Monday 22 August 2011

Kisah Anak Seni Di Jogja – Siri ke-7 – Siti Zainon Ismail

“Terus Belajar, Walau Tanpa Biasiswa”

Foto 1: bersama pelaja tanpa Biasiswa)

1.

MEMASUKI dunia pendidikan di rantau, aku sudah diberitahu sejak masih di Kuala Lunmpur. Pesan emak, "Cepat cari keluarga dan sahabat dari tanah air sendiri." Keluarga? Kebanyakan keluarga kami berada di Ranah Minang, Di Tanah Jawa? Hingga hendak berangkat, sekali lagi emak berpesan, "Kita tidak ada keturunan Jawa..tapi ada teman ayah Wan Chik, dia tokoh politik berjuangan menjelang kemerdekaaan. Tapi dianggap orang kiri. Sekarang terkenal di Jakarta, membuka perniagaan bank. Carilah dia" . Di mana kan kucari kerana tanpa alamat cuma namaya disebut sebagai Bapak Iskandar. Tetapi kerana sudah tiba di Jogja kulupakan saja nama tokoh itu. Apa lagi aku sudah ada tempat berteduh dan berlindung di Sanggar Seni milik Kartika dan Saptohoedoyo, juga Rumah Daun Affandi. Sehingga teman sekampus sering mengejek, "Enak jadi anak Malaysia bisa langsung diterima di rumah pelukis tersohor, wah, asyeeek ya".

Tetapi tidak semestinya aku menempel selamanya di situ menumpang kekayaan orang lain. Aku harus berusaha untuk bisa berdiri sendiri. Menyedari aku bukan pelajar yang dihantar oleh pemerintah dan tanpa biasiswa, aku harus bijak menata diri. Kedatanganku ke Jogja adalah dengan wang hasil pameran solongku (Februari 1969) yang diusahakan oleh guruku Nas Achnaz di Shah Motel dan sebanyak 30 karyaku lukisan batik, pastel dan sketsa hitam putih telah diborong semua oleh Datuk Shah, dengan bayaran sebanyak RM 2,000. Aku hanya membawa RM 1,000 dan sisanya kutinggalkan untuk emak yang kukira wajar kuberikan kerana emaklah satu-satu yag mengetahui keinginanku. Wang yang ditinggalkan boleh dijadikan modal kerja sulaman dan hasilnya pasti emak dapat menambah wang kiriman bulanan kepada ku kelak. Cikgu Idris Salam juga menambah tabunganku setiap bulan hasil jualan lukisanku yang dipamer jual di Galeri IBHAS Pasar Minggu. Ya sejak ayah Dei Wan Chik jatuh perniagaannya sumber kehidupan kami tidak menentu. Kedai bukunya di Jalan Tunku Abdul Rahman di depan panggung Odean pula tidak mampu menjadi keluarga kami kaya. Tetapi beliau tetap bertahan dengan menerbitkan buku Sirah Nabi. Hasilnya tetap berbaloi dan inilah janji wang saku bulananku di Jogja.

Tanpa menduga kesukaran hidup di rantau, aku berani melangkah dengan gaya seorang pelajar, harus berani dan cekal, mampu ketawa dan lincah. Pesan Abah pula , "Rezeki pemberian Allah. Insyaallah Abah akan kirim RM 100 sebulan". Itulah janji dan nekadku, pergi belajar tanpa wang biasiswa. Lamaran permohonan MARA belum ada jawaban.

2.

Menjalin persahabatan dengan pelajar Malaysia harus cepat kulakukan. Daripada Hamadah Ghazali dan Kamaruddin di Salemba Jakarta, kudapatkan senarai nama aktivis pelajar dalam Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI). Dari situlah kutemui pelajar Malaysia yang kebanyakannya belajar tanpa biasiswa rasmi dari kerajaan. Nama seperti Murad Mat Jan, Ramli Isin, Abdul Rahman Kaeh, Ismail Mad, adalah sahabat dan 'abang' yang begitu baik menerima kedatanganku. Mereka adalah mahasiswa di Universitas Gadjah Mada. Masih ada kelompok anak-anak Kelantan yang begitu prihatin menerima kunjunganku ke rumah kongsi mereka. Umumnya mereka ini mengikuti kuliah di Institut Agam Islam Negeri (IAIN). Kumpulan Pelajar ini mendapat biasiswa daripada Kerajaan Negeri Kelantan dan Kedah tetapi masih bergabung dengan PKPMI antaranya ialah Azran Abdul Rahman dan Rokiah yang kerap menerima kunjunganku untuk makan malah bermalam di rumah mereka. Dalam kumpulan ini aku kembali menemui sahabat sekolah rendahku Salmiah yang mengikuti kuliah Syariah.

Malah lebih terbuka aku juga mencari sahabat dan menjalin rasa kekeluargaan dengan pelajar Himpunan Pelajar Malaysia di Indonesia (HPMI). Kumpulan ini agak mengasing diri dengan PKPMI dan aku cuba berdiri antara dua kumpulan ini, dan mereka juga dapat menerimaku ku dengan baik. Memang ada kawan PKPMI merasa aneh, bagaimana "Awak yang berpakaian gaun, skirt boleh diterima di HPMI?"

3.

Hidup kita semua ditentukan oleh Takdir Allah swt. Hanya setahun wang kiriman lancar dari tanah air. RM 100.00 dari Abah. Tetapi genap setahun ayah Dei Wan Chik pergi meninggalkan kami yang masih teraba menentukan pacuan hidup. Kiriman wang dari Mak makin mengurang, hanya RM 50.00 sebulan. Cuma aku tertanya juga kenapa petaka takdir ini harus kulalui begitu cepat, kerana sepuluh bulan kemudian menyusul pemergian nenekku yang menjagaku sejak kecil. Abah pula menyusul sepuluh bulan kemudian di tahun kedua. Hanya doa mengiringi mereka agar di terima Allah swt dengan penuh keberkahan Ilahi. Bagaimanakah kehidupanku buat masa depan di rantau? Harus pulang! Itu usul keluarga tetapi Mak turut bertahan, sanggup menyaraku. Walapun pemergian Abah dirahsiakan, kerana peristiwa terjadi ketika aku sedang menghadapi ujian semester kedua , kuterima berita pemergian mereka dengan redha, dan aku harus bersedia menghadapninya. Untuk pulang tanpa menyelesaikan kuliah tidak sekali.

Semua peristiwa ini tidak kuratapi. Inilah takdir Ilahi dan aku tidak akan merayu, bersedih sebaliknya dengan nekad aku sudah berencana untuk mencari wang saku. Antaranya aku kerap membuat lakaran-sketsa, melukis di emper toko Jalan Malioboro. Kadang memanjat Prambanan dan Borobudur, melukis dan menjual karya itu kepada pelancong asing. Tidak ada kawan-kawan ku baik teman sekampus mahupun pelajar PKPMI tahu rahsia kerja seni ku ini. Aku masih ketawa. Sesekali singgah di rumah kost mahasiswa Malaysia yang mendapat biasiswa, tumpang makan di sana! Atau kalau aku bermalam di rumah Azran dan Rokiah, mereka dengan gembira mempelawa aku makan di situ tanpa mereka ketahui aku memang tidak mempunyai wang ketika itu.

Mungkin Rumah Pelajar di Kota Baru yang ditempati Onn, Hussin, kerap menerima kunjungan ku dan mendapat jajan percuma. Kadang ada yang mengundangku makan malam Minggu. Dan mereka tidak pernah tahu, aku tidak cukup wang untuk berbelanja besar. Mungkin penampilanku yang sering 'bergaya' - pada hal semua pakaian yang kupakai adalah adalah hasil jualan rekaan design yang kubuat untuk teman-teman sekampus , dan aku mendapat upah dengan bentuk kain dan aku menjahitnya bersama Mbak Ana. Atau aku memotong dan menyembatnya dengan rapi, haaa baju jahit rembat tangan, tidak ada yang perasan. Yang penting aku selalu memakai baju baru yang potongannya memang aneh di mata mahasiswa Malaysia lain. Mungkin inilah kelebihan pelajar seni, kerana mampu mereka cipta pakaian dan barang seni yang boleh menjadikan sandaran hidup, berkarya dan menjualnya kepada teman-teman sekampus.

Kadang rezeki bertambah, kalau ada rombongan rasmi dari tanah air. Aku kerap menawar diri untuk menjadi pemandu perjalanan mereka ke Prambanan atau ke Borobudur. Rombongan PENA juga memberiku percerahan puisi dan kehidupan masa depan. Aku sebeca menghantar Usman Awang ke rumah Affandi dan ke Sanggar Rendra di Ketemanggungan.

Pesan Usman Awang, "Teruskan perjuanganmu, tanah air menunggu kepulangan seniman wanita yang dinamis". Usman Awag turut sedih kerana aku tidak mendapat biasiswa (Permohonan pinjaman MARA memang ditolak), sehingga beliau dengan penuh bertanggung jawab menitip US 100.00 sekembalinya ke tanah air.

"Jangan merayu dan minta wang percuma kepada orang kalau kita kesusahan. Kita ada tenaga dan ada fikiran. Buat yang terbaik untuk hidup". Itulah pesan Mak yang tetap ku ingat.

Selepas itulah tulisanku tentang seni budaya Jawa telah terbit di Dewan Sastera termasuk, puisi dan sketsa. Inilah antara wang sumber kehidupanku di Jogja. Kemala sebagai editor dengan setia mengirim wang puisi dan sketsa (RM 20 + 20) dan esei RM 100 tiba juga dalam bulan-bulan tertentu, lewat kiriman wang yang dapat kutunaikan di Bank Indonesia hampir dua bulan sekali. Sesekali rombongan Menteri datang, atau wakil kerajaan mengunjungi PKPMI. Ini adalah peluang punca rezeki. Setiausaha peribadi YB Hussin Onn datang ke rumah kostku di Ngampilan dan memilih lukisan potretku dan menyisip wang RM 100. Sokongan moral yang lebih memberiku semangat untuk bekerja melahirkan karya seni.

Beberapa tokoh pendidikan seperti Datuk Rahman Arshad juga memberi semangat kasihkan ilmu dan seni. Hidup perlukan perjuangan. Siapakah yang berkata begitu? Tetap pesan Abah kugenggam, walau beliau tidak sempat melihat kejayaanku menggenggam Ijazah Sarjana Seni dari ASRI. Al-Fatehah ya Abah, ayah Dei Wan Chik dan nenek yang tidak melihat kejayaanku. Syukur Emak sempat menikmati hasil jerih perih puterinya dengan sokongan beliau juga. Allahuakbar.

Foto 2: Kami berkelah ke Gembiraloka, Zoo Jogja

Siti Zainon Ismail, 20 Ogos 2011 / 20 Ramadhabn 1432

No comments:

Post a Comment