Sunday 21 August 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri ke-7 – Nor Aizan Ab Halim

“Kenapa Cepatnya Kau Pergi”
Berita kepulangan kakak ke rahmatullah sudah tersebar dalam kalangan warga Malaysia dan di fakultasku. Cepat benar tersebarnya. Tak putus-putus ucapan takziah yang aku terima, menyatakan simpati tetapi tak akan sama dengan bahu aku yang memikulnya. Amat berat aku rasakan, hampir membawa rebah.

Pemergian kakak, kesedihan mak dan kehilangan semangat aku, menyebabkan hubungan aku dan Irfan semakin rapat. Aku menelefon mak dua atau tiga kali seminggu. Irfanlah yang selalu menemani aku. Ada masanya aku juga terpaksa mengajak Abang Said atau Fauzi untuk menemani aku menelefon ke Malaysia, jika aku mahu menelefon waktu malam, kos lebih murah sekali ganda berbanding siang hari. Hanya kata-kata dan suaraku yang dapat memulihkan semangat mak, itu kata abang.

Aku jadi serba salah dan berbelah bagi untuk meneruskan kuliahku. Apalah ertinya aku mengejar cita-citaku jika kehidupan mak tidak bahagia. Sudah banyak pengorbanan mak untuk anak-anak. Tidak wajar untuknya menghadapi kesedihan sendirian.

Kehilangan kakak memberi tamparan yang hebat buat mak. Mak hampir hilang akal. Setiap hari berulang-alik ke kubur. Perniagaan restorannya terabai dan akhirnya terpaksa dijual kerana mak tidak sanggup lagi meneruskan tanpa kakak. Kakak seorang anak yang sangat baik, berbeza denganku yang kuat melawan. Dia sanggup mengorbankan kerjayanya demi untuk bersama-sama mak dan memajukan perniagaan restoran mak. Personalitinya yang menarik dan kesungguhannya dalam menjalankan perniagaan menyebabkan perniagaan mak sangat maju. Senyum yang tak pernah lekang di bibir, paras rupanya yang menyenangkan mata memandang, suara yang lembut, tidak pernah meninggi suara dalam pertuturannya dan sangat penyabar orangnya. Mungkin sebab itulah umurnya tidak panjang, sangat sempurna sebagai seorang insan bernama manusia. Kesian Abang Mat, salah seorang penerjun Kutub Utara, bakal suami kakak, pastinya juga merasa sangat kehilangan, kerana aku tahu mereka saling menyayangi, cuma takdir yang tidak menyatukan mereka.

Ketika ekonomi sedang merosot tahun 1985, perniagaan restoran lain mengalami kemerosotan pelanggan yang sangat teruk, tetapi restoran mak masih bertahan dengan kutipan tidak kurang RM500.00 sehari. Semua orang akui semua itu berkat usaha kakak yang sangat komited dengan kerjanya. Sangat sabar dengan kerenah pelanggan dan sangat berdaya usaha untuk menghadapi persaingan dengan mempelbagaikan menu yang murah tetapi menyelerakan. Kakak oh kakak, kau sungguh istimewa.

Pemergian secara tiba-tiba membuat semua orang tekejut dan tertanya-tanya puncanya. Kata dokter, buah pinggangnya gagal berfungsi dengan baik dalam tempoh yang sangat singkat. Aku sendiri tidak faham kenapa dan bagaimana dia mendapat sakit buah pinggang sedangkan sebelum ini dia tidak pernah menunjukkan simpton-simpton penyakit ini. Sangat sihat dan bertenaga dia sehari-sehari.

Menurut abang, pemergiannya sangat menyentuh hati banyak orang, terutama pelanggan-pelanggan restoran kami. Dari hari kematiannya, tidak putus-putus orang yang datang ziarah dan memberi sumbangan sehingga beribu-ribu ringgit, tapi malangnya aku satu-satunya adik perempuannya tidak ada bersama ketika saat-saat akhir hidupnya. Amat kesal aku. Setiap kali aku meluahkan rasa kesalku, Irfanlah yang selalu meredakan aku dan meminta aku percaya tentang Qada dan Qadar Allah. Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan Irfan yang sangat baik dan alim di sisiku ketika Kau sekali lagi menguji aku dengan ujian yang amat berat ini.

Keputusan awalku untuk menamatkan kuliahku sampai setakat ini sahaja, dan pulang ke sisi mak, dicegah oleh Irfan dengan berbagai alasan yang sememangnya masuk akal dan bermain dalam fikiranku juga. Bagaimana dengan biasiswaku, perlu dibayar balik. Kakak sudah pasti pergi, tapi aku masih harus meneruskan kehidupanku, masa depanku.

Lebih tersentuh hatiku bila Irfan kata, “kalau kamu pergi, bagaimana dengan gue, tak sanggup aku kehilangan kamu Nur.” Aduh, lain benar bunyinya bicara Si Irfan kali ini. Seluruh keluargaku juga akhirnya meminta dan menasihati aku supaya meneruskan kuliahku kerana kata mereka, itu jugalah pesanan kakak untukku. Setelah menyakinkan aku, mak sudah beransur pulih, dan meminta aku meneruskan pelajaranku, aku akhirnya bersetuju. Semoga saja keputusan aku akan membawa kebaikan kepada banyak orang, bukan saja diriku.

Setiap malam aku akan membaca surah Yassin dan berzikir sebagai hadiah kepada arwah kakak. Hanya itu yang dapat aku lakukan untuk mendekatkan diriku dengannya. Masih terbayang sayu renungan mata kakak ketika di lapangan terbang Subang, semasa menghantarku bulan Julai yang lalu. Aduh, terasa ada sesuatu yang menikam tajam ke jantungku bila terbayang wajah dan matanya. Rupa-rupanya itulah tatapan mata terakhir kami berdua. Kenapa cepat benar dia pergi, ya Tuhanku. Belum puas aku bersamanya. Patutlah, hatiku sangat berat untuk menyanyikan lagu Uji Rashid yang membawa mesej perpisahan terakhir, pada malam kemerdekaan tersebut, rupa-rupanya kakak sedang nazak berdepan dengan sakhratul-maut. Oh Tuhan, sesungguhnya Kau amat mengetahui segala-galanya. Betapa lemahnya aku di sisMu Ya Rabbi.

Jam menunjukkan setengah sembilan. Aku dan rakan-rakan kuliah Pengantar Ilmu Sosial berkumpul di depan bilik kuliah utama, sambil menunggu Pak Dosen tiba. Riuh rendah suara anak-anak bercerita, maklum dua hari tidak berjumpa, macam-macam cerita terkumpul. Dalam tempoh dua hari cuti pun, Dina sempat makan angin ke Singapura, menemani ibunya `shopping’. Entahlah, orang Malaysia sibuk berbelanja ke Jakarta, orang Jakarta pula ke Singapura. Gaya hidup orang-orang kaya. Jauh benar jarak sosial yang wujud antara yang miskin dengan yang kaya di sini. Yang kayanya tersangat kaya, yang miskin terlalu miskin hinggakan ada yang tinggal di dalam rumah kotak, di tepi jalan keretapi, di bawah jambatan atau kolong atau di tepi-tepi sungai Ciliwung. Makan makanan dari sisa-sisa makanan di dalam tong sampah. Banyak kisah-kisah mereka telah kuangkat menjadi berita yang kukirim ke Malaysia dalam rangka kerjaku.

Kurang lima minit jam sepuluh, anak-anak masuk ke bilik kuliah. Seperti biasa aku dan Ineng, Wanlie, Anita dan Dina duduk di barisan depan. “Biar ilmunya terus masuk ke otak dan terus melekat selamanya,” masih teringat kata-kata nasihat Mbak Ina atau nama penuhnya Dra. Ina R. Mariani , MA, pensyarah senior yang banyak jasanya padaku. Mbak Ina sangat marah jika anak-anak duduk jauh di barisan belakang, apalagi jika barisan depan dibiarkan kosong. “Kenapa kamu takut saya makan kamu kalau duduk di depan ye?” Marahnya dalam nada bercanda. Orangnya memang kelihatan serius tetapi selalu ada unsur humor yang dibawa setiap kali kuliah, menyebabkan kami ketawa riuh rendah. Senang kuliah dengannya.

Ketika khusyuk aku mendengar kuliah, terasa aku diperhatikan. Aku berpaling ke belakang. Laaa, dia, kenapa masuk kelas Pengantar Ilmu Sosial pulak ini anak. Irfan sedang senyum memerhatikan aku. Aku membalas senyumannya. Takkan lah Irfan mengambil kuliah pengantar ini sedangkan dia pelajar tahun akhir HI (Hubungan Internasional). Rasa ingin tahu bermain di mindaku. Irfan, Irfan, macam-macam kamu.

Selesai kuliah, aku terus menemui Irfan sekaligus mahu ke balsem. “Kamu ambil kuliah ini?” Tanyaku. Irfan mengangguk, “pernah ambil dapat `B‘, so mahu jadikan `A’, kamu bisa bantu kan?” Irfan menjelaskan. Aku hanya senyum. Irfan sedang berusaha meningkatkan CGPAnya di atas 3.5, untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan `masters’ ke US, setelah tamat kuliah di sini nanti.

Sambil menunggu makanan kami di hotel lima bintang kami, balsem, Irfan mengeluarkan dua ekor patung `koala bear’ dari tas sandangnya. Comel sekali `koala bear’ satu untuk aku, satu lagi untuk Ineng.

“Dari mana?” Tanyaku. “Aku ke Australi Jumat lepas, pulang minggu..,” jelas Irfan.

Laaa, baru saja aku mengata Dina yang ke Singapura, rupa-rupanya Irfan pun sama, hujung minggu jalannya sampai ke luar negara.

“Mama kangen, minta aku datang,” jelasnya lagi. Irfan mengunjungi keluarganya yang bertugas di kedutaan Australia rupanya.

“Aduh, enak ya jadi anak orang kaya, apa aje mau bisa dapat. Aku kakak meninggal pun nggak bisa pulang, nggak cukup uangnya,” luahku dengan nada sedikit perli.

“Kamu jangan ngomong begitu dong, kan aku udah nawarin, mau ngantar kamu pulang, kamu yang nggak mau, sedih aku kamu anggap aku jadi teman yang tak perihatin begini,” balas Irfan mempertahankan dirinya dengan nada merajuk.

Aku dan Ineng tertawa melihat muka Irfan yang berubah jadi `sewot’ begitu. “Tau tuh Nur, teganya kamu ngomong begitu sama Irfan yang baik begini, nanti ngak dapat makan percuma nih,” sokong Ineng sambil ketawa lagi. Aku menggosok-gosok belakang Irfan, “sori deh, nggak niat mau nyakiti hati loe, anyway, thanks for your sweet gift, my dear.” Irfan senyum semula.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 21 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment