Saturday 27 August 2011

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 5 – Ismail Abdullah

“Pengalaman mendengar ceramah dan berkhotbah Jumaat”

Sejak tiba di Bandung pada 1970, hatiku begitu tertarik dengan mesjid. Mesjid Istiqomah menjadi mesjid pilihanku kerana kebetulan berdekatan dengan rumah indekostku. Kedua ialah Mesjid Salman kerana dekat dengan Institut Teknologi Bandung (ITB) tempat aku kuliah.

Ketika berkhutbah Jumaat, khatib bukan membaca khutbah, tetapi menyampaikan khutbah tanpa menggunakan teks. Kalau ada pun mungkin catitan kecil sebagai panduan. Penyampaiannya begitu licin dan teratur. Keluar dari hati dan terus hinggap di hati pendengar.

Aku tertumpu ke Mesjid Istiqomah kerana kualiti khatib atau penceramahnya hebat-hebat belaka. Bapak Prof Dr Hamka (Alm) pun pernah menyampaikan ceramah di Mesjid Istiqomah dan aku berada di barisan paling depan mengikuti kuliah beliau dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Bapak Kiyai Hj. E. Z. Muttaqien (Alm), Mantan Rektor Universitas Islam Bandung misalnya kalau menyampaikan khutbah atau kuliah bermula dengan tenang dan perlahan-lahan, kemudian tempohnya dilajukan sedikit demi sedikit sehingga bahan yang disampaikan itu benar-benar menyentuh kalbu dan menginsafi pendengar. Ucapannya diatur dengan rapi dan menarik sekali.

Kalau Bapak Drs Miftah Faridh pula, pembicaraannya lancar dan sesekali membuat pendengar ketawa dan tersenyum mendengar cerita lucunya. Beliau dengan muka yang tersenyum tetapi serius menyampaikan bahan ceramahnya sehingga kita terpaku mendengarnya. Sungguh indah olahan bahasanya.

Dalam hal sedih menyedih pula, biasanya akan diserahkan tajuk itu kepada Bapak Zainuddin Sulaiman, beliau berupaya membuat pendengar menangis dengan ceritanya yang cukup sedih. Dihimbaunya pendengar dengan kisah-kisah derita zaman khalifah ar-rasyidin. Biasanya aku hanya membiarkan saja air mataku meleleh membasahi pipi dan akhirnya aku merasa sungguh bahagia kerana boleh menangis kesedihan. Terasa dekat sekali dengan Allah dan RasulNya. Betapa Rasulallah beserta sahabat-sahabat beliau telah berkorban demi tertegaknya Islam di dunia ini.

Ramai lagi penceramah-penceramah hebat yang pernah ku dengar ceramah mereka di Bandung, rata-rata mereka begitu pandai mengolah bahan ceramah dan menarik minat pendengar. Ramai diantara mereka menulis buku-buku agama dan berada di pasaran buku Indonesia, mungkin kerana mereka begitu pakar dalam sesuatu bidang, apa yang mereka khotbahkan atau ceramahkan itu sudah ada dalam lipatan memori mereka dan apabila dikeluarkan kepada umum melalui ceramah nampak sangat teratur dan bersahaja. Mereka benar-benar menguasai bahan yang mereka sampaikan. Oleh kerana terlalu banyak mesjid dan musolla di sekitar Bandung, maka mereka mendapat kesempatan ceramah dan melatih diri mereka dengan baik. Setahu aku mereka tidak memerlukan tauliah seperti di Malaysia.

Rupanya latihan yang berterusan dan kesempatan yang banyak mereka perolehi dapat mematangkan cara mereka berkhotbah dan berceramah. Walau pun mereka tidak perlu mendapatkan tauliah, namun masyarakat dan Dewan Kesejahteraan Mesjid (DKM) akan menilai setiap penceramah yang hadir memberi ceramah di mesjid mereka. Mana yang kurang baik tidak akan dipanggil semula dan mana yang baik akan terus dipanggil untuk ceramah yang akan datang. Secara alami pemilihan dibuat atas kehendak jamaah kerana jamaahlah yang menyumbang kepada tabung mesjid atau musolla. Makin ramai jamaah datang akan makin terisilah tabung mesjid atau musollah berkenaan.

Aku dan Ishak mengambil peluang untuk ikut “Kulliyatul Mujahidin” suatu program yang diadakan oleh Mesjid Istiqomah untuk melatih pendakwah muda. Satu angkatan denganku ramai anak-anak Indonesia dan Thailand yang ikutserta. Semuanya bersemangat untuk menjadi mubaligh muda.

Sebagai latihan aku pernah diminta untuk berkhotbah Jumaat di Mesjid Istiqomah pada suatu Jumaat tahun 1973. Tajuk yang aku pilih ialah “Ukhuwwah Islamiyah” memandangkan tajuk itu tidak sensitif dan boleh merangkumi semua lapisan masyarakat. Aku fokus kepada Surah Al-Hujurat yang banyak membicarakan tentang ukhuwwah dan kaedah menjaga persaudaraan sesama Islam. Berirama juga badanku ketika akan naik ke mimbar dan rasa lutut seperti bergoyang.

Aku terus berdoa dan memberanikan diri. Aku terus mengingati petua-petua yang diberikan semasa kulliyatul mujahidin dan kursus “Public Speaking” semasa di ITM tahun 1969 dulu. Aku lihat semua mata tertumpu kepadaku, dan dengan sepintas teringat pesanan sifuku tentang berbicara depan umum, “anggaplah semua mereka itu tidak sepandai anda” dan teruskan dengan pembukaan, kemudian katakan apa yang anda ingin sampaikan dan sampaikan apa yang telah anda sediakan hingga tamat.

Aku terpaksa juga membaca bahagian awal dalam teks Arab dan terus membaca bahan-bahan yang telah ku sediakan, rasanya belum masa untuk “pandai-pandai” tidak pakai teks, nanti tengah-tengah khotbah lupa pula nanti. Aku ambil jalan selamat, sesekali khotabh keluar dari teks dan kemudian masuk balik, begitulah aku lakukan hingga tamat khotbah. Bahagian doa aku agak lancar kerana telah biasa mengamalkannya.

Sebaik saja selesai solat Jumaat pada hari tersebut, teman-teman sekuliahku dalam “Kulliyatul Mujahiddin” mengucapkan tahniah kerana telah berjaya menyampaikan khotbah dengan baik. Mereka tidak tahu betapa bergeloranya ombak dalam hatiku. Hanya Allah sahaja yang tahu dan bersyukur kerana Allah memberiku taufik dan hidayah untuk melepasi ujian khotbah yang menjadi syarat utama kursus “Kulliyatul Mujahidin”. Sungguh mencabar pengalaman itu.

Seterusnya ketika bulan puasa dan tarawikh mereka memintaku lagi untuk menjadi imam solat tarawikh dan memberi tazkirah pendek. Berdasarkan pengalaman berkhotbah aku dapat menyampaikan tazkirah dengan baik dan dapat memimpin solat tarawikh dengan sempurna. Alhamdulillah.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment