Peperiksaan Buku Terbuka
Pertama sekali aku bacakan Al-Fatihah (berhenti sejenak membaca Al-Fatihah) terhadap tiga dosen kami yang sangat terkenal ini Almarhum Prof Dr Moedomo, Almarhum Prof Dr Ahmad Ariffin dan Almarhum Drs Kusno Kromodihardjo dari Jurusan Matematika, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (MIPA), Institut Teknologi Bandung (ITB). Ketiga-tiga mereka hebat dengan kisah mereka tersendiri. Sebagai mahasiswa kami begitu tercabar dengan kuliah dan cara peperiksaan yang mereka jalankan.
Prof Moedomo terkenal dengan Teori Transformasi Moedomo dan mengajar Analisis Nyata (Real Analysis), Prof A. Ariffin dengan Aljabar Linear dan Drs Kusno dengan Aljabar Abstraknya (Aljabar Niskala). Dalam satu-satu ujian atau peperiksaan mereka, hanya ada 2 atau 3 orang mahasiswa saja yang lulus dari 10 mahasiswa yang mengambil ujian atau peperiksaan mereka. Teman-teman akan saling bertanya sesama sendiri sebaik saja selesai ujian atau peperiksaan kertas dosen terkenal itu. Rata-rata mengatakan, “Ngulang lagi kelihatannya….”. Maknanya mereka langsung tiada keyakinan lulus. Ternyata yang lulus hanya mendapat markah 6 atau 7 daripada 10 markah saja. Markah lulus kami ialah 6. Jarang yang mendapat 8 atau 9, markah 10 hanya untuk Tuhan, katanya….
Fikiranku tiba-tiba menerawang ke masa lalu, aku cuba membandingkan Jurusan Kedoktoran dengan Jurusan Matematik. Kedua-duanya “payah”. Aku memang tidak berani ambil Jurusan Kedoktoran sebab ketika aku berada di Institut Teknologi Mara (ITM), Jalan Othman, tahun 1968 dalam Tingkatan Enam, guru kelasku mengarahkan setiap pelajar membawa seekor katak untuk dibedah. Mendengar saja perkataan “katak” hatiku menjadi “kecil” secara tiba-tiba, apalagi nak membelah makhluk itu. Keesokan harinya aku terus bertukar ke jurusan Matematik di ITM dan tak perlu membawa katak. Rasa terselamat. Aku benar-benar takut katak.
Sejak kecil memang aku ditakutkan dengan makhluk bernama katak ini, katak Ong suaranya garau dan besar. Katak Ong sering berbunyi ketika hari atau malam akan hujan. Kesempatan terdengar bunyi itu diambil oleh kakak atau abangku untuk mendiamkan aku. Apalagi kalau aku nakal atau tak mahu tidur, mereka akan mengusik aku dengan memomokkan katak. Hingga besar aku masih takut katak.
Kini, cita-citaku menjadi doctor telah dijelmakan oleh anakku yang nombor lima (5) Abdul Jabbar Ismail. Beliau adalah lulusan Manipal Medical College, India. Baru-baru ini, tepat tanggal 17 Ogos 2011, beliau dan isteri telah dikurniakan anak kembar bernama Adam dan Ahmad. Ramai teman-teman sekerjanya dari Hospital Putrajaya melawat Adam dan Ahmad di rumah kami.
Aku meneruskan satu lagi esktrim “kepayahan” belajar dalam Jurusan Matematika, ITB, yang rata-rata memberikan tabek hormat bagi siapa yang berani mengharungi cabaran angka dan nombor ini. Sebenarnya ketika aku di ITB, ayahku telah menerima surat tawaran bagiku untuk belajar di England dalam Jurusan Sains Komputer. Surat dari “Imperial College London” itu ayahku diamkan saja sebab menurut perkiraannya, aku sudah tidak memerlukannya lagi. Ada kawan-kawanku yang menerima tawaran, segera ke England dan menamatkan pengajian mereka di sana. Itu sudah nasib aku begitu. Ini ku ketahui ketika aku balik bercuti ke Malaysia semasa belajar di ITB dulu.
Tiba-tiba khayalanku ke masa lampau terganggu. “Mail dapat berapa kertas Pak Moedomo?”, Tanya Nawawi temanku dari Cianjur. “Ya cukup makan saja, aku dapat 6”, kataku dengan bangga. Hanya dua orang saja yang lulus ketika itu, aku dapat 6 dan seorang lagi, rasanya Purnomo mendapat angka 7. Aku cukup puas dapat melangkah ke semester berikutnya tanpa hutang kuliah. Pelajar yang lain terpaksa mengulang lagi semester berikutnya jika ditawarkan mata kuliah itu. Memang mata kuliah Analisis Nyata (Real Analysis) yang melibatkan epsilon dan delta itu sukar difahami.
Esoknya kami perlu bersedia untuk ujian Pak Kusno bagi mata kuliah Aljabar Abstrak, kata teman-teman akan diadakan secara buku terbuka (open book). Ujian akan dimulai jam 9.00 pagi dan berakhir hingga jam 5.00 sore. Boleh membawa buku, nota dan lain-lain sebanyak-banyaknya. Malam itu sibuk kami menyiapkan buku-buku dan nota-nota yang akan dibawa esoknya.
Tepat jam 9.00 pagi Pak Kusno sudah siap menunggu kami di kelas, pada tangannya ada kertas ujian untuk kami. Semua pelajar diminta duduk dan beliau mengedarkan sendiri kertas ujian itu. Semua pelajar yang mengambil Aljabar Abstrak sekitar lapan (8) orang itu masing-masing mengeliatkan badan sambil melipat-lipat tangan tanda sudah membaca soalan tapi satu pun tak faham.
Pelajar-pelajar segera membuka buku-buku yang dibawa sambil Pak Kusno menggerakkan anak-anak catur pada papan catur yang dibawanya sambil menunggu mahasiswanya menjawab soalan. Sebenarnya Pak Kusno tidak perlu ada di situ pun sebab ujian buku terbuka, dan boleh lihat nota. Cuma yang dilarang ialah bertanya teman-teman. Sesekali Pak Kusno keluar, mungkin ada urusan sebentar di kantor, kemudian datang kembali. Sementara Pak Kusno keluar kami ambil kesempatan untuk bertanya khabar sesama teman dan sedikit mengenai soalan yang dihadapi. Rupanya setelah aku teliti soalannya tidak ada dibuku dan solusinya juga tidak ada dalam buku. Sia-sia (percuma) saja membawa begitu banyak buku tetapi tidak boleh digunakan. Begini rupanya ujian buku terbuka, barulah aku tahu maksud ujian buku terbuka itu.
Dua jam sudah berlalu, namun jawapan yang aku cari masih belum ditemui. Ada dua teman kami sudah menyerah diri tanpa menjawab apa-apa dan mengambil risiko mengulang mata kuliah itu. Sejam kemudian dua orang lagi teman menyerahkan kertas jawapan dengan sedikit coretan yang terdaya. Tinggal kami berempat yang masih ingin bergelut hingga ke tinta terakhir.
Tepat waktu solat aku mohon izin Pak Kusno untuk solat Zuhur sebentar di Jurusan, dia mengizinkan. Aku mohon kepada Allah untuk memudahkan aku menjawab soalan Pak Kusno itu. Aku segera kembali apabila selesai solat dan meneruskan menjawab soalan sebaik yang aku boleh. Walau pun jawapannya tidak ada di buku, aku mencuba juga menjawab semampu yang aku boleh. Selebihnya aku menyerah diri kepada Allah, aku sudah cuba sedaya upaya yang termampu.
Jam 5.00 sore tepat, semua pelajar yang masih ada menyerahkan berkas jawapan masing-masing dan pulang. Aku memilih untuk tidur selepas penat memerahkan otakku untuk menjawab soalan yang sangat mencabar itu.
Beberapa minggu kemudian, ketika kami akan memulakan semester baru, keputusan peperiksaan sudah ditampal pada papan kenyataan Jurusan Matematik, berebut teman-teman meneliti keputusan masing-masing, aku pasrah saja. Tiba-tiba Magdalena mengucap tahniah padaku, “Mas Is, kamu hebat ya…”, aku terpinga-pinga mendengar Magdalena mengucapkan tahniah itu.
Meluru aku mengadap papan pengumuman dan melihat sendiri keputusan, kebetulan lagi sepi sebab teman-teman lain sudah pada melihat nasib masing-masing. Ya, benar kata-kata Magdalena. Aku bersyukur walaupun nilainya enam (6) tapi lulus. Juga, hanya dua orang saja yang lulus, tapi aku sudah lupa siapa nama temanku seorang lagi yang lulus itu.
Ismail Abdullah, Teras Jernang, 10 September 2011.
Alfatihah untuk almarhum Prof Kusno.
ReplyDeleteYg saya ingat, beliau diawal semester memberi pilihan:
1. Lawan saya di papan catur, jika kamu menang dapat nilai C dan tidak usah kuliah di kelas saya semester ini
2. Jika kalah main catur, nilai kamu D dan silahkan memgulang semester depan
Beliau juga sering menawarkan buku komik yang dikoleksi semasa menjadi guru di Malaysia. Buku komik ini ditawarkan untuk dibaca jika semasa kuliah mahasiswa penat memahami yang dijelaskan di papan tulis.
Dalam beberapa kesempatan, teman kuliah ada yang melihat beliau berkeliling ke beberapa taman kota di Bandung yg ada menawarkan catur 3 langkah. Sebenarnya catur 3 langkah ini termasuk judi karena diharuskan memgikuti taruhan uang. Namun beliau hanya bersenang senang saja mengalahkan penjudi catur itu dan tidak mengambil uang hadiahnya.