Monday 10 October 2011

Nostalgia Di Kampus Depok – Siri 17 – Nor Aizan Ab Halim

Keluarga Roslan Datang
[Foto hiasan semata-mata]
Aku mengambil surat khabar hari ini, kalau-kalau ada berita yang menarik. Helaian demi helaian aku belek. Tiada berita menarik. Belek lagi.

“Nor, apa khabar?” Tiba-tiba saja Roslan muncul mengejutkan aku. Sudah beberapa hari dia tidak datang.

Kemunculannya kali ini tidak seorang, malah bapa, ibu dan abangnya sekali. Alamak, trauma aku dengan mak dan ayahnya. Apa harus aku buat. Rasa mahu saja aku melarikan diri. Tidak suka aku dengan orang yang lagaknya macam sombong. Aku ke dapur. Aku mengarahkan Kak Ya yang ambil pesanan makanan mereka. Roslan mengekori aku ke dapur.
“Nor, lari ye....,” duga Roslan. Terkejut aku, “Eh...tak de lah Abang, nak ke bilik air sekejap,” aku berdalih.

“Jangan bohong dengan Abang, nampak tadi Nor macam melarikan diri je,” balas Roslan.
Aku tak sanggup berbohong kerana aku tahu Roslan memang sedar ada ketidakserasian antara aku dan mamanya, sejak dari malam resepsi tersebut.

“Bukan apa Abang, seganlah saya dengan famili abang tu.....” Aku masih memberi alasanku. Bukan alasan sebenarnya tetapi ‘sebab’ kenapa aku tidak mahu berdepan dengan keluarganya, terutama mamanya.

“Jom lah keluar....tak pe, mereka yang minta nak singgah makan kat restoran ni bila Abang bagitau kedai Nor ada kat kawasan ini, nak kenal kata mereka,” jelas Roslan lagi. Hati aku makin tidak enak bila mendengar kata-kata Roslan tadi, rasa macam ada agenda tersembunyi. Hisss....tak baik berburuk sangka, aku memujuk diri aku sendiri.

“Ok, Abang keluar dulu, nanti saya keluar .....,” janjiku. Roslan keluar setelah meminta nescafe ais dariku.

Aku membawa segelas nescafe ais untuk Roslan dan ais kosong pelanggan meja No 2. Ketika aku meletakkan nescafe ais Roslan, hujung mataku sempat melihat mamanya menjeling ke arahku. Aduh, jantungku berdegup kencang. Takut aku. Aku memang tidak suka orang yang suka menjeling tajam macam tu. Sudahlah muka mamanya itu semulajadi bengis, ditambah dengan jelingan mata macam tu, boleh `copot’ jantungku dibuatnya. Aku pula berjiwa halus....hehe...konon.

Walaupun hati tidak suka, aku tetap bersalaman dengan ahli keluarganya setelah Roslan bersungguh-sunguh memperkenalkan mereka kepadaku satu demi satu. Roslan....Roslan....., kenapalah mereka tidak sebaik kau, mudahlah aku mahu berkenalan dengan mereka, walaupun darjat kami berbeza...hehe...macam Antara Dua Darjat, P. Ramleelah pulak.

Semua makanan dan minuman pesanan mereka sudah penuh di atas meja. “Ada lagi pesanan yang belum dapat?” Tanyaku minta kepastian, tidak mahu timbul isu yang boleh mengguris perasaan mamanya, gara-gara pesanan tidak kunjung tiba. Hisss....hati jahat bersuara lagi.

“Dah dapat semuanya, terima kasih Nor,” bapanya menjawab. Roslan mengangguk mengiakan.

“Abang, dan semuanya, sila makan ya, saya kena ke dapur, ada kerja yang perlu disiapkan,” aku berhelah lagi, tidak sanggup dan tidak tahu hendak berkata-kata di depan mereka. Maafkan aku Abang Roslan, aku tidak mampu. Lemahnya aku, walaupun aku mahasiswa ilmu komunikasi tapi aku belum graduasi, jadi belum pandai berkomunikasi, hehe.

Hampir dua jam mereka menjamu selera. Lama betul. Sengaja ke? Hiss....datang lagi iblis berbisik. Selama itu jugalah aku banyak terperuk di dapur. Sesekali keluar menghantar minuman untuk pelanggan lain. Buat-buat sibuk. Roslan pun sudah beberapa kali keluar masuk ke tempat aku di dapur. Heh, malu aku dengan keluarganya, nanti apa kata mereka.

Apa kata kalau mereka ingat aku sedang menggoda anak terunanya. Ya Allah, selisih malaikat empat puluh empat, takut aku kalau dituduh begitu. Maklum, siapalah aku dan keluargaku kalau dibandingkan dengan mereka, ‘bagai langit dengan bumi’, ‘pipit dengan enggang’ atau apa-apalah perumpamaan yang sesuai menunjukkan perbezaan kami. Jangan risau datin, datuk, tidak sama sekali aku akan menggoda Roslan. Tidak terfikir pun untuk berbuat demikian, ‘jauh panggang dari api’. Aku masih berpijak di bumi yang nyata.

Akhirnya aku duduk juga bersama keluarga Roslan, untuk menjaga air muka Roslan. Hanya mendengar perbualan mereka. Sekali-sekala ada soalan yang ditujukan kepadaku. Tergagap juga hendak menjawab. Rasa macam sedang disoal-siasat oleh unit jenayah saja. Agaknya banyak yang mereka ingin tahu dariku. Tapi untuk apa....? Tidak perlu banyak sangat soalan rasanya, tak perlu.

“Berapa lama kat Jakarta....?” Bapa Roslan memulakan perbualan kami. Eh...mana pula bapanya tahu aku di Jakarta. Pasti aku sudah menjadi bahan cerita Roslan kepada keluarganya, untuk apa?

“Baru lagi, baru satu semester.... ,” jawabku jujur.

“Nanti berapa lama kat sana..?” Tanya Datuk Muzaffar, bapa Roslan lagi.

“Tak tentu, mungkin 4 tahun atau lima tahun...,.” jawabku ringkas. Malas nak jelaskan panjang lebar.

“Macamana pula tak pasti, bukan ke dah ada tempoh yang ditetapkan macam universiti di sini dan di tempat-tempat lain?” Giliran mak Roslan pulak bertanya. Rimas aku, nak jawab semua soalan ni. Demi Roslan, layan je la.

“Kat sana ikut prestasi, kalau prestasi bagus, bolehlah ambil banyak subjek satu semester, bolehlah habis cepat.” Aku permudahkan penjelasanku. Penat nak jawab panjang-panjang.

“Oh, agak-agaknya berapa tahun awak boleh selesai tu?” Bapanya pula menyampuk.

“Entahlah Datuk, mungkin empat setengah tahun agaknya, Insyallah,” sambungku.
Betul-betul macam sedang disoal siasat. Teringat aku ketika kena soal siasat oleh pegawai polis waktu kerja luar di Perlis, tahun 1996, kalau tak silap aku. Aku tidak tahu macamana not RM100 di tanganku sebenarnya adalah wang palsu. Dalam rombongan kami aku adalah salah seorang ketua kumpulan, yang mengumpulkan duit dari ahli-ahli kami. Memang banyak duit dikumpul, jadi tidak pasti milik siapa wang palsu itu.

Yang pasti ketika aku hendak membayar barangan yang kami beli di sebuah mini market, tiba-tiba seorang polis yang berpakaian ‘reman’ menarik aku ke tepi dan membawa aku ke balai polis berhampiran. Aku dibawa ke bilik gelap, macam bawah tanah rasanya. Nasib baik aku bertiga, seorang ikut aku ke balai, seorang lagi balik ke tempat penginapan, memaklumkan apa yang berlaku kepada profesor kami. Lama betul mereka soal siasat aku. Sampai lenguh aku duduk di kerusi itu. Bermacam-macam cara psikologi mereka gunakan untuk memerangkap aku agar menceritakan tentang duit palsu tersebut. Semua duit yang ada di dalam beg duit aku diambil dan diperiksa keasliannya. Ternyata wang yang lain adalah wang asli, hanya sekeping itu saja yang palsu.

Setelah aku memaklumkan aku pelajar institusi pengajian tinggi yang datang buat penyelidikan di sini, pegawai polis itu mula merendahkan suaranya. Aku tunjukkan pas pelajar kepadanya. Dia memulakan cerita yang lebih ringan, dia bertanya aku asal dari mana, apabila aku menyebut `Kuantan’, dia mula tertarik. Katanya dia pernah bertugas di balai polis Kuantan. Akupun bertanya kenal ke abangku ASP Adnan. Rupa-rupanya mereka saling mengenali kerana pernah bertugas bersama di Kuantan dulu, sebelum dia dipindahkan ke Perlis.

Dia menelefon abangku untuk mengesahkan aku adiknya. Dia menyerahkan telefonnya kepadaku untuk bercakap dengan Abang, aku mahu menangis, hanya menahan air mata dari keluar. Takut sebenarnya aku. Abang menenangkan aku untuk menghadapi situasi itu. Melalui Abang baru kutahu namanya ASP Amar. Alhamdulillah, tamatlah episod aku disoal siasat. Rupanya kena ada `kroni’ barulah masalah mudah ditangani. Aku tidak menyalahkan mereka. Mereka menjalankan tugas. Bermacam-macam cara penipuan boleh dibuat. Kecut perut bila ingatkan kesalahan memiliki wang palsu sangat berat. Terbayang penjara......heeee menyeramkan. Tolonglah, jangan ada lagi kena soal siasat seperti ini. Tidak seronok. Peluh dingin keluar, walaupun kipas berpusing sangat laju.

Sempat aku mengelamun seketika. Terganggu lamunanku bila mendengar Mak memanggilku untuk ke dapur, menolongnya mengurus gulai yang baru dimasak sebagai tambahan kepada yang sedia ada, sudah hampir habis. Selamat aku dari investigatif keluarga Roslan.

Akhirnya mereka selesai makan. Aku keluar berjumpa mereka sekali lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi singgah di restoran Mak yang tidak `gah’ ini, hanya kedai makan biasa, yang menjadi persinggahan orang biasa. Walaupun pada kenyataannya kedai Mak ni hebat juga sebenarnya. Dengan berpakaian biasa, orang-orang penting selalu datang ke kedai mak untuk menjamu selera. Hanya kami yang tahu siapa mereka. Pelanggan-pelanggan lain tiada yang mengenali, mungkin mereka ingat ‘pelanduk dua serupa’. Selalunya mereka telefon Mak terlebih dahulu menyiapkan pesanan apa yang mahu dimakan, biar cepat, tidaklah berlama-lama menunggu makanan siap. Mungkin akan lebih selesa tanpa gangguan.

Aku menghantar keluarga Roslan sampai ke kereta yang hanya beberapa meter dari restoran Mak. Lega rasa, bolehlah aku bergerak dengan bebas, tanpa mata yang memerhati pergerakan dan tingkah lakukan, takut kalau-kalau dianggap sumbang.
Badanpun sudah penat. Teringin merehatkan badan setelah penat melayan pelanggan yang tidak putus-putus. Aku mengambil beberapa buah majalah yang tersedia di dalam kabinet kecil, khusus untuk pelanggan supaya tidak rasa bosan ketika menunggu makanan tiba.

Majalah keluarga bulan Jun yang lepas menjadi pilihanku. Hiasan kulitnya menarik. Gambar seorang artis baru. Cantik sekali dia pada pandangan mataku. Helaian demi helaian aku telusuri. Aku terpaku pada helaian yang terpampang gambar keluarga Roslan, gambar bapanya sebagai salah seorang konglomerat berjaya di Malaysia. Wow.....tak sangka begitu hebat keluarga Roslan, maksudku bapanya. Patutlah gaya mereka malam itu berlainan benar. Nampak sangat elitnya. Tapi Roslan, berbeza sekali sikapnya. Gayanya langsung tidak menampakkan begitu terkenalnya keluarga dia. Tapi kenapa selama ini aku tidak perasan tentang keluarga konglomerat ini....mungkin kerana aku tidak ambil kisah, tiada kaitan agaknya. Sekarang baru sedar akan kewujudan mereka kerana aku kenal Roslan....begitulah agaknya, aku buat kesimpulan sendiri.

Penatlah memikirkan tentang keluarga ini. Untuk apa aku berfikir tentang Roslan dan keluarga dia. Biarlah betapa hebat dan elitnya dia. Tiada kaitan antara aku, Roslan dan keluarganya.

“Gambar siapa tu, khusyuk merenung....?” Tiba-tiba saja Mak muncul dari arah belakangku. Terkejut aku yang sedang melayan perasaan sendiri tadi.
Aku menunjukkan gambar-gambar keluarga Roslan dalam majalah tersebut. Mak kelihatan tertarik. Mak menarik kerusi lalu duduk di sebelahku.

“Patutlah gaya mereka lain macam je....,” kata Mak sambil tersenyum. Aku rasa aku faham apa maksud Mak dengan istilah `lain macam’ tu. Aku ikut senyum.

“Memanglah patut, kan orang ‘beruang’.....” sambungku pula. Kami sama-sama ketawa.

“Tapi Roslan tu berbeza dengan ahli keluarganya yang lain tu kan,” komen Mak.
Rupa-rupanya Mak memerhati dari jauh apa yang sedang berlaku dalam kedainya ketika keluarga Roslan menjamu selera. Selepas bersalam dengan mereka, ketika diperkenalkan Roslan hari tu, Mak terus ke dapur dan nampak macam sibuk, tidak sempat mengambil tahu tentang mereka. Rupa-rupanya, dalam kesibukan itu sempat juga Mak. Hmm......

“Kenapa, Mak berkenan nak bermenantukan Roslan ke...?” Tanyaku dalam nada bergurau dengan Mak. Kami sama-sama ketawa.

Takut juga dalam hati sebenarnya, kalau-kalau apa yang Adik katakan tempohari ada benarnya. Firasat Adik, Roslan tertarik denganku. Janganlah, susah hatiku nanti nak memilih antara Roslan dan Irfan. Apalagi bila terbayangkan keluarga Roslan, terutama Maknya, heee kecut perutku. Hehe...perasan macamlah Roslan tu cintakan aku pulak.......

Harap-harap tidaklah............Insyallah.

Nor Aizan Ab. Halim, Bandar Baru Bangi, 9 Oktober 2011

No comments:

Post a Comment