Wednesday 24 August 2011

Kisah Anak Seni Di Jogja – Siri 8 – Siti Zainon Ismail

“Dari Sejarah ke Estetika Seni”

[Foto 1: Esei pertama ku terbit di majalah Dewan Sastera, 1973]

1.

KULIAH tahun dua, makin terasa cabarannya. Dosen Sejarah Seni Lukis Moden disampaikan oleh Pak Sudarso MA. Dosen lulusan luar negara ini memang segak dengan sedikit senyuman sinis. Kami selalu menghindari jelingan matanya dengan senyuman setiap kali beliau mengemukakan soalan kepada mahasiswanya. Ini kuliah wajib untuk semua jurusan. Bererti kuliah diadakan di Aula (Dewan Utama) yang turut diikuti juga mahasiswa tahun akhir terutama yang sedang membuat tesis ijazah sarjana untuk mendapat gelar Doktorandus (Drs, lelaki / Dra, perempuan). Buku teori dan sejarah seni lukis utama yang menjadi rujukan ialah hasil tulisan Sir Herbert Read . Beliau adalah tokoh yang kukagumi kerana selain pengkaji seni lukis dan pengkritik seni, beliau juga adalah penyair sekali gus pengkaji sastera Inggeris. Buku utamanya The Meaning of Arts (1931) dan Art Now (1933). Tetapi seksanya buku rujukan amat terbatas. Perpustakaan hanya mempunyai dua buah untuk satu judul. Bererti siapa cepat ke perpustakaan dialah yang akan menyambar buku tersebut. Barangkaki ini kelebihan ku kerana, kerap cepat mendapatkan buku tersebut. Ini kerana senarai buku rujukan sudah dicatat dalam data kuliah stensilan yang dijual oleh para dosen. Yang payahnya ialah untuk melihat ilustrasi lukisan yang tidak dapat diperbesarkan seperti tayangan slide. Teknik ini belum digunakan di kampus kami. Namun unik atau anehnya penjelasan dosen sejarah cukup menarik. Mereka begitu setia bercerita tentang karya sama ada dari sudut aliran, subjek lukis, termasuk susunan warna dan garis.

2.

Kuliah Sejarah Seni Lukis Moden tidak dapat mengalah subjek Estetika Seni bimbingan Pak Kadir MA dan subjek Seni Bina Tradisional Agung Dunia. Dalam kuliah Seni Bina, Pak Gun menekankan keagungan tamadun bangsa Indonesia tidak dapat dipisahkan dengan penjelmaan seni arca, seni bina, dan kesenian tekstil terutama ukiran dan batik. Di sinilah kami digalakkan membuat kerja bandingan dari sudut sejarah berlandaskan estetika seni , sebagai unsur penting melihat pemikiran pengkarya seni itu sendiri. Mungkin subjek seni tradisional ini merangsangku untuk membukti masyarakat Melayu Nusantara sudah lama bertamadun sebelum kuasa Eropah datang menjajah ke tanah nenek moyang Nusantara.


[Foto 2: Illustrasi, sketsa Kala Mukara, menghias pintu agung di candi Prembanan]

Mengikuti kuliah ini bererti kami wajib menyediakan kertas projek, sebagai memenuhi syarat lengkap untuk markah utama. Menyediakan kertas projek inilah yang paling kugemari. Setiap kertas yang telah disemak dosen dan dikembalikan akan ku sunting sesuai sebagai rencana dan segera ku hantar ke penerbitan Dewan Sastera. Inilah salah satu cara untuk aku mendapatkan wang perbelanjaan selama kuliah di ASRI.

Siti Zainon Ismail.

No comments:

Post a Comment