Friday 26 August 2011

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 2 – Ismail Abdullah

“Mahasiswa Abadi”

Siri kali ini ingin ku ceritakan betapa fleksibelnya pengajaran dan pembelajaran di Institut Teknologi Bandung (ITB) sekitar tahun 70an secara khusus, dan mungkin juga ini berlaku di semua institusi pengajian tinggi di Indonesia secara am. Suatu metoda pengajaran dan pembelajaran yang aku rasa agak unik pada masa itu dan boleh diaplikasikan pada masa depan. Malah kaedah ini sedang berlaku melalui konsep “Pembelajaran Sepanjang Hayat”. Malah pada masa depan pelajar tidak lagi perlu ke kuliah kerana kuliah boleh diadakan melalui persidangan video. Pelajar boleh melihat guru dan sebaliknya guru juga boleh melihat pelajar, seolah-olah mereka berada pada satu tempat yang sama.

Aku mulai kuliah di ITB pada tahun 1970 dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1973, meneruskan hingga tahun 1976 bagi mendapatkan Sarjana Matematik (mendapat gelar Doktorandus (Drs)). Aku cuba mencari perkataan doktorandus dalam sijil tetapi tidak ada, namun secara umum masyarakat menggunakan gelaran itu. Gelaran bagi graduan sarjana wanita pula ialah doktoranda (Dra). Bagi jurusan teknik gelaran bagi sarjananya ialah Insyinur (Ir), tiada perbezaan antara graduan wanita dan pria. Itulah kebiasaannya.

Jadi, batas waktu bagi mendapatkan Sarjana di ITB ketika itu dari 3 tahun hinggalah x tahun. Kenapa aku nyatakan sebagai x, sebab ianya suatu pembolehubah bergantung kepada kemampuan seseorang mahasiswa. Aku katakan batas minimum tiga tahun ialah kerana pada masa itu mahasiswa seperti Agus, Purnomo, dan Eka pernah selesai dalam masa tiga tahun. Mereka dari Jurusan Fizika.

Mbak Yen (bukan nama sebenar) sebagai contoh, seorang kakak kelas pernah ku tanya padanya, “Mbak Yen sudah berapa tahun kuliah di Matematika?”, Mbak Yen seperti malu-malu menyatakan baru 19 tahun. Terkedu seketika aku mendengar pengakuan jujur Mbak Yen. Katanya dia harus kerja sambil kuliah sebab keluarganya susah. Itu angka yang paling besar yang pernah aku dengar mengenai batas waktu kuliah bagi seseorang mahasiswa ketika itu. Julat antara 3 hingga 19 tahun bagi menyelesaikan kuliah adalah biasa bagi mahasiswa ketika itu. Aku kurang jelas apakah batas waktu itu sudah berubah kini. Nilai x berada antara angka 3 hingga angka 19. Rata-rata mahasiswa boleh menyelesaikan studi lebih cepat kalau mereka punya cukup biaya.

Aku sungguh berharap Mbak Yen yang sungguh baik hati itu berjaya juga akhirnya mencapai cita-cita menjadi warga yang berjaya walau pun masa yang diambil untuk studinya agak lama.

Lazimnya, atau secara normal bagi mendapatkan ijazah sarjana ialah antara 5 hingga 7 tahun. Melebih batas waktu 7 tahun boleh dikira sebagai kategori Mahasiswa Abadi (MA). Dari situlah terbitnya istilah Mahasiswa Abadi, kerana wajah mereka yang berpredikat demikian sering muncul di jurusanku atau juga di jurusan-jurusan lain. Malah ketika aku akan pulang tahun 1976, aku dengar mereka dengan tekun masih kuliah. Hebat daya tahan mereka.

Setiap mahasiswa akan dianggap masih aktif sebagai mahasiswa jika dia mendaftar sekian jumlah kredit minimum setiap semester. Kalau mereka mengambil jumlah kredit yang minimum, sudah tentu waktu yang diambil untuk selesai agak lama. Kalau terpaksa mengulang kuliah pada semester berikutnya tentu masanya akan bertambah lagi. Semakin tinggi jumlah kredit, semakan mahal bayaran yang dikenakan, kecuali ada biasiswa atau dalam istilah di sana mendapat tugas belajar.

Setiap pelajar Malaysia yang mendapat biasiswa tahu bahwa batas waktu biasiswa ialah lima (5) tahun, jadi terpaksalah kami bergelut dengan buku agar selesai dalam batas masa yang ditentukan. Jika mempunyai sebab yang tidak dapat dielakkan, batas waktu boleh dipanjangkan sedikit dengan izin pemberi biasiswa. Oleh kerana kos hidup agak murah, pihak pemberi biasiswa agak fleksibel dari segi masa menyelesaikan studi. Janji boleh bergraduat dalam batas masa yang terpendek dan tidak memasuki kategori mahasiswa abadi (MA).

Sewaktu di ITB kuliah kami tidak mengikut angkatan. Kami kuliah ikut mata pelajaran. Jadi, aku lihat ada mahasiswa senior beberapa tahun dan juga ada yang junior setahun, semuanya menjadi satu mengikut mata pelajaran. Biasanya kuliah matematika agak sepi, sekitar 10 hingga 15 orang saja. Kalau mahasiswa lagi demonstrasi bilangan itu makin berkurang. Ada juga mahasiswa dari jurusan lain seperti jurusan Fizika mengambil kuliah matematik jadi setengah kuliah agak ramai sedikit dan setengah kuliah yang lain agak sepi. Itulah situasi kuliah ketika itu.

Teman-teman seniorku anak Malaysia angkatan 1969 seperti Supaat Ismail, Zuberi Jamaluddin, Abdul Wahab Jusoh, Azis Othman dan Zainuddin selesa mengikuti kuliah masing-masing dalam Bahasa Indonesia. Buku teks hampir semuanya dalam Bahasa Inggeris (BI) dan ini memberi kelebihan kepada mahasiswa Malaysia yang lebih terdedah dengan BI semasa di Malaysia. Buku-buku dalam Bahasa Belanda pun ada, tapi aku agak asing dengan bahasa itu. Mbak Siti, pengurus perpustakaan jurusan selalu membantuku mendapatkan rujukan yang baik dan terkini.

Teman Malaysia yang seangkatan denganku tahun 1970 ialah Abdul Aziz Ghani, Abdul Rahim Rahman dan Mustafa Abdul Latif (Almarhum) tekun menghadiri kuliah masing-masing, kadang-kadang sama kuliah dan kadang-kadang berbeza kuliah. Aku juga mengambil beberapa kuliah pilihan dari Jurusan Astronomi, Oseanografi dan Meteorologi bagi melengkapkan keperluan bergraduat.

Sesekali kami ke Lembang tempat peneropongan bintang yang cukup canggih bagi melengkapi kuliah astronomi yang sangat mengasyikkan itu. Melihat betapa hebatnya ciptaan Allah di langit. Prof Bambang Hidayat memang pakar dalam bidang astronomi ketika itu. Pembantunya Mas Joni, kakak kuliahku sering membantu kami dalam memahami lebih mendalam tentang astronomi.

Itulah sedikit kisah tentang Mahasiswa Abadi (MA) yang boleh juga kita aplikasikan kepada Pendidikan Sepanjang Hayat. Mencari ilmu itu tidak ada batas waktu, malah kegiatan mencari ilmu seperti tersebut dalam sebuah pepatah, “tuntutlah ilmu dari buaian hinggalah ke liang lahad”. Mencari ilmu sejak bayi hinggalah meninggal dunia.

Juga disebut oleh Ibn Abdil Barr, dari Anas r.a, bahwa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,

"Tuntutlah ilmu walau pun ke negeri China kerana menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam. Bahawasanya para malaikat akan menebarkan sayap-sayapnya bagi menuntut ilmu kerana redhakan ilmu yang dituntutnya."

Wallahu a’lam.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 27 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment