Sunday, 11 September 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 11 – Nor Aizan Ab Halim

Persediaan Balik Kampung

Cuti semester pertama hampir tiba. Cuma tinggal beberapa minggu lagi. Sekarang aku sibuk mempersiapkan diri untuk peperiksaan semester satu. Ada dua perasaan yang sedang berlegar-legar dalam kepala. Gembira dan cemas. Oh ada lagi satu, perasaan takut. Takut menghadapi suasana sedih.

Gembira bila membayangkan akan balik kampung berjumpa keluarga. Sangat rindu sebenarnya, walaupun ada rasa takut untuk menghadapi suasana duka yang pasti akan aku hadapi ketika bertemu keluarga, terutama mak dan menziarahi pusara kakak. Amat menakutkan. Aku tak suka menangis dan sangat takut berdepan dengan keadaan yang memaksa aku menangis. Tidak suka melalui nafas sesak, dada sakit dan kepala terasa berat kesan dari paksaan mengeluarkan air mata berlebihan. Mata bengkak dan hidung berair. Huh....sangat tidak selesa. Tapi pasti keadaan itu tidak dapat dielakkan. Tak apalah, aku akan hadapi juga nanti, tidak boleh lari. Kenyataan sebagai manusia yang masih punya perasaan, harus diterima juga.

Ada rasa cemas juga, maklum peperiksaan pertama yang akan dihadapi di negara orang. Dengan menggunakan bahasa dan ayat-ayat bahasa Indonesia, yang ternyata serupa tapi tak sama dengan bahasa Malaysiaku. Lagi susah sebenarnya, ada persamaan tetapi ternyata ada kalanya akan membawa maksud yang berbeza. Ada ketikanya aku rasa mungkin lebih mudah belajar dalam bahasa yang berbeza sama sekali, tidak akan timbul kekeliruan. Aduh, kena lebih berhati-hati dalam menulis jawapan nanti.

Kalau bercakap, ada kesalahan bahasa bolehlah diterima, malah aku dianggap sebagai salah seorang yang berani berbincang dan memberi pendapat kalau di kelas tutorial. Anak-anak yang lain selalu memberi ‘amaran mesra’ kepadaku agar jangan banyak bertanya sekiranya mereka membentangkan ‘assingment’ mereka di kelas tutorial. Bukan apa, waktu itu aku rajin membaca buku rujukan dan lebih mendahului mereka dari segi teori. Aku juga telah banyak belajar menganalisis dan penalaran yang baik ketika belajar di sekolah dan kolej di Malaysia.

Apapun keadaannya, persediaan yang cukup sangat penting, itu saja prinsip yang kupegang, untuk menenangkan diri sendiri. Aku tidak punya rakan kelas sama jurusan dari Malaysia, tiada rakan untuk berbincang, mahu tak mahu aku seratus peratus terpaksa bergaul dengan pelajar Indonesia. Waktu balik ke kost saja aku bergaul dengan rakan-rakan Malaysia yang semuanya dari jurusan yang berlainan.

Ada baiknya juga lebih banyak bergaul dengan rakan-rakan dari Indonesia. Bahasa Indonesia sangat cepat kukuasai dan berkembang dengan baik sekali. Relasi dengan lingkungan juga sangat baik dan luas. Hubungan bukan sahaja dengan golongan korporat, malah dengan golongan bawahan. Dengan kata lain, hubungan dibina dari bawah sampai ke atas. Dari pemulung sampai ke menteri-menteri. Dengan Pak Harto saja aku tidak berpeluang untuk berjumpa secara langsung. Namun menghadiri majlis yang dihadiri beliau kerapkali juga ketika menjalankan tugasku sebagai wartawan.

Sambil mempersiapkan diri untuk peperiksaan, aku juga mempersiapkan diri untuk pulang ke kampung. Ini kepulangan yang pertama, pastinya aku perlu membawa ole-ole untuk setiap orang ahli keluargaku. Mesti. Kalau tidak, ada yang akan merajuk dan berkecil hati.

Hari Sabtu, seminggu sebelum peperiksaan aku mengajak Irfan menemani aku ke Tanah Abang, pusat membeli belah yang murah meriah. Boleh memilih kerana banyak pilihan yang ada tetapi perlu berhati-hati memilih, supaya tidak tertipu dengan kualiti murahan, dan mesti pandai menawar harga, agar dapat harga yang sewajarnya. Harga boleh kurang jadi ¼ dari harga asal yang disebut.

Jam lapan Irfan sudah muncul di kostku. Irfan sangat tepat dengan janjinya. Berbeza dengan kebanyakan anak-anak yang lain. Selalu ‘telat’ kalau berjanji. Kami bertolak awal-awal pagi supaya nanti sampai di Tanah Abang masih awal, tidak panas. Ada lagi petua senior, kalau datang awal, kita akan dapat harga yang kita sebut, walaupun kita minta harga yang sangat rendah.

“Mereka anggap itu pelaris, mesti kasi, walaupun berat hati,” jelas kawan seniorku ketika aku mengajukan pertanyaan kenapa mereka begitu. Memang betul. Aku lalui sendiri ketika beberapa kali datang ke Tanah Abang, Blok M atau Pasar Baru. Bila mereka dapat duit yang pertama hari itu mereka akan kipas-kipas pada barang-barang dagangan mereka. Itu petua atau kepercayaan tidaklah dapat aku pastikan. Mereka hanya tersenyum ketika aku bertanya kenapa berbuat demikian.Dalam hatiku hanya berdetik, bisa-bisa boleh jadi kurafat ni. Itu kepercayaan atau cara hidup mereka? Terpulanglah.

Pedagang di Tanah Abang ini rata-ratanya orang Minang. Ada juga orang Batak. Orang Minang memang terkenal dengan semangat perniagaannya. Pandai berniaga. Ramai perempuan yang terlibat dalam perniagaan ini. Di Malaysia pun, ramai golongan ini yang berniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Chow Kit. Boleh dikenali dari gaya dan loghat mereka bercakap. Sampai di Tanah Abang, suasana masih sepi. Lebih kurang jam 9 pagi. Para peniaga yang nampak sibuk memunggah dan menyusun dagangan mereka, supaya lebih menarik dan mudah dilihat pelanggan.

Aku dan Irfan menyelit masuk ke bahagian dalam, ke tempat batik dan telekung. Biasalah, rasa-rasanya itulah barangan yang sangat menarik hatiku dan juga orang Malaysia yang lain kalau ke Jakarta. Batik, walaupun sudah diisytiharkan sebagai barang larangan dibawa masuk ke Malaysia, untuk menjaga batik Malaysia sendiri, tetapi tetap saja dibawa. Susah nak cakap. Memang batik Indonesia masih mendominasi jiwa penggemar batik, selain dari batik Terengganu dan Kelantan. Kalau dah bawa nanti, nasiblah kalau kastam nampak mereka nak rampas atau nak dibiarkan saja, terpulanglah atas budi bicara mereka. Tetapi biasanya kalau satu dua helai mereka buat tak nampak saja. Faktor nasib sangat menentukan.

Aku sudah mengumpul 50 helai batik sarung dan batik lepas. Sepuluh pasang telekung sembahyang juga sudah kubeli. Semuanya sudah ada pemiliknya di Malaysia nanti. Semuanya kubeli dengan wang yang dihadiahkan mereka kepadaku ketika aku mahu berangkat ke Jakarta bulan Julai dulu. Sekarang nak cari batik sutera, untuk baju kurung atau kebaya. Di satu sudut ada bahagian batik pekalongan atau solo. Aku dan Irfan menuju ke sana. Irfan berjalan di belakangku dengan membawa beg plastik berisi batik yang telah kubeli. Aku menoleh ke arahnya dan meminta membawa satu plastik darinya.

“Capek ya...?” Tanyaku. Dia hanya tersenyum sambil menolak tanganku yang hendak mencapai beg plastik darinya.

”Ngak apa-apa, gue kuat kot...,” ujarnya. “Bener, ngak berat nih?” Aku meminta kepastian. Irfan mengangguk pasti.

“Wow, cantik-cantik semuanya Fan,” pujiku ketika melihat batik sutera yang digantung tersusun rapi, untuk memancing pelanggan.

Aku memang penggemar batik. Gila batik. Aku membelek-belek harga. Rata-ratanya berharga dari Rp150.000 hingga Rp650,000. Boleh tahan harganya lebih kurang RM160 hingga RM1000 sepasang waktu itu. Aku akan memilih tiga pasang untuk tiga orang yang kusayang dalam hidupku. Oh tambah satu lagi untuk diriku sendiri. Aku mahu tempah baju kurung di Malaysia untuk dipakai pada Hari Raya Aidilfitri tahun depan. Raya nanti kami akan menyambutnya di Jakarta, tidak dapat pulang ke Malaysialah nampaknya. Kebetulan, kedai yang kami masuk menyediakan kain-kain yang cantik semuanya. Untuk empat pasang aku membayar lebih kurang RM1000.00. Puas hati sebab semuanya cantik dan halus. Yang paling mahal aku beli dua pasang RM380 dan RM350.00 sepasang berukuran empat meter, sangat lembut dan halus. Harga asalnya RM600 lebih sepasang, kutawar dapat harga sebegitu.

Aku mengenggam dengan tanganku. Hanya segenggam saja kain tu berada dalam genggamanku. Itu pesan mak, kalau nak tengok baik atau tidak kain sutera tu, cuba genggam dengan tangan. Jika dapat mengecut segenggam dan tidak berkedut seribu, itu kain sutera yang baik. Nah, itu petua lagi. Hidup ni penuh dengan petua-petua orang tua. Kalau ikut insyallah akan selamat.

“Ok, sudah selesai semua.” Aku memaklumkan kepada pembantu setiaku. “Sori Fan, kamu jadi budak (orang suruhan) aku hari ini, maaf ya..ngak niat kot.”

“Ngak apa-apa lah...senang kot jadi budak loe..., asal sama kamu aja aku senang...,” balas Irfan. Kami sama-sama ketawa sambil menuju ke tempat letak kereta.

“Makan dulu yuk..,” ajak Irfan. Lupa aku, kami belum makan. Jam sudah menunjukkan hampir angka dua. Ada restoran Nasi Padang berhampiran pusat membeli-belah Tanah Abang. Satu jam kami makan. Sambil merehatkan badan sebenarnya, setelah penat berbelanja. Jam tiga kami bergerak pulang. Jalan sudah mulai ‘macet’. Penghuni Jakarta sedang aktif melakukan aktiviti masing-masing, mencari rezeki dan urusan peribadi, di hari Sabtu.

Anak-anak peminta sedekah, penjual surat kabar, penjaja kuih-muih dan ‘jajanan’ mula mendatangi kereta-kereta yang berderetan di jalan raya. Mereka mengetuk-ngetuk cermin mobil, dengan pandangan mata yang meminta ihsan dari pemilik dan penumpang mobil, agar membeli dagangan mereka atau menghulur seberapa yang mampu. Huh...sedih. Umur di bawah 12 tahun, malah ada yang sangat kecil, sepatutnya di tadika, tetapi mereka berada di jalanraya, mencari rezeki untu diri sendiri, ahli keluarga atau ada sendiket, kata Irfan.

“Di Malaysia ada ngak kayak begini Nur?” Tiba-tiba Irfan bersuara.

“Peminta sedekah ada tetapi tiada yang datang meminta atau berjualan di mobil seperti ini,” jawabku. “Mungkin penguatkuasaan undang-undang lebih tegas di sana agaknya,” jawabku. “...atau mungkin penduduknya ngak banyak seperti di sini,” sambungku setelah menyedari jawapanku itu sedikit kurang tepat atau mengkritik. Irfan diam, hanya mengangguk.

Aku teringat batik sutera yang kubeli. Aku mengeluarkan batik yang kususun paling atas. Cantik kurasakan. Aku mengirai kain tersebut, hampir mengenai muka Irfan. Irfan mengelak, sambil tergelak melihat gelagatku, yang mungkin keanak-anakan.

“Sori......,” mohonku pada Irfan, “cantik ngak kain ini Fan?” Irfan menoleh.

“Ini punya aku...cantik ngak?” Irfan mengangguk.

“Ini untuk ibuku, cantik ngak?” Tanyaku lagi sambil membuka lipatan kain yang kedua. Irfan mengangguk lagi.

“Ini pula untuk isteri abangku, kakak iparku,” jelasku pada Irfan, untuk kain batik sutera yang ketiga, “ohhh, cantik juga,” kata Irfan. Akhirnya aku mengeluarkan yang terakhir. Paling istimewa. Harga paling mahal, mahal sikit daripada batik mak.

“Nah...yang ini cantik ngak Fan?” Tanyaku seolah-olah memaksa Irfan menjawab.

“Wah...Cantik sekali,” puji Irfan. Sejuk mataku memandang kain ini. Kombinasi warnanya yang sangat menarik, ada warna ‘pink purple’ dan kebiruan. Dilukis tangan dan diwarnakan dengan halus sekali. Pandainya pelukis dan pembuat batik ni. Sangat kreatif dan kemas kerjanya. Memanglah pembatik pekalongan dan solo terkenal dengan kehalusan hasil kerja mereka.

Terbayang di mataku, betapa indahnya batik sutera ini membaluti tubuh si pemakainya, yang cantik tu. Kadang-kadang timbul rasa cemburu di hati, melihat kecantikannya dengan kulit yang putih halus, bulu matanya lentik, alis matanya halus seperti dicukur, berhidung tinggi dan berbibir limau seulas. Cukup sempurna sebagai seorang gadis yang boleh disebut jelita. Dihiasi pula dengan budi bahasa dan tutur katanya yang sentiasa dijaga dalam keramahannya. Bertolak belakang dengan diriku.

“Yang ini untuk siapa Nur?” Tanya Irfan setelah melihat diriku diam seketika, sambil memerhati batik yang begitu cantik.

“Untuk kakak,” pantas aku menjawab. Irfan memandangku, “kakak yang mana satu, berapa orang kakak kamu punya Nur?” tiba-tiba Irfan melemparkan pertanyaannya padaku.

“Kak Eizan,” jawabku.

“Nur....kamu sedar ngak...kan beliau sudah ngak ada.” Jawapan Irfan mengejutkan aku dari tindakan luar sedarku.

“Astaghfirullahalazim....Fan, gue lupa...kenapa gue jadi lupa begini.” Aku tidak dapat menahan sebak di dadaku. Air mataku mulai meluncur keluar tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Irfan juga sebak melihat keadaanku. Air mata Irfan juga mengalir keluar. Cepat-cepat dia menyapu titisan air matanya. Dia memegang tanganku, “Nur...sabar, itu sudah kehendak Allah, ingat tu...kamu sangat sayang sama dia. Karena itu kamu ngak sedar membelikan sutera untuknya....Doakan saja, moga dia tenang di sana Nur.” Nasihat Irfan untuk meredakan kesedihanku. Sudah lama aku berhenti menangisi pemergiannya. Meredhakan kehendak Allah. Irfan mengosok-gosok bahuku perlahan-lahan, memujuk. Aku menekap kain sutera yang begitu cantik ke mukaku. Hampir basah kain sutera kukesat air mataku. Kenapa dia pergi begitu cepat? Belum sempat aku hadiahkan sutera yang dihajatinya. Kain sutera yang sangat cantik ini tidak dapat kuserahkan kepada kakak, sebagai hadiah pertamaku dari Jakarta. Itulah pesanannya dulu ketika aku hendak ke Jakarta. Dia mahu aku belikan batik sutera untuknya. Lalu, untuk siapa sutera yang cantik ini, kalau bukan untuk kak Eizan?

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 10 September 2011.

No comments:

Post a Comment