Friday 26 August 2011

Kisah Di Akademi Ilmu Pelayaran – Siri 1 – Cpt Halim Othman

“Pengalaman belayar dengan beberapa buah kapal”

Aku dilahirkan jam 7:00 pagi pada 10 Disember 1953 di Kg. Kerpan, Mukim Sanglang, Kubang Pasu, Jitra, Kedah. Kampongku sebuah kawasan terpencil yang di kelilingi sawah padi, perhubungan ke bandar Alor Setar hanya secara berjalan kaki, berbasikal atau pun menaiki motorbot melalui sungai dan terusan.

Aku anak kedua pasangan Hj. Othman Bin Jalil dan Hjh. Chek Bt. Mat Isa. Pendidikan awalku bermula di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam bermula pada 4 Januari 1960 hingga 3 Disember 1965. Pada 9 Januari 1966 akau meneruskan pelajaranku ke Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Ayer Hitam, Alor Setar, Kedah dan terus hingga ke tingkatan tiga, menduduki peperiksaan SRP tahun 1968 dan berjaya melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat pada tahun 1969 dan seterusnya menduduki peperiksaan SPM 1970, menamatkan persekolahan pada 31 Disember 1970.

Aku merupakan antara murid yang terawal belajar di sekolah ini. Pada saat itu sekolah belum mempunyai bangunan sendiri, sesi persekolahan bermula dengan menumpang di Sekolah Kebangsaan Jerlun, kemudian pindah ke sekolah Pondok Lebai Hamid dan seterusnya ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan China Yuh Min, Ayer Hitam.

Pada tahun 1968, kami gembira sekali kerana sekolah telah mempunyai bangunan sendiri. Pada tahun yang sama aku menduduki peperiksaan SRP. Aku berada dalam angkatan pertama bagi sekolah ini. Guru Besar pertama kami ialah CikGu Zaqhlul Merican yang di pinjamkan dari Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Sebaik saja selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu setaraf dengan "Malaysian Certificate of Education (MCE)" dan "Senior Cambridge (SC)" aku telah berhijrah ke Kuala Lumpur, meninggalkan kampung halaman dengan perasaan yang cukup sedih untuk mencoba nasib di perantauan, sambil menunggu keputusan SPM.

Sewaktu di Kuala Lumpur aku telah memohon biasiswa kerajaan. Akhirnya aku berhasil mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang membuat tawaran untuk aku melanjutkan pelajaran ke Akademi Ilmu Pelayaran (AIP) di Jakarta pada awal tahun 1971 dalam bidang Sain Nautika (B.Sc. Nautical Studies).

Aku telah berjaya mendapat ijazah pertama berserta Ijazah Mualim Pelayaran Besar III pada 14 Oktober 1975 (Sijil Kecekapan Laut Malim Kedua = Certificate of Competency as Second Mate of Fereign Going Ship).

Ketika menjalani latihan industri aku telah ditempatkan di kapal "TSS Gunung Djati" (TSS= Turbine Steamship Ship) berbendera Indonesia, milik PT Arafat Lines, iaitu syarikat perkapalan yang mengendalikan angkutan jemaah haji dari seluruh pelusuk Indonesia dan dengan kapal telah berpeluang ke Mekah menunaikan umrah buat pertama kali pada usia remaja 19 tahun pada tahun 1972.

Satelah selesai musim mengangkut jemaah haji yang berlangsung selama enam (6) bulan, kapal "TSS Gunung Djati" yang ketika itu hanya merupakan satu-satunya kapal yang masih digerakkan dengan mesin uap di rantau ini, kapal itu dinongkrongkan (direhatkan) seketika dengan cara berlabuh di Laut Jawa berhadapan Pelabuhan Tg. Periok, Jakarta. Kapal ini dibeli oleh kerajaan Indonesia dan diletakkan di bawah pengurusan syarikat perkapalan Arafat Lines yang mengendalikan pengangkutan jemaah haji Indonesia. Kapal ini dibeli daripada kerajaan Jerman yang siap dibina pada tahun 1936, dan pernah digunakan untuk mengangkut tentera Nazi semasa perang dunia kedua.

Pada bulan April 1973 aku berpindah ke kapal "MV Belle Abeto" (MV singkatan untuk Motor Vessel i.e kapal yang digerakan dengan motor bukan uap lagi), kapal ini juga milik perushaan yang sama tetapi berbendera PANAMA, selesai musim haji kapal masih meneruskan pelayaran bagi mengangkut penumpang ke seluruh pelabuhan kepulauan di Nusantara.

Setelah selesai beroperasi kapal ini tiba waktu yang di wajibkan menjalani pembaikan dan pemeriksaan keselamatan, kerja-kerja ini hanya boleh dilakukan di atas dry-dock(dry-dock ialah tempat bagi mengeringkan air di kapal supaya bahagian bawah kapal dapat dibaiki dan diperiksa), pihak perusahaan memilih Hongkong untuk melakukan dry-docking, ini memberi kesempatan kepada aku untuk tinggal dan melawat selama 44 hari di Hongkong. Sebelum pelayaran ke Hongkong dilakukan kapal terlebih dulu singgah di Ampenan, Lombok untuk mengangkut sapi yang akan dihantar ke sana.

Sekembalinya dari Hongkong dan selesai masa belayar sebagai pelatih di PT Arafat Lines, aku diberi pilihan untuk balik bercuti atau pun mahu terus belayar dengan perusahaan lain, aku memilih untuk tidak balik bercuti ke tanah air tetapi mengambil peluang sekali lagi untuk belayar bersama kapal milik negara Indonesia iaitu Pelayaran Nasional Indonesia iaitu PN PELNI Lines, sewaktu belayar dengan kapal "MV Sapudi" yang juga berbendera Indonesia, aku berpeluang lagi melawat ke seluruh pelusuk kepulauan di Nusantara sebagai kadet dek.

Cpt Halim Othman, 26 Ogos 2011

No comments:

Post a Comment