Penyakit Dalam
Penyakit dalam, sesuai dengan namanya memang melibatkan penyakit yang berpunca dari gangguan organ dalaman. Darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang, sakit jantung, sakit liver (hati) masalah paru-paru dan macam-macam lagi. Unit yang paling kurang aku gemari. Andai saja bisa memilih, pasti aku gugurkan unit ini dari senaraiku. Tapi unit ini amat penting kerana penghidap penyakitnya sangat ramai dan yang berpotensi menghidap pun mungkin lebih ramai, bertambah hari demi hari.
Dari segi teori, penyakit dalam paling banyak kepelbagaiannya, tidak pernah habis-habis jika ilmu ini didalami. Macam-macam penemuan, macam-macam kajian. Buku-buku rujukannya biasanya yang paling tebal dan paling besar, kalau ditimbang mungkin punya kilo yang tertinggi. Tidak cukup satu jilid, kebanyakannya dua jilid atau lebih.
Pesakit-pesakit di unit ini hampir semua adalah nenek-nenek atau kakek-kakek yang lanjut usia. Hampir tidak pernah ketemu pesakit yang berusia muda cantik-cantik atau ganteng-ganteng. Yang ada mungkin keluarga pasien, itupun jarang-jarang. Mujur ada tim dokter residen yang mampu membuat aku agak betah di unit itu. Dr Maryantoro, Dr Hartono, Dr Zainul, Dr Imran adalah antara nama yang masih aku ingat yang sangat banyak membimbing, membantu, prihatin dan sabar.
Jika pesakit dirawat di hospital, biasanya tidak akan pulang dalam masa sehari, kurang-kurang tiga hari, kadangkala mencecah minggu. Bila pulang biasanya di bekalkan dengan segerobak ubat buat bekalan minima sebulan.
Ironinya hampir semua penyakit-penyakit tersebut berpunca dari kesilapan pesakitnya sendiri. Kebanyakannya dari kebiasaan dan cara hidup pesakit sendiri. Kurang prihatin tentang kesihatan. Tidak mengamalkan pemakanan sehat. Jarang-jarang melakukan riadah. Gemar merokok, mengambil minuman keras dan kadang-kadang berpunca dari pengambilan ubat-ubat tradisional yang kurang sahih kebaikan dan kesan sampingannya.
Kami diperlukan menjalani kepaniteraan di unit penyakit dalam selama empat bulan. Dibahagi kepada kumpulan-kumpulan kecil seramai enam orang, kumpulanku terdiri dari Rahmi, Tien, Betty, Sabatth, Ifzal dan aku. Dalam masa itu berbagai aktiviti perlu dijalani, tidak terkecuali dinas jaga malam. Dinas jaga pula dijalankan secara bergantian antara kumpulan kecil di tiga rumah sakit iaitu RS Cipto Mangunkusumo, Jakarta, RS Persahabatan, Rawamangun dan RS Tangerang, Jawa Barat.
RS Persahabatan ialah sebuah rumah sakit lama yang didirikan sejak zaman Belanda. Disana kami ditugaskan di wad khusus paru-paru yang terletak di lantai dasar dan lantai satu blok paling hujung yang berdekatan dengan kamar jenazah. Kamar ‘ko ass’ (gelaran bagi mahasiswa klinikal) yang kebetulan terletak di hujung blok menjadi sangat dekat dengan kamar jenazah itu.
Suster Bule
Oleh kerana berbagai cerita yang timbul, jaga malam di RS Persahabatan dikalangan mahasiswi kebanyakannya dilakukan berdua-berdua. Mungkin ada juga mahasiswa yang mengikut cara mahasiswi. Bukan semua orang lelaki berani.
Petang itu giliran aku jaga malam. Aku ditemani Tien. Nanti apabila giliran Tien, aku akan menemaninya pula. Kami tiba awal ke rumah sakit. Kami langsung melakukan rondaan yang seharusnya dibuat waktu malam, pada petangnya. Semua pasien nampak tenang-tenang sahaja, tiada kes kritikal.
“Ntar kalau mau mandi, di kamar mandi hujung sini aja, dok. Kayaknya ngak ada air tu di kamar mandi ko ass. Udah dua hari ada gangguan air ni!” kata salah seorang perawat yang bertugas.
Selesai rondaan wad, kami bergerak menuju kamar ko ass untuk berehat sebentar. Kamar itu yang berukuran sederhana dilengkapi dua buah katil bujang, sebuah meja tulis saiz kecil yang terletak di tepi pintu, sebuah kipas meja yang terletak di atas meja kopi kecil diantara dua katil dan sebuah cermin agak besar yang dilekatkan pada belakang pintu. Di tepi cermin tergantung satu kunci, kunci kamar mandi ko ass.
“Kita mandi aje dulu, yuk!” aku mengajak Tien.
“Ok, mumpung masih belum malam, ntar seram.” Jawab Tien.
“Kita coba lihat kamar mandi sini aja dulu.” Aku memberi cadangan.
“Ayuh! Siapa takut.” Jawab Tien lagi. Kami berdua senyum kerana hanya kami berdua yang tahu perasaan kami.
Kamar mandi itu terletak hampir bertentangan dengan kamar ko ass, hanya dipisahkan oleh kaki lima terbuka yang agak suram. Perlahan-lahan kami membuka kunci kamar mandi itu. Dengan penuh hati-hati kami menolak daun pintu. “kriuuukk!” bunyi engsel pintu yang mungkin akibat berkarat. Sunyi sepi suasana di dalam kamar mandi itu. Kami berpegangan tangan. Tien menarik tanganku mengajak masuk lebih ke dalam. Kami menjenguk ke dalam kolah mandi. Kering kontang tanpa setitik airpun. Paip air yang kami buka juga tidak berair.
Tiba-tiba, mungkin secara bersamaan kami merasakan seolah ada sesuatu yang menyeramkan, kami saling tarik menarik untuk keluar, mengunci pintu dalam kelam kabut dan berlari masuk ke kamar ko ass semula.
Termengah-mengah, kami duduk berhimpitan, masih berpegangan tangan.
“Ada apa Tien?” aku bertanya setelah sesak nafasku mereda.
“Ngak tau, tiba-tiba rasa merinding (bulu roma meremang).” Kata Tien. Sama persis seperti yang aku rasakan. Perasaan seram yang datang tiba-tiba.
Kami mengambil keputusan untuk menggunakan kamar mandi perawat seperti yang telah ditawarkan. Sudah hampir waktu magrib setelah kami selesai mandi dan bersiap-siap. Rondaan wad sudah kami selesaikan tadi, jika tiada kes yang baru masuk, kami punya banyak waktu yang boleh dimanfaatkan untuk perkara lain yang mana kami bercadang untuk mengulangkaji.
“Lapar ngak, Ila?” Tien bertanya setelah kami selesai solat magrib.
“Sekarang, ngak. Kamu mau makan?” aku bertanya Tien.
“Tien juga ngak lapar.” Jawab Tien.
Aku mengeluarkan buku dari tas kuliah. Tiba-tiba aku terdengar sesuatu.
Aku menoleh ke arah Tien, dia juga ku lihat sedang mendiamkan diri seolah sedang cuba mendengarkan sesuatu sebelum menoleh ke arahku. Dia perlahan-lahan bangun dari tempat duduknya lalu duduk rapat disebelahku namun tidak berkata-kata.
Bunyi seseorang sedang mandi dengan curahan dan percikan air yang banyak kedengaran sangat jelas dari kamar mandi ko ass. Sedangkan kami baru saja melihat kolah yang kering kontang dan kunci pintu kamar mandi ko ass yang hanya satu, masih dalam simpanan kami. Bunyi itu berlarutan beberapa ketika sebelum berubah kepada bunyi seolah seseorang sedang menimba air dari kolah yang hampir kering. “krroongg” bunyi seperti gayung plastic bergeser dengan simen kolah yang hampir kering.
Kami diam membeku seketika sambil berdoa agar semuanya berakhir, tapi tiba-tiba kipas meja yang tadi berpusing perlahan berubah laju dan bergegar-gegar sebelum semua lampu akhirnya padam. Kami tanpa bertangguh lagi berlari lintang pukang keluar dari kamar ko ass menuju wad di mana perawat-perawat yang sedang bertugas berkumpul. Lampu kembali menyala sebaik kami sampai di kaunter perawat.
“Kenapa dok? Kok sampai pucat pasi begini? Terlihat suster bule ya?” Tanya salah seorang dari mereka sambil tersenyum.
“Ngak, ngak apa-apa!” kami serentak menjawab.
Memang benar kami tidak melihat apa-apa, kami cuma bersamaan terdengar sesuatu dan mengalami sesuatu yang kami tidak dapat jelaskan namun sangat menyeramkan. Suster bule yang disebut-sebut dikatakan sebagai satu figura perawat yang cantik seperti orang belanda dan selalu membantu pasien-pasien yang agak tidak berdaya mengangkatkan ‘bed pan’ ke bilik air, menukarkan botol drip yang sudah kosong dan kerapkali membangunkan ko ass yang bertugas jaga sendirian yang tidur di kamar ko ass tersebut.
Dr Zalilah Manan, 16 September 2011
No comments:
Post a Comment