Monday 22 August 2011

Kenangan di Kampus UI Salemba – Siri 5 – Dr Zalilah Manan

“Diserang demam dan cirit birit”
Prinsip jika mudah diubah ubah bukan lah prinsip namanya. Tetapi semakin aku berusaha untuk mengekalkan ke’SOLO’an aku, berbagai liku pula harus kuhadapi yang setengahnya sangat mencabar keutuhan prinsipku.

Dari awal pagi aku sudah merasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Badan terasa seram sejuk seperti akan demam manakala perutku acapkali memulas dan tekakku terasa loya.

Aku tetap bersiap untuk pergi kuliah. Selain bimbang rekod kedatangan tercemar jika tidak hadir, peperiksaan yang sudah semakin hampir membuatkan aku tidak mahu ketinggalan kuliah.

Sampai di pintu pagar kampus aku mula menggigil, terasa sejuk yang amat sangat. Perut memulas semula dan terasa sangat mual. Aku berlari ke bilik air yang berdekatan musolla. Belum sempat menutup pintu tandas aku sudah muntah, bukan sekali tapi beberapa kali hingga tiada apa lagi rasanya yang tersisa dalam perutku.
Badan yang tadi kedinginan mendadak berubah menjadi panas. Aku berdiam di situ untuk beberapa ketika. Kuliah yang pertama memang tidak sempat lagi untuk kuikuti. Beberapa kali aku masuk dan keluar tandas untuk muntah dan juga cirit birit. Bila perutku agak tenang aku perlahan lahan bergerak ke dewan kuliah.

“Ila! Ke mana aja, kok telat?” tiba tiba salah seorang teman menyapa dari jauh, hampir menjerit. Efi atau nama sebenarnya Rahmi Sofiana kemudian menghampiriku.
“Lho! Kok pucat amat, Ila, kamu sakit ya?” cepat Efi mengesan masalahku. Aku mengangguk lemah. Efi meraih tanganku, kemudian menyentuh dahiku. “Panas kali Ila, kayak api!” Efi masih mau bercanda. Efi memang begitu, prihatin dan suka bercanda, “biar nggak stress.” Katanya.

Aku tidak memberi sebarang reaksi, kepala ku pusing, badan sangat lemah dan mata terasa pedih dan berpinar.

“Aku temenin ke poliklinik aje yuk!!” kata Efi lagi dengan nada lebih serius. Waktu itu sudah ramai teman teman lain mengerumuni aku, semuanya mengangguk tanda setuju.

“Ila pergi sendiri ajelah.” Jawabku. “Kalau dapat surat sakit nanti Ila mau terus pulang aje.” Jawabku lemah. Aku tidak mahu menyusahkan mereka, aku tidak mahu mereka ketinggalan kuliah gara gara menghantar aku.

“Nanti kalau pusing di jalan, bagaimana?” kata Sally, gadis keturunan arab yang wajahnya sangat keibuan.

“Nggak apa-apa, masih bisa kok!” balas ku separuh terharu atas keprihatinan teman temanku itu.

“Bener, ni?” celah Efi, “nanti kalau jatuh, bangun sendiri ya!” tambahnya sambil senyum lebar.

“Baik baik ya, Ila!” serentak teman temanku mendoakan sambil melambai lambai.
Setelah beberapa kali berhenti kerana terasa seperti akan pitam, aku tiba juga di poliklinik mahasiswa. Pak Bandi petugas pendaftaran yang sentiasa murah senyum cepat cepat mendaftarkan namaku. Dan dengan segera menyuruhku masuk ke kamar pemeriksaan kerana kebetulan tiada mahasiswa lain yang berurusan ketika itu.
Berdasarkan simptom, doktor mengatakan aku mungkin mengalami keracunan makanan. Aku mendapat preskripsi beberapa jenis ubat. Pak Bandi memberi aku segelas air lantas menyuruh aku terus meminum ubat di situ sebelum membawa pulang selebihnya. Aku juga diberi tiga hari cuti sakit.

Di dalam teksi sewaktu perjalanan pulang, aku mula berpeluh peluh walau pun AC terpasang kuat. Panas badanku turun secara tiba tiba. Tiba di asrama aku cepat cepat berbaring mencuba untuk tidur tetapi diganggu semula oleh episod kedinginan seperti pagi tadi. Aku menggigil semula walau sudah berbungkus dengan beberapa helai selimut dan baju tebal. Gelora perutku juga muncul semula dan sekali lagi aku terpaksa terperap di bilik air.

Begitulah keadaanku berhari hari, berkampung di bilik air kerana muntah dan cirit birit. Diselingi demam yang mendadak turun dan naik. Bermula dengan rasa sejuk yang melampau, menggigil dan suhu badan panas tiba tiba,kemudian berpeluh sehingga membasahi baju dan suhu badan kembali normal. Ubat ubat yang aku peroleh dari poliklinik kampus juga sudah habis dan langsung tidak membantu.

Aku sudah tiga hari tidak hadir kuliah. Memang aku tidak berdaya langsung. Waktu waktu begini bayangan wajah emak dan abah selalu hadir, biasanya mereka tidak akan senang duduk jika aku jatuh sakit. Mengingatkan waktu makan ubat, menyuruh minum banyak air, menyuapkan nasi atau bubur, sedang abah pula membacakan ayat ayat suci di ubun ubun ku, walau pun ubun ubun ku sudah keras dan tertutup kerana sudah dewasa.

Seolah terasa sejuk tangan emak mengusap dahiku. Beberapa kali aku menitiskan air mata sejak di serang penyakit yang agak aneh ini. Kalau ada emak pasti aku dimasakkan bubur nasi dan sup ayam yang enak. Pasti emak akan memberi kata kata semangat yang menyenangkan. Pasti emak berdoa untuk kesembuhanku. Di sini aku harus menyiapkan segala sesuatu sendiri, pergi membeli makanan sendiri di tempat yang aku tidak tahu. Dalam keadaan begini memang aku tidak berdaya pergi ke mana mana dan akhirnya aku tidak makan beberapa hari. Mau menalipon emak dan abah selain tidak berdaya juga rasanya belum perlu kerana bimbang mereka risau.

Aku merasa perlu untuk mendapatkan rawatan susulan kerana selain demam panas yang silih berganti dengan menggigil kesejukan, sudah terdapat titik titik darah apabila aku mengalami cirit birit. Badan ku terasa sakit sakit, kulitku kering, bibirku juga pecah dan berdarah.

Sendirian aku termenung di depan pintu masuk asrama Budi, merangka rangka mau pergi ke klinik mana. Tiba tiba muncul seorang pelajar senior berjalan kaki dari arah bulatan air mancur, mungkin baru pulang dari kuliah berdasarkan arah datangnya dan juga tas yang digalasnya. Aku jarang berkomunikasi dengan abang yang satu ini kerana selain tampak serius dan pendiam, aku jarang melihatnya di kawasan asrama. Sebut saja namanya Mamat.

“Nak pergi mana sorang sorang? Bukan ke saya dengar, awak tak sihat?” Mamat bertanya.

“Tu lah, ingatkan nak pergi klinik lagi, tapi tak tau nak pergi mana.” Aku berterus terang.

“Jom saya temankan, tapi saya simpan beg dulu.” Mamat memberi tawaran.

“Emm!...” aku tidak pasti untuk menerima atau menolak.

“Tunggu sini kejap, nanti kita ke Jalan Kramat Jati, situ ada klinik swasta yang buka 24 jam.”

Aku menganggukkan kepala tanda setuju. Aku sudah tidak dapat berfikir lagi. Aku hanya mau mendapatkan rawatan penyakitku yang ku rasakan semakin parah…

Dr Zalilah Manan, 22 Ogos 2011

No comments:

Post a Comment