Friday 26 August 2011

Kisah Di Akademi Ilmu Pelayaran – Siri 2 – Cpt Halim Othman

“Suatu hari berbuka puasa di kapal”

Ini sebuah kisah berbuka puasa di kapal yang ku alami ketika bertugas di kapal MV Sapudi yang ketika itu menjalani galangan (dry-docking) di Pelabuhan Tg. Periok. Pengalaman ini sungguh memberi pengajaran bermakna kepadaku.

Lazimnya apabila kapal berada di pelabuhan yang berdekatan dengan rumah keluarga anak buah kapal (ABK), maka sudah pasti ABK yang berkenaan akan balik ke rumah apabila tugas jaga mereka selesai.

Tugas jaga dikapal semasa belayar dibuat secara bergiliran selama empat (4) jam bagi bahagian dek dan injin. Setiap orang bertugas selama 4 jam dan rehat 8 jam lepas itu kembali bertugas semula untuk 4 jam berikutnya. Masa bertugas ialah 00:00 - 04:00 dan 12:00 - 16:00 bagi “Second Officer” dan “Third Engineer”, 04:00 - 08:00 dan 16:00 - 20:00 bagi “Third Officer” dan “Fourth Engineer”; 08:00 - 12:00 dan 20:00 - 24:00 bagi “Chief Officer” dan “Second Engineer”.

Apabila kapal berada di galangan biasanya tugas tertumpu pada waktu siang sahaja, jadi ABK punyai banyak waktu luang setiap sore, ramai ABK yang ada rumah berdekatan dan tidak terlibat tugas jaga akan pulang ke rumah masing-masing.

Menjadi masalah dan kurang selesa apabila tukang masak juga mempunyai keluarga berhampiran pelabuhan itu, dia tidak akan memberi tumpuan pada tugasnya, memasak pun lebih kurang saja kerana cepat-cepat nak pulang ke rumah, yang menjadi mangsa adalah kami yang tinggal di kapal macam aku dan yang bertugas, terpaksalah juga makan apa yang disediakan. Keadaan saperti ini tidak menjadi hal yang boleh menyebabkan sengketa dikalangan ABK kerana kami saling memahami situasi, kondisi dan tolerensi (sikontol), lalu solusinya apabila di pelabuhan ABK boleh memilih untuk tidak makan dikapal.

Kebetulan sekali pada suatu sore waktu berbuka ada seorang Ahli Mesin Kapal / Masinis (Marine Engineer) keturunan Jawa yang tinggal sekitar Tg. Periok datang untuk bertugas pada jam 16:00 - 20:00, jadi dia membawa makanan dari rumah dalam rantang yang di sediakan oleh isterinya untuk mengatasi ketidakenakan makanan di kapal pada waktu berbuka.

Apabila tiba saja waktu berbuka, kami yang tinggal dikapal, pada waktu itu hanya beberapa orang sahaja, bergegas sama-sama ke meja makan di Ruang Makan Perwira (Officer Mess Room) untuk berbuka, pelayan yang bertugas telah menyajikan makanan yang telah di masak secara lebih kurang oleh KOKI (Cook), Sang Masinis ini membuka rantang untuk menikmati masakan isterinya, dia menawarkan makanan daging kepada ku sambil berkata;

“Ini daging babi kalau kamu mahu silakan!!!!”, kata Sang Masinis keturunan Jawa itu.

Aku tersentak dan kaget besar, dalam kepala ku bertanya lho kok bisa begini jadinya??.

Macam mana orang berpuasa apabila tiba berbuka puasa makan babi pula???

Aku tidak berani menyentuh makanannya, hanya dengan sopan dan berdiplomasi menolak pelawaan dia dengan ucapan terima kasih sajalah bang.

Sampai hari ini pun aku tidak pasti dengan kebenaran kata-katanya itu kerana aku baru saja berada dikapal MV Sapudi dan belum pun mengenali dia secara dekat kerana kami jurusan yang berbeza. Aku masih berfikir sendirian apakah beliau bercakap benar atau cuma mahu menguji aku. Mungkin saja perkataan BABI, itu hanya satu helah atau cara dia supaya aku tidak mengambil jatahnya yang terhad itu. Tapi kalau dibilang ini daging KHINZIR olehnya mungkin barangkali sudahku ambil kerana waktu itu istilah KHINZIR masih jahil bagiku. Pada waktu aku sekolah dulu ustaz-ustaz cuma sebut BABI itu HARAM dimakan dia tidak pernah pun menyebut perkataan KHINZIR, kalau tidak silap ingatan aku perkataan KHINZIR timbul apabila kerajaan Malaysia menerapkan NILAI ISLAM saja... hati2lah dengan perkataan....

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN...

Capt. Halim Othman, 27 Ogos 2011

No comments:

Post a Comment