Friday 12 August 2011

Semester Satu dan Rumah Jalan Kuncen – Siti Zainon Ismail


1970
i.
SYARAT Untuk diterima mendaftar di ASRI ialah harus lulus ujian lisan dan amali studio. Tentu saja pihak pendaftaran kampus sudah menerima surat lamaranku dengan salinan lulus sekolah menengah, surat akuan pengesahan dari Kementerian Pelajaran Malaysia, boleh berbahasa Indonesia. Di hari pertama itu juga kami dibawa ke dalam studio untuk membuat lakaran dan esoknya membuat sketsa di halaman kampus di Gampingan. Lukisan cat air, lakaran arang dan tinta sudah diterima dan disahkan aku berbakat untuk mengikuti program seni lukis di Sekolah Tinggi Akademi Seni Rupa Indonesia (sekarang Institut Seni Indonesia - ISI)

Maka tibalah minggu suai kenal dengan istilah MAPRAM (Majlis Peloncoron Mahasiswa). Inilah waktu getir selama seminggu harus dilalui pelajar baru yang 'dikerjain' para senior - Raka. Kami harus berbaris untuk raptai sebelum berarak ke Kaliurang. Pakaian kami harus serba putih, baju, skirt, stokin, tali leher biru dan kasut hitam. Kepala kami dipasang topi besar (sebenarnya anyaman nyiru bulat ). Setelah ucapan rasmi disampaikan oleh Rektor Pak Abas Ali Basyah, maka kami bergerak, berbaris keluar ke arah jalan menuju ke Alun-alun, masuk ke Malioboro terus menuju ke arah kaki Merapi. Hatiku berbisik, 'Deraaan apaan ni, berjalan kaki menuju ke arah gunung Merapi. Peluh sudah merintih, kaki sudah berdenyut...hampir mendekati kawasan Karangwuni tubuhku menggelunggur dan kakiku terjelepuk. Antara sedar dengan tidak kudengar suara meriuh, panik, "Hoi anak Malaysia pengsan ayuh mobil, bawa ke PKU (Pusat Kesihatan Umum). Betulkah aku pengsan? Setengah pejam celek, bibirku ingin mengelopak senyum..aku masih sedar, aku sengaja mengelibuin para Raka...haaa..aku selamat tidak ikut serta berarak marching hingga ke Kaliurang - gila 25 km jalan kaki ahhh ogah..Kutahu, ada seseorang melihat aku tersenyum dan tahu aku sudah 'menipu' para Raka atau senior.

Di hari kedua kami masih didera, masuk ke bilik hantu. Seorang, seorang dipanggil nama dan dijembloskan ke dalam bilik gelap. Terpekik terlolong mereka ketakutan. Terdengar suara mengilai, silau cahaya dan suara muzik merisik, mengerunkan. Nah tiba giliranku. Kupejamkan mata, kuraba ruang dan menyisih ke arah dinding. Kaki melanggar kotak dan tong. Tong tergolek, kaki terkejut, jiwa tersentak. Sang hantu pula merasa aneh, pasti matanya yang berapi menyorot tobohku tidak ada reaksi. Ya aku sudah bersedia menutup mataku, bibir kukatup erat, sehingga suara tidak terlaung , tidak ada lolongan dan jeritan . Akhirnya si hantu-hantu jerangkong letih dan mendorong aku keluar. Pakai otak kawan. Al hasil deraan dan denda ku terima dengan tersenyum tidak terkejut, menangis dan merayu seperti dibuat Yuli dan Andriani, Lakshmi. Aku tetap tersenyum akhirnya akulah dimahkota sebagai Ratu Pelajar Baru.

ii.
Selepas minggu MAPRAM aku terus pindah meninggalkan rumah di Jalan Kalirurang. Tahulah aku hidup harus mandiri dan sudah tiba masanya aku berdikari. Dengan sisa wang bawaan sebanyak RM 1000.00 itu kubuka ekaun di Bank Negara Indonesia depan Alun-alun. Wang bunganya sebanyak 5,000 Rupiah dapat kugunakan untuk sewa kamar berkongsi dengan Yovita. Wang jajan ku sisihkan untuk seminggu. Sedikit belanja cat dan kertas lukisan. Wang makan bulanan tidak pernah cukup. Beberapa kali aku menumpang makan di warung Bu Brojo. Selalu berbisik ke telingan beliau , " Kalau ada yang beli sketsa, kubayar ya bu!" . Bu Brojo selalu mengangguk lembut walau dia tahu, sketsaku belum pernah terjual. Di warung hanya kupilih sekeping tempe atau tahu. Sedikit kuah kutabur menutupi sesenduk nasi dan berulamkan cabai rawet. Makan di rumah hanya untuk sarapan dan malam. Juga dengan lauk sederhana, sepotong daging tipis dengan timun cuka. Kadang ditambah dengan telur asin. Dengan sewa kamar 2,500 Rupiah, rasanya lauk begitu sudah cukupan. Tentunya tidak sama dengan makanan percuma yang kudapatkan terhidang di rumah Karangwuni, milik keluarga ibu angkatku Kartika Affandi.

"Hidup mahasiswa harus berani ". Itu juga omel Affandi ketika kuberi tahu, akan pindah rumah ke Kuncen. "Ya, kalau makannya tidak enak, pulang saja ke Karangwuni atau di rumah Akik ini ". Tambahn nenek Maryati, isteri Affandi. Ya aku harus mulakan langkah. Tidak mungkin sesuai dengan hidup mewah di galeri pelukis tenar itu. Affandi juga dulu hidupnya melarat...aku ingin melalui pancaroba kehidupan. Rumah Kuncen, gaya potongan rumah zaman Belanda, tembok batu , beratap limas, berkamar besar di depan. Ibu rumah sengaja memilih kamar belakang. Beberapa kamar lain dibuat di samping berjejer lima bilik lagi . Di situ disewa oleh Norma Taringan dari Berastagi, Retno dari Malang. Yuli, Indrawati dan Wiwiek dari Solo. Riuhlah rumah itu setiap pagi, petang. Selepas senja makin meriah kerana di datangi Yan pemuda kurus asal Menado yang berkencan dengan Yuli. Atau datang pula Wardoyo dengan rambut keriting kembang hingga ke paras bahu, mencari Indrawati. Itulah pandangan di ruang rumah samping. Selalu meriah di situ terutama malam minggu sesi WAKUNCAR (Waktu kunjung pacar @ Apel malam minggu) .

iii.
Aku sendiri berkongsi dengan gadis Palembang, begitu manja dan 'penakut' sekali berjalan sendiri. Dia juga teman baikku setiap kali melakukan kerja amali sketsa pagi. Kami memilih Pasar Sapi di setiap hari Rabu. Atau berpindah ke pasar bersebelahan halaman ASRI. Di hari lain, kami sudah sampai ke pasar Wirobrajan dan duduk santai di stesyen keretapi. Tetapi kerap juga aku meninggalkan Yovita, sendirian kerana aku berjalan kaki hingga ke Alun-alun yang jaraknya lebih 5 KM dari Kuncen. Dengan Yovita tidak mungkin sanggup dia berjalan kaki. Norma Tarigan juga pelajar jurusan Seni Lukis. Tetapi nampaknya tidak berminat untuk membuat kerja melakar dan sketsa di jalan. " Aku malas berpanas begitu, atau kalian bangun pagi-pagi, ogah aku." Jerit Norma di depan ruang biliknya. Aku diam-diam saja melenggang membawa drawing blok, botol tinta dan berus sudah sedia di saku jaket. Beberapa kali terserempak dengan pelajar Malaysia yang kuliah di Universitas Gajah Mada, menatapku dengan wajah 'kasihan' menemukanku berpanas di pasar Bringhargjo.

Di depan rumah Kuncen itulah aku sering juga menerobos ke warung kecil itu. Beberapa orang pelajar Bali, Made Wianta, Wayan Sika termasuk asisten dosen kami berlanggan makan. Kadang muncul juga Pak Fajar Sidik dan asisten Nyoman Gunarsa makan di situ dan datang singgah menghulur bungkusan tauhu atau tempe. Akulah yang cepat menyambutnya, untuk kusimpan buat makan siang esoknya kalau kuliah sampai petang. Yovita tidak mungkin menerima makanan kecil begitu, kerana dia sudah cukup manja dengan kiriman wang dari Palembang. Malah beberapa kali pula kakaknya datang membawa daging kering dan serunding abon. Tetapi kali ini aku pula yang menolaknya, tidak mungkin menerima masakan dari keluarga Tiongha itu. Memang kadang Yovita berkecil hati aku menolak makanan kiriman kakak atau ibunya, sehinggalah ku jelaskan kepadanya, "Aku harus makan daging yang disembilah orang Islam Vit!". Yovita tersentak dan mula menyedari kenapa beberapa kali patung Bunda Marianya, kerap berubah di kepala katil kami. Yovita juga beberapa kali memindahkan Al-Quran kecil di kepala katil yang sama. Ibu rumah juga kadang menawarku 'darah ayam beku' , digoreng lembut seperti tauuu. MasyaAllah, akupun pernah tersentak, dengan juadah makanan itu atau patung salip di pintu masuk ke kamar tidur kami. Itulah budaya Jawa dengan agama berbagai dan falsafah Pancasila yang harus kupelajari. Selepas semesta satu, aku harus memikirkan untuk mencari rumah baru kepunyaan keluarga Islam. Insya Allah, mungkin di halaman Muhamadiah atau ke Ketangggungan berhampiran rumah W.S Rendra.

Bangi, 21 September 2005, 12:30.

1 comment:

  1. semoga makcik siti sll dalam lindungan yang maha kuasa
    by,,,,,zol aceh,....

    ReplyDelete