Thursday 24 November 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 23 – Nor Aizan Ab Halim

Pulang Ke Jakarta
Selepas majlis makan malam keluarga bersama Irfan, aku ke bilik untuk mengemas pakaian dan barang-barang keperluan lain. Adik dan Irfan masih mengisi masa dengan berbual-bual satu sama lain.

Malam terakhir sebelum aku berangkat ke Jakarta lagi. Sebak rasa hati mahu tinggalkan Mak di sini. Keseorangan tanpa anak perempuannya. Hanya doaku, semuanya dalam keadaan baik hinggalah aku menyelesaikan kuliahku. Tapi.....kalau sudah selesai kuliah, aku masih juga tidak dapat menemani Mak kalaulah jodohku dengan Irfan. Aku akan tinggal di Jakarta. Hanya sekali sekala saja aku boleh balik jumpa Mak. Boleh ke aku berjauhan dengan Mak? Sedangkan Mak sangat memerlukan aku. Adoi....bercelaru lagi fikiranku.

Kalau Roslan macamana? Sama jugalah, aku terpaksa ikut dia menjalankan tugasnya di luar negara berterusan, tetap saja aku akan berjauhan dengan Mak...memang itu sudah kerja dan minat dia......lalu, apa yang perlu aku lakukan? Aduh...pening kepalaku...pusing kepalaku bila memikirkan semua itu. Kakak, kenapalah kau pergi begitu cepat? Kalau kau ada bersama Mak, aku lebih mudah membuat keputusan dalam hidupku.

Dari dulu aku memang selalu buat keputusan sendiri dalam hidupku. Mak memberikan kebebasan sepenuhnya kepada aku, malah aku jarang memikirkan perasaan Mak atau ahli keluarga yang lain dalam membuat keputusanku, hinggakan adakalanya aku dianggap keras kepala. Malangnya aku tidak boleh mengomel jika ada masalah timbul kerana itu sudah keputusanku sendiri. Kalau aku mengomel juga, aku akan ‘dipulangkan paku buah keras’, akan panas telinga jadinya.

Riuh rendah perbualan Mak, Adik, Irfan, Abang dan adikku di ruang tamu. Jam baru 10.30 malam. Patutlah mata semuanya masih segar lagi. Akupun sudah siap berkemas. Hanya beberapa helai pakaian harian dan tiga helai baju kurung untuk aktiviti di kedutaan atau Wisma Malaysia. Tiga helai baju kurung baru untuk hari raya nanti sehelai baju kurung sutera yang bahannya kubeli di Tanah Abang bersama Irfan tempohari. Sutera yang kubelikan untuk arwah kakak juga aku tempah untuk diriku sendiri, tapi aku akan menjaganya dengan baik, rasanya aku tidak akan memakainya, hanya menyimpannya sebagai kenanganku kepada arwah kakak.

Sudah siap semuanya, rasanya tiada lagi yang tertinggal. Aku letak ke tepi dinding sebuah beg pakaian dan beg kertas yang di dalamnya kuisi ole-ole untuk Mak Ineng, Ineng, kakak Irfan dan Mamanya, sehelai selendang sutera. Cukuplah, ole-ole dari mahasiswa, belum bekerja, duitpun kurang. Oh lupa, ada satu lagi beg ole-ole untuk dosen-dosenku, keropok ikan. Mereka sangat suka keropok ikan parang. Untuk keluarga Ineng pun aku belikan kerana mereka juga sukakan keropok ikan yang kata mereka sangat enak ini.

Setelah berpuashati dengan semua keperluan dan kelengkapan sudah sempurna ditempatnya, aku keluar ikut serta tetamu di luar. Melihat mereka hanya berbua-bual kosong, aku ke dapur membancuh teh O untuk mereka. Tidak boleh minum teh susu lewat malam begini, nanti badan tambah berat, teh O sesuailah, rumusku. Aku mencari dalam almari makanan, bungkusan biskut yang kubeli semalam. Aku masukkan ke dalam pinggan leper. Aku susun di dalam dulang bersama teko dan cawan minuman tadi. Aku bawa keluar untuk disantap jejaka-jejakaku dan Mak. Ada empat jejaka, Irfan, Adik, Am dan Abang. Mak sudah di biliknya, baru solat Isyak dia. Adikku Boy pun dah masuk ke kamarnya, tidur agaknya, kepenatan bermain bola. Boy memang sangat minat bermain bola, mewakili sekolah dan persatuan bola sepak setempat, kemudiannya mewakili ITM dalam bola sepaknya.

Adik menuang air dan mengagihkan kepada semua yang ada. Aku mengambil tempat bersama-sama mereka. Lebih banyak mengikuti dan mendengar perbualan mereka, malas nak menyampuk. Apalagi Abangku, kalau bercerita, tak boleh berhenti dia, hanya dia yang menguasai perbualan, mengenai kerjanya lah sebagai polis, macam-macam cerita atau kes-kes menarik dikongsi, yang lain juga lebih banyak mendengar, terpegun mendengar cerita-cerita jenayah dari Abang.

Aku sudah tidak tahan mata mengantuk. Rasa macam nak disendal mata dengan batang mancis supaya tidak mengantuk dan boleh bersama mereka bercerita. Sudah tidak boleh lagi. Aku meminta izin untuk tidur dahulu. Besok nak bangun awal untuk ke Kuala Lumpur pagi-pagi lagi. Lepas itu ke Jakarta. Sebut saja Jakarta, hati jadi tawar. Rasa macam belum mahu ke sana. Masih nak di Kuantan bersama Mak, belum puas. Malangnya tidak boleh, Isnin sudah keluar keputusan peperiksaan dan pendaftaran semester dua akan bermula. Mahu tidak mahu terpaksalah juga ke sana walaupun dengan berat hati.

Sebelum tidur aku menjenguk Mak di biliknya. Masih belum selesai solatnya. Solat sunat agaknya. Aku mencuci muka dan gosok gigi. Masuk lagi ke bilik Mak. Mak masih belum selesai solatnya. Kasihan Mak, sendiri lagi dia menghadapi hari-harinya. Kalau ada duit lebih dapatlah aku balik lagi enam bulan akan datang, cuti semester kedua, barulah dapat berjumpa Mak lagi. Kenapalah aku memilih ke Jakarta dulu. Kan ke bagus kalau aku ke UKM saja, boleh balik setiap minggu. Namun tiada guna menyesali apa yang sudah terjadi.

Aku membaringkan diriku di katil Mak, sementara menunggu Mak selesai solatnya. Saja nak berbual-bual dengan Mak sekejap. Maklum, besok pagi-pagi dah nak pergi, nanti tidak sempat berbual-bual dengan Mak pulak. Mata pun dah hilang mengantuknya. Mak mengaminkan doanya. Sudah selesai solatnya. Mak duduk di sebelahku sambil mengusap-usap kepalaku. Mak memang suka buat macam tu kepada anak-anaknya. Mak suka manjakan anak-anak, sebab itulah, walaupun sejauhmana kami pergi, terasa dekat Mak di hati kami. Aku memegang tangan Mak dan menciumnya berkali-kali, rasa tenang hati dan lapang dada memperlakukan Mak begitu. Aku mengutip kekuatan dan ketabahan Mak sebagai bekal untukku di rantau orang.

Mak merebahkan dirinya di sebelahku. Kami berbua-bual seketika. Akhirnya aku tertidur di sisi Mak tanpa kusedari pukul berapa mataku sudah tidak berkelip lagi malam tadi. Hanya azan subuh dari surau sebelah yang mengejutkan aku dari tidurku yang sangat lena di pagi Ahad ini. Mak dulu yang bangun menuju ke bilik air. Aku masih melayan mataku yang kepenatan berjaga malam tadi. Penat juga kerana dalam tempoh dua hari Roslan di rumahku, aku, Adik dan Irfan tidak berhenti-henti bergerak ke hulu dan ke hilir mengisi masa yang suntuk tersebut untuk Irfan.
Berat mataku hendak dibuka bila Mak kejutkan aku. Nasib baik aku cuti solat, jadi bolehlah aku layan lagi mataku seketika. Mak sudah selesai solat subuh dan menyediakan sarapan untuk kami. Mee goreng dan lempeng telur bersama sambal bilis sudah siap tersedia di atas meja makan. Mak tidak keluar ke restorannya awal-awal pagi hari ini. Semuanya diserahkan kepada Kak Nah untuk menyelenggarakan perjalanan kedainya. Mak sengaja nak bersama-sama kami di rumah sebelum kami bertolak pagi nanti agaknya.

Kak Nah memang orang penting bagi Mak. Dulu Kak Nah dan arwah kakak adalah tenaga utama dalam perniagaan Mak, tetapi setelah kakak pergi, tinggallah Kak Nah yang jadi harapan Mak. Aku tidak tahu apa akan jadi jika Kak Nah tidak lagi dapat bersama-sama Mak mengendalikan restoran Mak. Mak pun selalu melahirkan kebimbangannya jika Kak Nah berhenti, kemungkinan Mak juga akan menutup kedainya. Rupa-rupanya semangat Mak hanya bersandarkan kepada Kak Nah setelah kakak tiada. Aku tidak mampu berkata apa-apa ketika Mak melahirkan isi hatinya berkali-kali kepadaku mengenai hal ini. Walaupun rasa sangat sayang kepada restoran yang diusahakan dengan susah payah dan banyak bakti sumbangannya kepada kami, namun jika itu sudah takdir dan ketentuannya, terpaksa jugalah diterima. Ya Allah berilah kepada kami jalan yang terbaik.

Ahli rumah yang lain belum keluar dari bilik masing-masing. Hanya Adik yang sudah berada di depan televisyen menonton siaran pagi. Adik pun sudah siap solat, mandi dan berpakaian, sudah bersedia untuk bertolak ke Kuala Lumpur nampaknya.

Aku hanya menjenguk melihat Adik tapi tidak menyapanya. Aku juga perlu mandi dan bersiap-siap awal supaya tidak terburu-buru bila sampai masa hendak bertolak nanti. Lagipun, bila bersiap awal-awal, nanti bolehlah meluangkan masaku dengan Mak untuk seketika lagi. Mungkin ada lagi cerita yang Mak nak kongsikan denganku, sebagai bekalan, mengurangkan kerinduan masing-masing nanti. Huhhh.......sesak rasa dada.
Selesai mandi dan berpakaian, aku ke dapur, nak menolong Mak mana yang patut.

Hampir semua sudah siap. Cuma Mak belum membancuh minuman. Bila semua dah bangun dan bersedia, barulah Mak mahu membancuh teh atau milo, supaya tidak sejuk dingin, kata Mak. Memanglah, teh kalau sudah sejuk, akan tidak enak dan boleh mendatangkan masalah angin bagi orang yang ada gastrik macam aku. Milo pula akan menyebabkan rasa mual, apalagi bila diminum bersama mee goreng. Aku rasa milo perlu diganti dengan kopi O, rasanya lebih sedap agaknya. Apa lagi, aku tahu Irfan sangat suka kopi O, Adik pula suka teh. Abang dan adik-adikku, apa-apa pun boleh, tak kesah mereka ni. Macam aku juga, cuma aku tidak boleh teh dingin atau sejuk, kalau ais boleh.

Nah, itu Irfan sudah keluar dari bilik, sudah siap mandi dan berpakaian kemas. Segak sekali Irfanku. Abang dan adik-adik juga sudah keluar, siap mandi dan berpakaian rapi. Aku mengajak semuanya ke meja makan, bersarapan.

“Fan, kopi gula boleh?” Tanyaku kepada buah hatiku. Irfan menganggukkan kepalanya.

Kelihatan sedikit lesu, kepenatan agaknya. Maklum, tenaganya sudah digunakan semaksimanya semenjak tiba di Kuantan tiga hari lepas.

Aku melemparkan senyuman sayangku kepadanya. Irfan membalas sambil mengenyitkan matanya kepadaku. Senang melihatnya. Aku senyum lagi semakin lebar supaya pagi kami yang sedikit lesu akan jadi segar.

“Capek ya?” Tanyaku berbasa-basi. Sudah tahu tanya juga, `sudah gaharu cendana pula’. Irfanku mengangguk lagi, tapi sudah cuba juga untuk menutup kelesuannya dengan senyuman.

“Mana Ibu?” Irfan cuba menghidupkan suasana pagi yang tidak ceria.

“Ada di dapur,” jawabku.

Semua sudah berada di meja makan. Aku ke dapur membawa keluar seteko kopi O dan teh. Aku tuangkan kopi untuk Irfan dan Abang, teh untuk Adik, Am dan Boy. Masing-masing menyenduk mee goreng Mak yang sangat menyelerakan, ada udang, sotong, sayur kobis dan sawi. Aku juga mengambil mee goreng, rugi tak makan sekarang, nanti setengah tahun lagi baru boleh makan. Kat Jakarta mana ada mee goreng yang sama dengan hasil tangan Mak. Betapa berseleranya kami bersarapan pagi ini.
Mak keluar dari dapur membawa jemput-jemput pisang. Laa, sempat lagi Mak menambah menunya. Mak memang sangat bersemangat bila memasak. Tidak tahu penat dia. Kalau boleh macam-macam makanan nak dimasaknya. Maklum meraikan bakal menantunyalah katakan. Tapi kalau bukan bakal menantunya pun Mak memang begitu. Kalau ada tetamu, perkara utama dalam agendanya adalah makanan, mesti makan. Kalau tidak dapat menyediakan makanan, semacam menyesal atau ralat dia rasakan.

Memang perangai Mak diturunkan kepada arwah kakak, bukan kepadaku. Aku sedikit lemau kalau nak memasak. Dari dulu sampai sekarang, masalah ini tetap sama. Mak seorang wanita yang memiliki ciri-ciri wanita yang sempurna, pandai memasak, mengemas rumah, menjahit dan bergaya orangnya. Sewaktu umurnya 45 tahun, masih nampak macam awal 30-an. Pakaian kami anak-anak perempuan dan baju melayu anak lelaki semua Mak jahit sendiri. Semua permintaan menu makan anak-anak akan dipenuhi walau bagaimana cara sekalipun.

Masih aku ingat sewaktu kecil-kecil dulu, setiap hari raya Mak akan masak nasi impit dengan sate untuk memenuhi citarasa Abang dari kecil sampai usianya belasan tahun. Abang sangat suka nasi impit dan sate, kalau Mak tak menyediakan menu ini, abang tidak akan beraya, merajuk dalam selimutnya sepanjang hari raya. Mak juga akan menyediakan ketupat pulut manis daun palas dengan kacang di dalamnya untuk aku. Pasti Mak akan adakan walau apa cara sekalipun. Kakak pula peminat nasi dagang dengan ikan tongkol. Setiap hari raya nasi dagang akan jadi menu utama di pagi hari raya. Hanya adik-adik lelakiku yang tidak kesahkan apa juga menu, mereka terima dan makan dengan selera. Lagipun waktu itu mereka masih sangat kecil dan tidak banyak kerenahnya. Huh....itu hanyalah kenangan saja.

Semuanya sudah siap makan. Jam sudah menunjukkan ke angka 8. Semua sudah siap sedia untuk bertolak ke Kuala Lumpur. Mak akan ikut bersama kami sampai ke restorannya. Rasa berat hati hendak meninggalkan Mak dan keluargaku di Kuantan ni. Namun aku terpaksa juga meninggalkan segala yang aku sayang di sini untuk meneruskan cita-cita yang belum kesampaian. Mudah-mudahan kali ini akan berjalan dengan mulus segala perancangan hidupku.

Beg pakaian sudah dibawa masuk ke dalam `bonet’ kereta Adik. Am sudah bertolak ke restoran Mak dengan motornya terlebih dahulu. Abang juga sudah pergi dengan kereta Protonnya. Semua yang lain juga sudah keluar, tinggal aku dan Mak yang masih melihat-lihat apa yang tertinggal. Tiba-tiba saja aku dan Mak dikejutkan dengan bunyi telefon. Siapa pula yang menelefon pagi-pagi begini.

Aku mengangkat telefon. Kedengaran suara yang sangat kukenali....Abang Roslan. Girang rasa hati mendengar suara Roslan yang sudah beberapa hari tidak menghubungiku. Roslan juga bersemangat suaranya menyapa aku.

“Sorry Nor, Abang betul-betul rindu awak,” beritahu Roslan. Ala, dah muak mendengar perkataan rindu ni rasanya, dari mulut Roslan dan juga Irfan. Apa maksud sebenar dari perkataan `rindu’ itu sendiripun aku tidak pasti. Apakah hanya ucapan di bibir sahaja atau lahir dari dalam hati yang sebenar-benarnya. Susah hendak menduga kebenarannya.

“Kami dah nak bertolak ni, nasib baik Abang telefon cepat sikit, kalau tidak, tak dapat bercakap dengan saya untuk terakhir kali,” kataku.

“Hah, kenapa terakhir, kenapa cakap macam tu, Nor dah tak nak bercakap dengan Abang ke?” Roslan mula berprasangka denganku. Aku tertawa gelihati mendengar dugaannya.

“Bukan, maksud saya kat Malaysia ni la, kan saya dah nak ke Jakarta. Kat sana tak ada telefon, macamana Abang nak telefon saya. Enam bulan lagi baru kita boleh bercakap lagi,” jelasku memperbetulkan prasangka Roslan.

“Oh....tapi kat Wisma Malaysia kan ada telefon, kita janjilah, Nor tunggu kat sana, atau Nor call Abang, buat reverse charge, biar Abang yang bayar kat sana,” cadang Roslan. Oh boleh ke macam tu, tanya hatiku. Maklum tak pernah ada kenalan di luar negara dan berhubungan cara macam tu. Hehe...ketawaku pada diri sendiri yang kurang pengetahuan.

“Tengoklah macamana nanti ye Abang, tak janji tau,” balasku.

“Laa..kenapa cakap macam tu, macam memang tidak berniat nak hubungi Abang lagi je..” Duga Roslan, separuh merajuk. Aku ketawa lagi mendengar kata-kata Roslan. Seronok mendengar suara orang merajuk.

“Atau kalau susah sangat Abang akan tulis surat tapi Nor mesti balas tau....” Roslan masih terus berusaha menunjukkan minat dan harapannya kepadaku. Heh, lelaki ini sangat kuat azamnya. Terlalu berani dan berterus-terang orangnya. Mungkinkah aku akhirnya akan tewas dengannya. Oh rasanya tidak selagi Irfan masih bersamaku, janjiku pada diri sendiri dengan penuh keyakinan.

“Nanti kalau Abang ada kelapangan atau cuti Abang akan menjenguk Nor di Jakarta, boleh?” Tanya Roslan ingin mendapatkan persetujuanku.

“Ok lah Abang, Nor tunggu Abang kat Jakarta nanti ye. Kami dah nak bertolak ni, nanti lambat pula. Nanti kita berbual-bual lagi ok Bang.” Aku meminta izin untuk mengakhiri perbualan kami setelah menyedari kemungkinan akan kelewatan tiba di Subang nanti.

“Baiklah....siapa yang hantar Nor ke airport ni?” Tiba-tiba Roslan melontarkan pertanyaan yang membuatkan aku gugup seketika untuk menjawabnya. Aku berfikir seketika untuk mencari jawapan yang tepat.

“Adik Izani lah, siapa lagi...,” jawabku sedikit tergagap. Aku tidak berbohong, betullah aku dihantar Adik Izani yang sudahpun dikenali Roslan tempohari. Aku hanya tidak memaklumkan adanya Irfan bersamaku. Adik menghantar aku dan Irfan. Rasanya tidak perlu aku memberitahu semua itu kepada Roslan kerana dia bukan ada ikatan apa-apa denganku.

“Oh....ok lah Nor...selamat jalan, jaga diri baik-baik. Insyallah bulan depan abang jenguk Nor kat Jakarta,” ucap Roslan bersama janjinya. Entah betul entah tidak kata-katanya tu. Aku mengiakannya sahaja.

“Abang stop dulu ye...bye bang....” Aku mengakhiri perbualan kami.

“Ok, bye....jumpa lagi, salam untuk Mak dan Adik juga,” balas Roslan.

Aku meletakkan gagang telefon dan bergegas keluar. Kunci pintu rumah dan pintu pagar. Menyertai mereka di dalam kereta. Irfan masih berdiri di pintu kereta.

“Siapa yang telefon?” Tanya Irfan lembut. “Teman saya, ucap selamat jalan,” jawabku. Irfan mengangguk. Aku masuk ke dalam kereta. Irfan menutup pintu kereta. Kami bergerak ke restoran Mak.

Sampai di restoran Mak, Kak Nah sudah menunggu kehadiran kami. Jelas kelihatan di wajahnya ada kesedihan nak melepaskan aku pergi. Aku tahu, memang dia sedih. Aku pun sedih sebenarnya, sangat sedih. Enam bulan itu lama. Macam-macam boleh berlaku dalam tempoh ini. Tengoklah hari itu, tak sampai sebulan aku pergi, kakak dah pergi meninggalkan kami selama-lamanya. Hanya doaku semuga tiada hal-hal yang tidak baik menimpa aku dan keluarga lagi selepas ini. Cukuplah kehilangan kakak yang sangat menyedihkan kami semua.

Kami semua masuk ke kedai untuk bersalaman dengan Kak Nah dan pekerja-pekerja Mak, serta adik-adikku yang juga sudah berada di kedai Mak. Kak Nah sudah menatang sedulang air untuk kami.

“Aduh kena minum lagi ke?” Tanyaku pada Kak Nah. Kak Nah mengangguk sambil senyum lebar, memaksa kami minum.

“Minum je tau...tak mau makan, dah kenyang makan kat rumah,” kataku. Kami semua terpaksa duduk dan minum teh yang disediakan Kak Nah. Kami mula menghirup teh yang dihidangkan Kak Nah. Mak pun duduk sama, minum bersama-sama kami. Rupa-rupanya Mak belum sarapan. Tadi di rumah, Mak sibuk melayan kami bersarapan tidak sempat makan dia.

“Laa...Mak belum sarapan ke tadi, tak sedar pulak...?” Aku rasa sangat tidak patut aku terlupa ajak Mak bersarapan pagi tadi. Bukan...aku memang dah ajak tapi Mak menyibukkan diri, aku rasa dia tidak berselera nak makan, sedih nak melepaskan aku pergi. Sekarangpun, Mak menghirup air perlahan-lahan, tidak bersemangat, menunjukkan dia tidak berselera.

“Tak boleh nak telan makanan,” balas Mak. Aku tahu Mak sedih, berat nak melepaskan aku pergi. Hati seorang ibu, begitulah. Apa lagi dalam keadaan Mak sekarang yang kesunyian dalam keriuhan. Nasib baik ada restoran ni, dapatlah Mak menyibukkan dirinya dan melupakan segala kesedihannya.

“Mak sedih ke? Kalau Mak keberatan, saya tak jadi pergi Jakarta ni....” Tiba-tiba sahaja ayat ini keluar dari bibirku. Aku memandang Irfan. Matanya merenung ke mataku dengan gaya terkejutnya. Airmukanya berubah. Keningnya diangkat. Aku merenungnya bersahaja sambil menganggukkan kepalaku. Aku tahu Irfan tidak suka mendengar kata-kataku tadi.

Mak juga merenung ke arahku dengan pandangan yang kosong lalu bersuara perlahan, “jangan cakap macam tu, Mak tak apa-apa. Biasalah kalau Mak sedih dan tak lalu makan kalau anak nak pergi jauh. Kan kita dah janji, awak nak habiskan belajar tu.” Mak mula cuba mewujudkan suasana gembira semula.

Aku memandang Irfan yang juga memandangku dengan ukiran senyuman di bibirnya. Lega agaknya dia mendengar jawapan Mak. Lalu Irfan menyambung, “Jakarta Kuala Lumpur, nggak jauh Mak, kapan-kapan aja Nur bisa pulang kalau dia mahu, nanti saya temanin dia pulang kalau ibu mahu.”

Manis sekali kedengarannya bahasa Irfan, memujuk hati lara Mak. Bercelaru dia, kadang-kadang memanggil Mak, adakalanya tersasul ibu. Mak tak kisah, pangil apa-apapun bolehlah, kata Mak yang sudah sangat menyenangi Irfan. Mak sudah redha menerima Irfan sebagai menantu. Apalagi setelah bercakap sendiri berdepan dengan Irfan, janji-janji Irfan telah dapat memenangi hati Mak. Sebagaimana Mak membuka hatinya untuk Abang Mat tunangan arwah kakak dulu, begitulah juga Mak membukakan pintu hatinya untuk Irfanku. Adoi...senang sekali hatiku. Terima kasih Mak.

“Mak...jangan sedih ye..dengar tu cakap Irfan, janji Irfan. Kalau Mak rindu je, mak bagitahu, saya akan balik segera, boleh Mak?” Aku mengulangi janji Irfan sebagai peneguhan dengan apa yang selalu diungkapkan pada aku dan Mak. Bukan sekali dua janjinya pada Mak dan aku mengenai hal ini, apa lagi kalau aku jadi kahwin dengannya nanti. Katanya dia akan pastikan Mak akan selalu berjumpa denganku. Aku tidak tahu sejauhmana kebenaran kata-katanya. Perkara belum jadi. Takutnya nanti lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang pula jadinya, atau cakap tak sama bikin.

“Nanti kalau ibu rindu dan mahu Nur pulang, ibu telefon saja saya. Ibu kan udah ada nomor telefon rumah dan kantor saya, telefon aja ya bu,” sambung Irfan lagi, menyakinkan Mak akan kesungguhannya menunaikan janjinya. Mak menganggukkan kepalanya senang.

Adik lelakiku dua orang itu hanya duduk diam dan mendengar perbualan kami. Am yang dulunya mesra orangnya, sekarang sangat kurang bercakap. Adik Boy memang orangnya pendiam. Sangat susah memancingnya bercakap, tetapi selalu murah dengan senyumannya. Boy sangat baik, dia tidak pernah bercakap kasar atau meninggikan suaranya bila bercakap, apa lagi dengan Mak dan orang-orang yang lebih tua darinya.
Aku masih ingat waktu dia berumur empat tahun, kalau tak silap aku, dia jatuh dari tempat boncengan basikal, ketika aku membawanya berjalan meronda kawasan tempat tinggal kami. Tangan Boy patah dan kesannya sampai sekarang, tangannya tidak boleh pulih seperti biasa. Salah dia juga. Waktu kecil, Boy sangat lasak dan menjadi ketua geng kanak-kanak berumur sebayanya atau yang lebih tua dua atau tiga tahun darinya. Belum sempat sembuh, dia jatuh lagi, patah lagi di tempat yang sama. Tiga kali jatuh dan patah di tempat yang sama. Akhirnya tangannya tidak boleh baik dan lurus sepenuhnya. Kalau nak betulkan semula mesti dipatahkan semula dan mengulangi proses pemulihan dari awal, pasti sangat menyakitkan. Akhirnya dia tidak jadi meluruskan tangannya dan menerimanya sebagai takdir Allah.

Huh, jam sudah menunjukkan hampir pukul 9 pagi. Mesti bertolak sekarang, kalau tidak pasti terlepas kapal terbang pulak. Aku ke dapur dan menarik tangan Am sekali. Am mengikuti aku ke dapur. Hanya aku memberi kata-kata nasihat seorang kakak kepada adiknya. Am hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanpa berkata apa-apa. Dia bersalam dan mencium tanganku. Aku mencium dahinya sambil tanganku menggosok kepalanya. Matanya merah dengan takungan air mata menunggu tumpah. Aku tidak sanggup melihatnya. Aku keluar ketika Am menyapu air matanya. Aku bersalam dengan Boy, dengan sedikit pesanan dan nasihat untuknya. Aku juga mencium dahi adik bongsuku Boy.

Tiba-tiba saja Abang Mat muncul ketika kami bersalaman untuk bertolak pergi. Aku juga bersalaman dengan Abang Mat yang sudah kuanggap Abang sendiri. Abang Mat pula memberi bermacam-macam nasihat untuk peganganku di rantau orang. Aku hanya dapat berterima kasih dan berjanji akan mengikut nasihat Abang Mat. Kemudiannya aku berpaling ke arah Abangku yang berdiri di sebelah Mak. Bersalam dengannya. Abang hanya berpesan supaya jaga diri baik-baik di tempat orang. Kemudiannya bersalam dengan Kak Nah dan pekerja-pekerja Mak yang ada di situ.

Akhirnya, Aku memeluk Mak dengan erat, rasa macam tidak mahu melepaskan tubuh Mak yang sudah kurus sangat berbanding enam bulan yang lalu. Tapi apakan daya, semuanya terpaksa berkorban demi untuk sesuatu yang lebih baik. Aku cium tangan Mak, pipi Mak dan akhirnya keluar juga air mata walaupun aku tidak suka, serta cuba menahannya dari tadi. Alhamdulillah , masih boleh mengawal diri. Aku memohon maaf pada semua dan halalkan makan dan minum. Irfan dan Adik juga bersalam dengan semua yang ada dan mengucapkan terima kasih kepada Mak dan semua yang ada.

“Irfan, jaga Nor baik-baik, jaga nama baik semua juga ya,” pesan Mak. Irfan mengangguk berjanji.

Pukul 9.20 pagi kami bertolak juga akhirnya walaupun dengan berat hati. Alhamdulillah perjalanan kami lancar dan sampai di Kuala Lumpur seperti yang dirancang. Kami masih ada masa satu jam sebelum ke Lapangan Terbang Subang. Adik mengajak makan tengahari di Bangsar, tempat yang kami selalu makan juga dulu, selain Seksyen 17 Petaling Jaya. Huh, Adik, pandai je mengembalikan nostalgiaku, kari kepala ikan kegemaranku. Semua makan menu yang sama. Irfan pun nampaknya berselera makan. Lagipun kami memang sedang lapar.

“Terima kasih Adik. Kak Zan banyak menyusahkan Adik kan?” Aku rasa sangat terharu dengan apa yang Adik lakukan untuk aku. Aku lihat ada genangan air mata di kelopak mata Adik ketika aku dan Adik mencuci tangan di singki selepas makan. Adik hanya senyum dan menggelengkan kepalanya. Kenapa Adik perlu mengeluarkan air matanya? Sedih atau gembira? Semuanya menjadi tanda tanya yang tidak terjawab.

Selepas makan, Adik terus menghantar aku ke lapangan terbang. Sedang elok, satu jam setengah sebelum berlepas kami sudah boleh ‘check-in’. Kami duduk lagi berbual-bual dengan Adik sementara waktu masuk. Irfan ke bilik air. Tinggal aku dan Adik.

“Kak Zan jangan lupa jaga diri baik-baik. Jaga kehormatan diri di tempat orang. Ingat, walaupun mak dah setuju tapi Irfan belum sah jadi suami Kak Zan,” pesan Adik dalam nada jenakanya. Aku faham maksud Adik yang sangat mengenali gaya hidup di Jakarta yang sangat bebas.

“Insyallah Adik, tolong doakan juga yang terbaik untuk Kak Zan. Adik nanti jenguk-jenguklah Mak dan adik-adik kat Kuantan ya,” pintaku bersama janji dan harapan yang tinggi kepada Adik.

“Insyallah...,” balas Adik.

Pengumuman meminta penumpang Boeing 737 ke Jakarta masuk kedengaran. Irfan bersalam dengan Adik. Aku juga bersalam dengan Adik, berterima kasih kepadanya dengan apa yang telah banyak dilakukan kepadaku dan Irfan.

“Adik halalkan semuanya dan maafkan Kak Zan kalau ada salah silap atau menyinggung persaaan Adik ya,” ucapku dengan sedikit rasa sebak.

“Sama-sama, saya pun mohon maaf salah silap makan minum saya,” balas Adik dengan genangan air mata sekali lagi memenuhi matanya. Sayu rasanya melihat Adik. Aku hulurkan tisu untuk dia mengelap air matanya.

Terima kasih Adik atas segala kebaikanmu, hanya Allah yang membalas semuanya. Kami berjalan masuk sambil melambaikan tangan kepada Adik angkatku yang sangat aku sayangi. Susah nak dapat seorang adik sebaik dia.

Selamat tinggal Kuala Lumpur.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 24 November 2011.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan/Puan.

    Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
    Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi :

    KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
    Tour operator & Travel Agency

    Sebuah serikat yang punya legalitas di Indonesia, memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan sekali seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour, Bali Muslim Tour dan sewa kenderaan.

    Contact person : Amsyahril
    Mobile : +6285263007445
    E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.


    ReplyDelete