Kaukah Jodohku?
[Foto Hiasan Semata-mata]
Peperiksaan berjalan seperti yang dirancang. Alhamdulillah, setiap subjek aku dapat menjawab dengan baik. Dua minggu berhempas pulas dan bertungkus lumus, akhirnya selesai peperiksaanku dengan sempurna mengikut ukuranku. Rasa-rasanya jika tiada aral melintang, hasilku nanti tidak akan mengeciwakanku, keluarga dan penajaku Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Tadi kertas peperiksaan terakhir, Pengantar Ilmu Komunikasi. Aku, Irfan dan Ineng sama-sama mengambil kertas ini. Irfan mengambilnya untuk menambah jam kreditnya yang masih kurang.
”Bagaimana, gampang ngak?” Tanyaku kepada Ineng dan Irfan. Kedua-duanya mengangguk serentak.
“Kamu gimana?” Tanya Ineng kepadaku pula. “Boleh la...,” jawabku dalam nada lenggok Malaysiaku. Irfan ketawa mendengar jawapanku. Ineng ikut ketawa juga. Mungkin lucu dipendengaran mereka.
“Ke mana kita? Udah bebas ni….” Ineng mengajukan pertanyaannya kepada aku dan Irfan.
“Tumben kamu ngak buru-buru pulang ni Neng?” Giliran Irfan pula bertanya kepada Ineng setelah melihat Ineng begitu santai mengekori kami.
“Ngak buru-buru kot, mamaku udah kasih ruang untuk aku release tension aku abis exam ari ni,” jelas Ineng.
“Mau ke mana Nur?” Akhirnya Irfan mahu aku yang memilih arah tujuan kami hari ini.
“Ke mana-manapun bisa, ke bulan bintang pun boleh, gue ikut aja....,” jawabku.
Kami sepakat untuk makan di Warung gudeg di Jalan Margonda Raya, berhampiran rumah kost aku. Sedap masakan nenek yang kami panggil Mbah, pemilik restoran yang dinamakan Warung Gudeg. Opor ayamnya sangat aku gemari. Sedap sesuai dengan seleraku. Serata rasa lemak, masin, manis pada opor ayamnya. Tempe gorengnya juga enak, gurih (rangup). Berselera sekali kami bertiga makan. Kali ini kami memesan makanan yang sama ditambah es jeruk.
Selesai makan, kami bergerak ke arah Pasar Minggu. Irfan memberhentikan mobilnya di sebuah surau yang agak besar, kelihatannya macam sebuah masjid, tetapi sebenarnya surau.
“Mau solat ngak?” Irfan bertanya sambil menunggu jawapan dari aku dan Ineng. Serentak kami mengangguk.
Aku dan Ineng turun dari mobil. Kami meninjau ke tempat solat wanita, memastikan adakah telekung yang disediakan. Ada. Beberapa pasang tersangkut pada ampaian kayu yang terletak di sudut kanan belakang tempat solat wanita. Syukurlah. Kami berdua menuju ke tempat wuduk. Solat Zohor perlu disempurnakan dahulu sebelum kami keluar merayau-rayau hari ini, pesan Irfan tadi.
Alhamdulillah dapat kawan yang prihatin tentang solat dan ibadat. Tidaklah mudah aku terlalai dari melakukan ibadat yang menjadi tiang agama itu. Kalau tidak diingatkan, akan mudah terlupa dari melakukan solat pada usia muda macam ni. Rakan-rakan sangat menentukan dan mempengaruhi kealpaan.
Aku dan Ineng terus menunaikan kewajipan kami, sempurna mengikut ukuran kami sendiri, namun Yang Diataslah yang lebih maklum tentang kesempurnaan ibadat kami tadi. Rasanya dah ok. Insyallah. Kami keluar dari surau dengan perasaan lega kerana sudah menunaikan satu tanggungjawab hari ini. Irfan sudah setia menunggu di kereta. Lelaki, cepat siap, tak banyak aksesorinya, rumusku di dalam hati melihat Irfan yang begitu santai menunggu kami di mobilnya
“Ke mana Nur?” Irfan bertanya sambil menghidupkan injin mobil Toyota Camrynya.
“Ngak tau, ke mana kita Neng?” Giliran aku pula bertanya kepada Ineng. Aku memang tiada idea untuk ke mana hari ini. Hati tidak terlalu ghairah untuk bersiar-siar. Sudah di Malaysia sebenarnya. Fikiran sudah terbayangkan penerbangan pada hari Sabtu nanti. Tidak sabar. Kepulangan yang pertama.
“Kita ke Ancol yuk...,” akhirnya Ineng memberi cadangan untuk ke Pantai Ancol, pantai terdekat untuk warga Jakarta mendapatkan hembusan bayu laut. Boleh jugalah. Mengambil angin laut yang segar di waktu petang. Aku mengangguk. Irfan pun bersetuju.
Sampai di Ancol jam hampir 3 petang. Tidak ramai orang kerana hari ini hari Khamis. Kalau hujung minggu, pasti ramai. Rasa selesa tanpa pengunjung yang ramai. Kami boleh memilih tempat yang sesuai untuk kami duduk merehatkan diri sambil berbual-bual kosong, menghabiskan masa bersama-sama. Nanti kalau dah mula cuti, kami tidak dapat berjumpa sebulan lebih. Rindu juga sebab sudah biasa bersama-sama. Betul kata orang kekerapan bertemu, berbual, bercerita, mengadu dan meluahkan, akan menimbulkan keakraban, rasa sayang dan kerinduan jika tidak bertemu. Keakraban antara aku Irfan dan Ineng sudah sampai ke tahap itu.
Kami duduk di atas batuan di bawah pohon yang rimbun. Sepoi-sepoi bahasa tiupan angin laut mewujudkan suasana damai di hati dan jiwa. Rasa segar setelah dua minggu mengulangkaji pelajaran seolah-olah melupakan dunia, sebagai persediaan menghadapi peperiksaan kami. Berbaloi susah payahku, selepas kertas terakhir tadi ternyata ada perasaan lega bertamu di hati. Puas hati dengan setiap jawapanku.
Panjang cerita kami bertiga. Bermacam-macam topik dibincangkan. Paling menarik isu keruntuhan sosial remaja timur masa kini. Topik bermula ketika Irfan menunjukkan jarinya ke arah dua pasangan yang sedang bercumbuan di siang-siang buta, di tempat terbuka, tanpa rasa segan malu lagi.
Irfan tidak lepas dari gitarnya, apa lagi kamipun menyanyikan lagu popular masa itu, ‘Antara Anyer dan Jakarta” oleh Shiela Majid. Kami bertiga cukup hafal dengan lirik dan melodinya. Irfan memetik gitar memainkan lagu tersebut dengan begitu baik sekali.
Kemudiannya lagu Isabella Emy Search dan macam-macam lagi lagu sehinggakan suara kami perit. Terlebih melalak. Istilah popular mak kalau mendengar aku menyanyi.
Hampir tiga jam kami menghabiskan masa bersama-sama di pantai Ancol. Memang lega rasa hati dapat berhibur dan mencari ketenangan di pantai yang lengang ini. Minda pula kosong dari tekanan selepas kerahan minda menghadapi peperiksaan. Jam 6 sore, kami bertolak balik. Irfan menghantar Ineng ke rumahnya di Cawang. Aku singgah sekali ‘pamitan’ dari Ibu Ineng untuk pulang ke kampung. Maklum, nanti lebih sebulan juga tidak dapat bertemu Ibu Ineng. Ibu mengirim ole-ole untuk mak sehelai selendang batik lukis yang sangat cantik.
“Bu...aduh, cantik sekali selendang ini,” terpancur keluar pujian dari bibirku ketika melihat selendang yang sangat cantik itu. Warnanya yang biru laut, tenang sekali mata memandangnya. Ibu hanya tersenyum menerima pujianku. Tenang selalu wajah Ibu walau dalam keadaan bagaimana sekalipun. Hilang segala kekusutan jika dapat memandang wajah ibu Ineng. Itu anugerah dari Tuhan.
Aku meminta izin pulang dari Ibu. Aku bersalam, mencium tangan dan mencium pipi Ibu yang kusayang sebagai pengganti mak di Malaysia dan Ineng, yang kuanggap seperti adikku sendiri. Irfan pun bersalaman dengan Ibu dan Ineng. Kami pulang jam lapan, selepas aku menunaikan solat maghrib dan makan malam di rumah Ineng. Kalau sampai di rumah Ineng mesti makan, itu syarat utama Ibu kenakan kepadaku. Aku tahu dia sayang sungguh padaku. Tidak pernah berkira, duit dan makanan selalu diberi atau dikirim melalui Ineng untukku. Kadang-kadang sangat segan diperlakukan begitu, tetapi menurut Ineng ibunya memang seorang yang sangat penyayang dan mempunyai ramai anak angkat. Kalau hatinya senang, pasti akan dilimpahi kasih sayang dan perhatiannya. Alhamdulillah, aku salah seorang insan terpilih yang dapat memenuhi rasa hati seorang yang kupanggil Ibu.
“Besok aku jemput kamu jam 9 pagi ya Nur....” Irfan mengingatkanku tentang janji kami untuk menemani aku membeli ole-ole untuk ayah, abang dan adik-adik lelakiku yang belum sempat kubeli. Untuk yang perempuan sudah kubeli semuanya.
Aku menganggukkan kepala, bersetuju.
Sampai di kost, Depok hampir pukul 9 malam. Irfan menemani aku masuk hampir ke kostku dan menunggu aku masuk ke rumah dengan selamat, barulah dia beredar.
Irfan selalu begitu, sangat bertanggung jawab, bukan saja denganku, tetapi dengan semua orang yang berurusan dengannya. Itu selalu aku perhatikan. Sikapnya, keprihatinan, dan kematangannya membuatkan hatiku semakin dekat dengannya. Memang betul kata orang selalu berjumpa dan merasai dihargai dan diambilberat menyebabkan apa saja kemungkinan boleh berlaku.
Aku masuk ke kamarku. Anak-anak kost yang lain semuanya berada di bilik masing-masing, studi, mereka masih ada dua kertas peperiksaan yang perlu dilalui. Aku sudah merdeka, mereka belum, masih perlu berjuang.
Kepala sudah berat kerana seharian berjalan dan hanya sekali mandi pagi. Kaki juga sudah ‘pegal’ keletihan. Aku mencapai tuala dan terus ke kamar mandi. Solat dan tidur dengan nyenyaknya.
Jam loceng 5 pagi terlupa kukunci. Subuhku kesiangan. Aku bangkit dari katil terus wuduk dan solat walaupun jam sudah hampir 7 pagi. Orang kata kalau tak sedar tanpa sengaja, terus wuduk dan solat, masih boleh kira dalam waktu. Ya Allah, terimalah ibadatku ini kerana aku tidak sengaja, doaku selepas solat. Insyallah, mudah-mudahan doaku diterima Yang Maha Kuasa.
Sebelum mandi aku meminta ibu Iyem buatkan sarapan. Aku mandi. Selesai mandi, sarapan nasi goreng Ibu Iyem. Sudah sedap rasanya, setelah kuajar goreng nasi gaya Malaysiaku. Ada telur, sayur dan ikan bilis. Kalau dulu, aduh nasi gorengnya hanya nasi, cabe (cili) dan kicap semata-mata. Nak telan pun panjang leher rasanya. Habis makan mual loya mahu muntah. Bukan apa, tidak biasa dengan nasi goreng ‘togil’ macam tu.
Jam 9 pagi, Irfan sudah terpacul di depan pintu kostku. Anak-anak lain sudah keluar. Ke perpustakaan agaknya, tidak sempat bertanya tadi. Aku mengekori Irfan ke mobilnya yang diletakkan di Jalan Margonda Raya, tidak boleh rapat ke kostku yang melalui gang (lorong) kecil.
“Ke mana kita Nur...?” Soalan biasa bila nak berbelanja.
“Blok M......ok ngak?” Aku meminta persetujuan. Irfan hanya mengangguk setuju.
“Blok M dulu, nanti kalo ngak ada yang bagus, kita ke Mangga Dua.....” Irfan memberi cadangan. Giliran aku pula mengangguk setuju. Sabar dia melayan kerenahku.
Aku memilih baju kemeja batik untuk ayah, abang dan adik-adik. Untuk anak buahku yang masih kecil kubelikan sepasang baju siap. Banyak pilihan corak yang ada menyebabkan aku cepat membeli untuk mereka. Semua ada di Blok M, jadi tidaklah perlu ke Mangga Dua.
Lega. Semuanya sudah selesai. Rasa-rasanya tiada yang tertinggal lagi. Tiada yang akan terasa hati. Itu kelemahanku. Terlalu menjaga perasaan orang. Kadang-kadang ingin juga jadi orang yang tidak memikirkan perasaan orang, agaknya lebih bebas dan selesa......mungkin, tapi bagaimana caranya? Boleh ke? Ia datang dengan sendiri, bukan disengajakan, atau dipaksa.
Irfan mengajak aku makan tengahari di sebuah restoran yang lumayan selesa dan nampak mewah. Aku lupa namanya.
“Wah, spesial ni Fan...?” Aku perli Irfan sebenarnya. Sebelum ini jarang sekali aku diajak makan di tempat yang mahal. Aku selalu perli dia ‘pelit’ (kedekut), tetapi sebenarnya tidak. Aku tahu dia anak yang merendah diri dan diajar tidak bermewah-mewah atau membazir, walaupun dia dan keluarganya sangat berkemampuan.
Aku ke ‘kamar wanita’. Ketika aku kembali ke meja makan kami, kulihat di atas meja penuh dengan lauk, sayur dan bermacam-macam makanan yang membuatkan aku terkedu seketika.
“Mau kasi makan siapa ni Fan?” Aku ingin mendapatkan kepastian. Irfan hanya ketawa kecil, “Alaa...makan aja..kamu selalu bilang aku pelit...ternyata ngak kan...ayo buat kita berdua,” jelasnya, memulangkan paku buah kerasnya padaku.
“Apa bisa kita berdua ngabisin semua nih.....?” Soalku lagi. Aku sudah hilang selera melihat kepelbagaian hidangan di atas meja. Betul. Aku sudah dibiasakan makan satu atau dua lauk, sayur dan pencuci mulut. Bila makanan banyak seperti ini, rasa muak, tidak tahu nak pilih yang mana.
“Ngak apa-apa, makan aja apa yang mahu...kalau ngak abis, biarkan aja...nanti yang dikira yang kita makan aje...” Irfan menjelaskan.
“Oh ya...boleh begitu ya...?” Tanyaku lagi. Irfan mengangguk. Akhirnya, kami menjamu selera dalam keadaan tenang dan selesa tanpa gangguan peminta sedekah, pengamen, dan dinyamankan oleh pendingin hawa serta lagu instrumental 'when i need u'.
“Nur, aku ngak bisa ngantarin kamu ke airport besok. Flight gue dirubah ke pagi besok, bokap ada urusan penting harus cepat ke sana. Kamu, ada yang ngantarin ngak?” Irfan menjelaskan sambil kami makan. Irfan rasa bersalah tidak dapat menunaikan janjinya padaku.
“OK...ngak apa-apa. Aku bisa minta teman Malaysia ngantarin aku....jangan khawatir. Kamu udah banyak membantu aku di sini Fan...Itu juga ngak bisa aku balas, baik banget kamu sama aku.” Aku jadi sedih bila mengingatkan kehadiran Irfan yang banyak mengubat duka dan kecewaku..Hidup aku di Jakarta jadi mudah dengan kehadirannya.
“Kok jadi sedih begini...? Ngak ada apanya Nur, apa yang gue lakukan sama lue sebenarnya dengan kehendak Tuhan, gue sendiri ngak sadar, kok kita bisa jadi baik dan akrab sebegini, ” Irfan mula meluahkan isi hatinya. “Malah mahu biarkan kamu pulang ini saja aku udah rasa berat hati....sungguh Nur, kamu sadar ngak,” katanya lagi.
Aku hanya memandang dan mendengar ucapan Irfan dengan hati-hati. Perasaan aku mengatakan ada sesuatu yang ingin diluahkan anak ini. Irfan yang dari tadi berkata-kata sambil menundukkan kepalanya, kini memandang ke arahku dengan pandangan yang lain dari biasa.
“Kenapa kamu...?” Perasaan ingin tahuku memuncak, melihat sikap Irfan yang berbeza dari biasa.
“Kamu jangan marah, dengar aja dan aku harap kita bisa terus berteman, walau apapun yang terjadi ok,” pinta Irfan. Aku mengangguk tetapi dalam hatiku seribu satu pertanyaan dan perasaan yang muncul. Hatiku mula berdebar-debar melihat renungan matanya yang terasa tembus ke jantungku.
“Sebenarnya aku memang benar-benar sayang sama kamu Nur.” Irfan akhirnya meluahkan isi hatinya. “Sayang bagaimana maksud kamu?” Tanyaku untuk kepastian walaupun hatiku sudah yakin dengan maksud sebenarnya. Jantungkuku berdegup kencang. Ada perasaan berbunga-bunga di sana.
“Bisa ngak kamu terima aku sebagai teman spesial kamu. Aku mahu pasti sebelum aku melanjutin master aku ke US tahun depan. Aku mahu tunangan dulu sebelum pergi,” sambung Irfan lagi.
Begitu berani Irfan mengeluarkan patah demi patah ayatnya tanpa rasa takut aku menolaknya. Begitu yakinnya dia. Mungkin gelagatku selama ini dapat dibacanya yang aku sukakan dia. Suka, bukan bererti cinta. Rasanya cintaku dah mati bersama AHHku. Lalu ini perasaan apa sebenarnya yang juga muncul dalam hatiku. Sayang, memang betul. Tetapi mungkinkah ada cinta kedua, selepas hati hancur musnah dek cinta pertama dulu. Adoi.....
Aku merenung ke dalam mata Irfan. Tidak dinafikan aku suka dia. Semua yang dimilikinya menepati cita rasaku terhadap seorang lelaki yang terbaik untuk pasangan hidup. Rupanya, tampan. Berbudi bahasa, indah sekali, Keimanannya, sangat membimbing aku. Masa depanku pasti terjamin jika bersamanya. Usia kami pun sebaya. Aku mula menganalisis, dengan menolak ke tepi dulu soal takdir, Qada dan Qadar Allah seperti yang telah ditetapkan kepada aku dan AHHku dulu.
“Kenapa aku Fan...kamu lihat aku, tiada apa yang istimewanya. Anak-anak di sini lebih cantik, lebih sopan, lebih kaya dan lebih segala-galanya dari aku. Ngak punya apa-apa aku ini Fan?” Giliran aku menyoal Irfan.
“Tentang itu, jangan kamu tanya aku Nur, aku ngak bisa jawab. Aku sendiri ngak tahu, yang pasti aku tahu aku suka kamu, sayang kamu, dan senang bila bersama kamu, udah cukup bahagia aku rasa. Sejak aku ketemu kamu aku cukup bahagia, hidup aku tenang, tau ngak.” Irfan terus meluahkan rasa hati yang mungkin dipendam selama ini.
Aku terkedu tidak dapat berkata apa-apa. Sebenarnya naluri perempuanku senang mendengar ucapan itu, aku akui, walaupun dalam hati kecilku ada rasa takut. Aku yang sudah dibuang AHH, akhirnya diterima dengan perasaan seperti ini oleh Irfan. Betul ke? Melihat apa yang dilakukan kepadaku selama ini, masa, tenaga dan wang ringgit, tidak pernah berkira denganku, sepertinya ada kebenaran apa yang diungkapkan sebentar tadi.
“Bagaimana dengan ibu, bapak dan keluargamu?” Sengaja aku ungkitkan persoalan ini kerana aku tahu dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga yang bakal menerajui perusahaan bapanya, dan pastinya akan menjadi pemimpin dalam keluarga menggantikan bapanya.
“Aku anak kesayangan mereka Nur, apa saja keputusanku akan menjadi keputusan mereka juga,” jawabnya. Yakin sekali dengan jawapannya.
“Itu keputusanmu mengenai hal-hal yang lain, bukan soal kawin Fan...ini untuk jangka panjang, bukan main-main. Kamu anak yang akan jadi tunjang dalam keluargamu.” Aku mengingatkan Irfan yang aku rasakan sedang angau, tidak boleh berfikir dengan baik.
“Aku tau, justru itu aku pilih kamu....yang bisa jadikan aku tunjang dalam keluargaku.” Aku tertarik juga dengan jawapannya, “Lho...bagaimana aku bisa bantu kamu jadi tunjang Fan?” Aku jadi penasaran mahu tahu jawapannya. Tapi sayangnya Irfan hanya senyum, kemudiannya ketawa membiarkan aku dengan perasaan ingin tahuku.
“Nur, benar nih...kalau kamu setuju, kamu pulang kasih tau ibumu, keluargamu akan niatku...aku ngak main-main. Aku ke Australi, aku bilang sama nyokap dan bokap, aku yakin mereka setuju sama aku. Mbak Fitri udah tau kok, aku udah bilang sama Mbak Fitri, dia sih setuju aja. Dia senang sama kamu Nur.” Penjelasan Irfan menyedarkan aku tentang misi Irfan terhadapku selama ini. Aku sangka kami hanya teman rapat sahaja, rupanya dia ada niat lain, membina harapan.
“Bagaimana jika aku menolakmu?” Aku menduganya.
“Aku hormati keputusan kamu kalau itu kamu rasa yang terbaik buat kamu Nur. Tapi aku pasti amat kecewa. Namun aku mau kita terus berteman walaupun bukan sebagai pacar. Boleh?” Tenang sekali anak ini dalam berkata-kata. Ada satu perasaan yang mula menebal dihatiku.
Aku dihantar pulang. Berat pula rasa hati hendak berpisah. Untuk pertama kalinya Irfan mengambil tanganku dan mencium tanganku, lama sekali. Kenapa aku membiarkan dia memperlakukan aku begitu? Aku pulang membawa misi.
Irfan oh Irfan.
Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 17 September 2011.
No comments:
Post a Comment