Tuesday 9 August 2011

Nostalgia minggu pertama di Depok – Nor Aizan Ab Halim


Sayangnya dairi ku telah hilang ketika berpindah rumah. Sewaktu berkemas, pembantuku mungkin telah membuang diari yang sudah kelihatan usang. Jadi aku tidak dapat memberikan tarikh peristiwa dan nama-nama yang terlibat dengan tepat. Hanya andaian sahaja boleh dibuat, tetapi rasanya lebih penting ceritanya untuk kita sama-sama ikuti.

Kali pertama kami dibawa ke kampus Depok merupakan pengalaman pertama pergerakan dari Jakarta ke daerah Depok dengan menaiki beberapa siri kenderaan. Awal pagi Isnin, dari Wisma Malaysia, Pusat Pelajar Malaysia di Jalan H.O.S. Cokroaminoto kami dibawa naik bajaj dengan kos Rp500, dengan muatan dua orang penumpang. Pelajar senior yang membawa kami menaiki bajaj atau disebut bajai.

Kami diturunkan di hadapan gedung Sarinah, rangkaian pusat membeli belah terkenal di Indonesia. Kata orang, Sarinah ini milik ibu Tien, isteri Pak Soeharto, Presiden Indonesia ketika itu. Betul atau tidak, hanya mereka yang tahu. Biasalah manusia suka bergosip.

Dari hadapan Sarinah, kami menaiki bas atau mereka menyebutnya mikrolet. Mikrolet sebuah van panjang yang sepatutnya muat lapan orang sahaja, tetapi telah diisi semaksima mungkin, tak terkira, belasan orang agaknya. Sesak nafas dibuatnya kerana susunan sardin manusia dengan berbagai bau menyebabkan rasa mual dan ingin memuntahkan sesuatu. Hanya Tuhan yang tahu betapa sesaknya nafasku ketika itu.
Aku nak turun tak boleh kerana telah dihimpit ke tengah bas. Aku mencari-cari rakan-rakan yang lain. Hati mula cemas kerana tak kelihatan seorangpun dari mereka. Dalam aku gelabah mencari-cari bayangan muka yang aku kenal, di sebalik wajah-wajah yang ada di depanku, terbayang kelibat Lukmanulhakim (arwah –Al-fatihah). Lega hatiku.

Bukan apa, aku sangat bimbang hanya aku yang lepas naik bas ini, sedangkan yang lain tidak dapat meloloskan diri ketika berebut-rebut tadi. Kalaulah aku sesat, matilah aku. Jeritan kondakter, “rapat, rapat, masih banyak kosong.....” , mengejutkan aku dari berfikir yang bukan-bukan. Gila, dah macam sardin begini, masih dikatakan kosong, rungut hatiku.

Akhirnya bas kami bergerak dengan pantas menuju ke destinasi seterusnya iaitu pekan Pasar Minggu. Pasar Minggu juga seperti lokasi lain, penuh dengan manusia dan kenderaan. Sesak juga. Patutlah orang kata penduduk Jakarta sama ramai dengan jumlah penduduk Semenanjung Malaysia. Dari Pasar Minggu kami menaiki bas yang bertulis Depok di bahagian depan bas tersebut. Semua pelajar Malaysia yang bersama-sama kami tadi dapat menaiki bas yang sama.

Lega rasanya dapat duduk. Bas mula bergerak `seperti lipas kudung’ menuju Depok. Isi perut mahu terkeluar rasanya disebabkan terlalu laju, dengan jalan yang berbelok-belok. Beberapa orang pelajar senior menemani kami. Seingatku, Noi, Zali dan beberapa orang lagi yang tak dapat aku ingat dengan jelas, maklum umur dah 40an, banyak sel-sel yang dah mati dan pengeluaran hormon tidak selancar dulu lagi.

Tiba di Gang Masjid....kalau tak silapku, kami berhenti dan turun di situ. Aku, Lukman, Sharifah, Milah, dan Rodzi pelajar baru Malaysia dibawa ke Rektorat UI dengan berjalan kaki. Hati tidak gembira melihat suasana di sini. Memang betul apa yang digambarkan oleh senior, suasananya sangat sunyi dan masih asli kampung. Di dalam kawasan UI yang begitu luas masih ada kawasan sawah dan pokok-pokok hutan serta semak samun.

Jelas sekali menampakkan masih barunya kampus ini, banyak lagi kawasan yang belum diteroka. Siang hari pun suasananya begini, kalau malam hari bagaimanalah agaknya ye....? Macam-macam persoalan dan pertanyaan yang timbul di mindaku, tetapi sayangnya tak terjawab ketika itu. Apalagi dengan sikapku yang berubah jadi pendiam sejak peristiwa sedih menimpaku, aku jadi kurang bercakap dan lebih senang berdiam diri.

Ya Allah kenapalah aku datang ke sini? Kenapalah Engkau menulis jalan hidupku ke sini? Aku tidak suka. Macamana aku nak meneruskan hidupku dalam keadaan ini. Apa lagi melihat keadaan UI yang menurut pandanganku sangat banyak kekurangannya, mampukah aku mendapatkan ilmu yang kuinginkan di sebuah universiti yang `sangat tidak bernyawa’ seperti ini. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa bergolaknya jiwaku ketika itu.

Perasaan kesal, menyesal, sakit hati dan macam-macam perasaan yang sukar diterjemahkan oleh diriku sendiri. Aku melihat kawan-kawanku yang lain begitu meriah bergelak ketawa dan berbual mesra satu sama lain. Aku hairan melihat kerenah mereka.

Apakah mereka tidak rasa seperti apa yang ada dalam mindaku sekarang.......entahlah, susah untuk menduga hati dan perasaan orang.

Di pejabat pendaftaran, Pengarah Pendidikan dan pegawai pendidikan Malaysia yang lain telah menunggu untuk membawa kami menghadiri taklimat dan mendaftar kami. Selesai mendengar taklimat dan urusan pendaftaran, senior membawa kami melawat ke seluruh kawasan UI, terutama ke Fakultas-fakultas yang akan kami hadiri kuliah nanti. Suasana masih lengang. Tak ramai orang, hanya beberapa orang yang kelihatan di persekitaran fakulti. Pelajar baru akan mula mendaftar kursus minggu depan, Isnin.

Itu info yang kami dapat dari ketua pendaftar tadi. Suasana fakulti aku, FISIP (Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik) bolehlah tahan. Besar dan nampak bangunannya menarik hatiku. Ketika menjenguk bilik toturial, nampak lapang. Aku mencari-cari dewan kuliah seperti di universiti kita. Tak ada dewan kuliah besar. Yang ada hanyalah ruangan bilik yang kuanggap bilik toturial tadi. Rupanya itulah juga bilik kuliahnya. Kelengkapannya juga tidaklah secanggih apa yang pernah kulihat di universiti di Kuala Lumpurku. Tidak mampu menahan rasa ingin tahuku, aku bertanya Noi, senior aku di FISIP, “mana dewan kuliah?” Bisikku ke telinga Noi. Noi senyum sambil menjawab, “inila...”.

Melihat aku yang tidak berpuashati dengan jawapan tersebut Noi bertanya, “nape, tak percaya?” Aku hanya senyum sumbing. Terjawablah sudah.

Tak apalah, apa-apapun terpaksalah aku tempuhi juga. Aku sudah mula melatih diri menerima seadanya seperti rakan-rakanku tadi.

Selesai melihat persekitaran kampus, kami dibawa ke rumah kost atau rumah sewa para senior kami. Rumah kost yang disewa secara kontrak setahun atau dua tahun sekali ini, nampak selesa, maklum masih baru. Sewanya juga murah. Kami dibawa ke rumah sewa cadangan untuk kami. Para senior telah mencari beberapa buah rumah untuk kami, tinggal tunggu persetujuan kami saja. Aku dan kawan-kawan bersetuju untuk memilih `Greenvilla’ sebagai rumah sewa kami yang pertama di bumi Indonesia ini. Rumah yang bercat hijau daun keseluruhan rumah ini menyebabkan ia dipanggil `Greenvilla”.

Rumah sewa kami sebelah menyebelah. Kami memilih rumah yang lebih besar dengan tiga bilik untuk kami, tiga orang perempuan. Rodzi dan arwah Lukmanulhakim tinggal di rumah yang lebih kecil, dua bilik. Lupa sewanya berapa juta rupiah (jutawan tu...) ketika itu untuk setahun.

Setelah selesai urusan membayar sewa kontrakan kami, kami dibawa berkenalan dengan jiran-jiran tetangga kami. Bu Is yang cantik jelita, yang akhirnya kami gelar Ibu Cantik dan keluarganya yang sangat ramah, merupakan jiran kami yang tinggal dihujung sebelah kanan. Terhibur hatiku melihat kejelitaan Ibu Is dan keramahannya dengan kami, walaupun baru pertama kali berjumpa. Ibu Un yang tinggal di depan rumah kami, kurus, nampak raut wajahnya macam orang dalam kesusahan. Dialah yang jadi penyedia makanan segera untuk kami, nasi goreng segera yang kalau dikenang kembali rasanya tidak tertelan seleraku hari ini, tapi waktu itu semuanya dimakan kerana terpaksa. Dia juga yang menyediakan Indomie segera kosong yang langsung tidak ada perasaan ketika memakannya. Setelah kami mengajarnya memasak dengan memasukkan sayur, telur dan cili, barulah selera boleh menerimanya.

Begitulah bermulanya kehidupan aku dan rakan-rakan di desa Depok. Walaupun dalam kepayahan, aku cuba menyesuaikan diri.

Bandar Baru Bangi, 8 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment