Tuesday 4 October 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 15 – Nor Aizan Ab Halim

Majlis Kahwin Keluarga Roslan
Sudah hampir dua minggu aku di kampung. Hampir setiap hari juga Roslan mengunjungi aku di restoran mak. Hampir setiap hari juga Adik menelefon aku. Irfan pun sama, selalu menelefon aku. Tidaklah sunyi aku, ada saja kawan untuk aku berbual-bual walaupun melalui telefon. Hujung minggu je adik ‘terjongol’ kat kedai kami. Waktu inilah peluang aku keluar jalan-jalan dengan Roslan, bertemankan adik, kalau tidak, mak kurang senang aku keluar dengan Roslan, maklumlah baru kenal. Macam-macam boleh jadi kata Mak, “lagipun, rupanya macam playboy,” komen Mak. Amboi Mak, bukan main menilai Roslan. Aku hanya tersenyum melihat tingkah Mak.

Walau apapun penilaian Mak terhadap Roslan aku tak kesah, hak dia sebagai seorang Ibu, tidak mahu melihat anaknya susah. Alhamdulillah, yang pasti aku selalu mendapat ramai kenalan yang baik di sekelilingku.

Sedang aku duduk-duduk menunggu pelanggan, dari jauh kulihat Roslan berjalan menuju ke arahku. Aku hanya senyum melihat Roslan yang tercungap-cungap kepenatan.

“Dari mana, nampak penat je,” tanyaku. Roslan senyum sambil melabuhkan punggungnya di kerusi berdepan denganku.

“Parking kereta jauh kat depan masjid sana,” balas Roslan. Terlupa aku, hari ini hari Jumaat, memang kereta penuh.

“Tadi sampai kat sini dah masuk waktu sembahyang Jumaat, terus singgah masjid depan tu,” sambung Roslan. Aku hanya mengangguk faham.

“Kesian.....nak makan?” Tanyaku. Roslan mengangguk lalu bangun menuju ke almari lauk-pauk bercermin di sebelah kanan.

“Pilihlah...nak minum apa? Tea O ais boleh?” Aku tanya dan mencadang sekali supaya cepat. Roslan mengangguk setuju. Aku beredar ke dapur mengambil air untuk Roslan.

Roslan sudah di meja makan, menghadap sepinggan nasi dan tiga pinggan lauk di depannya, sambal pedas udang, masak lemak ketam dan sotong goreng kunyit. Langsung tiada sayur.

“Makan la sayur-sayuran untuk kesihatan.” Aku macam nak mengajar itik berenang.

“Tak dibiasakan dari kecil....dah tak boleh telan,” akui Roslan.

Aku bangkit untuk mengambil nasi juga, nak makan bersama-sama Roslan. Sepinggan nasi dan sepinggan masak lemak bayam dan ikan masak sambal.

“Cuba rasa sikit, sedap tau.....” Aku menceduk sesudu sayur bayam ke dalam pinggan Roslan. Kerana terpaksa, Roslan cuba makan dan menelan sayur bayam itu dalam keadaan yang nampak sangat menyiksakan dia. Aku hanya ketawa geli hati melihat gelagat Roslan.

“Macam anak kecil,” perliku. Roslan hanya menggelengkan kepalanya, namun mengukir senyuman.

“Saya cabar abang habiskan sayur dalam pinggan tu, boleh.” Roslan mengangguk tanda menyahut cabaranku. Akhirnya dia berjaya juga menghabiskan sayurnya.

“So, macamana, next time boleh makan sayur lagi tak?” Sengaja aku nak duga Roslan.

“Insyallah. Sayur bayam ni ok lah juga, boleh kot, insyallah.” Aku ketawa besar mendengar jawapan Roslan, takut dicabar. Dia ikut ketawa.

Ketika mahu pulang, Roslan menghulurkan dua keping kad, satu untuk aku dan satu lagi untuk Adik. Kad jemputan kahwin adik perempuannya. Majlis akan diadakan Sabtu malam minggu depan di sebuah hotel di Kuantan.

“Kenapa buat majlis di Kuantan, bukan Temerloh?” Tanyaku sedikit rasa pelik.

“Kat kampung dah buat sebelum abang ke Jakarta.. Sekarang majlis untuk kawan-kawan dan kenalan mak ayah dan anak-anak di sini,” maklum Roslan.

“Oh....orang kaya, majlis tiga empat kali kan...kalau saya, nikah depan Tok Kadi je selesailah...,” ujarku berbau perli. Roslan hanya senyum, diam.

“No komen, eh...tapi takkan lah you nak kahwin semudah tu...murahnya you?” Giliran dia pula mengenakan aku. Kami sama-sama ketawa. Dari seorang yang serius, Roslan sudah mula berubah jadi seorang yang boleh dibawa bergurau dan ketawa. Senang hati mengenali Roslan.

“Saya wajib pergi ke majlis tu nanti...? Segan la, tak kenal pun adik dan famili abang, apa kata mereka nanti.” Aku melahirkan rasa tidak enak untuk menghadiri majlis tu nanti.
“Tak pe, I kan ada kat sana, You, my guess la...tak pe kan, kecuali you yang tak nak pergi, I tak bolehlah nak paksa. Datang dengan Adik sekali la...ada juga kawan,” cadang Roslan. Aku hanya mengangguk setuju, tak sampai hati nak menghampakan permintaan Roslan yang baik.

Adik setuju nak pergi majlis tu, Mak pun tak keberatan aku pergi majlis malam hari bertemankan Adik. Majlis Roslina, adik Roslan meriah dan mewah sekali, gambaran kemewahan hidup keluarga Roslan, uhhh.....bertolak belakang dengan keluargaku.

Roslan sangat gembira menerima kehadiran aku dan Adik, tergambar dari air mukanya yang ceria, mata berseri-seri. Tanpa berlengah-lengah, dia memperkenalkan aku kepada Mak dan Ayahnya, yang sedang sibuk menyambut ketibaan para tetamunya. Ada riak terkejut atau tidak ceria diwajah ibunya ketika aku diperkenalkan Roslan kepadanya. Entahlah, mungkin itu gaya orang kaya, datuk datin di tahun 80-an, simpulku di dalam hati untuk memujuk hati sendiri.

Tidak mahu majlis yang meriah dan ceria ini terganggu emosiku dek prasangka.
Manis sekali adik Roslan, seorang dokter yang sedang berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, duduk di pelamin yang begitu indah berwarna kuning emas bercampur merah hati. Suaminya pula seorang pengamal hukum yang memiliki firma guamannya sendiri. Lengkaplah, sesuailah mereka bersanding di majlis semewah ini. Itu rezeki mereka.

“Nape termenung kak Zan, teringin nak majlis macam ni?” Adik menegurku, perlilah tu. Aku hanya tersenyum sambil tanganku mencubit bahu adik. Adik mengaduh kesakitan. Memang kuat aku mencubitnya, melepaskan rasa tidak puas hati dengan Mak Roslan agaknya, Adik yang jadi mangsa hehe, kesian Adik.

Akhirnya majlis tamat pukul 11 malam. Roslan menghantar kami sampai ke kereta. Dia berhenti seketika dan merenung ke arah kami berdua. Ada sesuatu yang hendak dinyatakannya.

“Nor, Adik, sorry kalau you tak selesa dengan Mama abang tadi.....” Roslan tiba-tiba melahirkan rasa terkilannya dengan sambutan maknya terhadap aku tadi. Perasan juga dia rupanya.

“Tak pe, no problem...mak abang kan sibuk, kamipun belum kenal, terkejut dia, tengok kami dari planet Pluto agaknya...hehe...,” jawabku dalam nada berlawak, tak mahu memperbesarkan isu. Kami sama-sama ketawa.

Perjalanan balik lancar, cuma `jam’ sedikit sewaktu keluar dari hotel. Jalan ke rumah kami lancar, apa lagi jam sudah 11 malam, hanya kawasan bandar yang masih `hidup’.
“Boleh tahan jugak Mak Roslan tadi kan?” Tiba-tiba Adik yang pendiam ni pula mengungkitkan isu yang sudah mahu aku kuburkan.

“Boleh tahan macamana?” Aku meminta penjelasan.

“Sombong!” Tegas sekali adik mengadili. Tidak sangka Adik berani memberi komen sebegitu. Aku kenal benar Adik, kalau tidak terlalu terasa, tidak `jahat mulut’ dia. Aku kurang senang mendengar komentar Adik.

“Pandang kita macam orang yang tak ada harga diri.” Adik protes. Tidak sangka, tersinggung benar Adik dengan sikap mak Roslan tadi. Aku sudah melupakan, dia pulak yang menghangatkan.

“Tak de apa lah Adik...dia sibuk, penat lagi melayan tetamu tu...” Aku cuba meneutralkan perasaan adik. “Kak Zan tak rasa apa pun, adik pula yang lebih,” kataku memujuk.

“Jangan bohonglah, saya nampak riak muka kak Zan tadi, berubah juga ketika Mak Roslan bersalaman macam nak tak nak je...,” jelas adik. Memang sebenarnya aku tidak boleh berbohong. Tersinggung dengan sikap Mak Roslan tadi, tapi tak kesahlah, dia bukan kenalan baik aku pun, hanya kenalan baru.

Selepas dia balik US dan aku balik Jakarta, semuanya akan berlalu. Adik hanya diam tersenyum sumbing dengan pengakuanku. Selesai masalah.

Kedai Mak masih ramai orang menjamu selera. Gaya pemakanan orang Melayu, tengah malam macam ni masih makan makanan berat. Mana badan tak ‘boroi’. Mana tak mudah kena serangan jantung, darah tinggi, kencing manis dan bermacam-macam penyakit yang berkaitan pengambilan makanan tidak seimbang. Tapi gaya hidup mereka inilah rezeki bagi Mak. Cuba bayangkan kalau tiada orang makan di waktu malam begini, berapa banyak rezeki mak hilang. Syukurlah, mudah-mudahan tiada kemudharatan apa yang mereka makan, malah membawa khasiat. Amin. Aku senyum sendiri, nampak sangat aku, mementingkan diri sendiri.

Aku dan Adik pun sama, minta mee goreng basah, nak udang dan sotong lebih, nak sayur lebih, jangan campur ayam dan daging. Orang kata tak elok campur `seafood’ dengan ayam atau daging, tak taulah alasan yang saintifik, itu kena minta penjelasan pakar pemakanan atau nutrisi nanti. Tapi kenyataannya kami pun makan berat di waktu larut malam.

“Laa...tadi tak makan ke....kat hotel mewah, takkan makanan tak sedap...? Tanya Mak kehairanan.
“Tak selera makan....” Serentak kami menjawab sambil memandang satu sama lain, sama-sama ketawa.

Mak hairan memandang kami. Biarlah rahsia, tak baik menceritakan keburukan orang.

Kami menjamu selera dengan lahapnya. Sedap lagi makanan restoran Mak, berbanding hotel lima bintang tu....hehehe.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 2 Oktober 2011.

No comments:

Post a Comment