Sunday 16 October 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 18 – Nor Aizan Ab Halim

Adik datang Am berubah
Baru beberapa minit aku meletakkan gagang telefon selepas berbual-bual dengan Irfan, melepaskan rindu, memang rindu, bukan main-main, Adik pula menelefonku. Memang tepat masanya kerana aku memang menunggu-nungu berita dari Adik. Adik janji nak datang hujung minggu, maksudnya, besoklah tu hari Sabtu.

Adik hanya nak memaklumkan dia akan bertolak sekejap lagi, lebih kurang pukul sembilan malam nanti. Mungkin akan sampai lewat malam. Adik memaklumkan terlebih dahulu supaya ada yang membukakan pintu untuknya, bimbang dia tidak dapat masuk rumah nanti, katanya.

Alhamdulillah, harap-harap dapatlah Adik memberi sedikit nasihat untuk Am. Mudah-mudahan Am dapat menerima nasihat dari Adik. Jam 11 malam, Am belum nampak batang hidungnya. Setiap hari pun macam itu juga. Sesungguhnya aku tidak berupaya untuk menegurnya. Kenapa ye...? Tak dapat nak jawab kerana alasannya mungkin tidak masuk akal. Dia adikku, tapi terasa jauh sangat hubungan antara hatiku dan hatinya kini.
Menyingkap kembali kisah adikku Am, sangat sedih dia. Ayah sangat memanjakan Am kerana kata ayah, Am memiliki rupa paras dan sifat-sifat yang menyerupai Ayah. Am mewarisi Ayah. Betul, semua orang mengakui, ketampanan Ayah tertumpah kepada Am. Am menjadi buah hati ayah yang selalu dibawa ke sana dan ke sini dari kecil, sejak Am mulai pandai berjalan. Rupa yang saling tak tumpah macam ayah, kata orang anak lelaki yang menyerupai ayahnya, umurnya atau umur ayahnya tak panjang atau jodoh mak ayahnya juga tidak panjang. Betul ke? Ustaz Fadhil, ustaz sekolahku cukup marah ketika aku mengajukan soalan ini kepadanya, sewaktu aku di tingkatan lima dulu.

“Khurafat,” katanya sambil membulatkan matanya kepadaku. Sejak dari itu aku tidak lagi berani untuk mengajukan soalan itu kepada sesiapapun. Pendam sendiri.

Ayah memang penyayang dengan anak-anak. Bukan dengan anak-anak sahaja sebenarnya, dengan semua orang. Ayah sangat popular di kawasan kami, suka menolong orang lain melebihi dari keluarga sendiri. Ayah dan Mak membela anak-anak yatim atau anak-anak terbiar, mangsa ibu bapa bercerai, walaupun keadaan ekonomi mereka bukannya bagus sangat, tetapi masih sanggup berkongsi seekor ikan masin atau telur goreng dadar dengan anak-anak ini.

Dalam mendidik anak pula ayah cukup tegas. Aku, Abang dan Kakak menjadi mangsa ketegasannya. Selalu kena rotan. Dia sangat menekankan pendidikan kami. Aku yang paling teruk menjadi mangsanya. Kami anggap “mangsa” kerana pada waktu itu kami sangat sedih kerana tidak dapat bebas bermain sesuka hati bersama kawan-kawan sebaya yang lain. Kami diarahkan untuk belajar, belajar dan belajar. Namun, aku juga berterima kasih dengan Ayah kerana dengan paksaannya menjadikan aku anak yang berjaya, malah dapat keputusan yang baik dalam peperikasaanku, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) ketika itu.

Alhamdulillah, aku akui aku seorang anak yang “otak cair”. Rasa-rasanya kalau segalanya berjalan dengan baik ketika itu, aku sudah tentu di posisi kerjaya terbaik kini. Aku berani berkata demikian kerana empat orang kawan baikku waktu tingkatan empat, semuanya sudah memegang jawatan tinggi kini, selepas pulang dari UK dan USA melanjutkan pelajaran mereka. Ketika itu markahku teratas berbanding mereka untuk semua subjek. Pasti Sijil Pelajaran Malaysiaku juga sepatutnya sebaik atau lebih baik dari mereka jika aku masih bersekolah bersama mereka. Sedih..... memang sedih. Pengetua sekolah berkali-kali menasihati aku supaya tidak berpindah sekolah kerana sayangkan prestasiku. Kebimbangan beliau ada benarnya.

Akhirnya di sekolah baru, aku mengalami kemerosotan dalam akademikku disebabkan pelbagai faktor yang mempengaruhi. Aduh....banyak sekali faktor negatifnya, sekolah, guru, kawan-kawan, jarak rumah dari sekolah, dan paling penting, aku sudah ketinggalan jauh tajuk-tajuk yang diajar. Aku sudah “give-up”. Akhirnya SPM dan cita-cita nak belajar ke luar negara dalam bidang perubatan hanya tinggal angan-angan.

Masih ingat ketika itu hanya air mata meleleh menahan sebak di dada tidak dapat mengisi borang ke luar negara bersama-sama empat orang sahabat baikku kerana “result” SPM yang kurang memuaskan, hanya kerana keadaan dan situasi yang tidak kondusif untuk belajar aku lalui, akhirnya aku tidak seberuntung mereka. Tetapi sesungguhnya, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Namun aku juga sudah bersyukur dengan segala nikmat kurniaanMu.

Semua anak-anak angkat Ayah dan Mak ketika itu, juga kini menyandang jawatan yang tinggi di pelbagai jabatan dan organisasi. Walaupun mereka jarang atau tidak pernah bertanya khabar atau mengenang jasa Mak dan Ayah, nampaknya tiada wujud perasaan kecewa di wajah mereka berdua, malah sangat ceria air muka mereka setiap kali mendengar berita kejayaan anak-anak angkat mereka melalui rakan-rakan. Mungkin di situ adanya nilai keikhlasan hakiki mereka berdua ketika menolong dahulu.

Baiknya Ayah dan Mak. Namun, betul kata orang, dalam baik ada buruknya. Tak apa Ayah, aku tidak berdendam atau marah kepadamu, malah aku selalu meyakinkan hati, kaulah ayah terbaik kurniaan Allah untukku, walau apapun pandangan orang terhadapmu kerana tanpamu aku tidak lahir ke dunia ini. Walaupun aku tidak dapat jadi yang terbaik, aku tetap berterima kasih. Maafkan aku Mak, kalau kata-kata ini membuatkan Mak sedih. Mak jangan risau kerana Mak adalah ibu terbaik dan terhebat di dunia ini melebihi orang lain. Melebihi Ayahpun. Jangan berkecil hati. Aku cuma tidak mahu jadi anak derhaka dan ingin hidup dengan hati yang bersih selama masih bernafas di bumi Allah ini. Mudah-mudahan di sana juga kita semua akan diterima Allah dengan sebaik-baiknya.

Masih ingat, betapa Ayah sangat sayangkan Am, yang ketika itu baru berusia empat tahun rasanya. Ketika itu di bulan puasa, kanak-kanak dan remaja sibuk bermain bunga api dan meriam buluh selepas tarawih. Tanpa sedar Am secara diam-diam menyertai kumpulan ini. Salah seorang dari mereka telah mengikat bunga api yang berpusing-pusing pada kolar baju Am. Habis lehernya melecur terbakar kena bunga api. Berhari raya di hospital dia ketika itu. Kami pun sama, tiada suasana hari raya kerana semua orang bersedih dengan apa yang menimpa Am.

Ayah mengamuk mencari budak yang telah mengikat bunga api tersebut. Berbulan-bulan budak itu menghilang, tidak keluar dari persembunyiannya, atau disembunyikan oleh orang tuanya. Mereka kenal benar perangai Ayah yang panas baran, mahu rasanya budak itu ditembaknya dengan senapang patah miliknya, kalaulah ketika itu terserempak dengan budak itu.

Bila Am telah sembuh, dan hati ayah sudah sejuk barulah mereka datang memohon maaf dan memberikan duit tiga ratus ringgit untuk Am. Sebenarnya wang sebanyak itu tidak dapat membayar kesakitan dan trauma Am. Cuma Ayah jenis yang cepat memaaf, bila melihat Am sudah mulai sembuh, hatinya ikut juga sejuk.

Kedengaran loceng pintu pagar berbunyi. Aku mengintai dari tingkap. Adik sudah sampai. Aku menjeling jam, pukul sebelas setengah malam. Cepat juga Adik sampai. Mak yang baru balik dari restorannya, pun keluar dari dapur bila mendengar suara Adik memberi salam. Adik bersalam dengan Mak dan Boy adik bongsuku. Adik melabuhkan punggungnya di sofa berhadapan dengan TV di ruang tamu. Boy pun duduk menyambung aktiviti menonton perlawanan bola sepak yang sedang disiarkan. Adik ikut sama menonton, walaupun nampak macam Adik penat sangat.

“Adik dah makan?” Tanya Mak melihat adik yang kepenatan.

“Sudah,” jawab Adik ringkas.

“Nak minum apa?” Giliran aku pula bertanya Adik.

“Apa-apa je la...,” jawab adik sambil matanya fokus kepada perlawanan bolasepak.

Aku membancuh nescafe untuk Adik dan Boy sekali. Baunya wangi semerbak menusuk hidung. Adik terus mengangkat cawan dan menghirup air nescafe yang baru aku bancuh tadi.

“Hmm....sedap nescafe Kak Zan buat, tak dapat kat tempat lain,” puji Adik.

“Eleh....mengada-ngada la pulak,” balasku sambil ketawa.

“Betul......tak percaya, ngam-ngam rasa manis, pahit dan lemak, mana ada orang pandai bancuh nescafe macam ni....hehe, betul tak Boy” pujinya lagi sambil ketawa dan memandang ke arah Boy. Boy mengangguk mengiakan. Aku hanya menyengih, tau Adik nak menyenangkan hatiku dan selalu menyenangkan hatiku.

“Am mana?” Tiba-tiba saja Adik bertanya setelah sedar adik Am tak juga muncul-muncul dari tadi.

“Biasalah....belum balik.” Aku mula meluahkan rasa hatiku yang terpendam. Baru dapat diluahkan, lega sikit. Adik hanya mendengar berhati-hati semua penjelasanku tanpa memberi komen apa-apa. Adik memang tak banyak cakap. Hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

Lebih kurang sejam kemudian baru Am balik. Dia memberi salam dan bersalaman dengan Adik. Itulah adikku Am yang sebenarnya, penuh dengan sopan santun dan budi bahasa. Amat kukesali dengan perubahan dia. Malam ini masih dia bersopan dengan Adik, tetamu kami. Aku meminta izin untuk tidur, jam hampir dua pagi, nanti kepala aku pening kalau kurang tidur. Aku tinggalkan mereka bertiga terus menonton tv.

Pagi-pagi bangun, sunyi sepi rumahku. Mana pergi Adik, Am, dan Boy. Mak pastinya sudah ke restorannya. Aku menjenguk Am di biliknya juga tiada. Ke mana mereka, hatiku tertanya-tanya. Kereta Adik ada. Motor Am pun ada. Hairan juga. Yang pasti, tidak jauh perginya mereka, hanya berjalan kaki saja.

Aku ke dapur menyiapkan sarapan. Aku mahu goreng mee hoon untuk sarapan kami. Malas ke restoran awal-awal pagi. Bawang, cili sos dan perencah yang lain sudah tersedia untuk bahan gorenganku. Baunya sedap sekali dan menggamit seleraku, perutpun lapar. Proses memasak jadi lebih cepat dek tak sabar nak makan. Mee hoon sudah tersedia, ke mana pula orang-orang ini, belum muncul-muncul juga. Bimbang pula mee hoon dan tea yang aku sediakan jadi sejuk, tak sedap nanti.

Lima belas minit kemudian barulah aku mendengar salam orang di pintu. Baru balik mereka. Oh, rupanya berjogging mereka bertiga. Lengkap berpakaian trek suit.

“Laa...pergi jogging tak bagitau pun, kalau bagitau boleh ikut.....,” protesku ketika melihat mereka berpeluh-peluh, basah t-shirt yang mereka pakai. Aku pun dah lama tidak berjogging, bagus juga kalau aku boleh ikut tadi. Tapi sudah terlambat, dah balik pun mereka.

“Besoklah ikut,” kata Adik, setelah melihat aku seperti tidak berpuas hati.

“Jangan lupa, besok ajak tau...,” pintaku. Aku berlalu ke ruang makan.

“Jom makan, sebelum mee hoon dan air ni sejuk,” panggilku dari ruang makan.

“Boleh mandi dulu tak?” Adik menjenguk aku di ruang makan, meminta kepastian.

“Boleh, tapi nanti semua ni sejuk, dah tak sedap,” jelasku.

“Tak pelah sejuk sikit, tak selesa makan dalam keadaan berpeluh-beluh hapak macam ni,” Akhirnya Adik buat keputusan. Semua setuju. Mereka menuju ke bilik masing-masing untuk mandi.

Aku menonton televisyen sambil menunggu mereka. Sebenarnya aku dah pun makan sedikit tadi untuk mengalas perut, sementara menunggu mereka balik. Tak boleh perut kosong, aku ada gastrik, lambat makan je akan sakit perut dan “ulu hati” ku.
Lima belas minit kemudian, semua sudah berkumpul di meja makan, menyenduk mee hoon sendiri. Layan diri. Mereka makan dengan bersemangat. Lapar, setelah banyak kalori hilang berjogging tadi. Sebungkus mee hoon selesai disantap tiga jejaka dalam sekelip mata.

Seronok melihat hasil tanganku habis dimakan. Sedap atau tidak perkara kedua. Yang penting tidak membazir.

“Sedap......”, Adik mula memuji, macam biasa, dengan aku selalu penuh dengan pujian. Aku hanya senyum sebagai membalas pujiannya. Kesian Adik, dia memang tiada kakak. Akulah kakak untuknya. Menumpang kasih dan manja seorang kakak. Dari dulu memang rapat, nampak sangat dia serasi sekali dengan aku. Cukup menjaga hati dan perasaanku. Tidak pernah menolak jika aku meminta tolong, malah selalu menawarkan pertolongannya. Ringan tulang dan hati emas dia.

“Kami pergi dulu kak.....” Tiba-tiba Adik meminta izin untuk pergi.

“Ke mana?” Aku bertanya terkejut.

“Keluar jalan-jalan dengan Am kejap,” jawab Adik sambil mengenyitkan matanya. Oh fahamlah aku, Adik ada agendanya untuk Am agaknya, duga aku dalam hati. Aku hanya menganggukkan kepalaku tanda setuju. Mereka pergi berdua.

Aku dan Boy bergerak ke restoran Mak kerana hari sudah hampir tengahari. Kedai Mak akan mula sibuk dengan pengunjungnya dari jam 11 tengahari. Sibuk melayan pelanggan di kedai. Pelanggan ramai sangat dari pagi sampai malam. Begitulah biasanya jika ada perlawanan bola sepak antara Selangor dan Pahang, tidak menang tangan kami. Penonton bola sepak dua buah negeri ini ramai yang singgah di restoran Mak dan restoran-restoran lain yang ada di sekitar kawasan kami.

Kalau waktu sibuk begini, banyak rezeki Mak. Tapi yang kelakarnya, ramai juga yang mengambil kesempatan makan percuma dalam kesibukan kami melayan pelanggan. Maklum, mereka datang serentak, tidak cukup tangan melayan, apa lagi, mana yang kurang ilmu akan ambil kesempatan, makan minum dan pergi tanpa membayar.

Bagi Mak, tidak jadi masalah katanya, “tak apa biarlah, rezeki kita dah banyak ni, nampak tak, melimpah ruah,” kata Mak sambil menunjukkan ke arah laci duitnya, dua laci penuh. Biasanya beribu-ribu kutipannya. Mengira duit sampai pagilah Mak. Besok restoran cutilah sehari, meredakan kepenatan mak dan para pekerja Mak. Ada bonus lagi untuk pekerjanya. Mak memang baik hati, murah hati dengan pekerja-pekerjanya. Sebab itulah pekerja Mak kekal lama, berhenti jika sudah sampai jodoh, berkahwin dan ikut suami. Kena cari yang baru, itu yang susah bagi pengusaha kedai makan macam Mak.

Dalam kesibukan melayan pelanggan, Adik dan Am muncul di restoran Mak, ikut sama melayan, menghulurkan bantuan. Ringan kerja kalau ramai pembantu. Am pun nampak ceria menjalankan tugasnya melayan pelanggan di restoran Mak, macam dulu-dulu. Seronok Mak melihat perubahan Am adikku, setelah beberapa bulan ini Am langsung tidak berminat menolong Mak, malah hanya mengambil duit dalam laci duit saja, kata Mak.

Pukul dua pagi baru restoran mak ditutup dengan rasminya. Makanan sudah habis dari pukul dua belas lagi, tapi asyik terjengul je pelanggan nak beli air, mahu tak mahu layanlah juga, kesian, pasti semua kedai sudah habis juga makanan dan minuman. Macam itulah setiap kali ada perlawanan bola. Itupun Mak sudah menyediakan makanan tiga kali ganda berbanding biasa, sebagai persediaan untuk mereka. Selalu tidak mencukupi.

Adik dan Am tak habis-habis berbual di satu sudut kedai Mak, entah apa yang diceritakan, akupun tak tahu. Nampak serius je dari tadi. Tak kisah apa yang dibincangkan, aku harap perubahan Am malam ini akan membawa kepada perubahan yang positif berterusan. Hanya itu harapan seorang kakak terhadap adik yang sangat disayangi.

Besoknya Am bangun pagi-pagi lagi pergi jogging dengan Adik dan Boy. Aku tidak larat membuka mata nak ikut berjogging. Malam tadi tidurnya jam tiga pagi. Balik dari berjogging, terus ke restoran Mak, menolong apa yang patut. Ringan banyak Mak, kerja-kerja Mak Am yang uruskan.

Adik bersiap-siap untuk balik ke Kuala Lumpur. Ketika aku tanya apa Adik cakap dengan Am sampai Am nampak berubah begitu, Adik hanya senyum, “tak de cakap apa-apa pun,” jawab Adik dengan senyum sumbingnya. Selalu berahsia dia. Adik, kau selalu melakukan yang terbaik untuk aku, kenapa bukan AHH yang berada di tempatmu.

Mak hanya tersenyum puas melihat perubahan adikku Am. Tinggi harapan Mak untuk Am.
Mudah-mudahan adik Am yang dulu sudah kembali.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 16 Oktober 2011.

No comments:

Post a Comment