Tuesday 23 August 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri ke-8 – Nor Aizan Ab Halim

“Nyanyian Rohani 1”
Irfan, Irfan, Irfan....akhirnya menjadi satu nama yang membuat hatiku jadi berbunga-bunga di Jakarta. Menghidupkan semangatku yang telah hilang. Lebih senior dariku dan banyak membantuku dari segala segi. Baik budi bahasa dan tutur kata. Selalu mengingatkan aku tentang solatku, tingkahlakuku, menemani dan menghantarkan aku ketika praktikal.

Selain Irfan, kawan baikku Kumala Winengtyas atau nama manjanya Ineng, adalah orang yang sangat penting dalam hidupku di Jakarta. Kami selalu bertiga ke mana-mana.

Hari jumaat, seperti biasa kuliahku selesai jam 11 pagi. Aku, Irfan, Ineng, dan Wanlie, kawanku keturunan Cina Indonesia serta Anita anak Sunda Bogor yang cantik putih melepak, `baby face’, menuju ke balsem untuk makan. Aku dan Irfan makan nasgor ayam (nasi goreng ayam) dan es buah, Ineng makan mi ayam dan es jeruk, Anita dan Wanlie makan somay dan teh botol. Selera sekali kami menjamu selera. Makan di `balsem’ singkatan dari balik semak, warung makan murahan untuk mahasiswa. Sedap makanannya, walaupun tahap kebersihannya dicurigakan. Pada awal-awal proses penyesuaian, mudah kena sakit perut selepas makan di balsem ni, tapi lama kelamaan, alhamdulillah, perutku juga jadi kental seperti mereka.

Selesai makan, Ineng sudah dijemput supir, biasa, hujung minggu mereka akan berlibur ke Puncak, pusat peranginan yang nyaman seperti Cameron Highland atau Genting di Malaysia, jika tiada urusan lain. Biasanya aku ikut juga ke sana, tetapi hari ini aku menolak kerana banyak tugasanku yang belum selesai. Keluarga Ineng punya banglo persinggahan di Puncak.

Aku diajak oleh Wanlie dan Anita untuk bersama mereka menghadiri acara nyanyian koir mingguan. Setiap hari Jumaat, rakan-rakanku mengikuti acara ini, Cuma aku yang belum berkesempatan untuk ikut serta. Hari ini aku lapang, ingin juga aku ikut bersama.

“Benar kamu ikutan ni Nur?” Tanya Irfan minta kepastian. Aku mengangguk.

Kami berempat menuju ke bilik kuliah utama. Sudah ramai anak-anak berkumpul. Sepuluh minit kemudian, nyanyian koir dimulakan. Meremang bulu romaku mendengar nyanyian koir memuji nama Tuhan yang dinyanyikan kawan-kawanku. Meresap masuk ke hati dan nuraniku setiap bait kata memuji nama Tuhan yang dinyanyikan oleh rakan-rakanku dengan melodi yang sungguh indah, syahdu dan bertenaga. Aku hanya mendengar dan menghayati lagu tersebut kerana aku tidak tahu liriknya. Walaupun ada ungkapan-ungkapan yang tidak aku fahami dalam nyanyian tersebut, aku terus menghayatinya dan terasa segar jiwaku selesai mereka menyanyikan lagu itu.

Selesai nyanyian, Irfan menarik tanganku keluar, walaupun acara belum selesai, “Yuk keluar Nur, aku harus buru-buru ada yang mahu kuberesin di kantor,” jelas Irfan. Irfan terpaksa mengurus perusahaan bapanya sambil kuliah. Perusahaan garmen diterajui kakak perempuannya Fitri. Dia hanya membantu, katanya.

Aku hanya mengikut, walaupun sebenarnya aku ingin sekali mengikuti acara tadi sampai habis. “Boleh nggak minggu depan kita ikut acara tadi sampai tuntas?” Pintaku. Irfan mengangguk sambil berkata, “ok, kalau lagi free, nggak janji deh.” Irfan senyum padaku, “ikutku ke kantor mau nggak?” Ajak Irfan. Aku mengikut saja kerana kebetulan rasa malas nak balik ke bilik waktu-waktu macam ni, mesti masih sepi. Lagipun, dapat bersama Irfan rasa sangat `happy’ hilang segala masalah dan permasalahan dalam hidup. Sikapnya yang selalu tenang, pertuturan yang tersusun, berhati-hati, selalu senyum dan sangat melindungi menampakkan kematangannya, walaupun usianya sebaya denganku.

Sudah beberapa kali aku ke kantor Irfan yang terletak di Manggarai. Irfan memang berpotensi sebagai `bos’ yang baik. Semua stafnya nampak mesra dan menghormati keberadaan Irfan di perusahaan itu. Aku pun menumpang sekaki, rasa dihargai dan dihormati oleh para karyawannya.

Melihat aku termenung dan tersenyum-senyum sendiri di sofa dalam ruang kerjanya, Irfan menegurku, “lagi senyum sama siapa kamu Nur, mau solat Zohor ngak....?” Tanya Irfan, mengejutkan aku dari lamunanku.

Aku mengangguk tanda mahu, tanpa menjelaskan angan-anganku tadi, “di mana?”
Tanyaku kerana sebelum ini aku tidak pernah solat di kantor Irfan.”Di ruangan solat, ada mukenanya di sana,” jawabnya. Aku mengekori Irfan. Teringat Irfan tidak solat Jumaat, aku terus bertanya, “Kamu nggak solat Jumat ya Fan?” Irfan hanya tersengih. “Darurat,” jawabnya selamba, sambil berlalu pergi.

Aku terus menunaikan solatku. Aku berehat sebentar di ruangan solat sambil menunggu tibanya waktu Asar. Aku terlena seketika, kemudiannya terjaga dan terus solat Asar. Selesai solat jam sudah menunjukkan pukul setengah enam. “Mau pulang sekarang?” Tanya Irfan. Aku mengangguk setelah menyedari jam sudah menunjukkan hari hampir senja. “Makan dulu ya...?” Irfan mengajakku. Aku mengangguk lagi tanda setuju, malas nak bercakap, lesu mungkin kerana tertidur sekejap tadi..
Aku ke kamar Mbak Fitri, kakak sulung Irfan yang mengurus perusahaan PT Indah Garmen, milik bapa dan ibu mereka.

“Mbak Fitri, aku pulang dulu ya...” Aku minta diri untuk pulang dari Mbak Fitri setelah pintunya kuketuk dan daun pintu kubuka. “Ok say...,” jawab Mbak Fitri sambil bangun menuju ke pintu untuk bersalam dan mencium pipiku. Say bermaksud singkatan dari kata sayang. “Kapan-kapan main ke sini lagi ya Nur...,” katanya. “Insyallah Mbak,” janjiku kepada Mbak Fitri yang cantik dan baik sekali orangnya.
Irfan mahu menghantarku pulang. Sebelum itu, kami singgah makan di Warung Nasi Padang. Seperti biasa aku makan kari ayam gaya padang, daging dendeng, lalapan dan minum es jeruk. Irfan makan menu yang sama denganku. Aku singgah solat maghrib di masjid Pasar Minggu.

Tiba-tiba aku teringat yang aku belum ada bahan artikel untuk dihantar ke tabloidku di Kuala Lumpur. “Irfan, kamu free nggak malam ini?” Pantas aku bertanya Irfan. “Ia, free, kenapa, mau ke mana?” Balas Irfan, seolah-olah sudah dapat mencium kemahuanku.

“Ermm....Temanin gue, boleh?” Pintaku.

“Mau ke mana lagi nona manis, udah malam begini...?” Irfan minta kepastian tujuanku.

Aku menjelaskan mengenai hajatku untuk menulis artikel mengenai pelacuran di Jakarta. Aku mahu fokus kepada golongan `banci’, `mak nyah’ atau `bencong’ yang akan menawarkan khidmatnya lewat malam di sekitar Jakarta. Irfan bersetuju membawaku ke beberapa lokasi yang dikunjungi golongan ini di Jakarta, seperti sekitar Monas (Monumen Nasional), Pantai Ancol dan Taman Lawang kalau tak silap aku. Selain itu di gang-gang berhampiran hotel juga banyak golongan ini mencari rezeki mereka, selain untuk berhibur.

Rupa mereka yang sangat cantik macam ratu cantik dengan kulit putih melepak dan gebu macam telur dikupas, sangat berpotensi untuk menarik minat golongan yang lebih cenderung kepada kelainan. Mereka tidak tertarik kepada `cowok’ atau lelaki yang datang bersama perempuan atau `cewek’, mungkin susah untuk digoda agaknya, hehe.
Dengan ditemani Irfan aku cuba mendekati dan mewawancara mereka untuk mengenali mereka dengan lebih mendalam. Pada mulanya mereka menolak, bimbang dipublisitikan agaknya. Setelah berjanji gambar mereka akan dipaparkan tanpa menunjukkan muka yang jelas mereka bersetuju, apa lagi setelah ditawarkan sedikit imbalan, tanda terima kasih untuk kerjasama dan masa mereka yang terbuang ketika bersama kami.

Setelah rasa puas dengan bahan-bahan yang kukumpul malam itu, sudah mencukupi untuk penulisanku, kami sepakat untuk pulang. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi. Irfan juga sudah kelihatan kuyu kepenatan. Perut pula rasa lapar. Kami singgah `ngopi’ untuk hilangkan mengantuk. Kami juga memesan sate kambing di warung berhampiran Sarinah. Sate mereka berbeza sedikit dengan sate di Malaysia kerana bumbu atau perencah tidak diperapkan terlebih dulu. Ia diletakkan ketika sate hendak dibakar. Kadar penyerapan bumbu kurang terasa berbanding sate yang biasa mak masak dan jual di restoran kami. Sate mak sangat digemari oleh semua kaum terutama kaum cina. Mereka akan datang berkumpulan dan sanggup makan sehingga beratus-ratus ringgit. Ahh...rindunya sate dan masakan mak.

Sampai ke rumahku, jam sudah menunjukkan pukul tiga setengah pagi. Kesian Irfan, entah pukul berapa dia sampai ke rumah di Pondok Indah agaknya. Sanggup dia melakukan apa saja untuk aku. Aku mandi. Solat Isyak kemuadian tertidur kepenatan, melupakan Irfan untuk seketika.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 23 Ogos 2011 (23 Ramadan 1432)

No comments:

Post a Comment