Tuesday 25 October 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 19 – Nor Aizan Ab Halim

Abang Roslan Kenapa Begitu?
Seperti biasa, aku sibuk di kedai menolong Mak melayan pelanggan-pelanggannya. Inilah peluang aku berbakti kepada Mak, sekejap lagi dah nak ke Jakarta pula. Enam bulan lagilah baru berpeluang berjumpa dan berbakti seperti ini.

Mengingatkan ini, hatiku tiba-tiba jadi sedih pulak. Rasa kosong jiwa. Tidak sampai hati hendak tinggalkan Mak kali ini. Selama tiga minggu aku bersamanya, kelihatan gembira dan senyum tawanya menghiasi bibir, terserlah gambaran ceria hatinya. Itu jugalah kata pekerja Mak tentangnya. Kata mereka sejak kakak pergi, Mak susah senyum atau ketawa, lebih banyak tumpukan pada kerjanya sepenuh masa dan jiwa. Kasihan Mak. Selalu senyum dalam duka. Hampir seluruh hidupnya berpura-pura bahagia demi untuk orang lain. Terima kasih Mak. Kau sungguh hebat penggorbananmu.

Boleh ke kalau aku membatalkan pengajianku di Jakarta? Tiba-tiba terdetik hatiku untuk berbuat demikian. Tinggal seminggu lagi aku di Malaysia, bersama-sama Mak. Lebih baik aku membuat keputusan yang terbaik untuk aku dan Mak. Apa kata aku menyatakan hasratku kepada Mak, minta pendapat dia, putusku.

Melihat Mak dalam keadaan tenang berehat di sofa ruang rehat kedai, aku duduk di sebelah Mak, mengusap-usap tangan Mak yang kurus dan nampak urat-uratnya timbul di bawah kulitnya yang sudah mula kusam. Mak hanya membiarkan saja perlakuanku. Sudah biasa sangat dia dengan tabiatku.

“Mak.....boring tak, sejak tak ada kakak?” Tiba-tiba sahaja aku bertanya soalan yang kemudiannya aku rasa kurang sesuai pula, akan membuatkan luka Mak berdarah lagi.

Mak kelihatan tidak selesa dengan soalanku, “Kenapa pulak tanya macam tu?” Giliran Mak pulak yang bertanya aku. Aku pula yang rasa tergamam dengan soalan balas Mak. Mencari-cari jawapan yang sesuai. Termenung aku sejenak.

“Hmm.....ialah, kakak tak ada, saya tak ada....Mak tak ada kawan nak berkongsi cerita kan? Aku memulakan bicaraku dengan lebih tersusun dan berhati-hati. Mak sangat sensitif dalam hal-hal macam ni.

“Dah nasib dan takdir Mak macam ni, apa nak buat, kena terimalah.” Mak bersuara sayu sambil merenung ke mataku. Matanya sudah mula bergenang air mata. Inilah yang aku tidak tahan nak menghadapi. Aku mengenggam erat tangan Mak.

“Mak, apa kata kalau saya berhenti belajar dan balik menemankan Mak kat sini?” Aku meneruskan niatku untuk mendapatkan kata putus Mak dalam hal ini. Tiba-tiba saja Mak menarik tangannya dari genggaman tanganku.

“Tidak boleh. Awak kena teruskan pelajaran tu. Kan dulu kakak yang hendak sangat awak belajar kat sana. Ingat tu....mesti teruskan juga,” ujar Mak dengan suara yang sedikit tegas.

Bagiku, belajar tu perkara kedua. Aku lebih berminat dengan kerjaku di sana. Aku nak bekerja dan cari duit sendiri. Itu hasratku. Mak tidak faham. Bagi Mak, dia boleh cari duit, tiada masalah, yang dipentingkan adalah aku terus belajar.

“Nanti balik kat sini saya belajar part-time, boleh kan?” Aku masih cuba untuk meminta persetujuan Mak dalam hal ini.

“Macamana dengan Irfan?” Tiba-tiba pula Mak mengajukan pertanyaan yang sangat mengejutkan aku. Aku merenung tepat ke mata Mak sambil aku mengangkat keningku tanda menyoal, “kenapa pulak dengan Irfan?” Aku pula bertanya. Mak mula mengukir senyuman, “Laaa....kan Irfan menunggu kat sana,” perli Mak.

“Eh....Mak, mana ada, saya akan pilih Mak berbanding dengan orang lain. Kalau Mak nak saya balik, saya akan balik, tidak kira apa kata Irfan pada Mak,” jelasku penuh yakin.

“Tak kesiankan Irfan?” Tanya Mak lagi seolah-olah sedang menduga perasaanku terhadap Irfan. Mungkin ini berkaitan dengan apa yang mereka bicarakan sewaktu Irfan menelefon bercakap dengan Mak tempohari.

“Kesian.....Apa maksud Mak....apa yang Irfan cakap pada Mak?” Bertalu-talu aku bertanya mengorek rahsia perbualan Mak dengan Irfan yang sampai sekarang tidak berjawab oleh Mak dan Irfan. Mak hanya senyum.

“Ya lah, dia kan tunggu awak kat sana.” Mak mengingatkan aku, “awak dah janji dengan dia, lepas tu nak tinggalkan dia pulak,” sambung Mak lagi. Amboi Mak, menghukum aku nampaknya.

Ya Allah, apa yang mereka berdua sudah bincangkan tempohari. Puas aku bertanya Mak, Mak tetap berdiam diri. Hanya senyum sambil berkata, “tanyalah Irfan sendiri.”
Aku sebenarnya ingin sangat tahu isi perbualan Mak dengan Irfan tempohari. Mak terus berubah dari menentang dengan berbagai alasan setelah aku menyatakan hasrat Irfan hendak melamar aku, kepada berdiam diri dan hanya memerli aku setiap kali nama Irfan disebut. Nampak macam Mak sudah bersetuju benar dengan Irfan. Biar betul Mak ni, bisik hatiku.

Kata putus Mak mengenai pengajianku di Jakarta tidak dapat diubah lagi. Mak tetap berkeras mahu aku meneruskan pelajaranku sampai selesai. Dalam hal ini aku kena akur dengan segala yang ditetapkan oleh Mak. Mudah-mudahan keputusan Mak dan aku dapat memberikan jalan terbaik untuk kami semua.

Sedang kami sibuk berbual-bual di ruang rehat restoran Mak, kami dikejutkan dengan kehadiran Roslan menjenguk dan memberi salamnya. Roslan terus duduk bersama kami di ruang rehat. Roslan jenis yang mudah mesra. Tanpa segan silu dia menempatkan dirinya dalam keluarga kami.

“Abang Roslan dari mana?” Tanyaku selepas tergamam seketika melihat kehadirannya tiba-tiba.

“Dari Temerloh nak ke Kuantan, macam biasalah berulang-alik selagi belum masa balik ke sana....,”jawabnya.

“Balik ke sana? Abang orang sana ke?” Tanyaku bergurau. Roslan hanya senyum menyambut gurauanku.

“Bila abang nak balik US?” Tanyaku untuk mendapatkan kepastian.

“Minggu depan,” jawabnya.

“Ini Abang datang nak ajak Nor keluar, boleh?” Roslan memaklumkan kepadaku dan sekaligus meminta izin dari Mak. Terkedu aku dan Mak.

“Boleh Mak Cik...?” Roslan mengulangi pertanyaannya. Mak memandangku meminta kepastian. Aku tidak dapat berkata apa-apa.

“Nak pergi mana?” Giliran Mak pula bertanya.

“Jalan-jalan, sebelum saya balik US,” ujar Roslan.

Mak nampaknya tidak dapat menolak permintaan Roslan yang sepertinya sangat jujur dan berani dia. Akupun terpaksa setuju setelah Mak menganggukkan kepalanya tanda setuju dengan permintaan Roslan. Walaupun aku sebenarnya keberatan, tapi terpaksa juga ikutlah.

“Saya ganti pakaian sekejap, boleh?” Aku meminta izin seketika, mahu mandi dan menggantikan pakaian yang sudah berbau aroma macam-macam makanan dengan pakaian yang lebih bersih. Maklum, aku sendiri tidak tahu ke mana hala aku hendak dibawa si Roslan.

Tigapuluh minit juga Roslan menungguku. Pasti sabar dia menunggu, maklum nak bawa anak dara orang keluar, sehari pun sanggup tunggu tuh...hehe. Ketika aku sudah siap untuk pergi, Roslan masih leka membaca surat khabar sambil makan kuih kasturi kegemarannya.

Aku duduk di sebelahnya. Sudah berganti baju dan mengenakan parfium, Poison kesukaanku.

“Wow, wanginya,” puji Roslan. Aku senyum sambil membalas, “ya la, tadi kan busuk, sekarang wangi sikit, takut abang pengsan bau saya yang busuk.”

Giliran Roslan pula tersenyum, “mana ada you busuk, tetap wangi sentiasa,” katanya.

“Boleh kita pergi sekarang?” Tanya Roslan mahu kepastian.

“Tak nak makan dulu?” Aku pula yang bertanya.

“Tak apa, nanti kita makan kat luar, Abang belanja you ok,” kata Roslan. Aku hanya mengangguk tanda setuju.

Roslan berjalan menuju ke arah Mak. “Mak Cik, kami pergi dulu ye,” beritahu Roslan sekaligus meminta izin dari Mak.

“Mak Cik jangan risau, saya jaga Nor baik-baik ye,” janji Roslan. Mak mengangguk tanda mempercayai Roslan.

“Elok-elok jalan tu dan jangan balik lewat sangat tau,” pesan Mak.

Biasalah, seorang ibu, selalu mahu memastikan keselamatan anaknya. Hatinya ada rasa bimbang agaknya untuk membenarkan aku keluar dengan Roslan, maklum, belum sampai sebulan kenal. Pertanyaan boleh percaya ke, pasti bermain di fikiran Mak. Namun kejujuran dan keberanian yang Roslan tunjukkan dalam tempoh hampir sebulan ini, menutupi rasa curiga Mak terhadapnya. Apalagi, dengan mak ayahnya sekali diperkenalkan kepada kami, lagilah Mak tambah yakin dengan kejujuran Roslan dalam hubungan kami yang baru terbina.

“Ok...insyallah Mak Cik, jangan risau, saya akan jaga Nor macam nyawa saya sendiri,” janji Roslan lagi. Amboi, berani betul si Roslan ni berkata demikian.

“Amboi...dramatiknya...,” balasku sambil membulatkan mataku ke arahnya. Roslan hanya ketawa mengekek.

“Mengada-ngada,” sambungku lagi bila melihat gelagat Roslan yang memang nampak mengada-ngada. Semakin kuat ketawanya. Tidak tahan aku melihatnya, aku juga ikut ketawa. Mak pun ketawa. Bukan lawak sangat pun, tetapi gelagat Roslan yang tidak seperti biasanya membuatkan kami merasa lucu melihatnya. Roslan, Roslan, macam-macamlah kau ni.

“Maaf Mak Cik, kami pergi dulu ya,” akhirnya Roslan sekali lagi meminta izin untuk pergi setelah melihat jam di tangannya sudah hampir jam sebelas tengahari. Mak mengangguk tanda setuju dengan senyum masih dibibir Mak, belum habis mentertawakan Roslan.

“Ke mana sebenarnya Abang Roslan nak bawa saya ni?” Tanyaku minta kepastian.

“Ada la....ikut saja lah....duduk je kat sebelah, driver yang bawa...boleh?” Selamba Roslan menjawab.

Roslan yang sebelum ini nampak macam serius saja orangnya, tetapi akhir-akhir ini sudah menunjukkan jati dirinya yang sebenar, ada unsur kelakarnya juga dia ni. Sikapnya yang serius mungkin terbawa-bawa dengan jawatannya sebagai pegawai tadbir diplomatik.

Akhirnya aku akur saja dengan permintaan Roslan. Duduk dan hanya mengikut sahaja ke mana arah tujuannya yang aku sendiri tidak pasti. Dalam perjalanan macam-macam topik perbualan kami. Roslan lebih banyak bercerita tentang keluarganya, seolah-olah hendak memperkenalkan ahli keluarganya kepadaku. Aku lebih banyak mendengar daripada bertanya. Dia juga banyak bertanya tentang aku dan keluarga. Sengaja segala kesusahan dan kepayahan aku dan keluarga aku ceritakan kepadanya, ingin melihat reaksi dia mendengar ceritaku yang bertolak belakang dengan keluarganya. Ehhh....malah semakin banyak dia bertanya, seolah-olah makin tertarik dia dengan semua kisahku ini.

“Heh...banyak tanyalah abang ni, dahlah tak larat dah nak cerita, penat,” kataku setelah terlalu banyak dia mengorek rahsiaku. Dia hanya tersenyum, kemudian ketawa melihat mukaku yang ‘menyebelkan’ agaknya.

“Kenapa abang banyak sangat tanya ni,” tanyaku sambil merenung muka Roslan.
Malu dia mukanya direnung begitu, “alaah....tanya pun tak boleh ke?” Balasnya pula.

“Boleh, tapi banyak sangat abang nak tahu pasal saya, kenapa?” Aku pula bertanya.

“Saja....kan kita kawan baru, baru kenal, apa salahnya abang nak tahu tentang Nor. Nanti manalah tahu kita boleh jadi kawan rapat,” jawabnya senyum sambil mengenyitkan matanya kepadaku. Suka tengok gayanya yang begitu. Kacak dan menarik juga dia bila senyum lebar dengan gaya relaks.

Aku diam mendengar harapannya. “Abang kan dah nak pergi keluar lagi, saya pun nak ke Jakarta semula, bukan ke makin jauh tu, buat apa nak kawan rapat, nanti susah rindu jauh-jauh macam tu,” balasku, sambil ketawa perlahan, sengaja nak menduga hatinya.

Roslan hanya tersengih dan berkata, “kan best rindu-rinduan, tanda sayang-sayangan.”

“Amboi....pandainya berkata-kata sekarang ye...,” kataku dengan nada memperlinya.
Kereta terus dipandu melepasi bandar Kuantan, menuju ke Balok dan terus berhenti di Pantai Batu Hitam.

“Laaa....nak bawa saya ke sini ke...?” Aku protes kerana tidak suka ke pantai ini. Pantai yang pernah aku kunjungi bersama AHH dulu. ‘Mood’ jadi kendur, hilang keterujaan.

“Nape...tak suka ke sini?” Roslan dapat membaca riak muka tidak seronok yang tergambar di mukaku.

“Tak delah, ok je,,,,” balasku untuk menutup rasa tidak seronokku. Kesian Roslan yang sudah bersusah payah membawa aku ke sini. Hadap jelah.

“Lapar tak?” Nasib baik Roslan sedar kami belum makan. Perutku pun sudah mulai berkeroncong. Dia mengajak aku ke restoran terdekat `Restoran Pantai’ namanya. Ramai sekali pengunjungnya. Kata orang, kalau nak tahu makanan di kedai itu sedap atau tidak, lihatlah kerumunan pelanggannya. Kalau ramai sedaplah tu. Teringat pula kata-kata seorang kawanku, kalau ramai orang tu, tuannya guna `manderam’ atau `pemanggil’, jadi carilah kedai yang tidak ramai orang. Aku tersenyum sendiri.

“Kenapa senyum sorang-sorang?” Tanya Roslan setelah menyedari aku tersenyum-senyum sendiri. “Perli abang ye?” Duga Roslan lagi.

“Tak de lah, teringatkan kawan saya,” kataku.

“Kenapa dengan kawan Nor?” Roslan ingin tahu, Aku menceritakan apa yang kawan aku cakapkan dulu.

“So, sekarang ni macamana, nak masuk restoran ini atau yang sana?” Roslan meminta kepastian. Aku memuncungkan mulutku ke arah kedai yang ramai pelanggan. “Tak takut kena manderam ke?” Perli Roslan.

“Tak apalah sama-sama kena manderam. Lagipun bukan kita tinggal kat sinipun, tak habis duit kita berulang-alik ke restoran ni,” balasku dengan nada berlawak. Kami sama-sama ketawa sambil menuju ke restoran yang dimaksudkan.

Boleh tahan sedapnya ikan bakar dan sotong bakar yang aku makan. Tidak sia-sia memilih restoran ini untuk menjamu selera kami. Roslanpun bersetuju, udang tepung dan cencaru sumbat yang dimakannya juga sangat sedap, katanya.

“Rasa sedap sebab manderam kot...” Aku mula berlawak lagi. Roslan mengiakan sambil ketawa lagi. Perut sudah kenyang walaupun terkena manderam, hehe.

Roslan mengajak aku duduk di atas batu besar di bawah pohon rendang di tepi pantai. Pantai ini kelihatan hitam sampai ke gigi laut. Sebab itu jugalah pantai ini dinamakan Pantai Batu Hitam. Kerana ini juga aku tidak suka pantai ini. Aku lebih suka pantai yang putih melaut. Rasa segar melihat warna pasir laut keputih-putihan meluas sampai ke laut yang kebiru-biruan, indah dan sejuk sekali mata memandang.
Sejuk nyaman tiupan angin sepoi-sepoi bahasa dari Laut China Selatan, dapat melapangkan fikiran, melupakan seketika beban fikiran. Roslan banyak bercerita, aku lebih banyak mendengar dan melayan perasaan sendiri.

“Nor, abang tanya sikit boleh?” Tiba-tiba Roslan menukar topik perbualan kami dari berbagai isu semasa kepada melemparkan soalan yang belum kutahu isinya. Tapi hati aku jadi berdebar-debar pulak, takut soalannya susah aku nak jawab. Aku merenung dalam ke muka Roslan.

Roslan diam seketika kemudian menyambung, “Nor, maafkan abang kalau abang menyinggung perasaan atau Nor tak suka.” Aku mengangguk lalu bertanya “ok abang, apa dia....?”

“Nor dah ada special boy friend?” Perlahan suara Roslan mengutarakan soalan ini, semacam ada getaran dalam nada suaranya. Malu atau segan, mungkin. Aku tidak terkejut dengan soalan ini tetapi jantung aku berdegup kencang. Kenapa?
Aku senyum untuk menenangkan debaran di dada. “Kenapa abang tanya macam tu?”

“Saja abang nak tahu?” jawab Roslan.

“Saja-saja je....pelikkan?” Aku menduga Roslan.

“Jawab la dulu....dah ada ke belum?” Tanya Roslan lagi. Mukanya sudah kemerah-merahan, kulitnya yang putih menampakkan ketara perubahan air mukanya, malulah tu.
Aku hanya senyum sumbing, “no comment,” kataku. Aku sebenarnya tidak tahu status aku ni, punya orang atau tidak, Irfan maksudku. Melihat aku keberatan menjawab, Roslan memulakan bicaranya.

“Ok lah. Nor....kali pertama abang jumpa Nor di air-port Jakarta dulu, abang dah suka dengan Nor tau,” luah Roslan berhati-hati.

Sedikit terkejut aku mendengar pengakuan Roslan. Tidak salah firasat Adik tentang perasaan Roslan terhadapku. Patutlah beria-ia dia nak menolongku. Apakah lelaki kalau menolong perempuan pasti ada mahunya, tanya hatiku.

“Oh jadinya abang tolong saya kerana nak memikat saya ye?” Tanyaku lancang.

“Tak de lah, abang ikhlas la, abang memang nak tolong, kalau orang lain pun masa tu akan tolong, apalagi kalau student, orang akan tolong, jangan tuduh abang macam tu, tak baik tau,” balas Roslan dengan nada merendah.

Aku hanya diam mendengar Roslan membela dirinya. Menunggu juga apa yang akan diucapkan Roslan seterusnya.

“Kalau Nor tak keberatan dan belum ada yang punya, abang nak melamar Nor, boleh?” Begitu berani sekali Roslan melahirkan hajatnya.

Terkejut aku dengan permintaannya. Tidak siuman ke lelaki di depanku ini. Belum sampai sebulan mengenali aku, sudah mahu melamar aku. Main-main atau serius ni. Terdesak sangat ke dia hendak mencari isteri. Tak kan tak ada perempuan lain yang sesuai untuknya. Kedudukannya, kerjaya, rupa paras dan keluarganya cukup lengkap untuk memudahkan dia memilih bakal isterinya.

“Abang sedar tak apa yang abang cakap ni,” tanyaku minta kepastian. Roslan memandangku dengan pandangan mengharap.

“Kenapa, salah ke abang tanya macam ni, abang ikhlas ni, bukan main-main Nor. Nor jawablah dengan ikhlas juga.” Roslan mula merayuku.

“Abang belum pun betul-betul kenal saya. Macamana abang boleh buat keputusan ini, yang pada saya langsung tidak masuk akal. Abang jangan pandang ringan hal nikah kawin ni, nanti abang menyesal,” hujahku seolah-olah mengajar Roslan. Roslan diam mendengar kata-kataku.

“Maaf kalau kata-kata saya ni menyinggung perasaan abang. Saya terkejut sebenarnya abang. Belum bersedia saya mendengar kata-kata macam ni.” Aku menyedari keterlanjuran perkataanku.

“Tak apa. Nor, apakah abang ni tak cukup bagus untuk Nor ke?” Roslan mula rasa jauh hati agaknya.

“Bukan masalah bagus atau tidak bang. Masalahnya abang belum kenal saya dan saya belum kenal abang, macamana saya nak terima lamaran abang, tak pelik ke tu?” Aku berhujah lagi. Sekali lagi Roslan terdiam.

“Abang faham ke maksud Nor?” Tanyaku setelah melihat Roslan diam. Bimbang dia lagi berkecil hati.

“Kalau kenal lama pun belum tentu mengenali hati budi Nor. Abang rasa dengan Nor, walaupun baru, rasa macam dah kenal lama dah..., betul abang betul-betul sukakan Nor...tolonglah terima abang.” Roslan dah betul-betul merayu. Pelik, memang aku pelik. Aku makin tak faham dan tidak mengenali Roslan rupa-rupanya.

“Abang jangan marah kalau Nor tanya ya. Abang betul-betul ke tak ada girl friend sebelum ini?” Perasaan ingin tahuku semakin menebal.

“Semuanya tidak menjadi Nor.” Jawabnya ringkas.

“Kenapa?” Tanyaku lagi

“Kenapa jadi macam tu?” Aku menelusuri lagi ingin tahu.

“Macam-macam sebab. Keluarga tidak setuju, ada yang tinggalkan abang.” Jujur Roslan mengaku.

“Oh....jadi saya ni calon yang ke berapa? Macamana kalau famili abang tak setuju juga?” Saja aku nak dengar jawapan Roslan,

“Entah, yang ke berapa abang tak mau ingat. Mereka dah jumpa Nor hari tu, abang dah cakap bayang-bayang ke mereka, nampak macam mereka ok je..,” bersahaja Roslan menjawab.

Melihat aku diam, Roslan bertanya lagi, “macamana Nor, boleh ke?” Aku sebenarnya terfikir tentang keluarganya. Terbayang Maknya yang `cengir’, menyeramkan.

“Abang, ini bukan perkara main-main, apa kata kita biarkan diri kita mengenali hati budi masing-masing dulu. Kita bagi diri kita ruang dan peluang supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.” Jawapan yang cukup sesuai aku rasa setakat ini. Aku sendiri tidak pasti apakah takdir aku akan datang, takut aku nak yakin dengan apa-apa pun sekarang, sejak kes aku dan AHH dulu.

“Abang betul-betul harapkan Nor. Abang dah tiga puluh tahun Nor, dah sampai masa abang berumah tangga,” akui Roslan.

“Jadi abang pilih saya sebab abang dah terdesaklah ni?” Aku menduga lagi.

“Tak, abang memang suka, sejak bertemu Nor hari tu, seharipun abang tak boleh lupakan Nor.” Bergetar suara Roslan meluahkan isi hatinya.

“Kalau saya terima abang pun bukannya saya boleh ikut abang, saya mesti habiskan kuliah saya. Empat tahun tu lama, takkan abang nak hidup sendiri tanpa saya pulak kan?” Sengaja aku mula berbincang serius setelah melihat kesungguhan Roslan dalam hal ini. Hatiku pun mula ada bunga-bunga perasaan seronok di kala itu. Rasa bangga diri dicintai, walaupun hati sendiri belum pasti.

“Tak apa, abang cuba minta transfer ke Jakarta. Kalau tak dapat pun, sekitar Asia Tenggara yang lain, ataupun abang tunggu Nor selesai kuliah. Abang akan sabar, percaya dengan abang,” janji Roslan bersungguh-sungguh. Wah, betul ke sebegitu ikhlasnya dia dalam hal ini.

“Abang, Nor tak boleh janji apa-apa dalam hal ini ketika ini. Nor perlukan masa. Takut nak berjanji lebih-lebih, nanti abang atau Nor akan kecewa pulak.” Akhirnya aku membuat keputusan sendiri tanpa bertanya Mak aku terlebih dahulu. Kami sepakat dengan keputusan ini. Dalam perjalanan pulang, masing-masing cuba mengenali secara lebih mendalam. Banyak lagi yang dibincangkan.

“Nor, please jangan tolak abang,” rayu Roslan lagi ketika aku menghantarnya ke kereta untuk pulang.

“Abang, kita kawan dulu ye. Kalau ada jodoh kita akan bersatu. Dalam tempoh ini kalau abang jumpa orang lain abang bagi tau saya ok. Saya akan terima apapun keputusan abang.” Aku membuat keputusanku walaupun aku tahu Roslan nampak kecewa. Di fikiranku pun terbayang Irfan yang sangat baik kepadaku.
Abang Roslan, kenapa jadi begini?

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 24.10.2011.

No comments:

Post a Comment