Sunday, 4 September 2011

Kisah Anak Seni Di Jogja – Siri 12 – Siti Zainon Ismail

“Kunjungan penyair PENA”
[Foto 1 : Usman Awang ketika berucap di Rumah Peljam Malaysia Jogja, Nov 1973]

JOGJAKARTA 1973
ANGIN November masih membawa tiupan hangat. Hujan bagai tidak akan turun, dan Merapi kadang bebas daripada awan dan kelihatan puncaknya dari jauh, gagah perkasa. November juga musim cemasku, kerana harus menyiapkan kertas projek dan lukisan untuk persiapan ujian akhir. Bulan ini juga, PKPMI cabang Jogja telah mendapat berita dari Pusat Pelajar di Jakarta, tentang kunjungan penyair Persatuan Penulis Nasional (PENA). Hal ini disampaikan oleh Azran Abd Rahman ketika kami bertemu di Pusat Pelajar di Jalan Abu Bakar Ali. "Nah anda suka menulis puisi, inilah peluang baik berkenalan dan menyambut rombongan penulis". Aku segera melihat jadual harian.

Akhir November sudah tiba musim ujian. Aku harus menyiapkan 20 keping lukisan cat minyak, 100 keping sketsa hitam putih. Nyoman, asisten dosen sketsa sudah kerap berwajah sinis. Beberapa keping sketsa sudah ditolak dengan nada jengkelnya, "Garisnya tidak lincah, tidak ekspresif..mana keberanianmu?" Persiapan ujian akhir dengan pameran solo di Aula, viva dengan diskripsi akan menyusul di minggu kedua bulan Disember. Perasaan sudah berbelah bagi memikirkan kewangan untuk membeli kain belacu, kayu bingkai dan cat minyak. Wang kiriman daripada Mak sudah berkurang, mujur masih ada sisa simpanan daripada upah membuat design pakaian kawan-kawan. Bagaimana untuk bersantai dengan acara baca puisi? Itulah rancangan kawan-kawan PKPMI di Rumah Pelajar yang mengatur acara minum petang bersambut dengan acara baca puisi. Beberapa orang kawan-kawan daripada jurusan sains juga sudah ketagih dengan acara baca puisi sejak AJK Kesenian mengatur program, "Malam Bunga Rampai" menjelang malam HUT Ogos 1972.

Selain Azran Abd Rahman sebagai ketua AJK Penerangan yang sudah menulis puisi, muncul juga Idris (jurusan Sains Hayat), Timbroni (Kedoktoran) termasuk Mariati, Mohd Noh Dalimin (sekarang NC Universiti Tun Hussein Onn), sudah mendekati menulis dan membaca puisi masing-masing. Tambah Azran lagi, "Ini peluang kita, nanti lebih senang puisi kita tembus ke Dewan Sastera". Akhirnya tindakanku, ya baca puisi, kenapa tidak?

Azran juga sudah mengatur untuk mengenalkan Usman Awang dengan penyair Umbu Landung Paringgi, pemimpin Persada Group Jogja. Aku sendiri terlintas memikirkan untuk membawa mereka ke Sanggar WS Rendra. Sebagai AJK Kesenian memang aku kerap membawa rombongan yang meminati seni agar kunjungan mereka tidak hanya untuk berbelanja batik saja. Aroma Jogja, kota budaya, kadang dicemari oleh sistem dagang, dibawa berbelanja sahaja dan amat merugikan kalau pengunjung tidak mendekati budaya leluhur Jawa yang asli. Mungkin bangunan Candi Prambanan, Borobudur sudah begitu popular di kalangan pengunjung, tetapi masih banyak khazanah budaya Jawa-Majapahit dan nuansa Islam patut dikunjungi. Bagi kawan seniman kerap juga kucadang mereka untuk meninjau Taman Hiburan Rakyat (THR), galeri dan muzium di kraton, Seni Sono. Tetapi untuk kunjungan penulis dan penyair ini, sempatkah mereka bertemu penyair dalam kunjungan sehari dua? Jadi pilihan mudah ialah membuat kunjungan ke sanggar WS Rendra di Ketanggungan. Sedang fikiranku masih menyeret bagaimana aku dapat membeli sepuluh meter kain belacu, perkakas kanvas lainnya dan cat. Bukankah biasanya kalau ada tamu dari Malaysia kerap membuah rezeki?

Kupecut motor Sport Honda Pickup meninggalkan kampus ASRI di Gampingan. Kutinggalkan kuliah minggu akhir (22 November 1973) hanya untuk bertemu penyair.
Menjelang bulan Disember, Jogja kerap ditiupi angin kering langsung dari arah Bukit Merapi. Aku mencelah ke PKU, menuju ke arah pejabat pos, sebelum melencong ke arah Bulaksumur kampus GAMA, membelok ke kanan menuju kali Codek langsung ke halaman rumah pelajar di Jalan Abu Bakar Ali.

Di halaman sudahpun menunggu sekumpulan kerabat PKPMI, di dalam pula sudah tersusun kerusi memenuhi ruang tamu. Aku yang terlewat tiba, mencelah ke dalam. Mereka sudah tiba dan acara sudah dimulai sehingga aku tidak dapat mendengar ucapan aluan daripada dua belah pihak. Tiba-tiba namaku diseru, "Ayuh, wakil kami ialah Siti Zainon, dia penyair Jogja" . " Ha??" Agak aneh panggilan itu, aku baru mula belajar menulis puisi, jauhlah boleh disebut sebagai penyair! Dadaku bergemuruh bila mendengar suara 'Ayah' Ismail Gemuk' dari jurusan Syariah di Institut Agama Islam Negeri (IAIN). Beliau membahasakan dirinya sebagai 'ayah' kerana namanya sama dengan nama Abahku. Debaran itu makin memuncak dengan tepukan daripada tamu petang itu. Kuperhatikan Usman Awang, beliau tunduk sambil menghisap rokok kretek, seperti acuh saja melihat si gadis kurus ini terkial-kial mencari nota (kerana aku belum bersedia) sajak. Tiba-tiba terlihat wajah Jihaty Abadi, dan bukunya terbentang di depannya. Ideaku spontan dan bersuara, "Saya akan membaca puisi penyair Jihati Abadi". Sang penyair berasal dari Kedah tersentak, tetapi cepat menyedari lalu menghulur buku puisi itu. Pada hal aku belum pernah hafal atau membaca karya beliau.

Sebaliknya sejak di sekolah tingkatan V-Vl kami hanya disogok dengan puisi, "Bunga Popi" oleh Usman Awang. Debaranku mula reda bila beliau kembali mendongak, tersenyum dan bersuara amat perlahan..."Siti sudah melihat penyair Malaysia membaca puisi acara Malam Cempaka Berbunga - sekarang silakan baca di Jogja ini, kami datang dari jauh". Suaranya ramah, senyumannya manis ikhlas. Akupun terlontar di Malam Cempaka Berbunga ketika pulang bercuti tahun 1972 lalu. Ya aku berpeluang bersama pelukis Latif Mohidin. Mustafa Ibrahim, kerana acara sepontan melukis dan puisi cuba digabungkan serentak dalam acara di Taman Budaya Jalan Ampang. Daripada pertemuan itu diakrabi oleh penyair terkenal terutama Usman Awang, kami diheret makan di Benteng, termasuk penyair Kemala, A Ghafar Ibrahim, pelukis Latiff dan Ali Mabuha. Baru juga saya tahu gaya bersahabat seniman di mana saja sama, cepat mesra dan bersahabat, terutama kerana kami telah membaca karya-karya seni mereka.

Imbauan kenangan di tanah air dikejutkan dengan suara Usman Awan, "Adik-adik semua yang bakal menyumbang ilmu , anda juga beruntung kerana datang kesini, di kota Jogja yang kaya seni budaya...yang bakal mengisi persada seni tanah air". Dengan pertemuan itu saya mula menghayati puisi bila penyair Ahmad Razali, Kapten Muhamad Awang dan Yahya Ismail, bangun silih berganti membaca puisi. Hal yang terkesan ketika itu ialah puisi alat utama menyalir idea dan gejolak emosi peristiwa zaman. Tetapi selepas itu muncul Salleh Daud dengan pesannya, "Usman nak jumpa". Suara beliau ringkas dan saya makumi, " Esok Non bawa kami ke rumah Rendra ya".

Tetapi sebelum tiba esok hari, kami sudah sebeca menuju ke rumah Afandi di Jalan Solo. Memang ada sepasang mata aneh menyorot kami.

"Memang beruntung Non memilih Jogja untuk belajar seni. Tidak silap ayah menghantar Non ke sini, tentu ibumu juga gembira kalau Non pulang berhasil membawa ijazah nanti. Ah , abang tidak berpeluang belajar tinggi, kami miskin dan juga pergi waktu abang masih kecil" Ungkapannya mengalir begitu sahaja ketika itu aku belum mampu mengeluarkan kata-kata sedangkan kenyataannya aku juga dihimpit derita di rantau. Hatiku juga bersuara, "Aku juga miskin, ayah juga tiada. Tinggal emak, hidup dengan wang mencuci pakaian dan memasak di rumah orang".

Di Galeri Afandi, beliau mengeluh lagi, "Sayang di tanah air belum ada rumah seniman dijadikan galeri seperti ini...nanti Non pulang bolehlah buat galeri mini, terbuka kepada rakyat marhein"

Esok siangnya kami sudah sampai di halaman sanggar W.S Rendra di Ketanggungan. Kebetulan tokoh penyair dan teater ini sedang melakukan latihan teater "Mastodon dan Burung Kondor". Latihan sanggar ini memang merakyat. Kerabat kampung bebas berkumpul melihat latihan yang dibuat terbuka di halaman, memang terbuka saling bersebelahan dengan rumah penduduk lainnya. Rumah berdinding pelupuh buluh, kelarai dan lantai tanah latihan saling akrab - tiada batas antara ahli teater dengan anak-anak yang menonton. Anak buah teater W.S. Rendra juga terdiri daripada pelajar-pelajar dan mahasiswa kampus di persekitaran Jogja. Terdiri dari jurusan yang berbagai termasuk dari ASRI jurusan seni rupa, atau ASTI, seni tari, filem dan sebagainya termasuk pelajar asing (dari Barat) yang sanggup bergabung dengan suasana santai dan bersahabat. Di anjung rumah kelihatan Mbak Narti isteri pertama seniman ini sedang memilih buah belinjo dibantu oleh isteri kedua dan sahabat perempuan lain. Sesekali muncul Ken turut bergabung untuk mengikuti latihan. Ken akhirnya menjadi isteri Rendra hingga ke akhir hayatnya.

"Oh mana rumah teater kita? Abang rindukan suasana seperti ini, Taman Budaya kita belum menjadi juga". Saya mendengar keluhan itu bagai tertuju juga kepada ku. Apakah akan dapat kulakukan kalau pulang ke tanah air? Mampukah aku mempunyai sanggar sendiri?

Ketika itu juga terkintas wajah Ismail Zain, Pengarah Kebudyaan KKBS juga pernah datang lebih awal dan mencariku di ASRI, dan menjelaskan, "Taman Budaya akan didirikan. Usman Awang salah seorang tenaga penggerak. Non cepat selesaikan kuliah, boleh bergabung untuk kegiatan seni di Taman Budaya".
[Foto 2 : peserta rombongan PENA dari kiri, Yahya Ismail (juga belajar di UI Jakarta), Azran Abd Rahman , Dr Ibrahim dan penyair Jihaty Abadi]

Sebelum ini PKPMI telah juga menerima kunjungan Datok Ali Hj Ahmad, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, juga Menteri Kebajikan Tan Sri Fatimah. Mereka bertanya bingung dengan kuliah pilihanku Seni Rupa? Amat sukar untuk menjelaskan makna dan pendidikan seni ketika itu. Di tahun 1970an kerajaan hanya mengirim pelajar-pelajar jurusan sains saja. Bagi pelajar tajaan kerajaan memang hidup serba cukup. Sewa rumah siap pembantu untuk masakan dan cuci pakaian. Pergi kuliah lebih teratur dan pelajar lelaki sering mendapat perhatian perempuan tempatan. Aku beruntung juga selalu dapat menumpang makan bersama di rumah kost mereka. Jadi memilih jurusan seni, kehidupan masa depan masih kabur. Tetapi dengan suara Usman Awang dan Ismail Zain, aku tahu perlu sesuatu dilakukan, kerana itu aku tidak sabar untuk menyelesaikan kuliah dan pulang ke tanah air. Ujian harus lulus dan tidak mahu mengulangi ujian. Impian untuk meneruskan pengajian ke Belanda atau Eropah ditangguh dulu. Sedang Made Wianta sahabat sekuliah telah meninggalkan kampus ASRI untuk mula mengembara ke Eropah. Namun aku dengan semangat penuh, tahu tanah air menunggu! Itulah juga pesan Usman Awang, "Pulang dulu dan buktikan wanita Melayu boleh jadi seniman berilmu!"

Pesan atau bisikan yang terhimbau di telinga saling berlapis. Bagai terdengar pula suara Hussein Enas, "Siti harus gembleng pelukis tanah air". Tambah Usman Awang pula, "Pulang dulu, bantu ibu, kemudian bangun kerja senimu".

Dengan penuh harapan, menjelang keberangkatan rombongan PENA terbang menuju Bali, aku telah menyerahkan manuskrip puisi Nyanyian Malam, langsung ke tangan Usman Awang. Ini manuskrip pertama dapat kususun menjelang usia 23 tahun. Seminggu kemudian kuterima poskad kiriman Usman Awang bercop setem Bali, mengkhabarkan, "Non memang mempunyai daya seni yang tajam. Abang sudah baca himpunan manuskrip Nyanyian Malam sepanjang penerbangan ke Bali. Nanti akan diedit, sepanjang pulang ke Kuala Lumpur".

Tambah beliau dalam sekeping poskad lain, "Ada sisa rupiah, nanti akan dikirim dengan gambar-gambar oleh Hassan Majid".

Memang, sebulan kemudian, aku bukan saja menerima sisa wang rupiah tetapi juga sehelai US100.00 dua bulan berurutan. Selepas itu aku tahu ada misi panjang penuh cabaran harus ku lakukan sebelum dan setiba ke tanah air kelak. InsyaAlllah.

Siti Zainon Ismail, 4 September 2011.

No comments:

Post a Comment