Wednesday, 21 September 2011

Kenangan Semasa Di UI Salemba – Siri 15 – Zalilah Manan

“Rasmilah kami semua menjadi doktor”

Sepintas lalu rasanya belum lama aku berada di bumi Jakarta, kebenarannya, semua kepaniteraan yang perlu dijalani sudah berakhir. Seminggu lagi judisium akhir akan diadakan. Judisium adalah hari di mana transkrip nilai bagi matakuliah untuk semester tersebut diserahkan pada setiap mahasiswa. Nama-nama yang lulus dengan predikat ‘cum laude’ dan ‘penghargaan’ juga diumumkan. Bagi angkatanku, nama yang tidak asing lagi untuk meraih predikat ‘cum laude’ adalah seorang siswi asal Medan bernama Eva. Hanya pada tahun tiga, kalau tidak salah, beliau hanya meraih ‘penghargaan’ bukan cum laude. Pada tahun-tahun yang lain predikat ‘cum laude’ tidak pernah terlepas dari genggamannya.

Aku selalu membuat observasi tentang cara belajar Eva. Aku iri dengan kemampuan beliau. Aku ingin setanding dengan beliau atau kalau bisa mengatasinya. Namun tidak pernah dapat aku merealisasikan. Beliau tidak kelihatan menggunakan terlalu banyak masa menelaah. Beliau bukan tipe yang menghabiskan masa duduk berjam-jam menghadap buku. Tapi satu perkara yang aku lihat, Eva sentiasa memberi sepenuh tumpuan semasa kuliah atau tutorial. Semua perkara dipastikannya difahami sebelum meninggalkan dewan kuliah atau kelas. Itulah rahsia kejayaannya.

Aku pernah ke rumah Eva untuk menyelesaikan kerja berkumpulan. Eva tinggal di sebuah rumah besar yang terletak di satu kawasan perumahan mewah. Beliau tinggal bersama seorang lagi saudaranya dan beberapa orang pembantu rumah manakala ibu bapa dan keluarga yang lain di Medan. Yang mengesankan aku bukan rumah besarnya tetapi makanan yang disediakan untuk beliau. Hampir semua makanan sumber protein terhidang di atas meja makannya pada setiap kali waktu makan. Ada rendang daging, dendeng, ayam, ikan, cumi-cumi, tahu, tempe, sayur dan lalapan dengan cara masak yang berbeza setiap kali. Aku jadi terfikir, apakah kerana pemakanan yang diamalkan ini membuatkan Eva lebih pintar dari orang lain? Mungkin…..

Alhamdulillah! Aku lulus judisium dengan baik. Walau tidak berjaya menandingi Eva, aku tidak jauh di bawah Eva. Tinggal menunggu wisuda. Wisuda diadakan di balairung di Kampus UI, Depok bersama-sama dengan lulusan fakulti lain.Sementara menunggu tarikh wisuda, kami sudah dibenarkan bercuti.

Berhubung aku dianugerahkan pembiayaan untuk pengajian selama 84 bulan, aku masih punya biasiswa tersisa untuk lebih kurang setahun kerana aku telah lulus dalam masa genap enam tahun (72 bulan). Aku mula punya fikiran songsang, tidak mahu pulang dulu ke Malaysia sebaliknya terus menggunakan biasiswa sambil mengintai peluang bekerja sementara dan mencari peluang mengembara di Indonesia. Aku juga terfikir untuk mencuba nasib mendapatkan peluang terus menyambung pengajian terutama di unit obgin kerana aku pernah mendapat tawaran secara verbal dari Kepala Bagian Obgin.

Namun niat songsangku tidak dapat aku laksanakan. Keluargaku mengarahkan aku pulang untuk membincangkan penyelesaian bagi ‘pacaran jarak jauh’ku yang telah berlangsung begitu lama. Oleh kerana hanya ada satu pilihan penyelesaian, kami menyempurnakan persetujuan kedua-dua keluarga dengan ikatan pertunangan dan perkahwinan sekaligus. Lantas aku kembali ke Jakarta untuk acara wisuda dengan ditemani suami.

Namun wisuda bukan perkara yang terlalu mengujakan bagi lulusan FK. Mungkin kerana tiadanya kesempatan untuk menerima sendiri ‘skrol ijazah’ tersebut. Biasanya hanya wakil yang naik ke pentas untuk menerima skrol dari Rektor bagi pihak rakan seangkatan. Lulusan FK punya upacara lain iaitu upacara angkat sumpah yang lebih ditunggu-tunggu dan jauh lebih besar maknanya kerana itu merupakan acara simbolik kami dilantik sebagai doktor.

Pagi itu, 19 oktober 1993, aku keluar awal pagi menuju ke sebuah salon yang telah ditempah sejak awal lagi. Memang menjadi tradisi Indonesia, bagi upacara formal, pakaian tradisional baju kebaya, kain batik dan sanggul dikenakan.

“Make up nya jangan tebal-tebal, mbak!” aku mengingatkan kerana aku memang tidak suka ber make up.

“Iya!” ringkas jawaban pesolekku sambil terus menyapukan bedak di mukaku.

“Sanggulnya jangan yang gede mbak.” Sekali lagi aku memberitahu petugas salon.

“Iya!” jawab mbak itu ringkas sambil terus menyisir rambutku untuk dilekatkan dengan sanggul buatan. Mungkin juga bosan dengan pantang larangku.

Akhirnya selesai juga sessi bersanggul setelah hampir kaku leherku, rasanya.

“Kain kipasnya bisa ikat sendiri nggak?” Tanya mbak pesolekku.

“nggak! Bantuin ya mbak!” aku tersenyum sambil merayu.

Setelah susah payah berputar-putar dan berlatih mengecilkan langkah kaki, kain kipasku berjaya diikat rapi. Aku sudah kelihatan seperti ibu-ibu arisan, bersanggul, kebaya dan kain kipas. Angkatan ku telah bersepakat bahawa para siswi mengenakan kebaya ‘lace’ warna kuning yang kami tempah bersama dan kain batik panjang warna coklat. Sementara para siswa, kemeja putih dan kot hitam.
Berdebar-debar rasanya saat melangkahkan kaki ke Aula FKUI Salemba di mana upacara angkat sumpah akan di adakan. Mana tidak selesa dengan beratnya sanggul, ditambah pula kebimbangan kain kipasku terungkai…. Sungguh menyeksakan.

Acara dimulakan terlebih dahulu dengan penyampaian pingat emas berukirkan logo UI dan tertulis nama masing-masing mahasiswa dengan penambahan ‘Dr.’ dihadapannya, oleh Rektor Universitas Indonesia yang pada masa itu disandang Prof DR. dr. Sujudi. Diikuti penyampaian ‘skrol ijazah’ oleh Dekan FKUI yang pada waktu itu disandang oleh Prof Mardiono Marsetio. Aku percaya itulah antara saat yang paling bersejarah dalam hidup setiap mahasiswa.

Suasana cukup hening sebaik diumumkan bahawa upacara Angkat Sumpah dan Perlantikan Dokter akan bermula. Kami yang beragama islam diberi senaskah Al-Quran setiap seorang, manakala rakan-rakan beragama lain mendapat kitab mengikut agama masing-masing. Kami bersama-sama dengan dibimbing wakil mahasiswa mengangkat tangan sambil bersaksikan kitab suci masing-masing melafazkan Sumpah itu. Sungguh simbolik. Sungguh keramat. Perasaan waktu itu sukar digambarkan. Rata-rata menitiskan air mata, gembira, sedih, terharu bercampur baur. Rasmilah kami semua menjadi doktor yang telah mengangkat sumpah akan menjalankan tanggung jawab berdasarkan etika kedokteran.

Dr Zalilah Manan, 21 September 2011.

No comments:

Post a Comment