Pulang Kampung Membawa Misi
Selesai makan, aku dan Adik berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur, mengisi masa sebelum bertolak balik ke Kuantan. Pada mulanya aku berhajat naik bas ke Kuantan, tetapi Adik tiba-tiba mengubah fikirannya, mahu menghantar terus aku ke Kuantan. Rindu nak jumpa mak katanya.
Dalam perjalanan pulang aku menyatakan hasrat Irfan terhadapku. Hanya aku berharap Adik memberikan pendapatnya mengenai hal ini. Adik, walaupun usianya lebih muda dariku, tetapi berfikiran matang dan selalu memberi pendapat yang bernas dan tindakan yang rasional.
“Adik, akak nak tanya pendapat adik.” Aku memulakan bicaraku. Izani memandangku, menunggu bicaraku seterusnya.
“Ada org nak melamar akak,” sambungku, sambil mataku memandang tepat ke muka Adik. “Oh...orang mana?” Adik yang tidak banyak cakap orangnya, mula menunjukkan minatnya.
“Orang sana....,” sambungku lagi. Adik kelihatan terkejut dengan jawapanku. Tidak menyangka agaknya, baru setahun lebih putus cinta, sudah ada penggantinya, orang jauh pulak. Akhirnya adik tersenyum memandangku.
“Kenapa senyum...?” Aku rasa tidak selesa melihat senyuman adik yang macam tidak ikhlas.
“Tak pelah..kalau Kak Zan dah suka, go a head dan Ford Laser...Cuma kak Zan kena fikir banyak perkara. Bukan mudah kawin orang asing ni. Nanti dah tak boleh selalu balik sini lagi, Mak macamana, sapa nak tengok-tengok dan jaga Mak. Akak kan sekarang satu-satunya anak perempuan Mak. Status anak-anak nanti macamana?” Adik mula memberikan hujah-hujahnya. Semua yang dikatakan adik juga ada di mindaku, tetapi aku belum menganalisisnya secara mendalam lagi. Perkara baru bermula, belum banyak yang mampu dihuraikan.
Aku hanya mendengar dan berfikir. Melihat aku diam, adik meneruskan bicaranya, “Kak Zan memang suka dia ke? Macam sukakan AHH dulu....?” Sengaja adik bertanya untuk menyedarkan aku dan mengarahkan aku berfikir secara mendalam. Adik tidak mahu aku memilih Irfan kerana rasa nak mengisi kekosongan hati, bukan kerana sayang atau cinta yang sebenarnya.
“Entah...suka, tapi tidak tahu setakat mana akak sayangkan dia, masih baru kenal” jawabku perlahan, lemah hati sebenarnya.
“Saya setuju je kalau kak zan suka, Yang penting Kak Zan bahagia, saya tumpang bahagia. Saya tak nak tengok lagi Kak Zan macam dulu, tolong Kak Zan pikir dan pilih betul-betul, jangan jadi macam dulu. Tolonglah, Kak Zan tahu betapa sedih dan hancur hati saya melihat Kak Zan masa tu, jangan sampai berulang lagi. Saya sayangkan Kak Zan macam kakak sendiri. Susah Kak Zan, susah juga saya.” Adik mengembalikan kenangan masa laluku yang sangat menyakitkan. Memang benar apa yang dikatakan Adik.
“Saya tidak selamanya ada di sisi Kak Zan, macamana kalau Kak Zan susah nanti, sape nak jaga...sape nak tengokkan.” Tiba-tiba hati jadi sebak mendengar pengakuan adik. Memang jasanya sangat banyak padaku. Mengalahkan adik beradik sendiri. Hanya doaku semoga limpahan kurnia Allah kepadanya sepanjang hidupnya. Adik yang sekali pandang kelihatan sombong, sebenarnya mempunyai seketul hati yang sangat mulia penuh keikhlasan.
Lebih kurang empat jam perjalanan, tibalah kami ke restoran mak di Batu 10 Jalan Gambang. Jam baru menunjukkan pukul 11 malam. Restoran masih dibuka. Kelihatan beberapa orang pelanggan sedang menikmati makan malam.
Adik memberhentikan kereta Fort Laser putihnya, jauh dari kedai mak. Aku berdiri di luar kereta. Dari jauh nampak sosok tubuh mak yang kurus, sedang berbual dengan salah seorang pelanggannya sambil menonton televisyen.
Sebelum melangkah ke arah kedai, aku mencari kekuatan untuk berjumpa mak. Tak mahu menangis dan meratap. Biarlah pertemuan ini dalam keadaan yang mengembirakan, setelah sekian lama berjauhan. Ya Allah, tolonglah beri aku kekuatan dalam setiap langkahku. Aku mula melangkah perlahan dengan diikuti adik di belakang.
Ketika aku mula melangkahkan kaki kananku ke dalam kedai mak, semua mata yang ada di dalam kedai memandang ke arahku. Beberapa orang dari mereka kukenal, pelanggan tetap mak. Aku hanya senyum dan mengangguk ke arah mereka, tanda ucap salam. Aku terus menuju ke arah mak.
“Mak....!” Perkataan pertama yang keluar dari bibirku setelah hampir setengah tahun aku tidak memanggilnya. Mak bingkas bangun dari kerusi, terus meluru ke arahku lalu memelukku sekuat hati. Lemas, rasa tidak dapat bernafas aku seketika. Faham sangat. Mak sedang melepaskan kerinduan yang amat sangat kepadaku, satu-satunya anak perempuan yang dia ada kini. Air mata mak menitik ke mukaku. Tubuh mak mula bergegar, menahan tangisnya. Aduh, ini yang aku paling tidak tahan. Tangisan. Aku juga akan menangis. Aku sudah habis daya untuk menahan air mata aku dari keluar. Sudah penuh, menunggu masa untuk menitis dari kelopak mataku. Akhirnya air mata bercucuran juga melimpah keluar. Kalah lagi aku.
Kesedihan mak berlipatkali ganda kerana kerinduan kepada kakak sebenarnya. Inilah masa dia meluah dan melepaskan segala kerinduan dan kesedihan yang dipendam selama ini. Aku membiarkan saja mak berbuat sesuka hatinya, Cuma aku mengajak mak dan adik ke ruang tamu belakang agar tidak menganggu pelanggan kami yang sedang menikmati makanan mereka.
“Mak, dah lah...dah banyak sangat nangis tu...” Aku memujuk mak setelah menyedari mak belumpun bersalaman dengan adik. Aku meleraikan rangkulan mak, “Mak...ni adik Izani, ingat lagi tak....?” Aku menyedarkan mak akan kehadiran adik, bimbang mak tak dapat mengingati adik yang pernah datang beberapa tahun dulu. Mak mengangguk sambil menghulurkan tangan bersalam dengan adik, yang sejak dari tadi hanya diam dan memerhati gelagat kami dua beranak.
“Apa khabar mak cik...?” Adik bertanya khabar, memulakan perbualan dengan mak. Aku beredar untuk menyiapkan makan malam. Kami belum makan. Tadi malas nak berhenti makan semasa dalam perjalanan.
“Adik nak makan apa, makanan panas atau nasi putih dengan lauk....? Aku ingin mendapatkan kepastian adik yang selalunya cerewet dalam memilih makanan.
“Panas....nasi goreng kampung pun boleh lah....” Itulah makanan kegemaran adik, dah tahu tapi saja nak pastikan kalau-kalau adik nak ubah selera hari ini. Adik tetap adik, tak berubah dia sejak dari dulu, begitulah gayanya.
Tukang masak mak, abang Di, menggoreng nasi goreng kampung untuk kami berdua. Sama menu supaya cepat, dah lapar sangat. Aroma nasi goreng kampung menambah lagi rasa lapar kami. Tukang masak mak, suami isteri dari Thailand, memang sangat pandai memasak. Mungkin ini salah satu lagi pemangkin kepada kelestarian restoran mak walaupun dalam keadaan kemelesetan melanda.
Hidangan yang sungguh menyelerakan. Itulah nikmatnya kalau makan dalam keadaan lapar. Sambil makan, macam-macam yang dibualkan. Semua isu setengah tahun dan sebelumnya menjadi topik perbualan kami. Adik pun tak putus-putus bercerita. Namun, sangat berahsia tentang buah hatinya. Sampai sudah aku tidak diperkenalkan kepada kekasihnya. Aku sendiripun tidak faham kenapa dia sangat tertutup tentang hal ini denganku.
“Alah nantila, kalau dah confirm nak kahwin, saya bawa dia jumpa kak Zan...jangan risau, minta restu dulu...” Itulah jawapan adik setiap kali aku mengungkitkan tentang hal itu kepadanya. Tak apalah, aku pun tidak mahu memaksanya, pasti dia punya alasan sendiri untuk berbuat demikian.
Lebih kurang pukul 12 malam, aku dan adik membawa mak balik ke rumah kami di Taman Tas. Baru terasa penat dan mengantuk. Biasanya mak tidur di restorannya, tapi hari ini mak terpaksa juga ikut kami balik kerana rumah kosong, tiada orang. Tak manis pula aku dan adik berdua saja di rumah. Adik-adikku Am, tingkatan 4 dan Boy, tingkatan 2 ikut rombongan sekolah ke Cameron Highland. Makan angin.
Adik tidak jadi balik ke Kuala Lumpur hari ini, sambung cuti dua hari lagi dia. Adik mengikut aku dan mak ke kubur arwah kakak. Sayu juga hati bila ingatkan kakak. Waktu aku pergi ke Jakarta, kakak masih boleh senyum dan ketawa denganku. Tapi sekarang, hanya batu nisan yang menjadi tanda. Tapi kena redha terima segalanya. Setelah selesai membaca Surah Yasin, dan berzikir sedekah untuk arwah kakak, kami meninggalkan pusara kakak dengan hati sayu.
Kami menuju ke kedai mak. Pelanggan sedang ramai di kedai mak. Kami ikut menyibukkan diri melayan pelanggan di kedai mak. Adikpun sibuk menjadi ‘waiter’. Pelanggan masih ramai walaupun waktu makan tengahari sudah lewat, hampir jam 3 petang. Sedang kami sibuk melayan para pelanggan, tiba-tiba terasa bahuku dicuit dan salam diberi.
“Assalamualaikum!” Eh, rasa macam biasa mendengar suara ini. Ketika aku berpaling ke arah pemilik suara aku amat-amat terkejut, nak tercabut jantungku kerana pemilik suara ni adalah Roslan....Abang Roslan, panggilan atas permintaannya hari tu, ketika dalam perjalanan balik Sabtu lepas.
“Eh abang....buat apa kat Kuantan?” Tak terduga soalan begitu yang keluar dalam keadaan terkejut.
“Hai, macam tak suka je abang datang?” Roslan tersinggung dengan pertanyaanku.
“Eh tak...sori...sori....terkejut sebenarnya, tak sangka abang Roslan dah sampai ke Kuantan ni. Bila sampai dari Temerloh?” Cepat-cepat aku mengubah nada perbualan kami supaya dia tidak terasa tidak diundang, sambil mengajaknya duduk.
“Baru sampai, ini dalam perjalanan ke rumah kakak di Taman Tok Sira. Mak pun ada kat rumah kakak.” Roslan menjelaskan dengan suara yang mendatar, tenang.
Adik pun datang duduk di meja Roslan. “Abang dah lunch ke belum?” Tanyaku.
“Belum....,” akui Roslan.
“Eloklah, kamipun belum makan, dari tadi tak henti-henti melayan pelanggan, tak sempatpun nak makan. Bolehlah kita makan sama-sama.” Perutku pun sudah berkeroncong. Adikpun aku pasti sedang menahan laparnya, tapi segan nak minta makan duluan.
Aku mengajak adik dan Roslan memilih lauk yang sesuai dengan selera mereka masing-masing. Kak Ya, pembantu Mak mengisi lauk-lauk yang dipilih ke dalam pinggan dan menghantarnya ke meja kami. Rupa-rupanya, Roslan penggemar makanan laut, udang, ketam dan ikan sambal. Tidak suka sayur dia. Adik pula sangat suka sayur, sampai dua sayur diambil, sayur goreng campur dan sayur lemak bayam dengan ikan goreng. Aku biasa saja sayur dan lauk, semua makan. Kami menjamu selera sambil rancak berbual. Disebabkan terlalu lapar, rasanya sedap sangat.
Sedang kami rancak makan dan berbual-bual, Mak muncul dari dapur. Aku memanggil Mak, memperkenalkannya kepada Roslan.
“Apa khabar Mak cik?” Roslan dengan nada ramah menyapa mak.
“Baik...” Mak duduk di sebelahku. Aku memaklumkan kepada mak bahawa inilah orang yang aku ceritakan kepada mak, yang menolongku ketika di lapangan terbang. Mak hanya mengangguk dan berterima kasih kepada Roslan atas budinya. Mak meminta diri ke dapur, setelah dipanggil Kak Nah, pembantu mak. Mungkin untuk menyiapkan kerja yang belum beres.
“Makanlah ye...jangan segan-segan, mak cik ke dapur dulu,” kata mak sambil meminta diri. “Nak minum apa ya?” Tanya mak setelah menyedari hanya air kosong berada di sebelah kami.
Roslan minta teh tarik dan adik tea o ais. Kak Ya kemudiannya menghantar kepada kami. Kami terus makan sambil berbual semakin rancak. Adik yang biasanya pendiam dan lebih suka mendengar, hari ini banyak pula ceritanya. Sesuai pula dia dengan Roslan.
Huh...hampir tiga jam melayan mereka makan dan bersembang. Penat juga. Roslan meneruskan perjalanannya ke rumah kakaknya. Janjinya dia akan datang lagi....ye ke? Ada ke masa dia nak ke sini lagi? Tak apalah, memang di sini tempat makan, ramai yang jadi tetamu. Adik masih ada sehari lagi bersama kami. Betah dia bersama-sama kami.
Roslan mengotakan apa yang dikatanya. Besoknya dia muncul lagi untuk bersarapan di restoran mak bersama-sama aku dan adik. Menu mak pagi ini selain yang biasa nasi lemak, nasi berlauk, ada tambahannya, nasi kerabu dan nasi impit.
Adik sudah menjeling padaku ketika melihat Roslan muncul lagi di pagi hari. Apa maksud jelingan adik yang sebenarnya aku kurang pasti. Adik tetap duduk melayan Roslan, sedangkan aku terpaksa menolong melayan permintaan pelanggan mak yang tidak putus-putus masuk.
Sewaktu hendak balik ke Kuala Lumpur petangnya, adik memperliku, “kak, lain macam je abang Roslan tu.” Terkejut juga dengan cakap adik, “lain macam mana tu adik?” Aku ingin dapatkan kepastian. “Macam dia sukakan akak je,” adik melahirkan rasa syak dihatinya.
“Mana adik tau?” Aku mula mendapatkan reaksi adik dari apa yang dilontarkan sebentar tadi.
“Masa bercakap, matanya tak lepas dari pandang kak Zan....bila akak ke dapur, matanya ikut ke dapur, waktu akak melayan pelanggan, matanya pun ikut sama. Macam-macam dia tanya saya tentang akak. Dia dahpun minta nombor telefon saya, nak merisik pasal akaklah tu...” Adik memaklumkan dengan panjang lebar sekali akan dugaannya.
“Ye ke...kalau macam tu dah boleh anggap dia suka akak ke?” Giliran aku pula yang menyoal adik. “Alaa...saya tau la, saya kan lelaki.....” Adik begitu yakin dengan kata-katanya.
Bila adik sebut macam tu, aku dah mula jadi tidak sedap hati. “Mungkin dia jenis yang macam tu kot...suka perhatikan orang.” Aku cuba menolak apa yang menjadi keyakinan adik.
“Sama-samalah kita tengok nanti. Dia cuti lama tau....sama lamanya dengan cuti kak Zan kat Malaysia. Nanti tiap hari dia datang jumpa kak zan.” Adik menjawab dalam nada mengusikku.
Akhirnya adik jadi juga balik ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang dia bertolak. Janjinya akan datang lagi minggu depan.
Tinggal aku dan mak. Bila berdua, lebih mudah aku meluahkan apa yang terpendam dalam hatiku mengenai Irfan. Agaknya apalah reaksi mak bila aku kemukakan hal ini kepadanya. Suka ke dia? Atau akan menambah dukanya. Seram juga nak melahirkan kata-kata, bimbang akan menambah luka yang sedang mak lalui tanpa kakak dan aku.
Aku cuba juga menyampaikan dan mendengar pandangan mak. Ketika mak rehat di ruangan tamu, aku ambil kesempatan berbual-bual dengan mak. Aku sudah bersedia dengan gambar Irfan. Aku hulurkan gambar tersebut kepada mak. Mak menerima dan merenung gambar tersebut sambil bertanya kebingungan, melihat gambar aku dan seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Biasanya semua kawan aku mak kenal.
“Sape....?” Tanya mak sambil memandang ke arahku dengan penuh perasaan ingin tahu.
“Kawan K kat sana.....,” jawabku perlahan.
Gelaran manjaku di rumah K atau kalau tengah marah keluargaku memanggilku CK. Kadang-kadang ada yang panggil Nor juga. Aku tak kesah panggil aku apapun asalkan masih releven dengan namaku.
Nama tubuhku yang dipersetujui mak ialah Noraizan Ashikin, tak tahulah macamana jadi Nor Aizan dalam surat beranakku. Di rumah sejak lahir dibiasakan Ashikin, yang akhirnya tinggal K atau CK sahaja.
Mak dan ayah selalu bergaduh pasal nama anak. Dari abangku yang sulung, mak nak namakan Abdul Rahimi, tapi ayah letakkan Abdul Rahim saja. Akhirnya nama panggilan di rumah jadi ‘Mie’ saja. Kakakku Norezah Eizan, tapi dalam surat beranak jadi Norezah. Kat rumah, kakak dipanggil Eizan.
“Kat sana mana....Jakarta? Orang Malaysia?” Wah mak bertubi-tubi menyoalku, macam polis pencen. Tidak sabar-sabar, ingin tahu. Hatiku pula yang mula berdebar-debar, tidak tahu kenapa, takut agaknya.
“Orang sanalah...orang Jakarta, orang Jawa.” Aku menjelaskan. Mak terdiam.
“Kawan macamana?” Mak belum berpuas hati dengan jawapanku, meneruskan investigasinya.
Aku menarik nafas panjang, mencari ketenangan untuk berkata-kata. Memang tidak mudah, walaupun nampak mudah. Aku menyusun ayat-ayat yang baik untuk menjelaskan kepada mak tentang hasrat hati Irfan. Aku sendiri belum pasti perasaan sebenarku pada Irfan. Namun setelah beberapa hari di kampung, aku mula rasa kosong hati dan ada rindu di sana. Mungkin itu adalah bunga-bunga cinta yang menyapa hatiku. Tetapi yang lebih penting restu mak dulu. Kemudian baru aku fikir mahu menerima Irfan atau tidak dalam hidupku.
Sedang aku berfikir tentang Irfan, dan mencari jawapan yang sesuai untuk mak, tiba-tiba telefon berdering. Aku bangkit mengangkatnya. Mendengar suara di hujung sana, hatiku berdegup kencang, gembira sebenarnya. Rindu terubat.
“Nur....rindunya aku, tak sanggup lama-lama begini....,” ucap Irfan mengada-ngada, memulakan perbualan setelah masing-masing bertanya khabar. Sebenarnya akupun sama, tapi tidak mahu mengakuinya.
“Kamu ngak rindu sama aku...?” Soalan Irfan yang klise. Aku hanya ketawa dalam telefon. Tetap tidak mahu mengakui yang aku juga rindukannya. Tidak boleh membohongi diri sendiri.
Boleh tahan juga sewelnya si-Irfan ni, dari Australia sanggup dia menelefon aku. Lama pulak tu kami berbual-bual. Belumpun sampai seminggu, janjinya setelah seminggu baru mahu telefon. Mungkir janji dia.
Irfan hanya ketawa besar ketika aku ingatkan dia tentang janjinya itu, “ngak bisa gue...tiap hari kangen sama kamu....” Bunyinya macam jujur saja Irfan melahirkan kata-katanya. Kalaupun tak jujur tak apalah, yang penting aku suka mendengarnya. Tapi harap-harap betullah jujur.
“Mau ngomong sama ibu gue ngak?” Tanyaku. Lama juga Irfan diam, berfikir agaknya.
“Bisa ngak...nanti apa ibu bilang...ngak sopan...atau bagaimana?” Irfan melahirkan rasa bimbangnya dan mungkin juga segan dia.
Akhirnya Irfan bersetuju untuk bercakap dengan mak dan melahirkan hasrat hatinya sendiri dengan mak. Mak pun nampak relaks saja, tidak tegang wajahnya seperti tadi, selepas bercakap dengan Irfan, namun membisu seribu bahasa bila aku tanya apa yang Irfan cakap padanya. Irfan juga tidak menceritakan isi perbualannya dengan Mak sebentar tadi.
Kenapa mereka berdua masing-masing berahsia denganku?
Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 28 Sept 2011.
No comments:
Post a Comment