Wednesday 17 August 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 5

“Surat – surat mistri Abang”


Hujung minggu, seperti biasa kami yang tinggal di Depok suka bertandang ke Wisma Malaysia. Rasa macam balik kampung atau balik rumah mak di hujung minggu. Kalau waktu belajar kolej di Kuala Lumpur, setiap hari Jumaat jika tidak ada aktiviti kampus, aku akan balik kampung ke Kuantan, hampir setiap minggu. Begitulah juga keadaannya waktu di Jakarta. Kalau rajin, atau rindu sangat dengan keluarga, petang Jumaat atau malamnya kami dah keluar dari Depok menuju ke Wisma Malaysia.

Seronok rasanya dapat berkumpul dengan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di UI Selemba, UNAS, IKIP, IAIN, Ilmu Pelayaran, ITB dan sebagainya. Kadang-kadang kalau bernasib baik ada orang Malaysia yang datang menginap di Wisma Malaysia, dapatlah kami mendengar cerita-cerita terkini tentang Malaysia dari mereka. Segar rasanya mendapat info-info terbaru macam tu.

Bila dah berkumpul beramai-ramai, banyak aktiviti yang kami lakukan bersama-sama, terutama memasak makanan Malaysia yang kami rindukan. Kadang-kadang bosan juga asyik makan nasi padang setiap hari, walaupun sedap, teringin juga mengubah selera sekali sekala. Biasanya pada petang hari kami keluar ke `Golden Truly’ untuk membeli bahan-bahan masakan kami. `Master mind chef’ kami adalah Abang Rosli, Ateh, Alin, Lukman dan beberapa orang lagi yang pakar dan rajin memasak. Kami makan beramai-ramai macam satu keluarga. Nikmat rasanya. Di sinilah pengubat rindu kepada keluarga di tanah air.

Selepas makan, duduk di depan televisyen, menonton TV Malaysia beramai-ramai di ruangan tv, sambil berbual-bual dan bercerita macam-macam cerita terutama bagi kami pelajar baru, banyak sekali cerita dan pengalaman baru yang hendak dikongsi bersama. Meriah sekali. Siaran Malaysia boleh ditonton di sini kerana adanya parabola. Terobat rasa rindu akan keluarga dan kampung halaman.

Selepas mengisi perut dengan makanan yang menyelerakan, menonton TV dan berbual-bual, kami keluar jalan-jalan ronda kota Jakarta, ke Tanah Abang, Blok M, Pasar Baru, atau Senen, antara tempat-tempat kegemaran kami. Mula membeli belah berdikit-dikit supaya nanti kalau sampai masa nak balik

Malaysia, `ole-ole’ untuk ahli keluarga sudah tersedia, itu nasihat `smart’ para senior yang dah dulu makan garam. Semua yang dilakukan beramai-ramai seronok. Terasa suasana kekeluargaan.

Pagi Sabtu, aku ke pondok jaga Wisma Malaysia. Di situ ada kotak peti surat para pelajar. Aku mencari-cari sampul surat yang bernamakan diriku pada sampulnya. Akhirnya ada dua sampul surat yang diposkan oleh pengirimnya adalah abang sulungku Abg Mie, bertarikh 2 September 1988. Surat kedua bertarikh 3hb september 1988. Kenapa surat berturut hari macam ni? Biasanya Abang Mie pemalas menulis surat, sampai dua surat sekali untukku? Ada apa? Hati dan jantungku mulai berdegup kencang. Perasaan tidak enak mulai menyelubungi diri.

Aku menuju ke ruangan televisyen. Duduk di kerusi yang agak jauh dari kawan-kawan yang lain. Tanganku menggigil sambil membuka sampul surat yang pertama bertarikh 2 September 1988 tetapi baru sampai ke tanganku hari ini, lebih kurang 10 hari kemudian. Perlahan-lahan aku mengoyak bahagian tepi atas sampul surat tersebut. Tak sempat lagi hendak mencari pembuka surat, gunting atau pisau. Yang penting surat dapat kubuka dan kubaca secepat mungkin, penasaran sekali tentang isinya. Patah demi patahku baca isi kandungan surat Abang Mie. Awalnya bertanya khabar dan memaklumkan seisi keluarga di Malaysia juga sihat dan menyampaikan salam rindu mereka semua kepadaku. Janganlah risaukan mereka. Begitu juga dengan kondisi Kak Eizan, janganlah dirisaukan keadaannya tidaklah membimbangkan. Apapun yang berlaku dalam hidup kita hendaklah kita redha menerimanya kerana semuanya adalah ketetapan Allah jua. Itulah antara nasihat Abang Mie dalam suratnya yang pertama
kepadaku. Aku menarik nafas lega membacanya. Alhamdulillah, tiada berita tidak baik yang aku terima, kata hatiku.

Surat kedua sudah dalam tanganku. Tidak sabar ingin megetahui isi surat tersebut. Dengan tangan yang masih menggigil, aku terus membuka surat yang berwarna biru tersebut. Isinya hampir sama. Cuma pada ayat yang terakhir, ada barisan ayat yang mengundang kecurigaanku sebagai anak perantauan. Kata abang, kita semua sayangkan Kak Eizan. Tapi ingat Tuhan lebih berkuasa untuk menentukan segala apa yang Dia inginkan. Sekiranya apa-apa berlaku pada dia, janganlah bersedih atau keciwa. Kita mesti redha menerimanya, jika Allah lebih sayangkan dia. Ingatlah kita yang hidup perlu meneruskan hidup dan mencapai cita-cita yang tertinggi. Sama-samalah kita berdoa untuk yang terbaik bagi kita semua. Sekian terima kasih.

Abang Mie, kenapa kau menulis surat yang isinya tidak pasti macam ni. Kenapa....!!!!! Kau telah membuatkan aku tidak senang duduk dan jantungku terasa sakit. Mungkin kerana aku merasa sangat tertekan, hormon adrenalin merembes keluar dengan banyak menyebabkan kondisi jantung dan badan jadi tidak stabil begitu. `Oh Tuhan, kembalikan ketenangan padaku, hanya Engkau yang maha mengetahui segala-galanya. Apa maksud Abang Mie menulis macam ni, apa sebenarnya yang berlaku.....apakah sesuatu yang buruk telah menimpa kakak kesayanganku. Satu-satunya kakak yang aku ada di dunia ini. Satu-satunya insan yang sangat berjasa kepada aku, adik-adik dan menjadi tulang belakang bagi mak dan keluarga.’

Aku melihat sekelilingku. Tidak ada seorang pun manusia yang berada di ruangan televisyen waktu itu. Ke mana mereka semua pergi, tadi masih ramai yang duduk di sofa depan menonton televisyen. Aku bangun mencari-cari sesiapa yang aku kenal. Aku mengambil keputusan untuk ke pusat telefon atau kami panggil `wartel’ singkatan dari perkataan warung telefon, untuk menelefon ke rumahku. Sejak datang aku belum berkesempatan menelefon ke rumah. Mungkin kerana terlalu sibuk dan masih baru, keperluan untuk menghubungi keluarga belum terlalu perlu rasanya ketika itu. Apalagi kata senior, kosnya sangat mahal. Bercakap tak sampai lima minit bilnya dah cecah Rp20,000. Tapi sekarang aku tidak peduli tentang harganya, yang penting aku mesti menelefon keluargaku hari ini juga.

Aku perlukan seseorang untuk menemani aku ke wartel yang terletak berhampiran `Golden Truly’ di sebelah Gedung Sarinah. Hairan aku, mana perginya semua orang-orang ni. Aku bangun melangkah ke arah bilik-bilik di bahagian dalam keluar dari ruang tamu. Ada seorang pelajar UNAS, Ikin yang duduk di depan biliknya, sambil membaca surat khabar KOMPAS. Aku menuju ke arahnya sambil memberi salam, “Kin, free tak?” Tanyaku mendapatkan kepastian. “Free, nape kak?” Balasnya. “Jom teman akak pergi telefon kejap nak tak?” Dia menganggukkan kepala tanda setuju. “Saya ambil purse kejap ye kak.” Mudah sekali Si Ikin kalau diminta tolong, tak banyak dolak-dalihnya.

Kami menaiki bajai menuju Golden Truly. Aku membayar Rp500.00 setelah kami diturunkan betul-betul di depan bangunan Golden Truly. Aku dan Ikin terus menuju ke tempat telefon. Ikin yang dah biasa menggunakan perkhidmatan telefon mengajar aku prosedur untuk membuat panggilan antara negara. Aku perlu mengisi borang dan membayar sejumlah wang pendahuluan. Itu prosedurnya, mungkin takut pelanggan lari tanpa melunaskan pembayaran agaknya, sebab itulah perlukan cagaran.

Ikin mengajar aku cara untuk mendail ke Malaysia dengan betul. Beberapa kali kucuba, tetapi tidak berangkat. Kenapa dengan penghuni rumahku. Takkan tak de seorang pun di rumah petang-petang begini. Ke mana mereka pergi. Kucuba lagi. Lagi. Dan lagi. Belum juga berjaya . Kosong rasa hati. Kenapa susah sangat nak menghubungi mereka. Aku keluar dan mendapatkan borang baru. Aku isi nombor telefon bapa saudaraku. Aku cuba dapatkan berita melalui Pak cikku. Setelah dua kali mendail nombor telefon Pak cik, akhirnya Pakcik menjawab panggilanku, “Hello, assalamualaikum Pak cik... Ini Nor telefon dari Jakarta!” Jeritku tanpa sedar kerana terlalu gembira mendengar suara Pak cik. Laju aku memberi salam ketika Pak cik memulakan bicaranya.

“Haa Nor, apa khabar? Sihat awak?” Giliran Pakcik pula bercakap. Selepas bertanya khabar lebih kurang, aku terus bertanya khabar mak dan kakakku. “Nape kau tak telefon ke rumah?” Pak cik mengelak dari menjawab soalanku. Ketika aku memaklumkan aku dah telefon tetapi tiada orang kat rumah, Pak cik mula tergagap-gagap menjawab. “Tak taulah Pak cik, tak de pulak mereka cakap pergi ke mana. Pak cik pun tak dapat nak khabarkan pasal kakak dan mak kau, nanti kau telefonlah mereka ye...?” Akhirnya Pak cik mengelak untuk menjawab soalanku. Ada benarnya juga Pak cik tak tau kerana jarak rumahnya dari rumahku agak jauh, lebih kurang 15 kilometer.

Aku cuba telefon Abang Mie pun tak berjawab. Kenapa susah sangat, kenapa Pak cik mengelak untuk menjawab kemusykilanku. Akhirnya aku terpaksa pulang dengan hampa setelah melunasi pembayaran Rp35,000. Sia-sia aku membelanjakan wang sebanyak itu tetapi hasilnya tiada.

Petangnya aku terpaksa balik ke Depok. Banyak urusan yang belum selesai untuk kuliah Isnin nanti. Aku pulang ke Depok dengan perasaan yang bercelaru dan tidak tentu arah. Apa sebenarnya yang sedang berlaku. Ya Allah, berilah ketenangan kepadaku dalam setiap langkahku, sesungguhnya hanya Engkau yang maha mengetahui segala-galanya.

Nor Azian Ab Halim, Bandar Baru Bangi, 17 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment