Monday 15 August 2011

Salamiah Hassan Di Malam Sambutan Kemerdekaan – Nor Azian Ab Halim


Bulan Ogos bagi Malaysia atau Agustus bagi Indonesia sangat bermakna, bulan kemerdekaan. Kita semua merayakan kemerdekaan yang kita capai. “Gue duluan merdeka, baru eloe..” Masihku ingat suara rakan kuliah Betawiku yang sampai sekarang ku cuba ingat namanya tapi belum dapatku ingat. Lucu sekali orangnya. Bila ku lihat pelawak Saiful Apek, aku akan terkenangkan dia, lihat saja mukanya, rasa dah mau ketawa, apalagi kalau dia sudah memulakan bicaranya, bagai nak pecah perut dibuatnya.
Mulutnya ceplas-ceplus, penglipur lara, dengan loghat betawi pekat yang sangat menghiburkan pada pendengaran telingaku.

Betul kata Si Betawi tu...Indonesia Merdeka 17 Agustus lebih dulu dengan pertumpahan darah, sedangkan Malaysia kemudiannya 31 Ogos dengan perundingan. Mereka bangga merdeka dengan kekuatan seperti itu. Malaysia pula rasa perundingan dapat menyelesaikan banyak masalah yang timbul pada masa itu, apa lagi struktur masyarakat kita yang berbeza berdasarkan kaum dan etnik, perundingan adalah lebih sesuai.

Setiap kali hari kemerdekaan tiba, masing-masing negara akan menyambutnya dengan cara tersendiri sebagai tanda peringatan dan mengingati sejarah mencapai kemerdekaan dan penghayatan terhadap kemerdekaan tersebut.

Kata senior, setiap kali hari kemerdekaan, pelajar Malaysia akan merayakan kemerdekaan dengan mengadakan persembahan di Wisma Malaysia. Begitu juga untuk tahun 1988 itu. Dari awal-awal lagi AJK hari kemerdekaan telah dilantik untuk memastikan majlis sambutan hari kemerdekaan dapat dijalankan dengan lancar, jika tidak lebih baik dari tahun sebelumnya, paling tidak semeriah tahun lepas, kata mereka.

Berbagai acara telah dirancang, ada tarian ulik mayang, ada nyanyian, lakunan, koir, dan sebagainya. Aku terlibat dengan tarian ulik mayang dan nyanyian solo. Ada dua buah lagu yang aku suka sekali melodinya ketika itu, lagu Uji Rasyid.....”Dalam dakapan senja, ku melihat paras wajahmu, berat rasa melepaskan dikau pergi....dingin hembusan bayu, lemah longlai langkah kakiku......” dan lagu Salamiah Hassan.

Pada mulanya aku teringin sekali menyanyikan lagu Uji Rasyid, tapi setelah diteliti, rasa macam tak sesuailah pulak, berat hati nak nyanyi lagu ni. Lalu aku memilih lagu Salamiah Hassan, yang nama lagunya aku dah lupa tapi bait-bait liriknya adalah....

Hidupku dirundung malang,
tak henti gelora,
menghempas ke pantai,
di malam aku ternoda,
dalam sinar cahaya di jendela,
tiada esok lagi,
kelam masa depan,
cemar hidup ini....,
tiada erti,
hidupku seperti badai,
tak henti gelora,
musnahlah segala,
perasaan dan harapan,
untuk hari esok tiada lagi,
oh Tuhanku kepadaMu,
kupohon ampun.........

Tu kan lupa lagi liriknya...rupa-rupanya banyak yang dah aku lupa dalam hidup ni. Betul kata anak bongsuku Adam 9 tahun yang sangat bijak berkata-kata,... “mama ni sebenarnya hormon dah tak stabil dan pengeluaran hormon dah tidak lancar lagi”......hehehe, betul tu anakku sayang, mama kena akui, mama bukannya muda lagi, walaupun jiwa selalu muda.

Waktu itu, aku sangat hafal dengan lagu tu, suka dengan suara Salamiah Hassan, yang serak-serak basah pada pendengaranku, dan lagunya yang merdu. Aku suka lagu dan suaranya saja, bukan cerita dalam lagu tu tau, aku tetap suci, tak pernah ternoda hinggalah malam pertama perkahwinanku selepas nikah gantungku selama empat tahun.....Kesian suamiku yang penyabar, selepas empat tahun nikah baru kami kawin, hehe.

Hobiku memang menyanyi, walaupun suara tak sedap, macam katak panggil hujan, tapi sekurang-kurangnya hujan turun juga, walaupun suara katak tak sedap. Akupun macam tulah, walau pun suara tak sedap nak nyanyi juga, paling tidak hati sendiri yang terhibur. Banyak gambar-gambar kenangan waktu beraktiviti di Jakarta, tapi sayangnya tidak boleh disiarkan kerana semua gambar masa tu tidak bertudung. Rasanya tidak manis untuk dimuat turun di ruangan ini.

Sebelum malam sambutan tiba, kami yang tinggal di Depok berulang-alik ke Wisma Malaysia untuk sesi latihan. Maklumlah, persembahan malam kemerdekaan, walaupun untuk komuniti yang kecil tetapi sangat besar maknanya untuk sebuah kemerdekaan negara kita, kebebasan mengekspresikan perasaan khususnya pada malam tersebut dalam bentuk seni yang kami persembahkan, sangat berarti, walaupun nampak macam main-main bagi orang yang tidak tahu menilainya. Aduh....dalam maknanya tuh.

Penat berulang-alik dari Depok ke Jakarta dengan menaiki bas tidak kami rasai kerana keseronokan untuk melibatkan diri dalam persembahan nanti lebih mendorong. Dapatlah aku meyumbangkan lagu, ejek kawan-kawanku....membuatkan lagu Salamiah Hassan sumbang, menangis tuan punya lagu tu kalau mendengarnya....hehe. Aku hanya ketawa besar kerana aku tahu, memang betul apa yang mereka kata dan aku pun memang suka ketawa kerana ketawa akan membuat aku dan orang-orang di sekelilingku gembira. Tak pe, derita itu kusimpan dalam hati saja. Kawan-kawan ejek....tak pe tak kecik hati pun, tetap ketawa...sama-sama bahagia.

Masih ingat kata-kata Mat Zain, dia paling suka tengok aku ketawa, rasa bahagia, hilang segala masalah, bukan Zain saja yang cakap, ada beberapa orang lain yang cakap macam tu, saja nak ambil hati atau betul-betul macam tu....nak tengok, ye ke?....Aku pernah berdiri di depan cermin lalu ketawa untuk melihat betul ke apa orang kata tentang senyum dan ketawaku....tak nampak apapun, malah rasa pelik, yang nampak hanyalah barisan gigiku yang tersusun cantik dan mungkin bibirku yang seperti ulas limau....hehe geer nih....itu cerita masa muda, sekarang dah tak de pun agaknya, semuanya jadi pelik rasanya....huhuhu sedih juga, tapi dah kenyataan, terima sajalah, takkan nak botox pulak, nanti jadi Liz Taylor, tak dapat lagi jadi Shiela Majid rugi lah kan.

Malam yang kami tunggu pun tiba. Dewan dihiasi agak cantik daripada biasa. Wisma Malaysia yang mempunyai ruangan lapang di tengah-tengahnya, diletakkan pentas untuk acara persembahan nanti. Ramai tetamu yang hadir dalam kalangan rakyat Malaysia di Jakarta, terutama staf-staf kedutaan. Gementar juga nak menyanyi dan menari di depan Datuk Duta dan Pengarah Pendidikan Encik Ismail Zamzam ketika itu.
Maklum, sebenarnya tak pernah menyanyi di depan orang-orang penting ni, hanya biasa nyanyi di bilik air dan karaoke saja sebelum ini. Bukan apa, takut berlaku sesuatu yang akan memalukan diri sendiri dan merosakkan majlis orang......seram. Jantung jadi tambah berdegup kencang, macam enjin kereta tak servis pun ye. Aku mula menyalahkan diri sendiri, kenapalah aku terima ketika mereka suruh aku menyanyi solo ni...........astaghfirullahalazim....astaghfirullahalazim.....astaghfirullahalazim..... berkali-kali aku beristighfar untuk menenangkan diri sendiri.

Alhamdulillah berhasil juga. Waaaa, akhirnya giliranku pun tiba. Dengan gaya yang pura-pura bersahaja, macam penyanyi profesional atau macam Salamiah Hassanlah, jalan ke pentas, nak menyanyikan lagu untuk para tetamu kehormat dengan bayaran RM5K sebuah lagu...oww...hebat tu...senyum dibuat-buat, harap-harap cukup manis kelihatannya masa tu untuk menutup gemuruhnya jiwa gementarnya hati. Mikrofon berganti tangan dari MC ke tanganku, moga-moga saja Tuan MC tak nampak betapa gementarnya tanganku ketika itu. Tiba-tiba darah berderau naik ke muka, peluh dingin mula keluar, deretan ucapan istighfar keluar mencurah-curah bagai air hujan, untuk meredakan suasana.....Ya Allah, tolonglah, sekali ni je, lindungilah aku dari rasa malu dan gemuruh ini......muzik mula dimainkan, mau tak mau aku mesti mula menyanyi.....1, 2, 3....go...

hidupku dirundung malang,
tak henti gelora,
menghempas di pantai
..............
…………….

alhamdulillah.
Selesai. Tamat. The End.

Tepukan gemuruh, walaupun tak sedap. Tak pe, selamat, yang penting aku tak malu dan tak pitam atas pentas. Amin.

Bandar Baru Bangi, 15 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment