Sunday 27 November 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 24 – Nor Aizan Ab Halim

Jakarta, Aku Datang Lagi
Aku dan Irfan berjalan beriringan menuju ke pesawat. Hati sangat tenang dan berbunga-bunga dengan kegembiraan dapat bersama dengan bakal pelindung hidupku. Aku dapat rasakan betapa selamatnya aku ketika bersama Irfan. Aku akan kuat semangat untuk mengatasi ujian pertama, keresahanku hendak melalui rasa gayat ketika pesawat naik dan turun nanti. Tidak suka gayat. Nasib baik ada Irfan bersamaku, dapatlah mengurangkan gayatku. Aku akan berbual-bual terus dengannya supaya dapat melupakan gayatku, hehe....

Sangat berbeza perjalananku ke Jakarta kali ini, penuh bermakna berbanding enam bulan dulu yang terasa kosong dan longlai walaupun ditemani kawan-kawan yang ramai di sekelilingku. Hadirnya Irfan bersama-sama kali ini sangat mengundang kegembiraanku.

Irfan meraih tangan kananku, mengenggam erat jari jemariku, seolah-olah tidak mahu melepaskan aku. Aku membiarkan sahaja Irfan memegang tanganku. Aku senang diperlakukan seperti itu sebenarnya. Amat terasa eratnya hubungan antara hati-hati kami, yang ketika ini sedang dilamun cinta rasanya.

Irfan yang pendiam lebih banyak melahirkan rasa sayangnya kepadaku dengan `body language’ tanpa banyak berkata-kata, dapat aku rasakan betapa mendalamnya rasa sayangnya kepadaku. Setiap kali dia merenungku selalu rasa tembus ke jantung dan hatiku, menyebabkan hatiku berdebar-debar tidak keruan. Senyum selalu terukir di bibirnya seperti salju menyejukkan hatiku. Raut wajahnya yang manis bersahaja, sangat menarik di mataku, amat menyenangkan mataku memandangnya. Tutur katanya yang sentiasa tersusun dan lembut seperti alunan irama musik keroncong atau jazz kesukaanku, sangat merdu di pendengaranku, hinggakan dapat meruntun segala kegundahan jiwaku. Huh....hanya Tuhan yang tahu betapa bahagianya rasa hatiku ketika ini atas kurniaanNya.

Perjalanan yang jauh dari balai berlepas ke pesawat tidak terasa penatnya, mungkin sebab tangan dipimpin Si Irfan, kalau sendirian mungkin penatnya berganda-ganda.....hehe... menggedik pula. Irfan kehairanan melihatku senyum sendirian.

“Kok senyum sendiri Nur?” Irfan melahirkan rasa hairannya dengan tingkahku. Aku hanya menggelengkan kepala sambil melebarkan senyumanku. Irfan terus merenungku sambil kaki melangkah masuk ke dalam pesawat yang akan membawa kami ke Jakarta. Aku memuncungkan bibirku beraksi seolah-olah mahu menciumnya. Irfan pun tertawa mesra melihat gelagatku.

Bahagianya rasa. Giliran aku pula menarik tangannya dan menggenggam erat tangan pria kesayanganku ketika ini. Hee...geramnya bila melihat dia merenung aku begitu. Rasanya dialah yang paling kacak, paling baik di dunia ini. Huh, dah sah lah aku sekarang angau dipanah asmaranya cinta si Irfan.

Kami menuju ke tempat duduk kami. Aku mengambil posisi di tepi tingkap. Terpaksalah Irfan duduk di tengah-tengah walaupun sepatutnya tiketku dikerusi tengah. Kebetulan di sebelahnya lelaki Mat Salleh separuh umur. Lega aku dapat duduk di tepi tingkap dan tiada gangguan orang yang tidak dikenali di sebelahku. Yang akan mengangguku hanyalah Irfanku. Tak apalah, malah lebih senang diganggunya. Makin berseri dan ceria hidupku jika Irfan yang pendiam ini akan mengangguku berterusan. Aduh, semakin kurenung wajahnya semakin sayang aku kepadanya. Mahu rasanya aku memeluk Irfan dalam bau wangian Polo kesukaanku, menusuk hidung dan jantungku, sekaligus menenangkan jiwaku.

“Kenapa sayang....?” Irfan mencuit pipiku ketika melihat aku termenung melayan perasaan sendiri. “Seram ketinggian ya?” Irfan terus bertanya melihat aku masih diam, hanya merenungnya. Aku mengangguk, “gayat,” jawabku perlahan, bimbang didengar orang lain, malu.

“Jangan takutlah, aku kan di sini. Akan hilangkan semua gayatmu sayang,” ujar Irfan sambil tangannya memeluk bahuku. Haruman Polonya makin menusuk hidungku. Tenang sekali perasaanku menghidu wangian ini, sekaligus mengurangkan gundah hati menghadapi gayat.

“Suka bau parfummu.” Jujur aku memujinya sambil aku merenung dalam ke wajah Irfan. Betul aku sudah sangat menyayanginya. Tiada lagi orang lain yang dapat merosakkan rasa sayangku padanya. Roslanpun rasanya tidak akan dapat menggantikan Irfan. Tuhan, lindungi dan restuilah hubungan kasih sayang kami ini. Cukuplah hanya satu ini. Kau tutuplah hati Roslan dan lelaki lain dari mencintai aku. Aku tidak lagi mahu keliru dalam menentukan pilihan teman hidupku. Aku menarik nafas dalam-dalam, menzahirkan rasa puas di dalam hatiku atas kurniaanNya kepadaku ketika ini. Janganlah aku diuji lagi, cukuplah Tuhan.

“Kenapa Nur, merenung aku begitu?” Irfan melontarkan pertanyaan yang juga mengejutkan aku dari lamunanku.

Aku menarik tangannya lalu aku menciumnya berulangkali, “aku sangat sayang kamu Fan.” Aku sendiri tidak menyangka akan melahirkan kata-kata seperti itu. Sumpah, aku tidak pernah mencium tangan dan mengungkapkan kata-kata ini kepada mana-mana lelakipun dalam hidup aku. Malah dengan Ari dulupun aku tidak pernah berkelakuan seperti ini. Memang aku sudah gila. Gila cinta atau inilah yang dikatakan angau agaknya.

Irfan senyum lebar. Dia mengambil tanganku dan menciumnya, “Nur, senang sekali aku mendengarnya. Kamu tau nggak, aku sudah lama mau dengar bibirmu melafazkan kata-kata ini, karena aku tidak pasti benar nggak kamu sayang aku apa nggak....hanya aku sendiri yang selalu bilang aku sayang kamu, kamu kok, nggak pernah bilang kamu sayang aku. Yah...ternyata hari ini aku sudah pasti, Nur aijan sayang sama aku.” Irfan meluahkan apa yang terpendam di hatinya selama ini agaknya. Setiap kali Irfan memanggil namaku Nur aijan, hati aku bagai digeletek geli, pelik bunyinya. Mungkin aku tidak suka mendengarnya.

Sekali lagi dia mencium tanganku lama sekali. Aku membiarkan saja, malah senang dia memperlakukan aku begitu kerana aku benar-benar yakin aku adalah miliknya dan dia adalah milikku, pilihanku, walaupun belum rasmi atau sah secara hukum. Aduh, lega rasa hati, sekali lagi aku menarik nafas dan menghembuskan perlahan-lahan, mengungkapkan rasa lega dan gembiraku dengan apa yang sedang kami lalui.

Tanpaku sedar, rupa-rupanya pesawat telah melepasi tempoh gayatku. Alhamdulillah. Aku dan Irfan sedang berdrama tadi ketika sepatutnya aku seram gayat rupa-rupanya digantikan mesra sayang oleh Irfan, haha, lucunya. Kapal terbang sudah di posisi terbang dengan tenang. Pramugari dan pramugara sedang sibuk menyiapkan hidangan makanan untuk penumpang.

Baguslah, perut pun sudah jadi lapar selepas berdrama tadi. Tapi Irfanku terus mengenggam tanganku tidak mahu dilepaskan, sehinggakan aku rasa tanganku mula kebas. Aku menarik tanganku perlahan-lahan mahu melepaskan dari genggaman Irfan. Irfan menggenggam makin kuat. Sengaja tidak mahu melepaskan tanganku. Kami sama-sama ketawa kecil.

“Sebentar, tanganku udah cape nih,” rayuku. Sekali lagi Irfan mencium tanganku, lalu melepaskan tanganku ketika pramugari manis yang cantik seperti Lydia Kandou menyapa kami untuk minuman jus nenas. Nasib baik aku diselamatkan oleh si Lydia Kandou tadi, kalau tidak tanganku akan kaku membeku dek aliran darah tersekat.

Pramugari kemudiannya terus menyediakan makanan untuk para penumpang yang memenuhi pesawat. Seperti biasa, ada nasi, macam nasi beriani dan daging masak rendang aku rasa. Tidak berapa jelas spesis menunya. Mungkin sudah dimodifikasi supaya mudah dibungkus dan sesuai untuk perjalanan jauh serta citarasa pelbagai bangsa, meyebabkan nasi beriani dan rendang ini tidak lagi seperti yang aslinya, agaknya lah. Apapun spesisnya, aku dan Irfan makan dengan seleranya makanan yang disediakan. Rupa-rupanya kasih-sayang tidak dapat membuatkan perut kenyang, hehe.....

Sekali lagi aku memandang Irfan lalu melemparkan senyuman kepadanya. Pramugari membawa surat khabar yang diminta Irfan. Mat Salleh di sebelah pun dapat juga surat khabar New Straits Time. Aku hanya menempel, menumpang membaca dengan Irfan, tiada berita menarik, malas membaca. Perut dah kenyang, mata mula kuyu. Nak melayan mata sementara Irfan leka menelusuri berita-berita di Surakhabar “The Star”, biarlah dia habis baca dulu. Aku melentukkan kepalaku ke bahu Irfan. Irfan membelai-belai kepalaku seketika. Semakin mengada-ngada aku ni rupa-rupanya. Mengambil kesempatan nak bermanja. Apa salahnya, dengan buah hati sendiri, bukannya orang lain. Hehe...aku terlena dengan senyum bahagia.

Lama rasanya aku terlena tadi, hampir sejam. Bila aku membuka mataku, rupa-rupanya Irfan juga terlentuk sama, bersandar di kepalaku. Ingatkan masih membaca dia. Tidak tahan, iri hati agaknya tengok aku tidur dengan lena. Lagipun, memang kami kepenatan beraktiviti berterusan sepanjang tiga hari lepas. Kalau tidak kuat stamina boleh demam rasanya. Kasihan dia. Aku merenung wajah Irfan yang kelihatan sangat tenang, lalu aku mengelus-elus pipi Irfan yang licin. Betul, aku betul-betul sayang dia. Aku membiarkan saja Irfan meneruskan mimpi indahnya.

Aku membelek-belek surat khabar. Bosan pula rasanya. Irfan belum terjaga. Rasa macam nak kejutkan dia. Aku meniup telinga Irfan perlahan-lahan. Irfan hanya bergerak-gerak memusingkan badannya, belum membuka matanya. Aku menarik hidung Irfan yang mancung perlahan-lahan. Irfan membuka matanya lalu menangkap tanganku. Kami sama-sama ketawa. Akhirnya aku dapat membangunkan Irfan. Nasib baiklah, di sebelah tu Mat Salleh, tidaklah dia pedulikan kami yang berperangai macam budak-budak. Kami menjenguk Mat Salleh di sebelah, rupa-rupanya dia pun tidur.

Adoi, pengumuman sudah dibuat, arahan memakai tali pinggang dan membetulkan tempat duduk kerana kapal terbang akan mendarat, gayat lagi. Irfan faham perasaanku. Dia mengenggam tanganku erat-erat. Senyum lagi padaku. Aku rasa sangat dimanjakan Irfan. Suka sangat.

“Tenanglah sayang, tarik nafas dalam-dalam, hembus pelan-pelan, agar lebih tenang ok....” Irfan cuba menenangkan aku dari rasa gayatku, sambil dia menepuk-nepuk tanganku perlahan. Dia bercerita macam-macam cerita lucu sepanjang dia di Australia dan di UI. Pandai juga bercerita yang boleh memancing aku ketawa terkekek-kekek. Aku memang kuat ketawa. Hampir separuh hidupku sehari-hari aku penuhi dengan ketawa. Kalau tak dapat kawan yang pandai membuat aku ketawa, rasa bosan dan tidak ceria hidupku ini.

Wow....sedar tak sedar pesawat kami sudah mendarat dengan selamatnya. Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan baik dan mengembirakan. Kami melangkah keluar dengan semangat Jakarta berbunga-bunga di hati. Genggaman erat tangan Irfan memimpin aku keluar dari dalam pesawat sampai ke balai ketibaan, membuatkan hatiku semakin dekat dan bertaut kukuh nama dan susuk tubuh pria bernama Irfan di hatiku. Semakin kental tekadku untuk bersama Irfan sampai ke hujung nyawaku. Ya Allah berilah keredhaanMu dalam melestarikan hubungan kami dengan melupakan semua kepedihanku dahulu.

Sambil berjalan keluar, masih sempat Irfan singgah di kedai bebas cukai. Dia memilih sebotol perfium yang disukainya untukku, Calven Klein “for women”, aku pun suka baunya. Dia mengambil dua botol, satu untukku dan satu lagi untuk kakaknya.

“Sama dong baunya nanti,” protesku dengan lembut. Akhirnya Irfan menukar Eternity untuk kakaknya setelah menyedari apa yang kukatakan itu ada benarnya. Manalah tahu kebetulan kami memakainya pada masa yang sama, ke tempat yang sama. Aku tersenyum bila memikirkan jika keadaan sedemikian berlaku. Tidak seronok jadinya.

Irfan kemudiannya mengambil teksi untuk membawa kami keluar dari bandaraya Soekarno-Hatta menuju ke Depok, kemudian ke rumah Irfan. Irfan menghantar aku sampai di tepi jalan Margondaraya. Aku menolak Irfan menghantarku ke kost. Aku tidak mahu rakan-rakan Malaysiaku tahu kehadiran Irfan dalam hidupku buat masa ini. Biarlah dulu, bila tiba masa yang sesuai nanti, pasti mereka akan tahu juga. Selepas memastikan aku akan selamat menuju ke kostku yang hanya beberapa meter sahaja dari jalan besar, Irfan bergerak ke rumahnya. Janjinya kami akan berjumpa di kampus besok pukul 10 pagi, sama-sama mengambil keputusan peperiksaan kami.

Ketika aku sampai di kost, kelihatan Faiz di depan kost bersama beberapa orang rakan Malaysia yang lain. Faiz duduk di atas motor kesayangannya. Riuh-rendah suara mereka melihat kemunculan aku. Faiz hanya diam, macam biasa lebih suka mendengar orang bercerita. Hanya bila soalan ditujukan kepadanya barulah dia akan bercakap. Kadang-kadang pelik juga bila melihat Faiz, nampak macam sangat menebal rasa rendah dirinya. Entahlah, belum betul-betul kenal dia sebenarnya.

Memang begitulah keadaan kami yang tinggal berjauhan dari keluarga, akan merasa sangat dekat sesama kami, macam adik beradik. Gembira mereka melihat aku seolah-olah sangat merindui ketiadaanku. Memang betullah, sebulan tanpa aku, terasa rindu agaknya. Bukannya ramai kami yang tinggal di greenvilla ni, hanya lima orang anak Malaysia, yang lainnya adalah anak-anak Indonesia dari Palembang dan Riau.

“Salam dari orang Malaysia untuk semua.” Aku membalas jeritan gembira rakan-rakan melihat kemunculanku. Aku masuk ke dalam rumah. Keluar semula dengan ole-ole dari Malaysia. Keropok leko dan keropok keping. Ada juga roti canai yang kubawa khusus untuk kawan-kawan untuk menghilangkan rindu mereka kepada roti canai dan tanah air. Ketika berhenti makan di Bangsar, aku sempat membeli dua puluh keping roti canai untuk mereka. Seronok sekali melihat mereka makan dengan berselera selepas roti dipanaskan semula, lembut, rasa macam baru dimasak. Bolehlah, sekadar melepaskan gian dengan roti canai panas di kampung halaman. Rakan Indonesia jiran kami kuajak sama menikmati roti canai yang belum pernah mereka rasai sebelum ini.

Setelah berbual-bual seketika, menceritakan suasana terkini di Malaysia, aku meminta izin untuk masuk ke bilik, mandi dan merehatkan badan seketika. Penat juga rasanya, walaupun tadi sempat tidur dalam pesawat tetapi mata mula rasa mengantuk lagi. Mahu sambung tidur beberapa minit lagi supaya nantinya dapat bangun dengan rasa segar.

Sebelum tertidur masih sempat melayan angan-angan bersama Irfan. Tak habis-habis memikirkan tentang Irfan. Lama rasanya menunggu besok hari nak bertemu dengannya. Masa sangat lambat bergerak. Akhirnya aku terlena sambil mengenggam botol minyak wangi “CK for women” yang dibelinya untukku ketika di kedai bebas cukai bandara tadi. Wangian ini menemani tidurku menggantikan Irfan.

Ketika bangun, azan maghrib sudah kedengaran dari surau berdekatan. Pak Amin yang bertindak sebagai bilal mengalunkan azan yang sangat merdu menusuk pendengaranku di senja ini. Azan pertama setelah aku menjejakkan kakiku ke Jakarta untuk kedua kalinya. Badan rasa masih lemah, kelamaan sangat tidur tadi.

Tiba-tiba hati jadi sayu teringatkan Mak. Apalah khabarnya Mak tanpa aku setelah sebulan aku menemaninya.? Cepat-cepat aku cuba menempis kesayuan dan kesedihanku. Jika dibiarkan nanti hidup hilang seronoknya. Bau minyak wangi pemberian Irfan semerbak memenuhi bilikku yang sempit.

Bilikku hanya muat sebuah katil bujang, almari pakaian satu pintu, sebuah meja belajar dan kerusi serta ruangan untuk sehelai sejadah solat. Bau wangian ini akhirnya berfungsi seperti suntikan semangat ke dalam jiwa dan diriku. Bangun dan solat maghrib, kemudian isyak. Selepas solat aku panjatkan doa untuk kesejahteraan hidup Mak, adik-adik dan aku serta seluruh keluargaku. Bacaan Al-Fatihah dan surah Yassin kusedekahkan untuk arwah kakak. Lega selepas dapat menunaikan tanggungjawabku.

Kedengaran suara riuh dari rumah sebelah. Gelak tawa dan perbualan yang rancak, menarik minatku untuk menjenguk ke sebelah. Melalui pintu belakang aku boleh tembus ke rumah mereka jika tidak dikunci dari dalam sebelah sana. Ternyata tidak berkunci. Ramai sekali senior-senior Malaysia berkumpul rupa-rupanya. Faiz pun masih ada. Belum balik-balik lagi dari tadi. Lama betul dia bertapa kat sini. Tak rasa rimas ke dengan tidak mandi dan pakaian tidak berganti, komenku dalam hati. Hati rasa pelik melihat sikap Faiz. Akhir-akhir ini dia banyak menghabiskan masanya di kost kami. Biarlah Faiz dengan gayanya, suka hati dialah.

Bila berkumpul ramai-ramai, macam-macam cerita muncul, biasanya cerita kelakar dan cerita hantulah yang menjadi pilihan. Mereka datang dari kost-kost yang berhampiran, Wisma Malaysia dan Rawamangun. Sengaja datang untuk beramah mesra. Aku turut sama memeriahkan suasana. Mereka kuhidangkan keropok dan Lukman menyediakan air teh o dan kopi o.

Seronok dapat berkumpul dan berbual-bual bersama dengan rakan-rakan senegara. Sesekali berjumpa dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Sedangkan dalam hati masing-masing ada kebimbangan tentang keputusan peperiksaan yang akan keluar besok. Apalah agaknya angka yang akan aku terima?

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 27 November 2011.

Thursday 24 November 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 23 – Nor Aizan Ab Halim

Pulang Ke Jakarta
Selepas majlis makan malam keluarga bersama Irfan, aku ke bilik untuk mengemas pakaian dan barang-barang keperluan lain. Adik dan Irfan masih mengisi masa dengan berbual-bual satu sama lain.

Malam terakhir sebelum aku berangkat ke Jakarta lagi. Sebak rasa hati mahu tinggalkan Mak di sini. Keseorangan tanpa anak perempuannya. Hanya doaku, semuanya dalam keadaan baik hinggalah aku menyelesaikan kuliahku. Tapi.....kalau sudah selesai kuliah, aku masih juga tidak dapat menemani Mak kalaulah jodohku dengan Irfan. Aku akan tinggal di Jakarta. Hanya sekali sekala saja aku boleh balik jumpa Mak. Boleh ke aku berjauhan dengan Mak? Sedangkan Mak sangat memerlukan aku. Adoi....bercelaru lagi fikiranku.

Kalau Roslan macamana? Sama jugalah, aku terpaksa ikut dia menjalankan tugasnya di luar negara berterusan, tetap saja aku akan berjauhan dengan Mak...memang itu sudah kerja dan minat dia......lalu, apa yang perlu aku lakukan? Aduh...pening kepalaku...pusing kepalaku bila memikirkan semua itu. Kakak, kenapalah kau pergi begitu cepat? Kalau kau ada bersama Mak, aku lebih mudah membuat keputusan dalam hidupku.

Dari dulu aku memang selalu buat keputusan sendiri dalam hidupku. Mak memberikan kebebasan sepenuhnya kepada aku, malah aku jarang memikirkan perasaan Mak atau ahli keluarga yang lain dalam membuat keputusanku, hinggakan adakalanya aku dianggap keras kepala. Malangnya aku tidak boleh mengomel jika ada masalah timbul kerana itu sudah keputusanku sendiri. Kalau aku mengomel juga, aku akan ‘dipulangkan paku buah keras’, akan panas telinga jadinya.

Riuh rendah perbualan Mak, Adik, Irfan, Abang dan adikku di ruang tamu. Jam baru 10.30 malam. Patutlah mata semuanya masih segar lagi. Akupun sudah siap berkemas. Hanya beberapa helai pakaian harian dan tiga helai baju kurung untuk aktiviti di kedutaan atau Wisma Malaysia. Tiga helai baju kurung baru untuk hari raya nanti sehelai baju kurung sutera yang bahannya kubeli di Tanah Abang bersama Irfan tempohari. Sutera yang kubelikan untuk arwah kakak juga aku tempah untuk diriku sendiri, tapi aku akan menjaganya dengan baik, rasanya aku tidak akan memakainya, hanya menyimpannya sebagai kenanganku kepada arwah kakak.

Sudah siap semuanya, rasanya tiada lagi yang tertinggal. Aku letak ke tepi dinding sebuah beg pakaian dan beg kertas yang di dalamnya kuisi ole-ole untuk Mak Ineng, Ineng, kakak Irfan dan Mamanya, sehelai selendang sutera. Cukuplah, ole-ole dari mahasiswa, belum bekerja, duitpun kurang. Oh lupa, ada satu lagi beg ole-ole untuk dosen-dosenku, keropok ikan. Mereka sangat suka keropok ikan parang. Untuk keluarga Ineng pun aku belikan kerana mereka juga sukakan keropok ikan yang kata mereka sangat enak ini.

Setelah berpuashati dengan semua keperluan dan kelengkapan sudah sempurna ditempatnya, aku keluar ikut serta tetamu di luar. Melihat mereka hanya berbua-bual kosong, aku ke dapur membancuh teh O untuk mereka. Tidak boleh minum teh susu lewat malam begini, nanti badan tambah berat, teh O sesuailah, rumusku. Aku mencari dalam almari makanan, bungkusan biskut yang kubeli semalam. Aku masukkan ke dalam pinggan leper. Aku susun di dalam dulang bersama teko dan cawan minuman tadi. Aku bawa keluar untuk disantap jejaka-jejakaku dan Mak. Ada empat jejaka, Irfan, Adik, Am dan Abang. Mak sudah di biliknya, baru solat Isyak dia. Adikku Boy pun dah masuk ke kamarnya, tidur agaknya, kepenatan bermain bola. Boy memang sangat minat bermain bola, mewakili sekolah dan persatuan bola sepak setempat, kemudiannya mewakili ITM dalam bola sepaknya.

Adik menuang air dan mengagihkan kepada semua yang ada. Aku mengambil tempat bersama-sama mereka. Lebih banyak mengikuti dan mendengar perbualan mereka, malas nak menyampuk. Apalagi Abangku, kalau bercerita, tak boleh berhenti dia, hanya dia yang menguasai perbualan, mengenai kerjanya lah sebagai polis, macam-macam cerita atau kes-kes menarik dikongsi, yang lain juga lebih banyak mendengar, terpegun mendengar cerita-cerita jenayah dari Abang.

Aku sudah tidak tahan mata mengantuk. Rasa macam nak disendal mata dengan batang mancis supaya tidak mengantuk dan boleh bersama mereka bercerita. Sudah tidak boleh lagi. Aku meminta izin untuk tidur dahulu. Besok nak bangun awal untuk ke Kuala Lumpur pagi-pagi lagi. Lepas itu ke Jakarta. Sebut saja Jakarta, hati jadi tawar. Rasa macam belum mahu ke sana. Masih nak di Kuantan bersama Mak, belum puas. Malangnya tidak boleh, Isnin sudah keluar keputusan peperiksaan dan pendaftaran semester dua akan bermula. Mahu tidak mahu terpaksalah juga ke sana walaupun dengan berat hati.

Sebelum tidur aku menjenguk Mak di biliknya. Masih belum selesai solatnya. Solat sunat agaknya. Aku mencuci muka dan gosok gigi. Masuk lagi ke bilik Mak. Mak masih belum selesai solatnya. Kasihan Mak, sendiri lagi dia menghadapi hari-harinya. Kalau ada duit lebih dapatlah aku balik lagi enam bulan akan datang, cuti semester kedua, barulah dapat berjumpa Mak lagi. Kenapalah aku memilih ke Jakarta dulu. Kan ke bagus kalau aku ke UKM saja, boleh balik setiap minggu. Namun tiada guna menyesali apa yang sudah terjadi.

Aku membaringkan diriku di katil Mak, sementara menunggu Mak selesai solatnya. Saja nak berbual-bual dengan Mak sekejap. Maklum, besok pagi-pagi dah nak pergi, nanti tidak sempat berbual-bual dengan Mak pulak. Mata pun dah hilang mengantuknya. Mak mengaminkan doanya. Sudah selesai solatnya. Mak duduk di sebelahku sambil mengusap-usap kepalaku. Mak memang suka buat macam tu kepada anak-anaknya. Mak suka manjakan anak-anak, sebab itulah, walaupun sejauhmana kami pergi, terasa dekat Mak di hati kami. Aku memegang tangan Mak dan menciumnya berkali-kali, rasa tenang hati dan lapang dada memperlakukan Mak begitu. Aku mengutip kekuatan dan ketabahan Mak sebagai bekal untukku di rantau orang.

Mak merebahkan dirinya di sebelahku. Kami berbua-bual seketika. Akhirnya aku tertidur di sisi Mak tanpa kusedari pukul berapa mataku sudah tidak berkelip lagi malam tadi. Hanya azan subuh dari surau sebelah yang mengejutkan aku dari tidurku yang sangat lena di pagi Ahad ini. Mak dulu yang bangun menuju ke bilik air. Aku masih melayan mataku yang kepenatan berjaga malam tadi. Penat juga kerana dalam tempoh dua hari Roslan di rumahku, aku, Adik dan Irfan tidak berhenti-henti bergerak ke hulu dan ke hilir mengisi masa yang suntuk tersebut untuk Irfan.
Berat mataku hendak dibuka bila Mak kejutkan aku. Nasib baik aku cuti solat, jadi bolehlah aku layan lagi mataku seketika. Mak sudah selesai solat subuh dan menyediakan sarapan untuk kami. Mee goreng dan lempeng telur bersama sambal bilis sudah siap tersedia di atas meja makan. Mak tidak keluar ke restorannya awal-awal pagi hari ini. Semuanya diserahkan kepada Kak Nah untuk menyelenggarakan perjalanan kedainya. Mak sengaja nak bersama-sama kami di rumah sebelum kami bertolak pagi nanti agaknya.

Kak Nah memang orang penting bagi Mak. Dulu Kak Nah dan arwah kakak adalah tenaga utama dalam perniagaan Mak, tetapi setelah kakak pergi, tinggallah Kak Nah yang jadi harapan Mak. Aku tidak tahu apa akan jadi jika Kak Nah tidak lagi dapat bersama-sama Mak mengendalikan restoran Mak. Mak pun selalu melahirkan kebimbangannya jika Kak Nah berhenti, kemungkinan Mak juga akan menutup kedainya. Rupa-rupanya semangat Mak hanya bersandarkan kepada Kak Nah setelah kakak tiada. Aku tidak mampu berkata apa-apa ketika Mak melahirkan isi hatinya berkali-kali kepadaku mengenai hal ini. Walaupun rasa sangat sayang kepada restoran yang diusahakan dengan susah payah dan banyak bakti sumbangannya kepada kami, namun jika itu sudah takdir dan ketentuannya, terpaksa jugalah diterima. Ya Allah berilah kepada kami jalan yang terbaik.

Ahli rumah yang lain belum keluar dari bilik masing-masing. Hanya Adik yang sudah berada di depan televisyen menonton siaran pagi. Adik pun sudah siap solat, mandi dan berpakaian, sudah bersedia untuk bertolak ke Kuala Lumpur nampaknya.

Aku hanya menjenguk melihat Adik tapi tidak menyapanya. Aku juga perlu mandi dan bersiap-siap awal supaya tidak terburu-buru bila sampai masa hendak bertolak nanti. Lagipun, bila bersiap awal-awal, nanti bolehlah meluangkan masaku dengan Mak untuk seketika lagi. Mungkin ada lagi cerita yang Mak nak kongsikan denganku, sebagai bekalan, mengurangkan kerinduan masing-masing nanti. Huhhh.......sesak rasa dada.
Selesai mandi dan berpakaian, aku ke dapur, nak menolong Mak mana yang patut.

Hampir semua sudah siap. Cuma Mak belum membancuh minuman. Bila semua dah bangun dan bersedia, barulah Mak mahu membancuh teh atau milo, supaya tidak sejuk dingin, kata Mak. Memanglah, teh kalau sudah sejuk, akan tidak enak dan boleh mendatangkan masalah angin bagi orang yang ada gastrik macam aku. Milo pula akan menyebabkan rasa mual, apalagi bila diminum bersama mee goreng. Aku rasa milo perlu diganti dengan kopi O, rasanya lebih sedap agaknya. Apa lagi, aku tahu Irfan sangat suka kopi O, Adik pula suka teh. Abang dan adik-adikku, apa-apa pun boleh, tak kesah mereka ni. Macam aku juga, cuma aku tidak boleh teh dingin atau sejuk, kalau ais boleh.

Nah, itu Irfan sudah keluar dari bilik, sudah siap mandi dan berpakaian kemas. Segak sekali Irfanku. Abang dan adik-adik juga sudah keluar, siap mandi dan berpakaian rapi. Aku mengajak semuanya ke meja makan, bersarapan.

“Fan, kopi gula boleh?” Tanyaku kepada buah hatiku. Irfan menganggukkan kepalanya.

Kelihatan sedikit lesu, kepenatan agaknya. Maklum, tenaganya sudah digunakan semaksimanya semenjak tiba di Kuantan tiga hari lepas.

Aku melemparkan senyuman sayangku kepadanya. Irfan membalas sambil mengenyitkan matanya kepadaku. Senang melihatnya. Aku senyum lagi semakin lebar supaya pagi kami yang sedikit lesu akan jadi segar.

“Capek ya?” Tanyaku berbasa-basi. Sudah tahu tanya juga, `sudah gaharu cendana pula’. Irfanku mengangguk lagi, tapi sudah cuba juga untuk menutup kelesuannya dengan senyuman.

“Mana Ibu?” Irfan cuba menghidupkan suasana pagi yang tidak ceria.

“Ada di dapur,” jawabku.

Semua sudah berada di meja makan. Aku ke dapur membawa keluar seteko kopi O dan teh. Aku tuangkan kopi untuk Irfan dan Abang, teh untuk Adik, Am dan Boy. Masing-masing menyenduk mee goreng Mak yang sangat menyelerakan, ada udang, sotong, sayur kobis dan sawi. Aku juga mengambil mee goreng, rugi tak makan sekarang, nanti setengah tahun lagi baru boleh makan. Kat Jakarta mana ada mee goreng yang sama dengan hasil tangan Mak. Betapa berseleranya kami bersarapan pagi ini.
Mak keluar dari dapur membawa jemput-jemput pisang. Laa, sempat lagi Mak menambah menunya. Mak memang sangat bersemangat bila memasak. Tidak tahu penat dia. Kalau boleh macam-macam makanan nak dimasaknya. Maklum meraikan bakal menantunyalah katakan. Tapi kalau bukan bakal menantunya pun Mak memang begitu. Kalau ada tetamu, perkara utama dalam agendanya adalah makanan, mesti makan. Kalau tidak dapat menyediakan makanan, semacam menyesal atau ralat dia rasakan.

Memang perangai Mak diturunkan kepada arwah kakak, bukan kepadaku. Aku sedikit lemau kalau nak memasak. Dari dulu sampai sekarang, masalah ini tetap sama. Mak seorang wanita yang memiliki ciri-ciri wanita yang sempurna, pandai memasak, mengemas rumah, menjahit dan bergaya orangnya. Sewaktu umurnya 45 tahun, masih nampak macam awal 30-an. Pakaian kami anak-anak perempuan dan baju melayu anak lelaki semua Mak jahit sendiri. Semua permintaan menu makan anak-anak akan dipenuhi walau bagaimana cara sekalipun.

Masih aku ingat sewaktu kecil-kecil dulu, setiap hari raya Mak akan masak nasi impit dengan sate untuk memenuhi citarasa Abang dari kecil sampai usianya belasan tahun. Abang sangat suka nasi impit dan sate, kalau Mak tak menyediakan menu ini, abang tidak akan beraya, merajuk dalam selimutnya sepanjang hari raya. Mak juga akan menyediakan ketupat pulut manis daun palas dengan kacang di dalamnya untuk aku. Pasti Mak akan adakan walau apa cara sekalipun. Kakak pula peminat nasi dagang dengan ikan tongkol. Setiap hari raya nasi dagang akan jadi menu utama di pagi hari raya. Hanya adik-adik lelakiku yang tidak kesahkan apa juga menu, mereka terima dan makan dengan selera. Lagipun waktu itu mereka masih sangat kecil dan tidak banyak kerenahnya. Huh....itu hanyalah kenangan saja.

Semuanya sudah siap makan. Jam sudah menunjukkan ke angka 8. Semua sudah siap sedia untuk bertolak ke Kuala Lumpur. Mak akan ikut bersama kami sampai ke restorannya. Rasa berat hati hendak meninggalkan Mak dan keluargaku di Kuantan ni. Namun aku terpaksa juga meninggalkan segala yang aku sayang di sini untuk meneruskan cita-cita yang belum kesampaian. Mudah-mudahan kali ini akan berjalan dengan mulus segala perancangan hidupku.

Beg pakaian sudah dibawa masuk ke dalam `bonet’ kereta Adik. Am sudah bertolak ke restoran Mak dengan motornya terlebih dahulu. Abang juga sudah pergi dengan kereta Protonnya. Semua yang lain juga sudah keluar, tinggal aku dan Mak yang masih melihat-lihat apa yang tertinggal. Tiba-tiba saja aku dan Mak dikejutkan dengan bunyi telefon. Siapa pula yang menelefon pagi-pagi begini.

Aku mengangkat telefon. Kedengaran suara yang sangat kukenali....Abang Roslan. Girang rasa hati mendengar suara Roslan yang sudah beberapa hari tidak menghubungiku. Roslan juga bersemangat suaranya menyapa aku.

“Sorry Nor, Abang betul-betul rindu awak,” beritahu Roslan. Ala, dah muak mendengar perkataan rindu ni rasanya, dari mulut Roslan dan juga Irfan. Apa maksud sebenar dari perkataan `rindu’ itu sendiripun aku tidak pasti. Apakah hanya ucapan di bibir sahaja atau lahir dari dalam hati yang sebenar-benarnya. Susah hendak menduga kebenarannya.

“Kami dah nak bertolak ni, nasib baik Abang telefon cepat sikit, kalau tidak, tak dapat bercakap dengan saya untuk terakhir kali,” kataku.

“Hah, kenapa terakhir, kenapa cakap macam tu, Nor dah tak nak bercakap dengan Abang ke?” Roslan mula berprasangka denganku. Aku tertawa gelihati mendengar dugaannya.

“Bukan, maksud saya kat Malaysia ni la, kan saya dah nak ke Jakarta. Kat sana tak ada telefon, macamana Abang nak telefon saya. Enam bulan lagi baru kita boleh bercakap lagi,” jelasku memperbetulkan prasangka Roslan.

“Oh....tapi kat Wisma Malaysia kan ada telefon, kita janjilah, Nor tunggu kat sana, atau Nor call Abang, buat reverse charge, biar Abang yang bayar kat sana,” cadang Roslan. Oh boleh ke macam tu, tanya hatiku. Maklum tak pernah ada kenalan di luar negara dan berhubungan cara macam tu. Hehe...ketawaku pada diri sendiri yang kurang pengetahuan.

“Tengoklah macamana nanti ye Abang, tak janji tau,” balasku.

“Laa..kenapa cakap macam tu, macam memang tidak berniat nak hubungi Abang lagi je..” Duga Roslan, separuh merajuk. Aku ketawa lagi mendengar kata-kata Roslan. Seronok mendengar suara orang merajuk.

“Atau kalau susah sangat Abang akan tulis surat tapi Nor mesti balas tau....” Roslan masih terus berusaha menunjukkan minat dan harapannya kepadaku. Heh, lelaki ini sangat kuat azamnya. Terlalu berani dan berterus-terang orangnya. Mungkinkah aku akhirnya akan tewas dengannya. Oh rasanya tidak selagi Irfan masih bersamaku, janjiku pada diri sendiri dengan penuh keyakinan.

“Nanti kalau Abang ada kelapangan atau cuti Abang akan menjenguk Nor di Jakarta, boleh?” Tanya Roslan ingin mendapatkan persetujuanku.

“Ok lah Abang, Nor tunggu Abang kat Jakarta nanti ye. Kami dah nak bertolak ni, nanti lambat pula. Nanti kita berbual-bual lagi ok Bang.” Aku meminta izin untuk mengakhiri perbualan kami setelah menyedari kemungkinan akan kelewatan tiba di Subang nanti.

“Baiklah....siapa yang hantar Nor ke airport ni?” Tiba-tiba Roslan melontarkan pertanyaan yang membuatkan aku gugup seketika untuk menjawabnya. Aku berfikir seketika untuk mencari jawapan yang tepat.

“Adik Izani lah, siapa lagi...,” jawabku sedikit tergagap. Aku tidak berbohong, betullah aku dihantar Adik Izani yang sudahpun dikenali Roslan tempohari. Aku hanya tidak memaklumkan adanya Irfan bersamaku. Adik menghantar aku dan Irfan. Rasanya tidak perlu aku memberitahu semua itu kepada Roslan kerana dia bukan ada ikatan apa-apa denganku.

“Oh....ok lah Nor...selamat jalan, jaga diri baik-baik. Insyallah bulan depan abang jenguk Nor kat Jakarta,” ucap Roslan bersama janjinya. Entah betul entah tidak kata-katanya tu. Aku mengiakannya sahaja.

“Abang stop dulu ye...bye bang....” Aku mengakhiri perbualan kami.

“Ok, bye....jumpa lagi, salam untuk Mak dan Adik juga,” balas Roslan.

Aku meletakkan gagang telefon dan bergegas keluar. Kunci pintu rumah dan pintu pagar. Menyertai mereka di dalam kereta. Irfan masih berdiri di pintu kereta.

“Siapa yang telefon?” Tanya Irfan lembut. “Teman saya, ucap selamat jalan,” jawabku. Irfan mengangguk. Aku masuk ke dalam kereta. Irfan menutup pintu kereta. Kami bergerak ke restoran Mak.

Sampai di restoran Mak, Kak Nah sudah menunggu kehadiran kami. Jelas kelihatan di wajahnya ada kesedihan nak melepaskan aku pergi. Aku tahu, memang dia sedih. Aku pun sedih sebenarnya, sangat sedih. Enam bulan itu lama. Macam-macam boleh berlaku dalam tempoh ini. Tengoklah hari itu, tak sampai sebulan aku pergi, kakak dah pergi meninggalkan kami selama-lamanya. Hanya doaku semuga tiada hal-hal yang tidak baik menimpa aku dan keluarga lagi selepas ini. Cukuplah kehilangan kakak yang sangat menyedihkan kami semua.

Kami semua masuk ke kedai untuk bersalaman dengan Kak Nah dan pekerja-pekerja Mak, serta adik-adikku yang juga sudah berada di kedai Mak. Kak Nah sudah menatang sedulang air untuk kami.

“Aduh kena minum lagi ke?” Tanyaku pada Kak Nah. Kak Nah mengangguk sambil senyum lebar, memaksa kami minum.

“Minum je tau...tak mau makan, dah kenyang makan kat rumah,” kataku. Kami semua terpaksa duduk dan minum teh yang disediakan Kak Nah. Kami mula menghirup teh yang dihidangkan Kak Nah. Mak pun duduk sama, minum bersama-sama kami. Rupa-rupanya Mak belum sarapan. Tadi di rumah, Mak sibuk melayan kami bersarapan tidak sempat makan dia.

“Laa...Mak belum sarapan ke tadi, tak sedar pulak...?” Aku rasa sangat tidak patut aku terlupa ajak Mak bersarapan pagi tadi. Bukan...aku memang dah ajak tapi Mak menyibukkan diri, aku rasa dia tidak berselera nak makan, sedih nak melepaskan aku pergi. Sekarangpun, Mak menghirup air perlahan-lahan, tidak bersemangat, menunjukkan dia tidak berselera.

“Tak boleh nak telan makanan,” balas Mak. Aku tahu Mak sedih, berat nak melepaskan aku pergi. Hati seorang ibu, begitulah. Apa lagi dalam keadaan Mak sekarang yang kesunyian dalam keriuhan. Nasib baik ada restoran ni, dapatlah Mak menyibukkan dirinya dan melupakan segala kesedihannya.

“Mak sedih ke? Kalau Mak keberatan, saya tak jadi pergi Jakarta ni....” Tiba-tiba sahaja ayat ini keluar dari bibirku. Aku memandang Irfan. Matanya merenung ke mataku dengan gaya terkejutnya. Airmukanya berubah. Keningnya diangkat. Aku merenungnya bersahaja sambil menganggukkan kepalaku. Aku tahu Irfan tidak suka mendengar kata-kataku tadi.

Mak juga merenung ke arahku dengan pandangan yang kosong lalu bersuara perlahan, “jangan cakap macam tu, Mak tak apa-apa. Biasalah kalau Mak sedih dan tak lalu makan kalau anak nak pergi jauh. Kan kita dah janji, awak nak habiskan belajar tu.” Mak mula cuba mewujudkan suasana gembira semula.

Aku memandang Irfan yang juga memandangku dengan ukiran senyuman di bibirnya. Lega agaknya dia mendengar jawapan Mak. Lalu Irfan menyambung, “Jakarta Kuala Lumpur, nggak jauh Mak, kapan-kapan aja Nur bisa pulang kalau dia mahu, nanti saya temanin dia pulang kalau ibu mahu.”

Manis sekali kedengarannya bahasa Irfan, memujuk hati lara Mak. Bercelaru dia, kadang-kadang memanggil Mak, adakalanya tersasul ibu. Mak tak kisah, pangil apa-apapun bolehlah, kata Mak yang sudah sangat menyenangi Irfan. Mak sudah redha menerima Irfan sebagai menantu. Apalagi setelah bercakap sendiri berdepan dengan Irfan, janji-janji Irfan telah dapat memenangi hati Mak. Sebagaimana Mak membuka hatinya untuk Abang Mat tunangan arwah kakak dulu, begitulah juga Mak membukakan pintu hatinya untuk Irfanku. Adoi...senang sekali hatiku. Terima kasih Mak.

“Mak...jangan sedih ye..dengar tu cakap Irfan, janji Irfan. Kalau Mak rindu je, mak bagitahu, saya akan balik segera, boleh Mak?” Aku mengulangi janji Irfan sebagai peneguhan dengan apa yang selalu diungkapkan pada aku dan Mak. Bukan sekali dua janjinya pada Mak dan aku mengenai hal ini, apa lagi kalau aku jadi kahwin dengannya nanti. Katanya dia akan pastikan Mak akan selalu berjumpa denganku. Aku tidak tahu sejauhmana kebenaran kata-katanya. Perkara belum jadi. Takutnya nanti lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang pula jadinya, atau cakap tak sama bikin.

“Nanti kalau ibu rindu dan mahu Nur pulang, ibu telefon saja saya. Ibu kan udah ada nomor telefon rumah dan kantor saya, telefon aja ya bu,” sambung Irfan lagi, menyakinkan Mak akan kesungguhannya menunaikan janjinya. Mak menganggukkan kepalanya senang.

Adik lelakiku dua orang itu hanya duduk diam dan mendengar perbualan kami. Am yang dulunya mesra orangnya, sekarang sangat kurang bercakap. Adik Boy memang orangnya pendiam. Sangat susah memancingnya bercakap, tetapi selalu murah dengan senyumannya. Boy sangat baik, dia tidak pernah bercakap kasar atau meninggikan suaranya bila bercakap, apa lagi dengan Mak dan orang-orang yang lebih tua darinya.
Aku masih ingat waktu dia berumur empat tahun, kalau tak silap aku, dia jatuh dari tempat boncengan basikal, ketika aku membawanya berjalan meronda kawasan tempat tinggal kami. Tangan Boy patah dan kesannya sampai sekarang, tangannya tidak boleh pulih seperti biasa. Salah dia juga. Waktu kecil, Boy sangat lasak dan menjadi ketua geng kanak-kanak berumur sebayanya atau yang lebih tua dua atau tiga tahun darinya. Belum sempat sembuh, dia jatuh lagi, patah lagi di tempat yang sama. Tiga kali jatuh dan patah di tempat yang sama. Akhirnya tangannya tidak boleh baik dan lurus sepenuhnya. Kalau nak betulkan semula mesti dipatahkan semula dan mengulangi proses pemulihan dari awal, pasti sangat menyakitkan. Akhirnya dia tidak jadi meluruskan tangannya dan menerimanya sebagai takdir Allah.

Huh, jam sudah menunjukkan hampir pukul 9 pagi. Mesti bertolak sekarang, kalau tidak pasti terlepas kapal terbang pulak. Aku ke dapur dan menarik tangan Am sekali. Am mengikuti aku ke dapur. Hanya aku memberi kata-kata nasihat seorang kakak kepada adiknya. Am hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanpa berkata apa-apa. Dia bersalam dan mencium tanganku. Aku mencium dahinya sambil tanganku menggosok kepalanya. Matanya merah dengan takungan air mata menunggu tumpah. Aku tidak sanggup melihatnya. Aku keluar ketika Am menyapu air matanya. Aku bersalam dengan Boy, dengan sedikit pesanan dan nasihat untuknya. Aku juga mencium dahi adik bongsuku Boy.

Tiba-tiba saja Abang Mat muncul ketika kami bersalaman untuk bertolak pergi. Aku juga bersalaman dengan Abang Mat yang sudah kuanggap Abang sendiri. Abang Mat pula memberi bermacam-macam nasihat untuk peganganku di rantau orang. Aku hanya dapat berterima kasih dan berjanji akan mengikut nasihat Abang Mat. Kemudiannya aku berpaling ke arah Abangku yang berdiri di sebelah Mak. Bersalam dengannya. Abang hanya berpesan supaya jaga diri baik-baik di tempat orang. Kemudiannya bersalam dengan Kak Nah dan pekerja-pekerja Mak yang ada di situ.

Akhirnya, Aku memeluk Mak dengan erat, rasa macam tidak mahu melepaskan tubuh Mak yang sudah kurus sangat berbanding enam bulan yang lalu. Tapi apakan daya, semuanya terpaksa berkorban demi untuk sesuatu yang lebih baik. Aku cium tangan Mak, pipi Mak dan akhirnya keluar juga air mata walaupun aku tidak suka, serta cuba menahannya dari tadi. Alhamdulillah , masih boleh mengawal diri. Aku memohon maaf pada semua dan halalkan makan dan minum. Irfan dan Adik juga bersalam dengan semua yang ada dan mengucapkan terima kasih kepada Mak dan semua yang ada.

“Irfan, jaga Nor baik-baik, jaga nama baik semua juga ya,” pesan Mak. Irfan mengangguk berjanji.

Pukul 9.20 pagi kami bertolak juga akhirnya walaupun dengan berat hati. Alhamdulillah perjalanan kami lancar dan sampai di Kuala Lumpur seperti yang dirancang. Kami masih ada masa satu jam sebelum ke Lapangan Terbang Subang. Adik mengajak makan tengahari di Bangsar, tempat yang kami selalu makan juga dulu, selain Seksyen 17 Petaling Jaya. Huh, Adik, pandai je mengembalikan nostalgiaku, kari kepala ikan kegemaranku. Semua makan menu yang sama. Irfan pun nampaknya berselera makan. Lagipun kami memang sedang lapar.

“Terima kasih Adik. Kak Zan banyak menyusahkan Adik kan?” Aku rasa sangat terharu dengan apa yang Adik lakukan untuk aku. Aku lihat ada genangan air mata di kelopak mata Adik ketika aku dan Adik mencuci tangan di singki selepas makan. Adik hanya senyum dan menggelengkan kepalanya. Kenapa Adik perlu mengeluarkan air matanya? Sedih atau gembira? Semuanya menjadi tanda tanya yang tidak terjawab.

Selepas makan, Adik terus menghantar aku ke lapangan terbang. Sedang elok, satu jam setengah sebelum berlepas kami sudah boleh ‘check-in’. Kami duduk lagi berbual-bual dengan Adik sementara waktu masuk. Irfan ke bilik air. Tinggal aku dan Adik.

“Kak Zan jangan lupa jaga diri baik-baik. Jaga kehormatan diri di tempat orang. Ingat, walaupun mak dah setuju tapi Irfan belum sah jadi suami Kak Zan,” pesan Adik dalam nada jenakanya. Aku faham maksud Adik yang sangat mengenali gaya hidup di Jakarta yang sangat bebas.

“Insyallah Adik, tolong doakan juga yang terbaik untuk Kak Zan. Adik nanti jenguk-jenguklah Mak dan adik-adik kat Kuantan ya,” pintaku bersama janji dan harapan yang tinggi kepada Adik.

“Insyallah...,” balas Adik.

Pengumuman meminta penumpang Boeing 737 ke Jakarta masuk kedengaran. Irfan bersalam dengan Adik. Aku juga bersalam dengan Adik, berterima kasih kepadanya dengan apa yang telah banyak dilakukan kepadaku dan Irfan.

“Adik halalkan semuanya dan maafkan Kak Zan kalau ada salah silap atau menyinggung persaaan Adik ya,” ucapku dengan sedikit rasa sebak.

“Sama-sama, saya pun mohon maaf salah silap makan minum saya,” balas Adik dengan genangan air mata sekali lagi memenuhi matanya. Sayu rasanya melihat Adik. Aku hulurkan tisu untuk dia mengelap air matanya.

Terima kasih Adik atas segala kebaikanmu, hanya Allah yang membalas semuanya. Kami berjalan masuk sambil melambaikan tangan kepada Adik angkatku yang sangat aku sayangi. Susah nak dapat seorang adik sebaik dia.

Selamat tinggal Kuala Lumpur.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 24 November 2011.

Wednesday 9 November 2011

Kenangan Di Kampus Depok – Siri 1 – Ateh Halimah

Mengatur Langkah ke Menara Gading
Setiap kali bercerita tentang kota Jakarta maka setiap kali itulah album kenangan mengamitku untuk membuka kembali lembaran kisah ketika aku bergelar seorang mahasiswa. Kisah diriku yang panjang pastinya bermula ketika aku mendapat tawaran Jabatan Perkhidamatan Awam (JPA) untuk menghadiri kursus persediaan ke perguruan tinggi di Indonesia. Relung-relung pita kenangan ku putar bagai menyiarkan kembali cerita yang sudah sekian lama terakam.

Inilah kisah ku…

Hatiku terasa berbunga-bunga apabila mendapat surat tawaran untuk menghadiri kursus persediaan ke perguruan tinggi di Indonesia. Senyuman tak lekang daripada bibirku semasa aku memohon izin daripada emak untuk pergi menghadiri kursus tersebut.

“Mak, orang boleh pergikan?” tanyaku kepada emak semasa aku menolong emak di dapur.

“Orang boleh pergikan?” Tanyaku berulang kali.

“Tanya bapak.” Jawab emak ringkas.

“Bapak mesti kasi pergi punya. Mak cakaplah dengan bapak.” Rayuku lagi.

Peluangku untuk menggapai kunci ke menara gading di Indonesia terbuka apabila bapaku memberikan izin untuk aku menghadiri kursus yang diadakan di Kuala Lumpur.

Masih segar diingatanku semasa bapak menghantarku dan kakak ke kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur untuk menghadiri kursus tersebut. Di situlah pertama kali dalam hidupku dapat merasakan suasana tinggal berjauhan dengan keluarga walaupun cuma dua minggu. Kesempatan dapat tinggal di asrama dan bertemu dengan kawan-kawan baru menambah keseronokan hari-hariku di situ.

Jadual kursus yang penuh dengan pelbagai aktiviti dan kelas untuk mempersiapkan diri menduduki ujian SIPENMARU tidak melelahkan aku sama sekali. Aku lalui hari-hari kursusku dengan penuh semangat dan ceria. Aku menaruh harapan tinggi untuk terpilih melanjutkan pelajaran ke Indonesia. Aku ingin sekali menjadi ahli arkeologi sebagaimana yang aku angan-angankan setelah mendengar taklimat tentang kursus-kursus yang boleh diikuti di sana.

Putaran hari-hariku selepas menghadiri kursus di Kuala Lumpur terasa sangat panjang. Menunggu jawaban samada aku lulus seleksi untuk melanjutkan pelajaran ke Indonesia bagaikan satu siksaan. Doaku tidak putus-putus kepada Allah yang maha esa agar aku lulus dan dapat belajar di Universitas Gajah Mada (UGM). Universiti yang aku sering dengar kegahannya itu. Universiti yang sering disebut-sebut orang kala bercerita tentang belajar di tanah seberang. Selain itu, aku ingin sekali menjejakkan kakiku ke Jogja agar aku dapat melihat dengan mata kepalaku sendiri Candi Borobudur yang menjadi ikon antara tempat yang menakjubkan di dunia. Aku ingin sekali memanjat sambil menghitung anak-anak tangga Candi Borobudur yang dikatakan tidak pasti berapa jumlahnya kerana setiap orang akan memberikan jawaban yang berbeza-beza. Aku ingin membuktikan kebenaran hasil tulisan tentang Candi Borobudur yang pernah aku baca.

Memang sudah rezekiku, aku terserempak dengan pak cik posmen yang membawa bingkisan buatku. Kebetulan aku pergi ke kedai runcit Pak Ngah untuk membeli barang yang disuruh oleh emak selain melihat-lihat kalaulah ada surat untuk ku. Memang surat-surat semuanya akan diletakkan di kedai runcit Pak Ngah. Orang-orang kampung akan ke situ untuk melihat kalau-kalau ada surat untuk mereka. Maklumlah zaman itu manalah rumah ada nombor macam sekarang.

“Ini surat penting. Kesian juga kalau dia lambat terima.” Kata pak cik posmen yang penuh dedikasi itu.

“Ini surat sayalah pak cik.” Aku seakan-akan berteriak kegembiraan sambil menarik surat itu daripada tangannya.

“Ini nama kau ke Teh?” Tanya pak cik posmen seperti tidak percaya.

“Bapak kau bukan abang Nong ke?” Tanya pak cik posmen itu dengan wajah kebingungan.

“Bapak ada dua nama.” Aku menjawab sambil berlalu pergi.

“Pak Cik, terima kasih ya.” Teriakku sambil cepat-cepat berlalu. Tidak sabar rasanya
untuk membuka surat itu dan membaca isinya.

Surat yang bercop “Urusan Kerajaan” itu datangnya daripada JPA. Surat itulah yang aku tunggu-tunggu sekian lama. Surat itu bagaikan membawa seribu rahmat bagiku. Surat yang membawa khabar gembira. Surat yang isinya menawarkan aku tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Indonesia.

Penantianku kini sampai kepada titik penamat. Penantian yang aku rasakan bagai sebuah beban akhirnya membawa kegembiraan. Namun kegembiraan yang aku rasakan
tiba-tiba terhenti. Aku sangat kecewa membaca isi surat tersebut. Aku ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Universitas Indonesia (UI) di Jakarta dalam jurusan Sastra Indonesia. Aku sangat kecewa sebab angan-anganku untuk melanjutkan pelajaran ke UGM hancur musnah. Hasrat hatiku untuk menjadi seorang ahli arkeologi tidak akan kesampaian. Pelbagai persoalan berlegar-legar dalam kepalaku. Hatiku mula ragu samada aku mampu mengikuti kursus yang ditawarkan itu. Sejak di sekolah aku memang kurang minat dengan mata pelajaran sastera. Di sebalik keragu-raguan itu, tersemat keinginan yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran. Aku bertekad untuk meneruskannya saja walaupun tawaran yang ku dapat itu sangat jauh daripada apa yang ku harapkan.

Emak adalah orang pertama yang mendapat khabar gembira itu walaupun pada hakikatnya aku kurang teruja dengan tawaran yang aku terima. Emak sangat gembira sebab aku dapat menyambung pelajaranku ke luar negara walau sekadar ke negara seberang.

Berita gembira itu emak kongsikan dengan datukku yang kebetulan datang menghantar pisang dari kebunnya. Beria-ia emak bercerita kepada datuk bahawa aku ditawarkan biasiswa oleh JPA untuk sambung pelajaran.

“Si kembar nak belajar di seberang? Tak payahlah… belajar di sini sudah! Kalau pergi negeri orang putih tu lainlah pula”, Suara Tok Endon bercakap dengan emak kedengaran jelas sekali dari kamarku.

Aku memasang telinga dengan berdiri dekat dengan pintu. Aku mahu tahu apa saja yang dibualkan oleh Tok Endon dengan emak.

“Dah rezeki dia di situ. Lagi pula dia dapat biasiswa kerajaan.” Jawab emak seolah-olah membelaku.

“Kalau dia belajar di sini, dia tak dapat biasiswa. Siapa pula nak tanggung dia?”

“Nak harapkan gaji bapak dia tu berapalah sangat Bah… duit bawa teksi tu cuma cukup-cukup makan je.” Sambung emak lagi.

Mendengar kata-kata emak, dadaku bagai dihimpit bata. Aku menahan sebak. Batir-butir air mata mulai bertakung dikelopak mataku. Akhirnya kelopak mataku tidak lagi dapat menampung genangan air mata lalu berjujuran jatuh membasahi pipiku. Aku sangat pilu mendengar kata-kata emak. Aku ingin sekali membela nasib emak dan bapak. Aku ingin sekali berjaya dan menjawat jawatan tinggi. Aku ingin emak dan bapak bahagia.

“Alah… tak payah pergilah… Yang kau bela-bela sangat anak angkut kau tu apa pasal?”
Suara Tok Endon agak tinggi.

Bait terakhir yang meluncur daripada mulut Tok Endon membuatkan telingaku berdesing bagai mendengar bunyi nyaring radio yang tidak kena frekuensinya. Fikiranku tiba-tiba melayang jauh. Lalu membuka lembar-lembar kisah laluku semasa tinggal dengan Tok Endon. Hari-hari yang aku lalui ketika itu penuh dengan kesuraman. Aku hidup dalam serba tidak kena pada mata Tok Endon. Apa saja yang aku lakukan ada saja yang menjadi tegurannya. Sampaikan kalau mencuci pinggan mangkuk pun akan aku buat berhati-hati. Jangan sampai terdengar bunyi lagaan pinggan mangkuk. Yang pasti sindiran pedas akan berdesing di telinga… “Banyak duit mak kau nak beli pinggan baru!”

Aku dapat rasakan bahawa Tok Endon tidak menyukaiku sebab aku adalah anak yang dibela oleh emak sejak kecil. Emak dan bapak mencurahkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi antara aku dengan anak-anak yang lain. Tok Endon selalu meragui kalau nanti apabila aku sudah dewasa dan berjaya aku akan berpaling kepada keluarga kandungku. Ternyata sikap Tok Endon itu menguatkan lagi kasih sayang aku kepada emak dan bapak. Sikap itu juga yang berjadi pemacu untuk aku mengejar cita-cita dan hasrat untuk berbakti kepada emak dan bapak.

Episod duka ketika tinggal dengan Tok Endon berakhir apabila emak dan bapak berpindah ke rumah sendiri. Namun kedatangan Tok Endon sekali sekala ke rumah kami tetap membuatkan hatiku kecut.

“Ateh…” Aku tersentak mendengar panggilan emak. Suaranya dengan tiba-tiba menghentikan tayangan kisah-kisah laluku. Tanpaku sedari rupa-rupanya aku telah jauh melayang dibuai oleh kisah-kisah silam tatkala tinggal dengan Tok Endon.

“Ya, mak.” Sambil mengesat air mata aku bergegas keluar.

Aku nampak Tok Endon mula beredar. Aku berasa lega kerana tidak perlu bersua dengannya. Mataku merah dek baru menangis sudah tidak menjadi kisah bagi mak lagi.

“Atok mana mak?” Tanyaku seolah-olah tidak tahu bahawa Tok Endon sudah pulang.

“Tok tak suka orang sambung belajar kan?” Aku memulakan perbicaraan dengan emak.

“Ntahlah… tok kau tu macam tak suka kau nak belajar di Indon. Habis nak buat macam mana? Dah rezeki kau di situ” Jawab mak panjang lebar.

“Bila nak kena pergi Kuala Lumpur tu?” Emak cuba mengalihkan topik perbicaraan dengan bertanyakan soalan kepadaku pula. Belumpun sempat aku menjawabnya emak menyambung kata-katanya.

“Mak dah cakap dengan Wan Busu kau minta Cik Suri hantar kau ke airport masa kau nak berangkat nanti.”

Alhamdulillah segala proses untuk menyambung pelajaranku ke Jakarta berjalan dengan mulus. Daripada hal menandatangani kontrak tawaran dan membuat paspot sampai kepada hari untuk berangkat telah dipermudahkan Allah yang Maha Esa.

Aku yang tadinya ragu-ragu dengan tawaran untuk belajar di UI sudah mula menerima hakikat bahawa tempat untuk aku menempa kejayaan adalah di Jakarta bukannya di Jogja. Aku telah menyemat satu tekat bahawa aku tetap akan menjejakkan kakiku ke Candi Borobudur suatu hari nanti dan Jakarta akan menjadi batu loncatannya.

Aturan langkahku dan kakak ke menara gading tidak diiringi oleh emak dan bapak mahupun adik beradikku yang lain. Walaupun begitu tidak sekelumitpun kami berasa sedih. Kami faham kesusahan yang menyelubungi keluarga kami. Kami sudah biasa berdikari. Menurut emak, lebih baik duit untuk pergi ke Kuala Lumpur diberikan kepada kami sebagai bekal tambahan duit biasiswa yang kami terima.

Aku dan kakak menaiki bas ke Pudu Raya dengan hanya membawa sebuah beg yang berisi pakaian seadanya. Kami di jemput oleh Cik Suri, sepupu emak untuk bermalam di rumahnya di Subang Jaya. Kami menginap di rumah Cik Suri satu malam sebelum keesokan paginya Pak Atan, suami Cik Suri menghantar kami ke Lapanagan Terbang Antarabangsa Subang sebelum beliau berangkat ke tempat kerja.

“Belajar rajin-rajin. Good luck.” Pesanan ringkas daripada Pak Atan semasa aku mencium tangannya.

“Insya’allah” Jawabku ringkas. Aku memang tidak tahu nak jawab apa lagi ketika itu.

Di lapangan terbang itu, aku dan kakak mencari tempat duduk. Di situ kami memeriksa semua dokumen yang perlu dibawa. Kami menghabiskan masa bersama kerana saat itulah kami akan berpisah buat pertama kali dalam hidup ini. Sejak dalam rahim ibu sehinggalah kami dewasa, kami tidak pernah berpisah. Amat berat bagi kami untuk melakukannya. Namun demi mengejar cita-cita ke menara gading dan harapan mengubah nasib diri dan keluarga kami kuatkan semangat untuk mengharungi cabaran yang mendatang sendiri tanpa teman sejati di sisi.

Pengumuman daripada Encik Kamarulzaman, pegawai JPA yang bertanggungjawab menguruskan pemergian pelajar kumpulan pertama program “G to G” ini menambah gementar hatiku. Kami diminta berkumpul di tempat berasingan antara kumpulan yang akan ke Sumatera Barat dengan kumpulan yang akan ke Jakarta.

Kini kesayuan mula menyelubungi hati dan perasaanku. Aku dan kakak saling berpelukan. Kami seolah-olah tidak mahu melepaskan pelukan yang erat itu. Air mata mula jatuh berderai. Tiada perasaan malu yang lahir ketika itu. Biarlah kami menjadi tontonan orang-orang sekeliling. Kalau ikutkan hati kami tidak mahu berpisah namun suratan Illahi telah menetukannya. Kami berjalan mengikuti kumpulan yang telah ditetapkan. Kakakku mengikuti kumpulan ke Sumatera Barat untuk meneruskan pelajaran di Universitas Sumatera Utara (USU) dalam bidang yang sama seperti aku.

Aku berkumpul dengan pelajar-pelajar lain dalam kumpulanku. Aku tutupi perasaan duka dengan sikap ramah dan ceriaku itu. Aku mula berbual-bual dengan teman-teman baru ku dan keluarga mereka. Sesekali hatiku terusik juga apabila ada orang yang bertanya di mana keluargaku. Sambil tersenyum, dengan selamba aku berkata aku tidak ditemani siapa-siapa.

Apabila kumpulanku dipanggil untuk “check in” dengan yakin aku mengorak langkah. Langkah ke menara gading dengan berbekalkan semangat yang kental dan berperisaikan kata-kata azimat daripada emak dan bapak. Kata-kata azimat yang mahukan aku cekal dan berani menggempur apa saja rintangan untuk berjaya di hari muka.

Ateh Halimah, 9 Nov 2011

Tuesday 8 November 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 22 – Nor Aizan Ab Halim

Kejutan Lagi

Sampai di rumah, azan Maghrib dari surau berhampiran sudah kedengaran. Sangat letih dan lesu rasanya badan dan minda. Tidak sangka akan terjumpa Ari, lebih lesu rasa bila ingatkan Ari. Aku baringkan diri di sofa ruang tamu, nak rehatkan badan seketika. Kebetulan baru cuti solat. Tidak tergesa-gesa untuk solat maghrib. Terlelap mata tanpa dirancang.

Aku dikejutkan Mak ketika jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Mak baru balik dari restorannya. Wow, lama betul aku tidur, hampir tiga jam. Rasa pening kepalaku tertidur di waktu maghrib tadi. Makin lesu rasa badan. Aku gagahkan diri untuk bangun, mandi dan makan malam.

Selesai makan malam, aku merehatkan badan sambil menonton televisyen. Rasa lesu belum hilang lagi. Hampir jam 11 malam. Telefon berdering. Irfan agaknya? Tapi baru semalam dia telefon, takkan dia telefon lagi. Tak mungkin Irfan, kawan Mak agaknya. Aku melangkah ke arah telefon lemah-longlai.

Gagang kuangkat. “Assalamualaikum...boleh bercakap dengan Nor?” Kedengaran suara
sayup di hujung sana. Suara siapa? Tidak pernah mendengar suara lelaki ini.

“Ya, saya bercakap,” jawabku perlahan, masih tidak bersemangat.

“Hai Nor, apa khabar?” Tanya suara di sana.

“Maaf siapa ni?” Aku bertanya sangsi. Memang aku tak kenal suara ini, langsung tidak cam. Parau sengau semacam.

“Oh...dah lupakan abang, baru dua hari abang pergi....dah lupa ye, sampai hati Nor.” Bersuara lagi lelaki di telefon itu.

Aku terdiam seketika, baru terfikir Roslan. Nyaris terlupa akan dia.

“Abang Roslan ke?” Aku hanya sekadar meneka. Siapa lagi kalau bukan dia yang baru dua hari pergi. Suaranya sengau parau macam orang selsema.

“Haa...kenal pun....ingatkan dah lupa..,” sambung Roslan pula.

“Maaf abang Roslan, tak cam suara abang tadi,” balasku dengan sedikit rasa bersalah kerana kurang peka.

“Nor apa khabar?” Roslan memulakan perbualan.

“Alhamdulillah Abang, saya sihat-sihat je. Abang pula macamana, seronok kat tempat kerja baru?” Giliran aku pula bertanya.

“Entahlah, baru dua hari, belum tau lagi macamana, nampak macam ok, tapi abang dah kena flu ni” akui Roslan. Betullah kena selsema, sebab itulah suaranya berbeza sekali hinggakan aku tidak mengenali suaranya.

Betullah kata Roslan, rupanya baru dua hari dia pergi, tapi rasa macam dah lama dia pergi. Rupa-rupanya aku menghitung juga hari Roslan pergi. Memanglah terasa, hampir empat minggu berkawan dengannya di Kuantan. Masih baru kenal dan perlakuan baiknya padaku membuatkan aku rasa seronok juga bersama dia tempohari. Berkawan apa salahnya. Bukan aku janji apa-apa dengannya. Tidak tahulah aku kalau Roslan beranggapan aku memberi harapan kepadanya. Bukan salahku. Hanya berbuat baik dengan orang yang baik dengan kita.

“Nor, kenapa diam?” Roslan bertanya setelah mendapati aku tidak bersuara.

“Tak de apa....terperanjat mendapat panggilan dari abang.” Jawabku berhelah. Tidak mahu dia tahu aku sedang berangan-angan.

“Mak macamana, sihat ke?” Tanya Roslan lagi. Ingat juga dia dengan Mak.

“Sihat, alhamdulilah.”

“Baguslah,” sambung Roslan lagi.

“Nor, macamana dengan cincin hari tu, muat ke kat jari Nor?” Roslan ingin mendapatkan kepastian. Baru teringat cincin berlian Roslan, yang disimpan Mak. Cantik dan muat di tanganku.

“Muat dan cantik sekali. Abang dah sebut pasal ini, so saya nak tanya juga ni, kenapa abang buat macam tu, kenapa bagi saya cincin tu? Mahal sangat, saya tidak boleh terima. Nanti kalau abang balik Kuantan, Abang kena ambik balik tau, ambik dengan Mak kalau saya tiada, ok.” Aku menjelaskan rasa tidak senang hati, kesal dengan tindakannya. Aku juga berharap dia menunaikan hasratku. Aku tidak mahu terikat. Aku sudah ada Irfan yang sangat baik padaku, cukuplah. Jangan biarkan hatiku bercabang lagi.

“Nor, jangan risaulah, ambik je cincin tu, Abang bagi sebagai tanda perkenalan kita. Nor terima Abang atau tidak, Abang tak kisah. Hajat Abang untuk memberi Nor cincin itu sudah Abang tunaikan, selebihnya terserah pada Nor. Jangan pulangkan cincin tu walaupun Nor tak suka Abang, simpanlah ok.....” Adoi, sayunya hati aku mendengar suara Roslan yang bagaikan ada getaran di dalamnya.

“Abang Roslan, maafkan saya. Saya tidak berniat melukai hati Abang. Buat masa ini, hati saya belum terbuka untuk menerima Abang. Bukan saya tak suka Abang, jangan Abang salah faham ye, saya suka Abang. Abang sangat baik dengan saya. Abang akan tetap saya ingat sepanjang hidup saya, walaupun nanti mungkin kita tak ada jodoh,” ucapku dengan berhati-hati, bimbang patah-patah kataku akan jadi racun buat Abang Roslan.

“Nor, jangan cakap macam tu. Betul ke Nor dah menolak hasrat Abang ni?” Tanya Roslan tanpa berbasa-basi.

“Bukan, maksud saya kalau nantilah kita tak ada jodoh, saya harap Abang akan tetap sayang saya sebagai seorang kawan, boleh?” Tanyaku balas.

Pantas Roslan menjawab, “pasti Nor, Abang tetap akan ingat dan sayang Nor sampai bila-bila, tapi Abang sangat berharap Nor terima Abang.” Roslan nampaknya tegas dengan harapannya, masih terus mengharap. Aku sendiri masih tidak pasti dengan ketentuan Tuhan. Namun aku makin yakin, hatiku sudah ada Irfan di dalamnya.....sudah melekat kukuh Irfanku di situ.

Lama sekali kami berbual-bual malam ini. Macam-macam cerita yang kami bualkan. Menyenangkan juga Roslan bila berbual-bual dengannya. Entah berapa bil yang Roslan kena bayar hanya untuk ‘mengorat’ aku. Tak apalah, bukan aku yang minta, dia sendiri yang mahu. Mungkin jumlah bil tidak seberapa bagi Roslan, berbanding harapannya kepadaku ketika itu.

“Nor, ingat abang selalu ya dan jangan lupa permintaan Abang,” pesan Roslan sebelum meletakkan telefonnya.

Roslan mengakhiri perbualan kami dengan menyatakan lagi harapannya yang menggunung kepadaku. Aku hanya mengiakan dan meyakinkan Roslan, walau apapun yang terjadi aku akan tetap berkawan dengannya. Insyallah, selagi dia mahu.

Aku tidur dengan lena walaupun mengambil masa beberapa ketika untuk memejamkan mata. Memikirkan berbagai kemungkinan dan kerisauan meninggalkan Mak hanya beberapa hari lagi. Tiga hari lagi.

Pagi-pagi aku sudah bangun, bersiap-siap ke restoran Mak lebih awal dari biasa. Mak dah pergi terlebih dahulu dari aku. Aku menjenguk ke bilik tidur tetamu yang Mak kemaskan malam tadi. Wah semuanya dikemas dan diganti cadar baru serta langsir baru. Lain macam je Mak. Kenapa berkemas sendiri. Biasanya Mak akan meminta tolong aku berkemas bila perlu, ini tidak. Timbul rasa hairan yang amat sangat dalam diriku. Mak ada tetamu ke? Mak tidaklah pula memaklumkan aku tentang tetamunya. Biarlah....aku menuju ke restoran Mak dengan seribu kemusykilan.

Masih ramai pelanggan yang mengambil sarapan di kedai Mak. Jam baru menunjukkan pukul sembilan pagi. Oh...memang waktunya orang mengambil sarapan pagi. Seperti biasa, menu utama roti canai dan nasi lemak menanti pelanggan. ‘Heavy-breakfast’ tetapi sangat digemari rakyat Malaysia terutama orang Melayu. Walaupun hampir semua orang tahu kalorinya sangat tinggi dan boleh mengundang berbagai penyakit kalau tidak berwaspada, namun tetap saja dua menu ini menjadi pilihan utama, akupun sama, sangat suka.

Melangkah saja masuk ke dalam kedai aku mendengar namaku dipanggil. Namaku yang popular di kalangan keluargaku sahaja, pasti ahli keluargaku. Aku menoleh ke arah suara yang sangat mesra di telingaku, “Hei...Abang Mat, apa khabar?” Hati rasa berdegup kencang disebabkan rasa terperanjat dengan kehadirannya. Tidak sangka dapat bertemunya. Rasa terubat rinduku pada arwah kakak bila menatap wajah Abang Mat, bekas tunangan kakak.

Aku bersalaman dengan Abang Mat yang sangat baik dan sangat menyayangi arwah kakak. Abang Mat pegawai tentera. Mereka berkenalan dan rapat disebabkan minat Abang Mat dengan masakan Mak dan kakak. Kalau tiada tugasan luar, pasti setiap hari jadi peminat setia restoran Mak. Mula-mula minat makanan, kemudiannya tambah lagi satu minat, minat dengan kakak, hehe. Aku menarik kerusi, duduk di sebelah Abang Mat. Abang meluahkan kisah lalu dengan arwah kakak, yang membayangkan kerinduan yang mendalam kepada arwah kakak. Aku pun sama, sangat merindui kakak.

“Abang dah dapat pengganti kakak ke?” Aku cuba mencungkil rahsia hati bekas bakal abang ipar yang sangat aku sayang dan hormati. Malangnya tidak kesampaian jadi abang iparku. Abang Mat seorang yang penyayang dan peramah serta penuh tanggungjawab. Banyak meringankan kerja-kerja yang memerlukan tenaga lelaki di restoran Mak, terutama yang berkaitan dengan pertukangan.

Abang Mat diam, seolah-olah hilang selera makannya dengan pertanyaan aku tadi. Aku menyedari aku telah menyinggung perasaan Abang Mat, “Abang, maaflah kalau saya tersalah, tak sengaja,” pohonku dengan nada kesal.

“Jangan tanya Abang soalan macam tu lagi tau. Sukar Abang nak cari pengganti kakak. Dah hampir setengah tahun dia pergi tapi Abang rasa setiap kali Abang datang makan, dia ada kat sini menemani abang makan. Abang berdoa Abang dapat terima kenyataan ini, tapi sampai saat ini belum boleh dik, dia sangat istimewa bagi Abang......,” luah Abang Mat dengan perasaan sebak, matanya berkaca. Aku ikut sebak, tidak dapat menahan air mataku dari mengalir keluar.

“Maaf Abang, saya ke belakang sekejap.” Aku berlari ke dapur, membiarkan Abang Mat meredakan kesedihannya. Aku melepaskan tangisku sepuas hati, dengan harapan, bila keluar nanti hati aku sudah tenang.

Ya Allah, sesungguhnya menghadapi kehilangan sangat memedihkan. Mak dan pekerja Mak sibuk melayan pelanggan, hanya Kak Nah, pekerja Mak yang sebaya kakak dan merupakan kawan baik kakak yang menyedari tangisan aku. Dia datang kepadaku dan memelukku dengan penuh kasih-sayang, menggantikan pelukan kakak. Cuba meredakan kesedihanku. Kemudiannya dia meninggalkan aku, meneruskan tugasnya yang terbengkalai seketika. Aku tahu dia juga sedih, tetapi masih mampu mengawal dirinya.

Alhamdulillah, beberapa ketika bertenang akhirnya aku juga dapat mengembalikan diriku seperti biasa. Matapun tidaklah bengkak sangat dek tangisan. Aku keluar lagi ke tempat Abang Mat yang sudah kelihatan tenang menikmati sarapannya. Aku dan Abang Mat sambung semula cerita dan perbualan kami mengenai hal-hal lain yang tiada kaitan dengan arwah kakak.

“Dik, jom kita ke kubur kakak. Abang dah sebulan out-station, tak dapat ziarah kubur kakak,” ajak Abang Mat. Patutlah, sudah hampir sebulan aku balik, baru kali ini aku berjumpa Abang Mat. Aku ingatkan Abang Mat sudah tidak lagi mengunjungi kedai Mak selepas ketiadaan kakak. Aku pun tidak pernah bertanya Mak tentang hal ini.

“Nak tak?” Abang Mat bertanya lagi. Aku menganggukkan kepala tanda setuju, tidak sampai hati untuk mengatakan tidak.

“Sekejap, bagitau Mak,” kataku setelah melihat Abang Mat sudah selesai makan dan sudah bersedia untuk pergi ke kaunter bayaran, sambil mengeluarkan dompet duitnya.

“Abang tak payah bayarlah, saya belanja,” ujarku. Abang Mat tidak menolak. Dompet duitnya disimpan semula. Dia mengekori aku menuju ke arah Mak yang sedang duduk di kaunter bayaran.

“Mak, dia nak belanja saya,” beritahu Abang Mat. Mak senyum dan menganggukkan kepalanya, setuju.

Mak memang sangat sayangkan Abang Mat, malah sudah berpesan dengan Abang Mat kalaupun kakak tiada, Mak minta Abang Mat selalu datang menjenguk kami bersama keluarganya nanti. Mak sudah menerima Abang Mat sebagai anak sendiri.

“Mak, saya nak ajak adik ke kubur sekejap ya,” beritahu Abang Mat, bukan meminta izin tetapi memaklumkan. Abang Mat memang dari dulu memanggil mak dengan panggilan Mak. Memang sangat rapat dengan kami, sayangnya dia tidak dapat menjadi sebahagian dari keluarga kami secara rasmi. Sudah takdir, kena terimalah. Mungkin kami juga akan kehilangan dia juga suatu hari nanti bila dia sudah ada keluarganya sendiri.
Mak menganggukkan kepalanya setuju. Abang Mat mencium tangan Mak yang sudah hampir sebulan juga tidak ditemuinya. Kami melangkah keluar menuju ke kereta Abang Mat yang tidak jauh dari kedai Mak. Kami menuju ke kubur arwah kakak yang letaknya tiga kilometer dari restoran Mak. Lama juga aku dan Abang Mat membaca surah Yasin dan menghadiahkan al-Fatihah dan zikir-zikir kepada roh arwah kakak, mudah-mudahan dia akan tenang di sana. Amin.

Kubur kakak bersih kerana setiap minggu ada ahli keluarga yang mengunjungi dan membersihkan kuburnya. Selepas membersihkan kubur yang hanya ditumbuhi beberapa rumpun rumput, kami pun beredar. Setiap kali hendak meninggalkan kubur hati akan berat dan sebak rasanya. Apalagi nanti, akan lama tidak mengunjungi kubur kakak kerana tiga hari lagi aku sudah berangkat ke Jakarta.

Abang Mat hanya menurunkan aku di depan kedai Mak. Janjinya malam nanti akan datang lagi untuk makan malam dengan aku. Setelah berterima kasih dan melambaikan Abang Mat pergi, aku masuk ke kedai Mak. Tanpa menoleh ke kiri dan kanan aku terus ke dapur, menuju tandas, sudah lama menahan diri. Keluar dari tandas, selepas membersihkan tangan dan kaki aku melaksanakan tanggungjawab melayan pelanggan yang mula ramai makan tengahari.

Dalam kesibukan aku melayan pelanggan, Aku rasa ada mata yang sedang memerhatikanku. Kubiarkan dulu perasaanku dek kesibukan melayan pelanggan yang tak putus-putus masuk. Setelah keadaan sedikit reda, aku menoleh ke arah yang kurasa ada mata memerhatikanku. Sudut hujung sebelah kanan, berhampiran televisyen, duduk dua jejaka sedang memerhatikanku sambil tersenyum.

“Ya Allah, kapan datang, kenapa nggak bilang-bilang?” Seperti roket meluncur keluar pertanyaan dari bibirku. Jantungku pula berdegup kencang bagaikan terkena kejutan elektrik. Memang aku terkejut, memang gila ini anak, mengomel hatiku.
Aku meluru ke arah mereka berdua. Bersalam dengan jejakaku.

“Kenapa nggak bilang-bilang mau mampir?” Tanyaku lagi, belumpun sempat yang empunya diri menjawab soalan pertama. Kedua-dua mereka ketawa berdekah-dekah melihat gelagatku yang sangat terkejut dan tidak tentu arah.

“Sengaja mau bikin kaget,” jawab Irfan setelah reda ketawanya. Senang hati dia rupa-rupanya dapat membuatkan aku terkejut begitu.

“Memang bikin aku kejutan. Bisa-bisa boleh meninggal aku terkejut,” balasku. Rasanya mahu aku memeluk Irfan disebabkan rasa sangat gembira dengan kehadirannya yang sudah hampir sebulan tidak aku temui. Adik di sebelah senyum, tersipu-sipu melihat caraku dan Irfan berinteraksi.

“Adik, macamana boleh jumpa Irfan?” Aku tujukan soalanku pada Adik yang sejak dari tadi hanya tersengih tanpa berkata apa-apa.

“Tanyalah Mak dan Irfan,” jawab Adik. Mak yang duduk di kaunter bayaran juga tersengih melihat gelagat terkejut aku.

Rupa-rupanya mereka berkomplot untuk mengenakan aku. Setelah Irfan memaklumkan kepada Mak yang dia mahu mengunjungi kami di Malaysia, Mak rupanya bersetuju untuk merahsiakan kedatangan Irfan dariku. Mak menelefon Adik, meminta Adik menjemput Irfan di Lapangan Terbang Subang. Malah, Irfan akan balik ke Jakarta Ahad ini bersama-samaku.

“Aduh, jahat betul kalian, tega amat buat aku begini, gilak loe....,” marahku pada Irfan, tetapi sebenarnya senang juga di hati. Aku hanya menggelengkan kepalaku. Mereka terus tertawakan aku. Jahatnya.

Apapun, hati aku sangat gembira. Aku menyertai mereka berdua, makan tengahari bersama-sama. Sedari tadi rupa-rupanya menunggu aku pulang untuk makan tengahari bersama-samaku. Mereka menolak, walaupun Mak sudah beberapa kali menyuruh mereka makan dahulu, kerana belum pasti pukul berapa aku akan balik.

Sambil makan, kami bercerita. Macam-macam cerita. Adikpun banyak bertanya pasal Australia terkini. Irfan bercuti bersama keluarganya di Australia, terus ke Kuala Lumpur untuk berkenalan dengan keluargaku sebelum balik ke Jakarta bersama-samaku nanti. Riuh rendah kami bercerita dan berbual-bual, seolah-olah tidak wujud orang lain di sekeliling. Sungguh kurang sopan. Setelah tersedar mereka memandang kami, barulah suara diperlahankan. Aku melemparkan senyum kepada mereka yang memandang kami, sebagai tanda memohon maaf.

Lega hati bila memikirkan ada yang akan temani penerbangan ke Jakarta. Belum pernah seorang diri. Balik hari itu dihantar ke lapangan terbang oleh Faiz, naik kapalterbang pula di temani Roslan. Kat lapangan terbang Subang, ada Adik yang menunggu dan menghantar aku terus ke rumah. Alhamdulillah sekarang Adik akan hantar aku dan Irfan ke lapangan terbang Ahad nanti. Irfan menemani aku ke Jakarta dan akan terus hantar aku ke Depok.

Ah....lega rasanya, tiada lagi kegusaran dan kebimbangan berjalan seorang diri. Terima kasih Irfan dan Adik, cetus hatiku. Terima kasih untuk Mak juga kerana membenarkan dan menerima kehadiran Irfan walaupun Mak belum kenal Irfan. Kesudian Mak menerima Irfan banyak meringankan beban minda, bimbang bergerak sendiri Ahad nanti. Mak juga membenarkan Irfan tidur di rumah kami dengan ditemani Adik, yang khusus memohon cuti dua hari untuk menemani Irfan.

Ada dua hari Adik dan aku untuk menemani Irfan mengenali sekitar daerah Kuantan. Hanya sekitar Kuantan dan Cherating saja yang sempat untuk tempoh dua hari ini. Kebetulam Irfan suka pantai dan laut, lalu tidaklah membosankan dia bila aku dan Adik membawanya ke Telok Cempedak, Pantai Batu Hitam, Balok, dan Cherating. Kami sempat juga ke Kuala Terengganu untuk memberi peluang Irfan membeli batik Terengganu sebagai ole-ole untuk kakak, adik, mama dan papanya. Banyak juga wang yang dibelanjakan untuk batik-batik tadi. Aku pun ‘kebagian’ juga sepasang batik lukis berwarna ‘light purple’. Cantik dan manis sekali pada pandangan mataku. Mak juga dibelikan sepasang, warna hijau kesukaan Mak. Adik dapat sehelai baju kemeja batik.

Hadiah pertama yang sangat berharga dari Irfan untuk aku, Mak dan Adik. `Terbalik kot’, sepatutnya kami yang memberi hadiah untuk dia sebagai tetamu kami. Tak apalah, orang dah bagi, kami terima sajalah.

Sabtu malam, semua keluarga terdekat termasuk bapa saudara, mak saudara, dan abang berkumpul makan malam bersama Irfan. Aku tahu, tujuan Mak menjemput mereka adalah untuk berkenalan dengan Irfan. Kata Mak, nanti kalau betul-betul jadi Irfan nak meminang tahun depan, semua keluarga dekat sudah kenal, mudah-mudahan tiada masalah yang timbul. Ok-lah aku setuju saja, walaupun pada mulanya aku rasa masih terlalu awal untuk memperkenalkan Irfan kepada keluarga besar kami. Sesuatu yang belum pasti walaupun sudah hampir pasti.

Perancangan makan malam kami berjalan lancar. Nampaknya Irfan sangat pandai menempatkan dirinya dalam keluarga besarku. Loghat Jakartanya berubah menjadi bahasa Indonesia standar yang mudah difahami oleh keluarga besarku. Senang hati melihat penerimaan keluargaku dengan kehadiran Irfan. Walaupun usia masih muda tapi sangat berwibawa dan pandai berinteraksi dengan orang-orang tua. Mungkin tanggungjawab sebagai anak lelaki sulung dalam keluarga dan asuhan bapanya serta tanggungjawab sebagai `bos’ di perusahaan bapanya, menyebabkan dia jadi lebih dewasa dari usianya. Pertemuan makan malam kami berakhir dengan ramah mesra. Mak tersenyum puas dengan semua yang hadir. Mata Mak selalu merenung Irfan. Renungan seorang Ibu terhadap bakal menantunya kot.....hehe.

Alhamdulillah, kalaulah dia jodoh yang ditentukan untukku, akan kuterima dengan hati terbuka dan redha.

Aku selalu redha dengan apa juga ketentuanMu ke atasku wahai Tuhanku.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 8 November 2011.

Saturday 5 November 2011

Kenangan Di Kota Kembang – Siri 10 – Ismail Abdullah

“Wawan Sedang Mendirikan Pesantren”
[Aku dan Wawan di hadapan Pesantren Al-Ashar]

Ini menyambung tulisan yang pernah ku nukilkan dalam Siri 7 berjudul, “Persahabatan bersambung semula” dengan sebuah judul baru seperti di atas.
Wawan panggilan kami waktu dia masih berumur 14 tahun di Jalan Jalak masih kekal hingga sekarang. Nama sebenar beliau ialah Chairil Anwar. Ketika aku pindah dari Jalan Flores sekitar tahun 1971 ke Jalan Jalak 14 tidak pernah aku mimpi akan bersahabat dengan seseorang yang umurnya lebih mudah 10 tahun dariku.
[Foto di Jalan Jalak 14 selepas Operasi Usus Buntuku]

Ketika kami berpisah sekitar tahun 1973 kerana aku dan teman-teman berpindah ke Jalan Bagusrangin, Wawan telah hilang dari penglihatan dan hidupku buat 40 tahun lamanya. Hinggalah tahun 2011, kami bertemu semula melalui “facebook”, kata Wawan beliau terus mencari dan mencari akhirnya Allah temukan kami semula.

Aku masih terkenang masa-masa dahulu ketika kami bercanda, bermain “hockey”, berangkat tarawih ke masjid Istiqamah bersama mengenderaai motor Z90 warna merah milikku itu. Semoga pertemuan kami kembali menjadikan ikatan silaturahmi yg lebih erat.

Pada 23 Oktober 2011, hari minggu, jam 2.00 sore Wawan menjemputku di hadapan gerbang utama Institut Teknologi Bandung dengan mobil CRV bernombor 777. Oleh kerana wajah kami mungkin sudah sangat berubah kerana sudah lebih 40 tahun tidak bertemu, kami mencari satu identifikasi baru iaitu merk dan nombor mobil yang akan menjemput. Ternyata ini satu cara yang efektif dan tidak lama aku menunggu Wawan pun tiba dengan mobil hitam CRV bersama anak keduanya.

Wawan keluar dari Mobil dan kami berpelukan kerana sudah sangat rindu akibat perpisahan yang begitu lama, 40 tahun cukup lama untuk perpisahan sebuah persahabatan yang murni.

Dalam mobil, kami bercerita panjang tentang segala duka gembira yang tutut didengar oleh anak kedua beliau yang kini berumur 16 tahun. Beliau menduda hingga kini sejak bahtera rumah tangganya tenggelam ketika anak keduanya ini berumur 5 tahun. Sudah sebelas tahun beliau merawat dan membesarkan anak-anaknya sendirian. Ketika ditanya kenapa tidak mencari pengganti, beliau menyatakan sudah sangat trauma dan tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sebagai pegawai negeri beliau hanya diizinkan mempunyai dua anak dan al-hamdulillah kedua-duanya sudah besar dan berjaya.

Perjalanan kami ke Sindanglaya, bahagian timur Bandung dicapai dalam waktu 30 minit. Wawan membawa ku ke sebuah pesantren yang sedang dibina di situ. Beliau dan abang Iparnya (suami kakaknya Ida) membangun pesantren ini yang diperkirakan memakan biaya 1.5 milyar rupiah. Ketika lawatanku kali pertama ini, hampir 20% infrastruktur pesantren sudah siap dan sudah pun memakan biayai 500 juta rupiah.

Sindanglaya ialah sebuah kawasan yang berhampiran dengan Penjara Suka Miskin yang pernah memenjarakan Presiden Sukarno, Pak Hatta dan lain-lain pejuang nasionalis ketika zaman Belanda.
[Foto Mesjid dalam pembinaan di Pesantren Al-Ashar]

Pada tanah seluas lebih 2 hektar ini akan ditempatkan asrama, dewan kuliah, mesjid, kebun buah-buahan, kawasan penternakan (ikan, kambing, lembu dan itik). Wawan membina bangunan menggunakan kayu yang kuat dan membuat bertingkat bagi memaksimakan ruang. Kawasan curam tidak diratakan supaya ianya berbentuk alami dan dibina berdasarkan kecuraman tanah. Pada ujung kawasan, beliau menunjukkan satu kawasan yang dibina khas sebagai “rumah abadi”. Pada mulanya aku tidak faham apa maknanya “rumah abadi”, namun akhirnya beliau menerangkan bahwa itu akan dijadikan kuburan keluarga beliau.

Beliau berkali-kali mempelawa aku dan keluarga tinggal di rumah tetamu beliau nanti kalau semuanya sudah siap dan beroperasi. Beliau akan tinggal di kawasan itu juga dan akan ada kemudahan internet untuk kemudah tetamu beliau berkomunikasi. Beliau sedang dan akan mengabadikan hidup beliau kepada pesantren ini sebagai satu episode dakwah bagi membangun masyarakat, sesuai dengan semangat yang beliau kutip ketika mengikuti program “Mujahid Dakwah Istiqomah” di Mesjid Istiqomah, Taman Citarum Bandung.
[Foto Kolam Ikan di Pesantren Al-Ashar]

Diperkirakan sekitar bulan Mac tahun 2012, pesantren ini akan mula beroperasi dan akan ada rumah tetamu yang boleh ditempati oleh pelawat-pelawat yang berminat untuk melihat dan bersama dalam kuliah-kuliah di pesantren itu nanti. Buat permulaan beliau akan memulakan dari peringkat rendah, kemudian sedikit demi sedikit akan ditambah ke peringkat yang lebih tinggi hinggalah ke peringkat universitas. Beliau menamakan pesantren ini sebagai “Pesantren Al-Ashar” mengambil nama abang iparnya yang belum ku kenali.

Ismail Abdullah, Teras Jernang, 06 November 2011 (10 Zulhijjah 1432).