Friday 28 October 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 20 – Nor Aizan Ab Halim

Irfan Atau Roslan?
Tinggal beberapa hari saja lagi Roslan dan aku akan meninggalkan tanahair tercinta, Malaysia. Aku ke Jakarta, Roslan ke Amerika Syarikat meneruskan tugasnya, aku meneruskan pelajaranku. Setiap hari Roslan datang berjumpa aku dan menelefon. Aku sudah habis ide untuk berbual dengannya. Tetapi aku melayanlah juga. Sebenarnya hati semakin seronok juga berbual-bual dengan Roslan, yang semakin dekat di hatiku. Tidaklah pula membosankan bila bersamanya. Cuma dari segi agamanya, rasa macam Irfan jauh lebih baik, selalu menjaga solatku walau ke manapun kami pergi. Roslan nampaknya lebih longgar agamanya. Roslan lebih liberal dalam hal-hal berkaitan agama. Waktu keluar bersamanya, tidak pernah dia mengajak aku singgah solat. Kalau bukan aku yang ajak singgah di surau atau masjid, hanguslah solatku. Adoi.....

Panjang umurnya, tiba-tiba saja terjongol di restoran kami Si Roslan ni, seolah-olah tidak cukup lagi harinya untuk bertemu aku sebelum ke USA. Sedang gila bayanglah agaknya, mungkin tidak dapat jumpa aku, dapat tengok restoran Mak pun sudah memadai agaknya. Sudah jadi habit juga aku mengharapkan kedatangannya setiap hari, dah mulai rasa seronok. Cinta ke ni? Atau hanya rasa suka atau sayang sesama manusia yang merasai diri dihargai.

Hampir setiap hari aku diajak keluar, dibelikan macam-macam hadiah. Perlu ke semua ini? Nak rasuah akulah ni. Tidak perlu nak rasuah, soal hati ni bukan susah. Kalau sudah suka, tidak ada hadiah apa-apapun tetap suka. Kalau sudah tidak suka, segunung hadiahpun tak ada maknanya. Itu akulah, orang lain tak tahulah pula mereka, mungkin ada yang hatinya boleh dibeli dengan material kot. Realistiklah pulak. Tak apa, terima kasihlah Abang Roslan kerana telah berusaha sedaya upaya untuk menambat hatiku.

Selasa pagi, Roslan berlepas ke Kuala Lumpur dari lapangan terbang Kuantan, kemudiannya terus ke New York. Sebelum ke lapangan terbang, Roslan ke restoran Mak dulu, bersalam dengan Mak dan menjemput aku ke lapangan terbang yang hanya dua kilometer dari rumahku. Roslan hanya dihantar oleh pemandu bapanya, tiada ahli keluarganya yang lain, patutlah berani dia menjemputku bersama.

“Mana famili abang?” tanyaku ketika melihat Roslan datang hanya bersama Pak Man, pemandu bapanya.

“Mama dengan Abah ke Manila, urusan bisnes mereka lah,” jelas Roslan.

“Oh tak de yang hantar Abang ke?” Tanyaku rasa sedikit pelik dengan famili Roslan.

“Tak perlu Nor, dah biasa dah kami ke mana-mana pun tak de yang menghantar pun,” jelas Roslan lagi. Oh rupa-rupanya begitu cara orang-orang kaya. Mungkin sebab dah kerap sangat keluar perjalanan jauh, jadi sudah tak kesahlah tu, tak macam kami orang-orang biasa ni, bila nak pergi jauh, susahnya hati nak melepaskan. Kuat sekali ikatan jiwa tu.

Selepas bersalam dengan Mak, kami menaiki kereta mewah bapa Roslan ke lapangan terbang. Aku sendiripun tidak faham apa perlunya kehadiran aku menghantar Roslan, padahal, bukan lama pun dapat berbual dengannya. Baru sebulan kenal, tiada apa-apa ikatan, mungkin baru nak jadi kawan rapat. Belum pasti akan berpanjangan. Mungkin bila sudah jauh di mata, jauh jugalah di hati. Keluarganya sendiripun tak datang, dia tak kesah pun. Apa perlunya aku yang datang. Roslan, Roslan.

“Tq Nor, nak temankan Abang sementara tunggu flight Abang,” sayu saja suara Roslan di pendengaranku.

“No problem, dekat je kan, langsung tidak buang masa saya,” ikhlasku menjawab, walaupun tadinya aku rasa sia-sia saja kehadiranku. Rasa mula memahami kenapa kehadiranku di sini perlu untuk Abang Roslan, dia rasa kosong jiwanya tanpa sesiapa mengiringi dia pergi. Mulut je cakap tak ape tak ada yang menghantar, tetapi jauh di sudut hati sebenarnya rasa kosong. Perjalanannya jauh dan beberapa bulan lagi baru akan bertemu lagi. Keluarga yang diharapkan mengiringi dia pergi tiada, akulah penggantinya, agaknyalah.

Roslan baru berpindah kerja ke New York selepas beberapa tahun di London. Jawatan tetap sama tetapi berubah angin katanya. Disebabkan pindah tempat kerja inilah Roslan dapat cuti panjang, yang akhirnya menemukan aku dengannya. Jodoh ke ni? Entahlah.

Kata Roslan, dia lebih suka tinggal di UK berbanding US. Di UK sudah ramai rakyat Malaysia yang bermastautin di sana. Makanan selera Malaysia pun lebih mudah dicari. Hubungan kenegaraan sesama bangsa Malaysia pun lebih akrab. Entahlah, aku sendiri tidak pasti kerana belum berkesempatan berkunjung atau menetap di kedua-dua tempat ini. Bagiku, tinggal di Jakarta pun sudah menyiksakan, apa lagi kat sana. Malaysia jugalah tetap di hati.

“Senang hati walaupun berat rasanya Abang nak pergi kali ini, ada hati yang dibawa bersama, tetapi jasadnya tinggal,” bersuara Roslan dengan harapannya.

“Aik....Abang, lain macam je bunyinya, hati siapa yang dibawa bersama tu?” Pura-pura tidak faham, padahal hatiku yakin yang dimaksudkan itu adalah aku. Belum terpatri janji tetapi Roslan sudah mengikatnya teguh di hatinya. Aduh, risau aku dibuatnya kerana hatiku lebih berat kepada Irfan, walaupun Irfan juga belum kuberi kata putusnya.

“Hmm.....siapa lagi kalau bukan gadis manis, cewek Jakarta yang di depan Abang ini,” jawab Roslan dengan lenggok Jakarta yang kedengaran lucu di telingaku.

“Siapa, adakah aku cewek yang dimaksudkan saudara?” Aku membalasnya dengan nada yang sama.

“Iya dong....,” jawabnya sambil ketawa. Kami sama-sama ketawa.

“Adoi....kapan saya bilang mahu jadi pacarmu...nggak pernah tuh...,” balasku bergurau, bosan menunggu waktu berlepas yang masih sejam lagi.

“Nor....please,” kata Roslan tiba-tiba menyebabkan terganggu tawa gurauku.

“What please?” Aku bertanya balas.

“Tentang lamaran abang tu....bolehlah ye?” Roslan masih merayu aku. Memang betul kata orang, bila hati sudah suka atau cinta melanda, hilang rasa malu dan harga diri. Diketepikan semua itu. Inilah yang sedang berlaku kepada Roslan. Dia sedang menagih cinta dari aku. Merayu-rayu seolah-olah aku ni tuan puteri yang sangat hebat.

Padahal aku yang hanya gadis biasa, dari kalangan yang tidak punya apa-apa. Hanya memiliki ketulusan dalam setiap apa yang diucap dan dibuat. Selain dari itu aku tidak punya apa-apa keistimewaan. Rupa parasku biasa-biasa sahaja, tidak cantik jelita, hanya diberi kesempurnaan oleh Allah secara fizikal dan mental, mungkin dibekalkan sedikit kelebihan yang boleh disebut sebagai `sedap mata memandang’. Kulitku sawo matang, paras rupa Melayu tulin atau kalau di Jakarta mereka kata aku muka Jawa. Entahlah apa yang dipandang pada diriku ini wahai Roslan. Sudah rabunkah dirimu agaknya?

Aku jadi tidak selesa direnung si Roslan yang semakin kacak di mataku. Renungan matanya penuh kemahuan dan harapan. Tidak tahu nak dikatakan apa bila direnung begitu. Memang betul kata Mak agaknya, Roslan ini kasanova, renungan matanya penuh menggoda. Berdegup kencang jantung jiwa remajaku, menerima renungan tajam tembus ke hati.

Tiba-tiba tangan Roslan menggenggam tanganku. Sejuk tangannya memegang erat tanganku. Aku menarik tanganku perlahan melepaskan dari genggaman Roslan sambil memandang sekeliling. Bimbang ada mata yang kenal sedang memerhati gelagat kami. Maklum, aku dikenali ramai di kawasan ini. Restoran kami terletak di kawasan strategik untuk dikunjungi. Manalah tahu ada antara yang hadir di lapangan terbang ini yang selalu mengunjungi restoran kami dan mengenali aku. Jatuh maruah mak dan aku. Kesian Mak, malu dia nanti. Alhamdulillah, nampaknya tiada yang mempedulikan kami berdua.

“Abaaaang, please, jangan buat macam ni, tak baik, saya tak suka....” ucapku dengan nada keras tetapi perlahan, bimbang didengari orang sekeliling, masih menjaga air muka Roslan.

Roslan menarik tangannya. “Sori Nor, abang tak sengaja,” mohon Roslan. Tidak sengaja katanya, agaknya sudah biasa bertingkahlaku begini. Maklum sudah cukup dewasa dia untuk bertemu dengan pelbagai jenis wanita, apalagi kehidupannya di luar negara lebih bebas tanpa larangan. Aku mula menganalisis, berbau fitnah. Kalau dia tidak begitu macamana, bukankah berdosa tu aku membuat tuduhan sebegitu. Aku beristighfar membuang fikiran buruk di minda.

“Nor, bagi peluang ke Abang boleh...?” Roslan bersuara lagi. Pening aku dengan lelaki bernama Roslan ni. Memang sudah janji akan beri ruang dan peluang, kalau semuanya berjalan baik, mungkin ada jodohku dengan dia, akan bersatulah kami.

“Abang, sabarlah.....kan kita sudah janji hari tu....biarlah Allah yang menentukan setelah kita cuba mencari keserasian, boleh?” Aku sekali lagi mengingatkan janji yang telah kami buat tempohari. Terkebil-kebil matanya memandang aku. Lucu pun ada aku melihat Roslan dalam keadaan itu. Aku senyum, kemudian tidak dapat menahan ketawaku, `macam cicak berak kapur’ hahaha. Abang Roslan, sebijak-bijak kamu ada juga lemahnya kan.

“Luculah....,” kataku dalam tawa. Roslan ikut ketawa. Suka tengok Roslan ketawa. Manis menawan dengan barisan gigi yang tersusun cantik bercahaya seperti mutiara.

Ya Allah, nampaknya hatiku sudah mula melihat dan memerhati kelebihan dan keindahan yang ada pada diri jejaka ini. Apa sudah jadi dengan diriku? Adakah aku sudah betul-betul mula menyukai diri lelaki yang bernama Roslan ini? Macamana dengan Irfan yang telah muncul dan bertapak terlebih dahulu dalam hati aku. Ya Allah, bimbinglah aku dalam menentukan kehidupan aku, terutama dalam menentukan keputusan yang sangat penting dalam hidupku ini.

Pengumuman telah dibuat. Penumpang pesawat ke Kuala Lumpur jam 12.30 tengahari diminta `check-in’ sekarang. Hati jadi berat pula hendak melepaskan Roslan pergi. Kenapa pulak? Biarlah dia pergi, tenang sikit fikiranku tidak menerima desakan Roslan berterusan.

“Ok Nor, Abang pergi dulu...ingat janji you dengan Abang tau...abang tunggu. Sampai kat sana nanti Abang telefon ok,” ucap Roslan, sayu di pendengaranku.

“Baiklah...saya tunggu, semoga Abang selamat sampai dan happy kat tempat kerja baru tu nanti.” Aku mendoakan untuk Roslan. Roslan menganggukkan kepalanya. Nampak berat juga dia hendak pergi.

“Nanti Abang tulis surat juga ok. Jangan lupa balas surat Abang tau,” janji Roslan padaku. Giliran aku pula menganggukkan kepalaku tanda setuju.

“Nor, jangan lupa, jaga diri baik-baik kat tempat orang tu, ingat Abang ye....,” pesan Roslan lagi.

“Ok. Ok, Ok....jangan risaulah,” balasku mengakhiri percakapan kami.
Roslan sudah bergerak beberapa langkah ke depan, kemudian berpusing semula ke arahku. Roslan menarik tanganku, bersalam denganku. Mencium tanganku sepantas kilat, tidak sempat aku menariknya. Dalam genggaman tangannya ada sebuah kotak kecil yang kemudiannya dipindahkan ke dalam genggamanku.

“Eh Abang, apa ni....?” Terkejut aku menerima kotak kecil berwarna merah jambu darinya.

“Nor, simpannya sebagai kenangan dari Abang, tak kira apa jadipun, simpan ye. Ikhlas dari Abang,” kata Roslan sambil melangkah laju ke depan.
“Eh....Abang, jangan macam ni, Apa ni?” Aku membuka kotak tersebut. Sebentuk cincin yang sangat cantik bermata satu biji berlian di tengah, bertatah intan di sekelilingnya. Aku sudah tidak dapat memulangkan kepada Roslan lagi. Dia sudah jauh ke dalam. Dia melambai-lambaikan tangannya kepadaku sambil senyum lebar terukir.

Senyum kemenanganlah agaknya tu. Sayu juga rasa hati melihat dia pergi. Terkilan pun ada, tidak dapat memulangkan cincin yang sangat berharga yang tidak sepatutnya aku miliki sekarang. Roslan, kenapalah aneh sangat sikap engkau ni?

Aku pulang dihantar pemandu bapa Roslan. Aduh, legapun ada rasa fikiranku terlepas dari Roslan. Tetapi ada beban yang kugalas bila melihat kotak cincin yang sangat berharga dan tidak layak untukku ini. Roslan ni jenis yang suka bermewah-mewah nampaknya, berbeza dengan Irfan yang sangat berhemat dan penuh hemah, tidak pernah menunjukkan kemewahannya kepadaku walaupun pada kenyataannya, kedua-dua jejaka ini memiliki semua itu.

Aduh....Roslan, Irfan kedua-duanya memiliki ciri-ciri yang diincar oleh kebanyakan gadis untuk mencari suami. Apakah aku juga termasuk golongan ini? Mungkin ia dan adakalanya aku rasa tidak, bagiku ada yang lebih aku perhatikan. Sekufu itu mungkin lebih penting, agaknya.

Pak Man, `supir’ Datuk Muzaffar, ayah Roslan sangat pendiam. Tidak banyak yang dibualkan sepanjang sepuluh minit perjalanan kami ke kedai Mak. Hanya aku sempat bertanya Datuk dan Datin ke Manila berapa hari dan sudah berapa lama Pak Man bekerja dengan Datuk Muzaffar. Selebihnya kami hanya melayan perasaan sendiri. Sesuai benar Pak Man jadi `supir’ Datuk, pastinya bijak menyimpan rahsia Datuk jika dilihat dari wataknya yang pendiam, sangat boleh dipercayai dan teguh dengan pepatah `biar pecah diperut, jangan pecah di mulut’. Aku senyum sendiri, lucu dengan sikapku akhir-akhir ini suka membuat penilaian mendalam mengenai sesuatu perkara.

Aku mengajak Pak Man makan tengahari kerana jam sudah menunjukkan hampir pukul 1 tengahari, sedang elok untuk makan tengahari. Pasti Pak Man juga sudah lapar. Pak Man menolak kerana katanya adik Roslan, Dr.Roslina yang masih pengantin baru, inai masih merah dijari, meminta Pak Man menghantarnya ke Pusat Kesihatan Gambang. Ada tugasan luar katanya. Undangan sudah diberi, orang menolak apa nak buat. Hanya terima kasih dan sebungkus kuih baulu yang kubeli dari kedai Mak Cik Chik, sebelah kedai Mak, aku bekalkan untuk Pak Man mengisi perut, sebelum makan tengaharinya. Kasihan Pak Man, terburu-buru mengejar masa, makan dan kesihatan sendiri diabaikan.

Restoran Mak penuh dengan pelanggan, waktu makan tengahari sedang kemuncak. Seperti biasa lengan baju kemeja kulipat untuk membolehkan pergerakan menolong lebih mudah. Wow...termengah-mengah memenuhi permintaan pelanggan. Penat tetapi seronok. Apalagi bila melihat para pelanggan makan dengan berselera, pinggan serta gelas bersih licin. Andaian mudah, makanan kami sedap....orang kata syok sendiri pun tak apalah, hehe. Itulah keseronokan bagi pengusaha kedai makan. Penat hilang, apalagi bila melihat laci duit penuh berwarna-warni, merah, hijau, biru dan kelabu.

Kesibukan sampai jam tiga baru reda. Mak baru dapat merehatkan dirinya di sofa ruang rehat. Akupun ikut sama berehat. Muka Mak menggambarkan ada soalan yang perlu kujawab. Aku melemparkan senyuman kepada Mak.

“Macamana, apa cerita?” Tanya Mak.

“Macamana apa?” Pura-pura tidak faham maksud pertanyaan Mak.

“Tadilah, Roslan?” Mak perjelaskan maksud soalannya.
Aku mengeluarkan kotak kecil berwarna merah jambu dari kocek seluar jeansku. Aku menghulurkan kotak comel itu kepada Mak. Mak membukanya.

“Wah, cantiknya, Roslan bagi?” Pandai Mak meneka. Orang lamalah katakan, dah lama makan garam. Aku mengangguk mengiakan.

“Kenapa dia bagi, mahal ni.” Mak melahirkan keraguannya. Mak memang peminat barangan kemas, terutama berlian, sangat kenal dia dengan nilai dan keaslian barang-barang perhiasan intan, berlian, permata dan emas.

“Entahlah mamat tu....katanya buat kenangan, saya tak sempat nak pulangkan tadi dia cepat-cepat masuk,” jelasku.

“Apa maksud dia?” Tanya Mak lagi tidak puas hati, maklumlah bukan barang murah, beribu harganya tu.

“Entahlah, dia kata buat kenangan je.” Aku cuba meyakinkan Mak.

“Mana ada seorang lelaki memberi hadiah yang sangat berharga macam ni tanpa ada niat tertentu.” Mak mula menghakimi. Aku berpendapat yang sama sebenarnya, tapi tidak aku luahkan. Akhirnya aku terpaksa menceritakan semuanya kepada Mak mengenai apa yang Roslan cakap dan minta dariku tempohari. Terkejut juga Mak mendengarnya.

“Kenapa tak cakap dengan Mak, boleh buat diam macam tu, bukan perkara main-main ni” marah Mak. Matanya menjeling kepadaku.

“Mana saya tahu dia serius macam ni, ingatkan dia nak berkenalan je dulu. Sayapun dah janji nak berkawan je dulu, nanti baru buat keputusan yang terbaik.” Aku memaklumkan kepada Mak dengan berhati-hati, bimbang Mak betul-betul marah dengan aku, tak seronoklah pulak.

Mak dapat menerima penjelasanku akhirnya. Mak hanya menggelengkan kepalanya dengan sikapku, sambil mengomel, “tak berubah-ubah juga perangai suka buat keputusan sendiri tu, dari dulu macam ni, cubalah bawa berbincang lain kali. Kalau nanti Roslan menuntut apa-apa macamana?” Mak mengugut aku. Sebenarnya aku seram juga, kalau-kalau nanti di kemudian hari akan dijadikan isu oleh Roslan.

Untuk menyelamatkan keadaan, aku meminta Mak menyimpan cincin tersebut. Tidak mahu aku membawa ke Jakarta. Kalau jadi apa-apa nanti, cincin ini boleh dipulangkan kepada yang empunya dengan selamat. Aku tidak akan memakainya. Aku hanya mencubanya, ternyata muat di jari manisku. Pandai Roslan mengagak saiz cincinku. Nampak cantik dan manis sekali cincin berlian bertatahkan intan di jari manisku. Aku hanya tersenyum sendiri memerhatikan cincin Roslan di jariku.

“Hah, tu kenapa pula tersenyum-senyum, syok sendirilah tu. Suka cincin tu ye, ambillah kalau dah suka, tapi jangan lupa dengan tuannya sekali pun kena ambil tau,” perli Mak. Aku tersipu-sipu malu. Rasa panas muka dek malu.

Aku bangun dan terus ke dapur. Bancuh minuman, teh o, rasa dahagalah pulak. Perutpun mula memulas, lapar rupanya. Aku ke depan, meninjau lauk-pauk, masih ada atau tidak. Yang tinggal hanya sotong dan beberapa jenis masakan yang kurang aku gemari. Tidak lalu makan. Aik...tidak lalu makan, rindu dengan Roslan pulak ke? Aku senyum lagi.

Aku meminta Kak Nah menggoreng nasi goreng kampung untukku, tetapi mesti masuk udang dan sotong, tapi ikan bilisnya tak mahu.

“Apa nama nasi goreng kampung kalau dah masuk udang dan sotong, bilis tak mahu,” protes Kak Nah, tukang masak Mak. Aku hanya tertawa. Kak Nah pun ikut tertawa. Suka hati aku melihat keceriaan dalam restoran kami, walaupun kakak sudah tiada. Mudah-mudahan kakak aman dan tenang di sana. Amin. Ada kalanya rasa rindu menyucuk dada, teringatkan arwah kakak. Rindunya.........di mana nak kucari ganti.
Jam menunjukkan pukul 10 malam. Deringan telefon membuat hatiku berdebar kencang. Seronok merasai debaran jantung yang semakin kencang setiap kali telefon berdering ketika jam sebegini. Biasanya panggilan Irfan dari Australia. Namun kali ini bukan sahaja kemungkinan dari Irfan. Mungkinkah panggilan dari Roslan? Lhaa...kenapa aku jadi berbelah bagi begini.

Debaran jantung semakin kencang. Kenapa? Panggilan siapa yang sebenarnya aku tunggu, Irfan atau Roslan?

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 27 Oktober 2011.

No comments:

Post a Comment