Rumah sewa yang menawan
[Hanya foto hiasan saja]
Pertama kali melihat rumah itu, aku langsung tertawan. Letaknya di Jalan Salemba Tengah, sekitar satu setengah kilometer dari kampus FK Salemba. Berjalan kaki pulang pergi ke kampus tidak terlalu jauh atau memenatkan. Jika keletihan selepas kuliah boleh menggunakan perkhidmatan beca, bemo, bajaj mahupun teksi walau agak jarang.
Dari jalan besar, ramai yang tidak akan menyangka bahawa di situ terdapat sebuah rumah comel kerana ia terlindung di bahagian depan oleh sebuah rumah banglo dua tingkat dan terlindung di sisi kanan oleh tembok sebuah rumah sakit. Untuk masuk ke pagar rumah, satu lorong kecil selebar satu meter dan panjang sekitar dua puluh meter disediakan tepat di samping rumah banglo tadi. Ia seakan satu lorong rahsia dan ‘private’ kerana ia tidak dikongsi dengan orang lain kecuali penghuni rumah comel itu sahaja. Boleh dikatakan seluruh kawasan rumah umpama tempat persembunyian rahsia.
Walau hanya ditanam di dalam tin cat yang di kitar semula, barisan pokok-pokok keladi yang menghijau disamping dinding rumah itu sungguh terasa menyamankan. Dinding bersempadan dengan Rumah sakit MH Thamrin ditanami juga dengan pokok keladi tetapi jenis yang menjalar dan memanjat dinding menambahkan lagi kehijauan dan ketenangan suasana. Terdapat juga beberapa rumpun pokok bunga lily putih dan serumpun pokok bunga raya merah di halaman depan rumah. Di anjung rumah terdapat satu set kerusi bamboo dan sebuah meja kopi kecil yang dapat digunakan untuk berehat waktu petang.
Di kawasan belakang yang dibatasi tembok konkrit setinggi sekitar lapan kaki terdapat pula sebatang pokok kelapa seakan kelapa pandan dengan gugusan buah yang hijau bergayutan. Di sudut paling kiri terdapat sebuah paip tradisional yang kami panggil ‘paip goyang’ yang mengeluarkan air dingin dan jernih dari telaga bawah tanah apabila pemegang kayu paip itu digoyang ke atas dan ke bawah. Sistem paip terus memang tidak ada tetapi kami dibekalkan dengan sebuah pam eletrik yang mampu menyedut air dari bawah tanah dan disalurkan melalui paip ke bilik air dan sinki dapur. Paip goyang kami gunakan bila tiada bekalan eletrik.
Aku tidak lagi keseorangan seperti dulu. Ada Zek, siswi FKUI yang sebaya denganku tetapi datang setahun kemudian dariku. Ada Kok Ma (kak, tetapi di Kelantankan) yang belajar di IKIP, ada Anies dan Nurul siswi FKGUI. Kami berlima menyewa rumah itu secara kontrak sebanyak 2.5 juta rupiah setahun dari seorang wanita keturunan Padang bernama Ibu Tanzil yang sangat gemar mendengar radio. Ke mana beliau pergi radio transistornya dibawa di atas bahu dan didekatkan ke telinga. Aneh tapi nyata.
Terdapat lima buah bilik sederhana besar yang dihuni oleh setiap seorang dari kami dan sebuah bilik kecil di bahagian dapur untuk kegunaan pembantu rumah. Kami berkongsi menggunakan perkhidmatan pembantu rumah untuk menjaga kebersihan rumah, mencuci dan menggosok pakaian, ke pasar dan memasak makanan sesuai cara dan menu yang kami sediakan. Kami membayar gaji sebanyak 50,000 rupiah pada ketika itu, yang menurut teman teman Indonesia melebihi kebiasaan di mana pembantu rumah biasanya hanya dibayar sekitar 35,000 rupiah sebulan. Memandangkan timbunan baju-baju yang harus dibereskan setiap hari, mungkin lebih berpatutan membayar lebih sedikit sebagai tambahan.
Menyambut malam raya di wad kanak-kanak
Pagi itu Zek, Kok Ma, Anies dan Nurul masing masing sudah sedia dengan persiapan untuk berangkat ke Wisma Malaysia. Hari itu adalah hari terakhir ramadhan. Sebagaimana kebiasaan, semua pelajar Jakarta berkumpul di Wisma Malaysia bagi acara masak memasak untuk jamuan berbuka terakhir. Agenda memasak biasanya diketuai oleh Joe yang punya banyak pengalaman menyediakan berbagai juadah. Sebelah malam selepas berbuka terakhir biasanya disusuli solat berjamaah dan takbir syawal. Selesai takbir tidak jarang juga diadakan acara main bunga api.
“Eh! Kak Ila tak pergi sekali ke?” Tanya Anies sebaik melihat aku keluar dari kamar membawa beg kuliah.
“Tak! Hari ni masih ada kuliah dan malam nanti Kak Ila ada tugas jaga (on call)” aku menjawab bersahaja sambil cuba menyembunyikan rasa sedih di hati kecilku.
“Malam nanti tak datang Wisma?” Anies bertanya lagi untuk kepastian.
“Tak! Nanti habis kuliah langsung ke RSCM untuk jaga sampai pagi esok. Habis ronde wad pagi baru boleh balik.”
Aku berangkat kuliah dengan membawa kesayuan hati. Walau telah beberapa kali merayakan aidil fitri di perantauan, tetapi sebelum ini aku masih dapat merayakan dengan teman-teman senasib di kalangan warga Malaysia. Namun kali ini aku benar-benar terpaksa menyambut kedatangan syawal itu, bertugas dan bersendirian di tempat asing. Itulah pengorbanan yang harus dicurahkan demi mencetuskan sedikit keinsafan dan menimba sedikit pengalaman dan ilmu.
Malam itu wad kanak-kanak di mana aku bertugas agak tenang walaupun semua katil pesakit penuh. Hanya ada satu kes yang agak kritikal tetapi stabil. Seorang kanak-kanak kecil yang menggunakan bantuan pernafasan dan oksigen akibat sumbatan salur nafas kerana jangkitan penyakit ‘difteria’. Di Malaysia penyakit ini boleh dikatakan sudah tidak ada lagi, antaranya berkat pemberian suntikan pelalian penyakit dipanggil tiga serangkai, difteria, pertusis (batuk kokol) dan tetanus (kancing gigi) kepada bayi bayi.
Kes-kes lain yang ada pada malam itu adalah kes-kes biasa seperti demam berlarutan dan jangkitan paru-paru. Beberapa kes yang jarang atau tidak ditemui lagi di Malaysia termasuklah tetanus pada bayi baru lahir yang disambut dukun di rumah, di mana tali pusat dipotong menggunakan sembilu buloh yang tercemar, pesakit kusta, kes filariasis atau kaki gajah di mana pesakit kanak-kanak itu tidak lagi mampu berjalan kerana struktur kaki yang berubah dan membengkak, pesakit tibi kanak-kanak dan pesakit jangkitan cacing gelang yang serius yang baru selesai pembedahan mengeluarkan gumpalan cacing dari ususnya.
Pagi Syawal muncul tanpa banyak dugaan bagiku. Aku menghabiskan rondaan wad pagi itu dengan lebih bersemangat setelah pada malamnya aku berkesempatan berkongsi kisah dan menyelami isi hati pesakit kanak-kanak, ibu dan keluarga masing masing yang punya perjalanan hidup yang ternyata lebih berliku berbanding aku. Setidak-tidaknya ada ketupat, rendang dan opor ayam di dalam mangkuk tingkat hospital menantiku di kamar ‘jaga’. Tapi, entah apa lah yang ada buat mereka.
Salam aidil fitri buat semua…..
Dr Zalilah Manan, 6 September 2011
No comments:
Post a Comment