulaan Sebuah Perjuangan”


Pagi ini awan mendung seperti ingin berarak pergi. Tetapi sepertinya mentari masih tak pasti apakah akan memunculkan diri. Kedengaran guruh dan kilat seperti menyapa dan menegur sesama sendiri, seperti ada tanda-tanda hujan pula yang akan turun menyirami bumi. Tapi aku belum terlalu pasti, apakah hujan akan membasahi bumi, atau saja nanti hanya seperti angin lalu, yang singgah dan kemudiannya pergi lagi. Air yang dibawa tak terlalu bererti, sekadar mencurah tapi tak sempat menyirami dan membasahi pohon-pohon, rumput-rumput dan segala penghuni di bumi yang telah lama menanti.

[Foto 1 : Mengiringi Duta Besar membawa lagu Getaran Jiwa]

Tetapi yang pasti, aku tak akan pernah peduli. Baik panas, mendung, hujan ataupun ribut sekali, ke kampus aku teruskan melangkah pergi. Apa yang penting ilmu yang aku cari. Aku tak peduli walau apapun yang terjadi, segala rintangan akan sedia aku harungi, walaupun ribut, taufan sanggup saja aku tentangi, asalkan tujuan asal dapat aku penuhi.

Ke kampus sekarang memangnya aku tak perlu ditemani lagi. Aku sudah bisa mengurus diriku sendiri, aku sudah bisa mengharungi cabaran dengan cekal dan berani. Semangatku sudah kental tak perlu dinafikan lagi. Aku harus pandai menjaga adab sopan supaya dipandang tinggi. Aku harus menjadi contoh terbaik supaya dikagumi. Aku harus berpekerti supaya ramai teman yang menyayangi dan disenangi.

[Foto 2 : Sebahagaian anak-anak Malaysia di Jakarta]

Hari ini aku harus cepat menghadirkan diri ke ruangan kuliah. Hari ini aku ada tugas yang harus diselesaikan dengan demi meningkatkan keyakinan diri. Hari ini aku harus tampil dengan lebih yakin dan berani. Hari ini hari pertama aku harus menampilkan kemampuan dan keupayaan diri. Aku akan diuji oleh teman-teman yang selama ini tak terlalu pasti. Apakah aku mampu berdiri sendiri? Hari ini untuk kali pertamanya aku maju ke depan untuk mempersembahkan tugas yang diberi. Tugasan dari dosen ‘Pengantar Sejarah Indonesia’ Ibu Sudarini MA. Ibu Sudarini seorang dosen senior yang sangat baik dan disenangi oleh semua anak didiknya.

Disebabkan sikap Ibu Sudarini yang baik hati dan sangat menghargai hasil kerja mahasiswanya dan tak pernah kedekut untuk memuji, maka aku dapat melaksanakan semua tugas-tugas yang diberi dengan baik sekali. Pembentanganku juga mendapat pujian dan sangat dihargai. Itu membuatkan aku dapat meningkatkan keyakinan diri. Apa lagi apabila teman-teman rata-rata memuji. Mulai hari itu, aku semakin mulai dikenali, ke mana saja aku pergi sudah ramai teman yang menawarkan diri untuk menemani.

[Foto 3 : Sambutan Kemerdekaan di Kedutaan]

Semakin hari aku rasakan kehidupan di kampus UI sudah sangat serasi. Penguasaan terhadap disiplin ilmu yang aku pelajari semakin mantap dengan bantuan rakan-rakan yang sangat baik hati. Aku sepertinya sudah dapat menambahkan keyakinan diri, apa lagi dosen-dosen juga sudah ramai yang mengenali. Ibu Nana, Ibu Sudarini, Mbak Ita, Mas Kasjianto, Ibu Manus, Pak R.Z. Leriesa, Pak Soetopo Susanto, Mas Iskandar dan ramai lagi dosen yang sangat ambil peduli. Aku sangat-sangat merasakan sesuatu yang istimewa menjadi mahasiswa di sini.

Rasa cinta kepada kehidupan di kampus membuatkan aku sering banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan di FSUI berbanding dengan rakan-rakan seperjuanganku dari Malaysia. Sejak mula aktif di kampus juga aku mula mengurangkan waktu untuk mengikuti program-program anjuran pelajar-pelajar Malaysia di Jakarta. Apa lagi di sebabkan faktor jarak yang begitu jauh di antara Depok dan Wisma Malaysia di Jakarta, menyebabkan aku mula menjarakkan diri untuk ikut dalam aktiviti di sana.

Kalau pun aku ke Jakarta, itu cuma untuk menghadiri acara-acara besar seperti Sambutan Malam Kemerdekaan Malaysia atau juga meraikan sambutan Hari Raya Aidil Fitri bersama warga Negara Malaysia di Kedutaan Malaysia, Jalan Kuningan, Jakarta Pusat. Walau pun begitu aku tak lepaskan peluang juga untuk menyumbangkan tenaga untuk membuat persembahan. Pernah ada ketikanya, aku diundang oleh TYT Duta Besar Malaysia Dato’ Abdullah Zawawi untuk mengiringi beliau menyanyi mendendangkan lagu ‘Gentaran Jiwa’, sambil aku memetik gitar. Itu antara kenangan manis yang tak akan pernah aku lupakan.

Pernah ada ketikanya juga aku diberi tanggung jawab untuk mengetuai kumpulan koir anak-anak Malaysia di Jakarta menyampaikan rangkaian lagu-lagu Patriotik sempena sambutan Hari Kemerdekaan di Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Imam Bonjol, Menteng, Jakarta Pusat. Ketika itu aku baru saja berada di tahun pertama di Jakarta.

Tapi itu hanya terbatas di tahun pertama, ketika aku belum mengenal cara hidup di kampus tercinta. Tapi apabila kehidupan di kampus mula menguasai jiwa dan rasa…., aku mula berjinak-jinak dengan kegiatan kemahasiswaan di UI. Ternyata banyak pengalaman yang dapat aku timba di sini. Jiwa kepimpinan mahasiswa sangat luhur dan tidak pernah berbelah bagi. Aku mula menyertai satu-persatu persatuan mahasiswa yang ada di sini.

Organisasi pertama yang aku anggotai di kampus ialah ‘Studi Klub Sejarah’ (SKS). Orang yang berjasa membawa aku mengenali dunia mahasiswa ini tentu sahaja sahabat baikku Andi Lubis(alm.). Kali pertama menyertai organisasi ini aku menjadi seperti sangat terasing sekali, apa lagi rata-rata yang menyertai persatuan ini adalah semua anak-anak Indonesia yang latar belakang budaya dan cara pemikiran mereka sama. Sedangkan aku ketika itu baru mengenal sejarah bangsa Indonesia, apalagi masih mengambil waktu untuk memahami jiwa dan budaya bangsa Indonesia.

Tetapi sesuatu yang menarik yang aku belajar dalam organisasi ini ialah semangat ‘kesatuan dan kesamaan, keserasian dan keselarasan, kecintaan dan persaudaraan’. Semangat ukhwah dan bersama dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil membuatkan aku sangat menyenangi untuk terus bersama SKS. Di SKS aku belajar, bahawa ilmu itu bukan hanya di kelas-kelas kuliah, ilmu itu harus dicari dan digali walau di mana sekali pun. Ilmu itu bukan untuk diri sendiri, tapi ilmu itu untuk dikongsikan bersama mereka-mereka yang dapat membuatkan kita rasa memiliki dan dimiliki.

Di sini aku mula belajar, bahawa tujuan mencari ilmu itu bukan untuk kegunaan sendiri. Tapi kita harus siap untuk mengabdikan diri. Ilmu yang kita cari bukan untuk membanggakan diri, tapi untuk menjadi orang yang siap menawarkan diri, kerana suatu masa nanti khidmat kita sangat dinanti-nanti, oleh orang yang telah lama tidak dipeduli. Dengan ilmu kita dapat menabur bakti, memimpin umat menjadi masyarakat bestari.

Kalau sebelumnya aku hanya seorang mahasiswa biasa, yang datang belajar untuk mencari pangkat dan nama. Tapi kini aku mula sedar akan hakikat sebenarnya, menjadi mahasiswa tak semudah yang kita sangka. Di pundak kita ada tanggungjawab yang tersedia, selepas berjaya, pulang untuk memimpin anak bangsa. Ilmu yang diperolehi tak hanya untuk kita saja, tapi harus kita kongsikan bersama. Barulah nanti hidup akan menjadi lebih bermakna, memanfaatkan ilmu untuk disumbangkan kepada anak bangsa. Barulah ilmu ada keberkatannya.

Samsul KamilOsman, Baling, 26 Ogos 2011

Thursday, 25 August 2011

Kenangan Semasa Di UI Salemba – Siri Ketujuh – Zalilah Manan

“Dipulaukan”

Dipulaukan adalah satu perkara yang menyedihkan dan sangat tidak menyenangkan. Apalagi kalau ia disebabkan oleh perkara yang remeh temeh. Tapi itulah antara perkara yang aku lalui pada awal kedatanganku ke bumi Jakarta. Entah di mana salahnya, aku terus dihadapkan dengan berbagai dugaan.

Azam (bukan nama sebenar) adalah antara siswa paling tampan dikalangan siswa lelaki yang ada. Dari cerita cerita yang ku dengar, tidak pernah ada cewek yang menolak jika diajak keluar oleh Azam, lebih lebih lagi cewek Indonesia. Aku juga mendapat tahu salah seorang rakan telah jatuh hati kepada Azam.

Malam itu malam minggu. Pelajar di Jakarta juga seakan terikut ikut dengan kebiasaan anak muda Jakarta yang merayakan malam minggu dengan menonton, berparti atau sekadar keluar bersiar siar. Aku yang tidak punya agenda khusus, duduk di aula menonton televisyen.

Tiba tiba Azam muncul mendekatiku.

“Ila, Jom keluar dengan Azam!”

“Tak nak lah!” aku spontan menjawab. Yang terlintas difikiranku saat itu adalah tentang rakan yang menaruh hati terhadap Azam. Aku tidak mahu menyinggung perasaan rakan itu.

“Tak nak tak apa, Azam keluar seorang!” Azam membalas dengan nada yang agak keras dan terus berlalu meninggalkan aku terpinga pinga.

Aku hilang fokus pada rancangan televisyen yang ku tonton, aku lantas mematikan televisyen dan keluar dari aula. Aku terserempak dengan Mamat yang sudah berpakaian rapi dan sedang memakai sepatu.

“Nak pergi mana?” aku bertanya.

“Dengar musik.” Jawab Mamat ringkas.

“Boleh ikut?” Aku bertanya lagi. Entah apa yang mendorong, mungkin kerana aku juga suka dengar musik.

“Boleh! Tapi pergi pakai kasut!” arah Mamat setelah terlihat aku hanya memakai selipar Jepun.

Aku dibawa ke sebuah tempat di mana ada pertunjukan ‘live band’. Kami hanya berjalan kaki ke situ kerana tidak jauh dari asrama Budi. Di situlah rupanya tempat Mamat sering mangkal sebelum ini. Kebetulan salah seorang pemain musik itu adalah rakan sekampus Mamat. Kami keluar dari situ sebelum tengah malam. Menurut Mamat, selepas jam 12 malam suasana mungkin menjadi agak kurang sesuai bagi cewek seperti aku.

Tiba di depan pagar asrama kami di sambut oleh sekumpulan pelajar geng Azam yang semuanya berasal dari sebuah negeri yang sama di Semenanjung. Masing masing menunjukkan wajah penuh emosi yang seolah olah akan membelasah Mamat pada bila bila masa. Aku sangat terkejut dan ketakutan, sangat bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini. Namun Mamat dengan tenang menyapa mereka dan minta diberi laluan. Syukur akhirnya mereka beredar ke tepi tanpa berkata apa-apa.

Susulan itu aku dipulaukan. Seluruh kumpulan langsung tidak mahu berkomunikasi denganku. Kurang lebih sebulan mereka memperlakukan aku begitu tanpa aku tahu pasti sebabnya. Yang paling mungkin adalah aku telah memecah tradisi Azam kerana menolak ajakannya dan mencalar egonya. Mamat juga terkena tempiasnya. Aku berasa sungguh sedih dan kecewa tapi tidak dapat berbuat apa apa. Entahlah.

Akhirnya, juga tanpa aku tahu pasti alasannya, Azam tiba-tiba meminta maaf diikuti sekumpulan rakan-rakannya. Kami berbaik semula dan aku, walaupun masih menyimpan kenangan ini, tidak ada sekelumit dendam pun terhadap mereka. Bagiku itu hanyalah rencah-rencah menuju kematangan.

Dr Zalilah Manan, 26 Ogos 2011