Friday 12 August 2011

Dari Stesyen Tugu Ke Karangwuni – Siti Zainon Ismail


i.
SUBUH dingin, Jogjakarta membuka sayapnya. Letih sepanjang jalan dengan kereta api malam masih bersisa. Tante Kartika (selepas ini dia meminta aku memanggilanya Mami)mengejutkan, " dhok kita sudah tiba di Jogja, ayuh bangunlah" . Hatiku terbetik. Jogja oh Jogya, untuk menjadi seniman, inilah kota impian . Siapakah yang kukenal di kota purba ini. Suara lain terngiang juga ' ..dia tak lulus STP, larilah belajar tempat lain'. Kusisihkan ejekan seorang sepupuku, yang hanya belajar sampai SPM, dan mengejekku masuk ke tingkatan 6...untuk apa, baik saja masuk MARA . Kawan sekelas, Zoy, membujukku, " Masuk UM dulu, kuliah, nanti baru belajar masuk kelas seni lukis di mana-mana." Maksudnya jelas, melukis hanya sampingan. Tetapi aku mahu ijazah seni lukis. Aku sudah diberi harapan oleh guru seni lukis Cikgu Idris Haji Salam dan Angkatan Pelukis Malaysia. Guru lain pelukis dan pengarah film Nas Achnaz juga bersungguh mengatur pameranku sempena pembukaan Shah Motel. Wang hasil lukisan sudah ada untuk bekal aku belajar ke sana. Ya Tuhan, hanya Dikau yang memberi anugerah ini, bakat seni lukisku, izinkan aku mengumpul ilmu di kota seni Ciptaan Mu'.

Kerana kami berempat, sarat dengan beg dan perkakas lukisan , maka Mami mengajak kami naik andong (kereta kuda) menuju arah ke Jalan Kaliurang . Karangwuni terletak 7 km dari kota Jogja. Suasana masih dingin. Puncak Merapi sudah menampakkan wajahnya kekar menantang. Cerita Mami," Sebentar lagi kabut akan melindungi wajah agam Merapi, Izan disambut senyum Merapi " . Ketika itu baru pukuk 6.30 pagi tanggal 28 Oktober 1969. Angin berhembus lembut dan aku sudah mula asyik dengan kesibukan peniaga rakyat di jalan menuju ke pasar Bringharjo. Para peniaga perempuan berbaju kebaya pendek (lurik), berkain batik, mengikat bakul di belakang sarat bahan jualan, sayuran dan buah-buahan. Beca juga sarat dengan bakul laju menuju kota. Dari Stesen Tugu, andong berlari melalui Hotel Garuda menuju ke arah utara. Di simpang 4, andong memasuki jalur ke Kota Baru, memasuki Bulak Sumur, dan terus melencong mengikut Jalan Kaliurang berhenti di Karangwuni - perkampungan seniman.

ii.
Andong berhenti di sebuah rumah di pinggir jalan. Memang aku belum pernah melihat rekabentuk rumah keluarga Mami Kartika. Bumbung anjungnya atau atap ditutupi jurai daun seakan jarum tajam nipis bertumpuk seakan rambut berwarna gelap. Lepas itu kukenali, banyak rumah Bali dan Lombok beratap daun atau akar halus nibung. Sebuah tabuh dengan motif primitif tergantung di sebelah lorong masuk ke pintu. Aku masih belum faham reka bentuk apakah rumah ini. Di dalam disambut dengan kolam ikan mas yang berenang memenuhi kolam alami, dengan kerusi panjang berukir di sisi kolam. Suasana sejuk suram kerana tidak ada lampu. Karangwuni belum dimasuk letrik . Tuan rumah menerangkan rumah mereka dengan generator dan malam baru bercahaya. Bahagian ruang tengan rumah agak terang kerana atap kaca yang memantul cahaya langit, dan matahari makin bersinar. Perlahan, kupelajari gaya hidup kelaurga Mami Katika, puteri pelukis agung Indonesia - Affandi. Sejak tingkatan 5 aku sudah mendapatkan nama pelukis ini, ketika beliau mengadakan pameran di Balai Seni Lukis Negara Jalan Ampang. Sekarang aku benar-benar berada di rumah keluarga pelukis terkenal itu.

Malam kami sudah berkumpul saling berkenalan dengan keluarga ini. Ayah kemudian kupanggil Papi Saptohoedjo, Mami Kartika, dan putera-puteri mereka : Helvy, Silla, Lullu, Bambang, Andy, I'Iin, Didiet dan Memmei. Kami saling berkenalan dan aku diterima sebagai anak mereka. Anak angkat paling tua daripada lapan adik - adik, cucu Affandi. Esoknya aku diberi waktu panjang untuk melihat karya yang tergantung di pamer di seluruh ruang. Kemudian baru kuketahui rumah itu bukan saja sebagai rumah keluarga tetapi juga sebagai Galeri Saptoehoedojo yang terus dikunjungi para tamu dalam dan luar negeri. Pertama kali dalam usiaku 19 tahun, mula belajar kehidupan seniman yang menampung kehidupan dengan hasil pameran dan jualan karya seni, lukisan dan koleksi budaya warisan yang begitu dikagumi tamu luar negara.

iii.
Kedatanganku di Karangwuni cepat tersebar ke seluruh rumah seniman di situ. Sehari selepas itu aku mula mengejuk ke beberapa rumah seniman @ galeri seni patung milik Pak Eddy dan galeri seni boneka . Rata-ta seniman di situ juga terlibat sebagai pengajar di Akdemi Seni Rupa Indosenia (ASRI) yang bakal ku masuki. Mereka meneruskan kehidupan seni dengan menerima tempahan karya dari pemerintah ataupun pihak swasta yang menghargai seni anak negeri. Bengkel patung Pak Eddy dengan tenaga kerjanya adalah para mahasiswa ASRI, sedang menyiapkan patung para tokoh pejuang yang terlibat dengan peristiwa di Lubuk Buaya Jakarta . Di mana-mana studio dan bengkel yang ku masuki , semua meramahiku dengan mesra. Di bulan pertama aku belum menemui pelajar-pelajar Malaysia di kota seni ini. Aku masih ada 2 bulan lagi untuk mendaftar di ASRI. Di bulan pertama ku lalui hari-hari kehidupan seniman yang mesra, aneh dan lucu. Aku di bawa ke beberapa kawasan yang bersisa dengan harta seni berzaman seperti ke tapak Candi Prambanan dan Brobudur. Di hari lain yang istimewa ialah bila aku dibawa ke rumah Affandi. Di sinilah mula berputik kefahamanku seni perlukan perjuangan. Tidak semua orang memahami kerja seniman. Inilah yang kukutip lansung dari suara Nenek Maryati dan Aki Affandi.

Bersambung ke judul 3.Rumah Daun Affandi..

No comments:

Post a Comment