Sanggar Putih Penaja Pameran
[Foto 1 : Melakar di Gembiraloka dengan teman-teman senior, Wardoyo, Enderin, Giono]
JURUSAN Seni Lukis ASRI memang kerap riuh dengan kerja amali di luar studio. Kebetulan yang dapat terus naik tahun kedua tinggal beberapa orang saja perempuan. Beberapa orang entah kemana menghilang. Yovita juga tiba-tiba tidak muncul. Nurma Tarigan kadang ada kadang hilang. Aku terus seperti biasa kerap keluar melakar. Anehnya setiap melakar di Malioboro, ke Gembiraloka selalu saja muncul teman-teman lebih senior..dan kami selalu bergabung, dan aku tidak peduli meneruskan kerja seni. Memang ada yang cuba mendekati, tetapi kerana aku sibuk melakar dan beralih tempat, mereka tidak sanggup mengekoriku lagi...akhirnya aku sendiri lagi.
[Foto 2 : Patung wayang kulit Jawa koleksi Galeri Melora, 1972]
Paling bebas dan tenang melukis ialah bila melangkah ke muzium dengan koleksi wayang kulit. Wayang kulit Jawa yang jauh berbeza dengan wayang kulit Melayu Kelantan dengan mudah dapat kudekati. Watak Bagong dan Semar paling kuminati. Teknik menggaris bebas lincah sudah kupelajari dari Nyoman. Tetapi supaya tidak terikat dengan gaya garis ekspresifnya aku mula menumpah tinta hitam bertompok ke atas kertas, lalu melariknya dengan lincah menggunakan batang lidi. Tinta mengalir ke bawah. Percubaan kebetulan terjadi ketika aku melukis di bawah gerimis, dan tinta jatuh di atas kertas. Percikan gemiris cepat mengalirkan tinta dan airnya begitu aneh dan terkesan dengan bentuk bebas. Akhirnya garisku sudah berwarna dengan tiga lapisan tona yang bebas, garis, ruang hitam cair dan hitam pekat.
[Foto 3 : Bagong-Semar, Cat Minyak, 45 x 45 cm]
Selesai ujian akhir, dan viva skripsi aku meluru keluar cepat dari ruang ujian lisan. Aku tidak sanggup menunggu keputusan, lulus atau tidak. Aku ngeri kalau keputusan membawa takdir malang. Seseorang mengejarku dari belakang, Kutoleh selintas, rupanya Ibu sekretaris penata Ujian Sarjana. "Hei mbak Jenon kok buru-buru, kau lulus terpuji...skripsimu bagus dan cara kau mempertahan idea ekspresioisme, Pak Fajar senang! Ayuh kapan pameran?" Ayat terakhir itu membuat aku tersentak dua kali. Sebelum ujian lisan - viva mempertahankan skripsi, memang setiap calon sarjana wajib membuat pameran. Pameran karya ini akan dinilai untuk dianalisis sama ada dapat masuk ujian viva atau tidak...sekarang Ibu Sekretaris bertanya “Kapan Pameran?” Kenapa tidak.
Aku seakan terkulai di bawah pohon rendang menghadap ke Sanggar Putih, milik pelukis Amri Yahya. Amri Yahya...ya aku harus berjumpa beliau dan mengkhabarkan aku sudah lulus dan boleh membuat pameran solo!
[Foto 4 : Datuk Arshad Ayub , rombongan MARA dan Kementerian Pendidikan turut hadir melihat pameran lukisanku di Galeri Senisono, Feb 1974]
Atas sokongan Pak Amri Yahya (Almrhum), agak sukar kupercayai atas kesudian beliau menaja pameranku: mencetak katelog, sewa dewan pameran dan jamuan. Sampai sekarang masih belum kutemui jawabannya. Beliau hanya bersuara, “Ya udah siapkan lukisan, bawa ke galeri beres...nanti kita cetak katelog pameran, undang anak-anak Malasyia biar rame..." Mungkinkah kerana aku yang setia berulang alik masuk ke galeri beliau atau kerap datang memenuhi acara ceramah seni di Sanggar Putihnya sehingga beliau dapat menilai kecenderungan dan keseriusan anak muda ini. Inilah pameran solo ku yang ketiga setelah pameran di Shah Motel (1969), dan di British Council (1972) anjuran APS. Mungkinkah akan bersambut pula pameran di Jakarta. Mana tahu Kedutaan Malaysia sudi menaja pameran ku di Taman Ismail Marzuki?
Buat Pak Amri Yahya, semoga ruh beliau diberi cahaya lindungan kasih Ilahi sesuai dengan amalam seni mu yang Islamis. Al Fateha. Amin
Siti Zainon Ismail, Subuh Bangi, 6 September 2011/ Ramadhan 1432
No comments:
Post a Comment