Saturday 8 October 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 16 – Nor Aizan Ab Halim

Kenapa Dengan Adik, Mak?
Sudah beberapa hari aku di kampung, aku belum dapat berjumpa kedua-dua orang adik lelakiku. Mereka menghabiskan cuti sekolah, berjalan-jalan dan balik kampung nenek di Kota Bharu. Rasa rindu tidak terkira menunggu saat berjumpa mereka.
Jam lima petang, barulah aku berpeluang bertemu adik-adikku. Baru pulang dari makan angin mereka berdua. Anak lelaki, kurang perasaan, aku membuat kesimpulan melihat gaya adik-adik lelakiku yang seolah-olah langsung tiada perasaan rindu kepadaku. Kecik hatiku.

Adik-adikku baru turun dari teksi, berjalan ke arah kedai Mak. Ketika Am berdiri di depanku, aku amat terkejut melihat rupa adikku Am begitu kurus dan cengkung sekali. Adik Am mencium tanganku. Aku usap kepalanya.

“Am, kenapa kurus sangat ni, sakit ke...?” Aku sangat hiba melihat rupa adik yang kacak berubah menjadi tersangat kurus. Am yang bertubuh tinggi lampai dan kelihatan sangat tampan pada usianya 17 tahun ketika aku tinggalkan dia ke Jakarta dulu.
Kenapa hari ini berlainan benar dia? Seribu pertanyaanku belum berjawab. Am hanya mengangkat bahunya sambil menggelengkan kepalanya. Berlainan benar dia sekarang.
Dia yang dulu `banyak mulut’, sekarang lebih pendiam. Adik Am terus menuju ke ruang tamu kedai mak, berehat, penat perjalanan jauh agaknya. Boy, adik bongsuku mengikuti belakang Am ke ruang tamu setelah bersalaman denganku.

Aku tidak sabar hendak tahu. Kebetulan pelanggan tidak ramai. Aku menuju ke tempat Mak yang sedang melipat tisu ke dalam tempat tisu, yang akan diletakkan di atas meja.

“Mak, kenapa Am kurus sangat...?” Aku mula melahirkan rasa ingin tahu yang tidak terbendung lagi. Mak diam. Tiba-tiba air mata Mak meleleh keluar dari kelopak matanya yang juga kelihatan cengkung, mata yang menanggung derita hampir sepanjang hidupnya. Tapi Mak tetap kuat dan tabah menghadapi, walaupun kadang-kadang dia lemah dan hampir tewas. Mak selalu cuba hadapi segala masalahnya dan akan bangkit dari kesusahan dan keperitannya. Ahh....hebatnya Mak, aku rasa aku tidak mampu jadi sehebat dia.

Alhamdulillah, semangat Mak sedikit sebanyak aku warisi darinya. Kuat hati dan semangat, selalu positifkan keadaan. Alhamdulillah. Akhirnya yang susah akan jadi senang, lawan jadi kawan, benci jadi rindu dan marah jadi sayang. Oh, tidak semuanya mak positifkan, ada hal yang kata Mak dia tidak dapat atau belum dapat maafkan sampai sekarang. Dulu aku tidak faham kenapa, tapi sekarang aku amat memahaminya. Walaupun semua itu amat menyakitkan, tapi dengan semangat dan positifkan keadaan, akhirnya jadi tenang dan boleh senyum gembira. Mudah-mudahan berterusan.

“Mak, kenapa Mak menangis...” Aku mulai rasa tidak sedap hati melihat keadaan Mak.
Aku hanya tanya pasal Am, kenapa Mak pula tiba-tiba jadi sedih dan mengeluarkan air matanya lagi. Cukuplah, sudah banyak air mata yang Mak hamburkan keluar tanpa diminta. Aku jadi rasa bersalah menyebabkan Mak sedih. Aku memeluk Mak sambil aku cium pipinya yang mula menampakkan jalur umurnya, padahal, waktu aku tinggalkan dia sebelum ke Jakarta, pipinya masih terasa tegang, baru masuk 47 tahun, baru beberapa bulan yang lepas, cepatnya perubahan berlaku.

Setelah Mak reda dari tangisannya, Mak sudah dapat tenangkan dirinya, Mak mula bersuara. Aku yang sudah lama menunggu respon Mak terus merenung Mak dengan pandangan mengharap.

“Am sangat rasa terkilan dengan apa yang berlaku.....” Mak memulakan kisahnya. Aku yang macam sabar menunggu cerita Mak tapi sebenarnya tidak sabar, “terkilankan apa...?” Tanyaku pantas. Mak meneruskan ceritanya sambil air matanya mula keluar semula. Akupun sama, tidak lagi dapat menahan sebak di dada. Rupa-rupanya masih ada lagi peristiwa yang disembunyikan dari pengetahuanku semasa pemergian kakak ke rahmatullah. Mereka cukup menjaga hatiku supaya tidak sedih dan terkilan, tetapi mereka menelan semua itu supaya aku tidak tahu, namun akhirnya memakan diri sendiri.
Kata Mak, kakak meninggal atas riba dan pelukan adik Am. Dia sangat rapat dengan kakak. Kakak memang sangat manjakan dia. Kehilangan kakak sangat-sangat meninggalkan kesan pada dirinya. Ditambah lagi dengan rasa sakit hati adik pada ayah yang sanggup meninggalkan kakak yang dalam keadaan nazak, semata-mata untuk meneruskan hal peribadinya.

Adik Am sudah cuba bersungguh-sunguh menahan Ayah agar tidak pergi kerana Am yakin kakak sudah nazak dan umurnya tidak panjang. Am mahu ayah dan semua keluarga kecuali aku, ada di sisi kakak sekiranya kakak mahu `pergi’. Ayah yang sudah tipis kewarasannya, tidak mengambil berat perkataan Am, maklum Am baru umur setahun jagung, memandai-mandai hendak mengajarnya yang sangat `hebat’ dalam segala segi.
Am, kenapalah kau merosakkan diri sendiri hanya kerana rasa marah dan dendam pada Ayah, aku hanya berkata-kata di dalam hati. Nanti ada masa yang sesuai aku akan memberi nasihatku sebagai seorang kakak kepada adik yang sangat aku sayangi, walaupun kami selalu bertelagah dan bercanggah pendapat. Namun aku tidak pasti nasihatku nanti berguna atau tidak, setelah aku melihat keadaan dan sikapnya yang berlainan sekali.

Ya Allah, hanya Engkau yang maha mengetahui segala-galanya. Aku tahu, yang baik datang dariMu, yang buruk datang dari hambaMu yang lemah ini. Hanya aku berharap pertolonganMu untuk mengatasi setiap cabaran dan halangan yang datang. Berilah aku kekuatan dan kesihatan mental dan fizikal selalu. Amin. Itulah doaku setiap selepas solatku, tiada lagi tempat aku mengadu selain dari Dia.

Nasihatku tidaklah memberi kesan yang baik nampaknya. Adik Am sudah banyak berubah. Dia sudah mula berkawan rapat dengan remaja-remaja bermasalah di kawasan kami. Dia sudah mula keluar malam dan pulang tidak tentu masanya. Apa lagi ketika cuti sekolah begini.Tiada orang yang dapat menasihatinya. Sikapnya jadi liar dan kasar. Sudah tiada lagi ciri-ciri positif yang dimilikinya. Tiada lagi Am adikku yang dulu, penuh dengan kasih sayang dalam dirinya, bertanggung jawab, sopan, menghormati dan sangat mendengar kata Mak.

Waktuku yang ada hanya tinggal lebih kurang dua minggu tak akan cukup untuk aku mengembalikan Am kepada dia yang dulu.....Aduhai...kenapa jadi begini. Mampukah aku.....? Boleh ke aku mengubah keadaan?

Bercelaru fikiranku sampai ke malam. Fikiranku yang berkecamuk terganggu, dikejutkan oleh deringan telefon. Adik yang telefen. Aku meluahkan apa yang sedang aku hadapi kepada Adik. Adik juga terkejut mendengar apa yang aku ceritakan. Dah beberapa kali datang, Adik tidak sempat bertemu dengan adik-adikku, jadi tidak tahu apa yang berlaku, macam aku juga lah, tidak tahu kerana Mak merahsiakannya.
Adik janji akan turun hujung minggu nanti, kalau-kalau ada yang boleh dibantu. Abangku Abang Mie juga tidak banyak dapat menolong kerana bertugas jauh di Jelebu Negeri Sembilan, pemantauan tidak dapat dilakukan secara langsung. Mendengar Adik akan datang hujung minggu, hati mula rasa sedikit lega dan fikiran bercelaru mula ringan. Walaupun aku tahu pasti, Adik juga rasanya tidak dapat berbuat banyak, tetapi rasa lega dapat meluahkan masalah kepada orang yang sudi dengan ikhlas mendengar. Terima kasih Adik.

Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 pagi. Am belum balik. Hati aku mulai rasa resah gelisah. Inilah juga perasaan Mak setiap hari selama ini agaknya. Itulah juga sebabnya Mak kelihatan kurus, makan hati dengan sikap adik setelah pemergian kakak.
Kehilangan kakak sudahlah membawa kesedihan Mak, ditambah lagi dengan perlakuan adik Am yang kurang baik. Ini lagi ujian untuk mak dan aku. Kenapa harus terus diuji? Banyak sangat ke dosa-dosa kami kepadaMu Ya Allah? Soalan-soalan yang selalu bermain di mindaku, kalau dibiarkan boleh membawa kepada kekufuran.

Astaghfirullahaladzim........Betapa lemah dan naifnya diriku disisiMu Tuhan. Tidak habis-habis mengeluh.....ampunilah aku, itu kejahilanku makhluk ciptaanMu.
Pukul satu pagi, barulah kedengaran enjin motor Am masuk ke kawasan rumah. Aku membuka pintu, tidak perlu sebenarnya kerana Am selalu membawa kuncinya ketika keluar. Saja aku tidak sabar melihat Am yang pulang malam-malam begini. Hati ingin marah tetapi tidak jadi setelah melihat keadaannya yang kusut masai. Aku membiarkan Am masuk, ke dapur dan membersihkan dirinya dulu.

“Dah makan....?” Aku memulakan perbualan dengannya.

“Belum....,” jawabnya ringkas. Tidak banyak bercakap dia sekarang. Kalau dulu bila berdua, kami sangat banyak berceloteh, bergelak ketawa dan bercerita satu sama lain. Hati sangat tidak suka melihat keadaan adikku yang berubah begini, sedangkan dialah harapan kami sebagai sandaran mak ketika abang, kakak dan aku tiada di sisi Mak. Terasa sunyi sepi hidup kami setelah kakak pergi......Tiada lagi gelak tawa bersama-sama. Adoi....rindunya.

“Nak makan...?” Tanyaku lagi untuk kepastian. Aku sudah bersedia untuk menghidangkan makanan untuknya kalau dia mahu. Adik mengangkat tudung saji, menjenguk lauk di atas meja makan. Dia menggelengkan kepala. Tanpa menggelengkan kepala, melihat riak mimik mukanya jelas sekali menampakkan dia tidak berselera untuk makan. Bau rokok masih kuat menusuk hidungku. Aku terkedu, tidak dapat berkata apa-apa, walaupun dalam hati banyak yang ingin disuarakan.

Melihat Am dalam keletihan, aku menyuruhnya tidur. Lain kali sajalah kalau nak cakap apa-apa pun, bimbang niat baik akan menimbulkan suasana tegang pula nanti pada waktu hampir dinihari begini. Aku belum dapat melelapkan mataku sepicingpun walaupun semua isi rumah yang lain sedang enak dibuai mimpi. Banyaknya yang perlu aku fikirkan dalam hidup ini, kenapa Tuhan? Aku juga tidak kuat.....

Akhirnya aku terlelap juga tapi tidak sedar jam berapa. Paginya aku dapati aku masih di sofa ketika azan subuh bergema dari masjid berdekatan. Terasa tidak enak badan kerana tertidur tidak pada tempat yang betul. Sakit-sakit badan, apa lagi kurang tidur, hanya dua jam rasanya dapat melelapkan mata. Kepala rasa melayang. Keseimbangan badan hilang. Nasib baik dapat berpegang pada kabinet ruang tamu, tidak sempat jatuh. Duduk sekejap, hilangkan pening. Baru berjalan ke bilik, nak menunaikan subuh. Lepas subuh nanti boleh sambung tidur lagi.

Betul-betul tidur aku. Jam dinding menunjukkan hampir pukul 11 tengahari, subhanallah, lama aku tidur, langsung tidak sedar apa-apa yang berlaku di sekelilingku. Aku menjenguk adik Am di biliknya, juga masih tidur dia. Adik bongsuku sudah tiada di biliknya. Sudah keluar, ke kedai Mak lah agaknya.
Aku mandi membersihkan diri. Mengemas rumah mana yang patut, lap habuk-habuk dan vakum lantai. Penat juga walaupun hanya sedikit saja pergerakannya. Aku duduk berehat sekejap, kemudian ke dapur, menggoreng nasi untuk adik, kebetulan nasi malam tadi masih ada. Sedap juga dah lama tak makan nasi goreng `simple’ hasil tangan sendiri.

Aku sekali lagi menjenguk adik di biliknya. Nyenyak betul tidurnya. Aku membelai rambutnya. Kesian. Dia tidur tanpa baju, hanya berseluar pendek, kurus betul. Kelihatan tulang-tulangnya timbul boleh dikira bilangan tulang rusuknya. Ya Allah apakah sebenarnya derita yang sedang dilalui adikku. Menitis lagi air mataku melihat perubahan adik. Bukan saja fizikal yang berubah, tetapi sikapnya juga berubah. Aku cepat-cepat menahan air mataku dari menitis ke atas muka adik. Adik langsung tidak terjaga walaupun aku mengusap kepalanya berkali-kali.

Adik-adikku adalah mangsa kesibukan Mak dan Ayah. Mak sibuk dengan perniagaan restorannya, dengan kata lain mencari rezeki untuk menyara hidup kami. Ayah juga sibuk dengan berbagai-bagai aktivitinya yang sangat susah difahami. Adik-adik terlepas pandang. Didikan agama mereka kurang. Bukan Mak tidak usahakan, Mak telah mengupah ustaz mengajar adik-adik mengaji Quran dan Fardu Ain di tempat kami. Namun pemantauan kurang, kadang-kadang pergi, kadang-kadang tidak. Ikut suka hati dan inisiatif sendiri. Akhirnya mereka jadi anak-anak yang sangat minimum didikan agama dan kurang amalannya.

Adik aku biar meneruskan tidurnya yang lena itu. Tidak mahu menganggu, mungkin inilah masa adik merehatkan dirinya, melupakan bermacam-macam perkara yang merungsingkannya. Entah bilalah aku berpeluang bercakap dan berbual-bual dengan adik Am. Huh, hari sudah meninggi, tanpa disedari.

Aku bergegas ke restoran Mak, waktu makan tengahari sudah bermula, pasti ramai orang di kedai waktu begini. Pasti sibuk tidak cukup tangan Mak dan pembantu Mak melayan tetamunya. Dari jauh nampak penuh sesak restoran Mak. Waktu begini para tentera ramai yang datang makan di kedai Mak. Restoran Mak yang letaknya tidak jauh dari kem tentera selalu menjadi tumpuan. Apa lagi pada awal bulan, pesta makan bagi yang bujang. Masa inilah mereka makan di luar, melupakan seketika makanan di mess, yang katanya hampir sama je menunya setiap hari. Tapi kalau tiada duit di hujung bulan terpaksalah makan juga, kata mereka. Ramai yang sudah kenal baik dengan Mak sejak menjadi pelanggan tetap Mak, malah ada yang makan bayar bulanan. Itulah Mak, berbaik hati dengan semua orang dan sangat mempercayai orang.

“Alah...makanan, tak kan lah mereka nak tipu, tak nak bayar makanan yang menjadi darah daging. Kalau mereka tidak bayar disebabkan tidak mampu, Mak halalkan saja.....” Mudah saja Mak menjawab, kalau diungkit tentang hal ini, tidak mahu peningkan kepala katanya.

Hampir jam 3 petang, baru dapat rehat. Penat juga. Baru je duduk, Kak Ya, pembantu Mak membawa segelas teh o ais untukku. Aku terus mencapai dan meneguknya, memang dahaga.

“Terima kasih Kak Ya.... dah minum baru boleh bersuara,” ucapku sambil senyum kepadanya kerana sangat memahamiku.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 8 Oktober 2011.

No comments:

Post a Comment