Saturday 13 August 2011

Aku Bukan Sheila Majid – Nor Azian Ab Halim


Hari pendaftaran mata kuliah merupakan hari yang sukar kerana aku keseorangan. Seniorku terpaksa menguruskan hal masing-masing.

Nasib baik dalam aku terkial-kial hendak mengisi borang, seorang pelajar lelaki menghampiriku.

“Hai, kamu dari Malaysia ya...,” tanyanya kepadaku sambil menghulurkan tangannya ke arahku.

“Aku Irfan.....” Aku hanya mengangguk dan menyambut salamnya sambil senyum.
Lidahku berat untuk menjawab dalam bahasa Indonesia, hanya mampu menyebut namaku,
“Nor Aizan.” Aku yang berbaju kurung Malaysia, walaupun tidak bertudung, jelas menampakkan perbezaanku dengan anak-anak yang lain.

Mataku juga terpaku menatap wajah Si tampan di depanku. Wajahnya iras pelakon Indonesia Sophan Sophian yang sangat aku minati tu...uhhh...., terkedu aku seketika.
“Bisa aku bantu?” Dia menawarkan khidmatnya untukku, mungkin melihat aku yang dalam kebingungan. Apalagi, kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan. Irfan juga fasih berbahasa Inggeris kerana dia selalu mengikuti bapanya yang berkhidmat di kedutaan di luar negara. Jadi sangatlah memudahkan aku berkomunikasi dengannya.

Menyedari ketidakmampuanku untuk bergerak sendiri, Irfan, kawan Indonesia baruku itu menemaniku sepanjang tempoh pendaftaran tersebut dan hari-hari seterusnya, malah kami jadi sangat rapat selepas itu. Irfan, sangat baik dan sangat bermurah hati denganku, selalu menawarkan pertolongan tanpaku pinta, alhamdulillah, Allah permudahkan banyak urusan ketika di Jakarta.

Masih ingat lagi ketika aku dan Irfan leka duduk di lantai, sambil membelek-belek borang yang mengandungi keterangan mengenai kuliah kami, tiba-tiba ramai yang datang mengerumuniku...”Eh...Shiela Majid....apa khabar?” Terkejut aku dengan anak-anak ni, apa maksudnya mereka mengerumuni aku dan memanggil-manggil aku Shiela Majid.

Irfan hanya tersenyum padaku. Dia menarik tanganku berdiri. Irfan ketawa melihat aku yang terpinga-pinga. Manis sekali Irfan dalam tawanya. Irfan memperkenalkan aku kepada rakan-rakannya. “Ini Nur aijan...teman kita dari Malaysia.” Irfan menyebut namaku mengikut sedap lidahnya sendiri. “Maaf...saya Nor Aizan...bukan Nur Aijan,” aku memperbetulkan sebutan Irfan. “Ok...tapi boleh kami panggil Nur...?” Pinta Irfan. Aku mengangguk. Aku tahu lidah mereka sukar untuk menyebut `Nor’. “Nur, boleh aku panggil kamu Shiela Majid?” Tiba-tiba saja Si Dedek meminta izin aku. “Kenapa?” Tanyaku. “Rupa kamu, senyum kamu kayak Shiela Majid, tau ngak...” Aku hanya menggeleng-gelengkan kepalaku. “Tak boleh, nanti Shiela Majid marah,” jawabku membantah.

Gila betul budak-budak ni, gerutu hatiku. Aku disamakan dengan Shiela Majid. Jauh panggang dari api. Hujung jari Shiela Majid pun tak ada iras aku apa lagi yang lainnya. Rupa-rupanya menurut.

Irfan, masa itu, demam Shiela Majid dan Emy Search sedang melanda Indonesia, khususnya Jakarta. Remaja Jakarta tergila-gilakan lagu Jazz, kebetulan Shiela Majid masuk dan menawan Jakarta dengan lagu-lagu Jazznya, lalu semua yang disukai datang dari Malaysia nampak macam Shiela Majid...ish..ish..ish. Lucu deh. Shiela Majid pun Shiela Majid lah, sebenarnya bangga jugak tuh, jadi Shiela Majid tiruan..hehehe.

Aku mengira-ngira untuk mendaftar 18 sks atau 6 mata kuliah untuk semester pertama. Irfan dan kawan-kawan terkejut, “gilak kamu Nur...banyak amat...gua cuma ngambil 4 kuliah 12 sks aja...kuat kamu?” Tanya Dina, terkejut ketika melihat borang pendaftaranku. Aku senyum sambil menjelaskan ”kamu tidak apa, tidak terbatas masa kamu. Saya hanya ada empat tahun untuk selesai kuliah. Kalau saya ambil 12 sks bila saya akan selesai kuliah saya?” Aku sudah berani bercakap tetapi dengan dialog bahasa Indonesia bukannya dialek Jakarta seperti anak-anak ini.

Sewaktu bercerita dengan senior Malaysiaku, aku diberitahu belajar di Indonesia tidak akan selesai dalam tempoh empat tahun, lima tahun belum tentu, lima setengah tahun baru mungkin, sedangkan biasiswa kami hanya empat tahun. Permohonan tambahan perlu dibuat dan akan mengambil masa yang lama juga. Kata mereka lagi, kalau pelajar Indonesia sendiri akan mengambil masa sampai 10 tahun....betul ke...? Kata mereka Harvey Maliholo (betul ke ejaannya?) ambil masa yang sangat lama untuk selesai kerana sibuk dengan aktiviti seninya.

Bila memikirkan aku terpaksa mengambil masa sampai lima atau enam tahun untuk selesai, aku jadi sangat susah hati. Maklum, mana nak cari duit untuk membayar yuran dan biaya kos hidup. Aku juga terus jadikan ia sebagai alasan untuk menolak lamaran SJ ketika itu. Sebagai salah satu faktorlah. Aku kesiankan SJ untuk menungguku terlalu lama. Sebenarnya aku sendiri masih tawar hati untuk memilih jodohku di kalangan kita, tak sanggup rasanya, maaf SJ, kau sangat baik, ikhlas dan berhati mulia, tidak pernah berdendam. Sampai kini aku memegang kata-katamu, “kasih dan sayang itu tidak semestinya memiliki Zan, tak apa, saya tak dapat memiliki awak tapi saya akan pastikan awak selalu gembira semampu yang saya boleh.” Sampai sekarang setiap kali selepas bercakap denganmu melalui telefon, aku akan menitiskan airmata. Terima kasih SJ. Mulianya hatimu. Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan seorang sahabat sebaik SJ untuk aku. Kau memang mengotakan kata-katamu.

Segala susahku tak pernah kau tolak untuk membantu, hanya aku yang malu sendiri dengan kebaikanmu.

Aku tahu kau sangat kecewa dengan keputusanku menolakmu. Bila kau tahu aku telah mendirikan rumahtangga, kau barulah berkahwin dengan rakan sekerjamu, alhamdulillah walaupun pada usia yang agak lewat.

Ketika para seniorku bercerita tentang masa yang sangat lama untuk menghabiskan kuliah, aku cuba mencari tahu sebab dan ingin mencari cara untuk menyelesaikannya.
Aku dapati ada dua sebab utama iaitu jumlah pelajar dah penuh untuk kursus tersebut. Tak dapatlah mendaftar untuk semester tersebut. Jika ditawarkan lagi semester depan (semester genap), masih untung kerana boleh mendaftar lagi, tapi kalau hanya ditawarkan semester ganjil, kena tunggu semester ganjil lagi, semester ke 3. Faktor kedua adalah CGPA yang di bawah 3.0 akan menyekat pelajar dari mengambil lebih dari 15 sks (credit hours). Aku cuba untuk mengatasi masalah ini dengan datang awal-awal untuk berebut mendaftar kuliah dan belajar betul-betul supaya sentiasa mendapat CGPA di atas 3.0 setiap semester. Usahaku berhasil dengan beberapa strategi, walaupun banyak ranjau dan duri yang terpaksa ku tempuhi namun dapat diatasi dengan penuh ketabahan.

Dalam masa empat tahun aku mula menulis tesisku. Aku yang dalam kesyugulan ku ubah jadi Nor Aizan yang `happy’, bersemangat dan optimis dalam hidup, bertemankan Irfan, Ineng, Tenty, Ika Damayanty, Ratih Wulandari, Wanlie, Anita, dan pastinya kawan-kawan Malaysiaku terutama Noi, Fauzi, Jabo, Samsul, Nazaruddin, Soi, Mazni, Zali dan lain-lain yang sangat membantu dalam segala aspek. Terima kasih dan Alhamdulillah atas kebaikan kalian.

Bandar Baru Bangi, 13 Ogos 2011

1 comment:

  1. Tahniah Nor, cerita makin berkembang. Untuk lebih konkrit penulis boleh menambah data alami, idea dengan memasukkan fakta : latar kampus, ruang pendaftaran, tokoh penting seperti dosen, subjek kuliah yang bersangkutan. Dengan cara begini pembaca dapat membezakan latar UI tahun 60-70an di Salembar sebelum berpindah ke Depok. Sekiranya Pak Yahya Ismail atau Datuk Bah Zain, Prof Asmah Omar (UI 60han) tentu berbeza nuansa ini..harap Dr Is dapatkan Pak Yahya Ismail dan Datuk Baha...saya cuba mendapatkan blog mereka .. Nor teruskan...boleh menjadi novel remaja yang menjadi panduan calon mahasiswa baru yang bakal ke UI kelak

    ReplyDelete